Thursday, September 16, 2010

Cik Tina

Sekadar gambar hiasan

Pada suatu pagi, Cik Tina ingin menghantar anaknya, Farid ke sekolah dengan menggunakan kereta barunya. Semasa hendak mengundurkan keretanya itu Cik Tina pun berpesan kepada anaknya :

Cik Tina : Farid, tolong tengok-tengokkan belakang kereta. Kalau langgar pokok beritahu ibu.

Farid: Baiklah , ibu!

Cik Tina: Kena tak ? Kena tak?

Farid: Belum, belum. Undurlah lagi ibu.

Cik Tina: Kena tak ? Kena tak?

Farid: Undur lagi, lagi, lagi .

Tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat , bang !!

Farid: Okay ibu, dah kena pun pokok !

Cik Tina: Alamak ! Macam mana boleh terlanggar pokok? Habis kereta aku !

Farid: Kata ibu bila kena pokok beritahu, dah kena pokoklah itu !






Ziarah pusara Asri


TAHUN kedua kumpulan nasyid Rabbani menyambut hari lebaran tanpa ketua yang juga vokalis utamanya, Asri Ibrahim, yang kembali ke hadrat Ilahi, Ogos tahun lalu. Kenangan bersama Allahyarham yang dianggap sebagai mentor, abang dan bapa terus terpahat kukuh dalam lipatan kenangan semua anggota kumpulan itu.
Justeru, sebelum ketibaan lebaran pada 1 Syawal lalu, semua anggota kumpulan itu menziarahi pusara Allahyarham di Seksyen 21, Shah Alam. Mereka memanjatkan doa agar rohnya berada di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Setahun sudah Asri meninggalkan kita semua, namun seorang daripada anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz, sering bermimpikannya. Hubungan mereka berdua sangat akrab dan ketika hayat Asri masih ada, banyak urusan kerja mereka lakukan bersama. Sudah tentu ketiadaan Asri sangat dirasai Azadan. Menurut Azadan, terasa begitu pantas berlalu sudah setahun Asri pergi ke alam baqa. Namun memori bersama Allahyarham masih basah dalam kotak kenangannya. "Hubungan baik dengan keluarga Allahyarham masih diteruskan sebagaimana adanya dia. Pada setiap majlis, pasti kami mengundang isteri Allahyarham, kak Jannah (Haliza Shahdan) dan anak-anaknya. Selepas ketiadaannya juga, seorang daripada anaknya, Muhammad Ilham, 11, menonjolkan bakatnya dalam bidang seni.
"Dia mewarisi bakat Allahyarham dalam bidang nyanyian dan memiliki suara yang merdu seperti abuyanya. Meneruskan legasi Rabbani andai kata tiba masa kami terpaksa berundur dari bidang seni, kami tubuhkan kumpulan nasyid Rabbani Junior yang dianggotai anak-anak kami termasuk Ilham. "Sebagai pengenalan dan memberi pendedahan kepada Rabbani Junior, bersama dengan kumpulan Rabbani (senior), kami merakamkan semula lagu Di Pondok Kecil yang pernah dirakamkan bersama Allahyarham sewaktu zaman remaja kami. Apabila ada kesesuaian waktu kerana semuanya masih bersekolah, barulah kami tampilkan mereka dalam persembahan kami," katanya.

Rabbani Junior membuat kemunculan sulung di khalayak ramai menerusi Konsert Mahabbah Gaza Rabbani yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Julai lalu kemudian pada malam sambutan Merdeka ke-53 di Hotel Singgahsana, pada Ramadan lalu.

Rabbani yang sudah 19 tahun menghiburkan pengunjung hotel itu sepanjang Ramadan, amat berbesar hati kerana khidmat mereka masih diperlukan pihak hotel untuk memeriahkan majlis berbuka puasa di sana. Masuk saja waktu Maghrib, Asri Ubaidillah, seorang lagi anggota Rabbani akan mengalunkan azan menandakan waktu berbuka. Selepas semua sudah berbuka dan bersolat Maghrib, barulah persembahan dimulakan. Disebabkan Hari Kemerdekaan tahun ini jatuh pada bulan puasa, Rabbani mengadakan sambutannya di hotel itu. Mengalunkan lagu berunsur patriotik bagi menaikkan semangat pengunjung, atur cara tambah meriah dengan kehadiran Aishah, Imam Muda Mohd Taufek Mohd Noh dan Noor Azman Shamsudin iaitu seorang daripada sukarelawan Malaysia yang ditahan ketika menghantar bantuan makanan dan ubatan ke Palestin pada penghujung Mei lalu.

Menurut Azadan, semangat cintakan negara perlu ada dalam jiwa setiap warga negara dan mencintai serta menjaga keamanan negara memang menjadi tanggungjawab kita semua.

"Jadinya, walaupun Merdeka tahun ini disambut dalam puasa, ia tetap boleh diraikan dengan meriah dan semoga Hari Kemerdekaan negara tahun ini akan lebih diberkati kerana tarikh sambutannya jatuh pada Ramadan. Bulan paling mulia di antara segala bulan," katanya.

Awal Ramadan lalu Rabbani bekerjasama dengan TH Travel & Services Sdn Bhd menganjurkan Pakej Umrah Cinta Rasul Eksklusif Bersama Rabbani dan pada penghujung tahun ini iaitu 20 Disember hingga 1 Januari 2011 kedua-dua pihak meneruskan kerjasama itu dengan menganjurkan pakej umrah yang sama.





Menanti debaran melampau


AIDILFITRI yang lalu disambut buat pertama kalinya Fazira Wan Chek (Erra Fazira), 36, sebagai seorang ibu. Namun, ketika itu puteri kesayangan primadona filem Melayu ini, Engku Aleesya Engku Emran baru berusia enam bulan.

Masa berlalu pantas, sedar tidak sedar kini Aleesya sudah pun menginjak satu tahun lapan bulan. Bukan hanya ligat berjalan dan berlari serta semakin banyak mulut, tetapi juga ada keinginan untuk bergaya persis sang ibu yang penuh glamor.

"Saya berasa sangat teruja kerana tahun ini Aleesya sudah boleh berjalan dan ini bermakna, saya boleh menggayakan Aleesya dengan pakaian tradisional kita.

"Mungkin Aleesya tidak faham apa-apa mengenai persiapan dan sambutan Syawal, tetapi yang lucunya, dia sendiri teruja dan ketawa kegembiraan apabila baju kurung tersarung di badannya.

"Apatah lagi dilihat sedondon dengan ibunya," kata Erra diikuti tawa yang menjelaskan betapa hidupnya kini cukup bermakna sejak hadirnya insan bernama Aleesya itu.

Akui Erra, dia bertuah kerana Aleesya sangat aktif dan tidak suka duduk diam. Dia hanya berhenti sejenak jika televisyen menyiarkan kartun kesukaannya.

"Dia sangat suka 'mengemas' rumah hingga kadangkala pening juga melihat habis berterabur barang permainannya. Aleesya juga anak manja dan ringan tulang.

"Lucu melihat dia mengutip dan membuang sampah dalam bakul sampah. Jika ada air tertumpah di lantai, dia akan ambil tisu dan mengelap. Kalau tidak pun, dia akan menarik tangan saya barangkali minta saya lapkan. Hendak beritahu air tertumpah maklumlah belum pandai cakap," katanya.

Aleesya adalah lambang cinta Erra dan suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 35, yang berjawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) saluran berita, Bernama TV.

Pasangan sepadan ini mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007 dan memilih Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, sebagai tempat melangsungkan hari bersejarah itu.

Mengenai perancangan anak kedua, Erra secara ringkas berkata, perkara itu akan difikirkan selepas Aleesya berusia dua tahun kerana dia mahu anaknya itu mendapat belaian dan kasih sayang sewajarnya.

Mengenai Aidilfitri, tahun ini Erra sekeluarga menyambutnya secara sederhana kerana kesibukan menjalani proses latihan teater serta memenuhi tempahan hamper raya yang sangat menggalakkan.

"Harus saya akui kepuasan untuk menyambut lebaran tidak seperti tahun-tahun yang lalu, tetapi sekurang-kurangnya saya gembira persiapan untuk anak serta kuih-muih dapat diurus dengan sempurna," katanya beraya di Kuala Lumpur dan Terengganu.

Sepanjang Ramadan lalu, Erra juga sibuk dengan latihan menjayakan teater muzikal Tun Mahathir yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 24 September hingga 4 Oktober nanti.

Kata Erra, latihan sudah bermula sejak dua bulan lalu dan mengakui, semakin lama semakin tinggi keyakinan diri. Pun begitu, Erra pasti setinggi mana keyakinan yang ada, ketika pementasan itu tiba kelak, pasti debaran 'melampau' akan berlaku. Ini berdasarkan pengalamannya membuat teater Selendang Umi, lebih 10 tahun lalu.

Diberi penghormatan membawakan watak isteri kepada Perdana Menteri Malaysia Ke-4 itu, siapa lagi kalau bukan Tun Dr Siti Hasmah, Erra mengaku dirinya cukup bertuah kerana sempat bertentang mata serta mendapatkan beberapa tip untuk diaplikasikan dalam pementasan itu nanti.

"Masih jelas di ingatan saya, Tun Siti Hasmah berulang kali menyatakan dia seorang yang sangat ringkas dan tidak keterlaluan dalam gaya dan pemakaian. Di sini saya dapat rasakan, dia amat peka soal ketrampilan yang hendak dizahirkan di pentas.

"Antara lainnya, dia seorang yang sangat aktif bersukan, berpersatuan dan mudah berkawan dengan sesiapa saja berbanding suaminya, Tun Dr Mahathir. Percaya atau tidak, beliau juga mengakui agak tomboi pada usia mudanya. Sukar untuk kita bayangkan, tapi itulah kenyataan daripada Tun Dr Hasmah sendiri," katanya.

Sebaik selesai pementasan teater Muzikal Tun Mahathir, Erra terbabit pula dengan satu projek besar iaitu program realiti yang memerlukan komitmen yang tinggi daripadanya.

Sementara menantikan ia berakhir, bermakna kesibukan Erra akan memakan masa hingga hujung tahun. Sesudah berakhirnya program itu, Erra dikhabarkan kembali sibuk dengan pembikinan album yang menampilkan kematangannya sebagai penyanyi sama ada dari segi vokal dan konsep album.

"Kalau diikutkan, album sepatutnya sudah pun siap proses rakaman, tetapi disebabkan dari satu projek ke projek lain, album saya terus tertangguh.

"Insya-Allah, hajat di hati ingin sekali menyudahkan rakaman album. Harap-harap ia akan terlaksana selain memenuhi sasaran saya untuk melancarkan album itu pada tahun baru dengan semangat baru.

"Ramai komposer terbabit dari Malaysia dan Indonesia. Memandangkan sudah lama saya tidak melahirkan album, saya sangat berharap album ini dapat mengubati kerinduan saya menemui peminat," katanya.






Zoe Saldana dipilih pemakai pakaian terbaik

LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Aktres Zoe Saldana, yang menyumbangkan suara untuk watak makhluk asing seksi berwarna biru dalam filem tiga dimensi (3D), Avatar, menduduki senarai teratas pemakai pakaian terbaik yang dipilih oleh majalah People selain bintang drama muzikal Glee, Lea Michele dan teman wanita Putera Williams, Kate Middleton.
Turut menduduki 10 tempat teratas senarai tahunan tersebut yang tidak menurut urutan termasuk penyanyi Gwen Stefani dan Rihanna selain aktres Jennifer Aniston, Jessica Alba serta Diane Kruger.
Saldana, 32, digelar sebagai Ratu Karpet Merah oleh majalah berkenaan kerana perwatakannya yang lemah gemalai dan ceria.
Michele, 24, yang melakonkan watak Rachel Berry dalam Glee merupakan orang baru dalam senarai 2010 tersebut dan menerima pujian kerana keberaniannya menggayakan warna terang seperti merah menyala dan merah hati pada majlis karpet merah.
Kate Middleton, 28, yang merupakan teman wanita pewaris kedua takhta diraja Britain itu digelar sebagai bakal puteri dan menerima pujian kerana sentiasa tampil bergaya dan elegan.
Majalah People turut memilih beberapa detik mengecewakan dalam fesyen termasuk penampilan karpet merah oleh aktres Rita Wilson yang merupakan isteri kepada bintang legenda Hollywood, Tom Hanks dan aktres simbol seks, Sharon Stone.
Majalah berkenaan menyifatkan tragedi bunuh diri pereka fesyen Britain, Alexander McQueen, majlis perkahwinan Chelsea Clinton dan fesyen rambut idola remaja Kanada, Justin Bieber sebagai detik gaya paling diingati pada tahun ini.
Edisi Pakaian Terbaik dan Terburuk 2010 itu akan mula dijual di AS esok.





Rano rindu untuk berlakon


JAKARTA: Aktor Rano Karno yang menjawat jawatan wakil rakyat daerah Tangerang bagi tempoh 2008-2013 begitu sibuk dengan kerjaya politiknya.
Namun, pelakon sinetron Doel Anak Sekolahan itu mengakui dia amat rindu untuk berlakon.
Rano beruntung kerana memiliki syarikat penerbitan filem iaitu Karnos Film dan melalui syarikat penerbitan filemnya dia dapat menyumbangkan bakti kepada dunia lakonan.
Pelakon kelahiran Jakarta pada 8 Oktober 1960 itu mahu memastikan filem yang berkualiti dapat dihasilkan menerusi syarikat penerbitan filemnya.

“Kami baru menerbitkan satu filem iaitu Satu Jam Saja tetapi saya tidak mengarahkan filem itu. Saya hanya terbabit dalam penulisan skrip dan turut muncul dalam dua adegan. Filem terbabit dijangka ditayangkan Oktober depan,” kata Rano ketika ditemui di Jakarta Pusat, semalam.

Sekiranya Rano mempunyai masa terluang di tengah-tengah kesibukan tugasnya, dia akan menulis skrip. Jelas sekali sukar untuk Rano melupakan bidang yang sudah menaikkan namanya selama ini.

“Saya tak dapat tinggalkan terus dunia lakonan. Sama saja seperti Presiden yang tidak boleh tinggalkan nyanyiannya, saya juga begitu,” kata Rano bergurau.





Isteri kurung suami yang hilang ingatan

TAIZHOU, China - Seorang isteri terpaksa 'memenjarakan' suaminya di dalam sebuah kurungan selepas doktor-doktor enggan meneruskan pemberian ubat kepada lelaki berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki tersebut, Wu Han, 43, terpaksa dikurung selepas dia hilang ingatan dan kerap merayau dari rumah selepas terbabit dalam satu kemalangan kereta.

Sebuah hospital tempatan di sini, timur China menyekat pemberian ubat-ubatan bagi membantu lelaki itu selepas isterinya, Mingmei tiada wang untuk membayar kos ubat-ubatan.

"Sejak kemalangan itu, dia mudah menjadi bingung dan gemar marayau-rayau," kata wanita itu.

"Ubat-ubatan tersebut banyak membantu kerana ia boleh menenangkan suami saya," tambahnya.





4 mangsa rentung kereta rempuh lori


BEHRANG - Empat orang termasuk tiga beranak maut dalam keadaan rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas merempuh belakang sebuah lori membawa muatan pasir di Kilometer 394, Lebuh raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Ulu Bernam dekat sini semalam.


Dalam kemalangan pada pukul 8.05 pagi itu, mangsa-mangsa yang maut ialah pasangan suami isteri Azri Ismail, 27, dan Suzita Abu Bakar, 25, serta anak mereka, Mohd. Akmal, 1 tahun.
Turut terbunuh, Mohd. Haznizam Abd. Mutalib, 20, dari Kampung Ela, Air Hangat, Langkawi. Haznizam mengikut pasangan itu untuk ke ibu negara bekerja di pusat rawatan spa milik suami isteri itu.
Pasangan itu tinggal di Dataran Sunway, Damansara, Selangor. Sebelum kejadian mereka pulang menyambut Aidilfitri di Matang Bonggor, Air Itam, Jerlun, Kedah.


Ketua Trafik Hulu Selangor, Supritendan Mohd. Taib Songoh berkata, siasatan polis mendapati kereta Proton Persona dipandu Azri merempuh bahagian kiri belakang lori pasir yang berhenti di laluan kecemasan lebuh raya kerana mengalami kerosakan mekanikal.
"Kereta dipandu Azri gagal dikawal lalu merempuh belakang lori terbabit dan rempuhan kuat tersebut telah menyebabkan enjin kenderaan terbabit meletup lalu terbakar.





Abby tuntut hutang kahwin


Pelakon Abby Abadi menyifatkan dirinya mangsa yang teraniaya dan dianiayai selepas berkahwin dan kemudian bercerai dengan pelakon Norman Hakim yang baru melangsungkan pertunangan dengan pelakon Memey Suhaiza Suhaimi Isnin lepas.

Abby, 32, yang mengahwini Norman, 34, pada 8 Januari 2002 mendakwa bekas suaminya itu belum menjelaskan hutang wang hantaran perkahwinan mereka sebanyak RM11,111.11.

Malah Abby juga mendedahkan Norman masih ada beberapa hutang tertunggak dengannya.

"Norman memang ada beberapa hutang yang dia belum jelaskan kepada saya selain wang hantaran itu," ujar Abby ketika dihubungi semalam.




 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!