LAMA menanti, baru kini berkesempatan merakamkan gambar aktres dan model jelita, Rita Rudaini bersama suami tercinta yang juga pemain bola sepak negara, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan dua cahaya mata mereka, Airit Rayyan Rizqin, 2, dan Airit Qaqa Arjuna, 3 bulan.
Rita yang anggun dalam persalinan rona biru hitam rekaan Hasfitri Yusof, membuka bicara tiada yang lebih bermakna daripada dikelilingi insan tersayang khususnya suami dan anak-anak tatkala menyambut lebaran. Meskipun hanya bercuti sekejap, dia bahagia apabila hasrat berkumpul seisi keluarga dimakbulkan Ilahi.
Hari ini, Rita Rudaini Mokhtar akan berangkat pulang ke kampung halamannya di Perlis bersama keluarga tercinta. Biarpun tidak dapat berlama-lama di tanah tumpah kelahirannya lantaran terikat dengan komitmen karier, kepulangan itu mampu mengubat kerinduan terhadap ayah bonda dan sanak-saudara yang sudah lama tidak bersua muka.
Paling membuatkannya teruja selain menghabiskan masa bersama suami serta anak-anak di kampung, buat pertama kalinya dia serta adik-beradik akan menyinsing lengan menggantikan ayah bonda menyiapkan hidangan utama untuk rumah terbuka yang diadakan setiap hari raya pertama.
“Jadi kemestian setiap tahun ayah dan ibu akan masak nasi tomato bersama ayam masak merah atau nasi Arab untuk dihidangkan kepada tetamu. Bagaimanapun tahun ini ayah tidak sihat, jadi tugasnya akan diambil alih oleh anak-anak. Selepas berbincang dengan abang dan saudara lain, kami sepakat untuk masak nasi tomato.
Tak tahulah menjadi atau tidak kerana inilah percubaan pertama kami masak untuk 100 orang. Selain sajian utama, orang ramai yang datang beraya nanti akan dihidangkan laksa, rendang, ketupat, lemang dan kuih-muih.
“Tahun ini sambutan lebih meriah kerana semua sepupu pulang beraya di Perlis.
Bila berkumpul, pasti riuh rendah jadinya. Maklumlah sudah lama tak jumpa, pasti masing-masing ada cerita menarik untuk dikongsi. Anak sulung saya, Rayyan pun suka balik kampung sebab ada ramai sepupu yang sebayanya.
“Kalau ikutkan hati mahu bercuti lebih lama tetapi tidak boleh kerana saya dan Aidil ada komitmen. Aidil perlu jalani latihan manakala saya pula terikat dengan penggambaran drama Tangisan Bulan Madu musim kedua,” katanya sambil melirikkan senyuman bahagia.
Beralih kepada persiapan raya, jelas ibu penyayang ini keutamaan lebih diberikan kepada anak. Selepas dikurniakan zuriat, bagaikan menjadi satu kegilaan dia dan suami suka membeli pakaian untuk anak. Pantang ada yang menarik di mata, pasti segera dicapai dan dibawa ke kaunter pembayaran.
“Tahun ini saya serahkan tugas menentukan warna tema kepada suami dan dia pilih biru. Kami sudah beli beberapa pasang baju untuk Rayyan dan Arjuna termasuklah baju Melayu yang akan dipakai pada pagi raya nanti.
“Soal pemilihan baju anak-anak kami memang cerewet. Saya akan pastikan warna kena dengan kulit anak-anak dan kasut mestilah sepadan dengan baju. Kadang-kadang kami tidak sependapat dalam soal pemilihan warna, fesyen dan jenis kain tetapi itu bukanlah masalah besar kerana bila nampak cantik di badan anak, pasti masing-masing akan mengalah.
“Bab baju sendiri saya tidak kisah, pakai saja apa yang ada. Lagipun saya hanya berbaju kurung pada sebelah pagi, masuk waktu tengah hari saya akan salin kemeja-T,” katanya.
Sambil melirikkan mata ke arah Aidil yang asyik memangku Arjuna, bintang utama siri Iris, Cinta Gila, Rahsia Hati, Noktah Erna dan Pengantin Untuk Dijual ini melafazkan rasa syukur kerana dikurniakan suami penyayang, lembut tutur kata serta perlakuan dan ringan tulang.
Biarpun sibuk latihan di padang, Aidil tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa malah apabila berada di rumah, tidak kekok menguruskan anak. Baik membancuh susu, menukar lampin, memandikan atau mendodoikan anak dilakukan penuh kasih sayang.
Sikap prihatin dan timbang rasa Aidil dapat disaksikan sepanjang sesi fotografi yang berlangsung. Ketika Rita disolek jurusolek artis terkenal, Tiar Zainal, dialah yang menjaga dan menguruskan keperluan Rayyan serta Arjuna.
“Ketika mula-mula berkahwin, dia akan bantu jika kita cakap tetapi sekarang tak perlu minta tolong pun dia ringan tulang. Jika tidak ada latihan, dialah yang akan uruskan anak manakala saya pula akan memasak, membasuh dan membersihkan rumah.
“Ketika penggambaran Jangan Bunuh Matahariku musim kedua di Cameron Highlands baru-baru ini, saya pulang sekejap ke rumah. Ketika sampai saya terkejut lihat baju sudah berlipat, baju anak tersusun cantik, dapur teratur dan pinggan mangkuk tersusun rapi.
“Mula-mulanya saya ingat dia panggil orang kemas rumah, rupa-rupanya dia buat sendiri. Saya terharu apabila dia cakap tak nak saya penat buat semua kerja rumah. Satu lagi sikap terpuji Aidil, kalau tak tahu buat, dia akan minta saya ajar. Pernah dia minta saya ajar dia masak ayam seperti yang saya masak,” kata Rita.
Biarpun rumah tangga yang dibina pernah dilanda badai, Rita bahagia hidup di samping Aidil. Baginya apa yang berlaku sebelum ini adalah dugaan Allah SWT yang menjadikannya insan yang lebih tabah, matang serta kuat.
Tidak perlu dikesali atau diratapi kerana setiap dugaan pasti ada hikmahnya.
“Hidup berumah tangga pasti diuji. Perselisihan faham itu perkara biasa bagi suami isteri dan ia mengajar setiap pasangan untuk jadi lebih baik, saling menerima kelemahan dan menjadi peringatan supaya tidak mengulangi kesilapan serupa.
“Bagi saya, setiap hari pasti ada perkara baru yang kita belajar daripada perkahwinan bahkan semakin lama hubungan itu kita akan lebih memahami pasangan.
Kita jangan pandang yang molek saja sebaliknya setiap pasangan kena terima kelemahan masing-masing. Ia akan menjadikan keadaan lebih mudah.
“Dalam hubungan saya dan Aidil, dia kena tahu kesusahan saya dan saya juga perlu tahu apa kesusahan dia. Saya faham sebagai pemain bola sepak negara tekanan yang diterima bukan sedikit. Setiap hari Aidil ada latihan dan apabila pulang ke rumah dia pasti penat. Sebagai isteri, jadi tugas saya untuk redakan tekanannya dan buat apa saja yang boleh buat dia rasa lega,” katanya.
Kehadiran Arjuna melengkapi kehidupan Rita sekeluarga. Biarpun tugas yang digalas bertambah apatah lagi dia tidak menggunakan khidmat pembantu rumah, Rita sedikitpun tidak mengeluh.
Biarpun penat terpaksa terkejar-kejar menguruskan anak dan kerja rumah, bagi Rita, itu berbaloi dan sangat seronok untuk dinikmati.
“Alhamdulillah setakat ini saya tak ada masalah menguruskan anak-anak dan kerja rumah. Ketika ada pembantu rumah dulu pun, dia cuma kemas rumah saja kerana anak-anak saya jaga sendiri. Saya lebih selesa begini dan jika ada kelapangan Aidil akan bantu.
“Tidak dinafikan agak kelam-kabut bila semua perkara kita uruskan sendiri tapi itulah yang lebih mudah. Sejak ada adik, Rayyan mahukan perhatian yang lebih.
Dia jadi makin manja, makin meragam, kuat cemburu dan makin rapat dengan saya.
“Kadang-kadang kasihan pula dengan Arjuna tetapi dia seakan faham keadaan abangnya dan banyak mengalah. Dia anak yang baik, langsung tak meragam. Kalau letak depan TV, dia diam saja, sedar-sedar dah lena.
“Bagi saya anak-anak adalah segala-galanya. Merekalah cinta hati saya dan suami. Demi anak saya tidak kisah berpenat malah sentiasa berusaha berikan yang terbaik buat mereka,” kata Rita.
Tambah Rita, seperti mana kebanyakan ibu lain, dia mahu Rayyan dan Arjuna membesar depan mata bahkan sibuk di lokasi penggambaran tidak menjadi kekangan baginya melunaskan tanggungjawabnya.
Pernah ibunya menawarkan khidmat ikhlas menjaga Rayyan dan Arjuna jika dia terbabit dengan penggambaran tetapi ditolak secara baik. Bukan tidak percaya jauh sekali meragui kemampuan ibunya tetapi dia tidak betah berjauhan dengan dua anugerah paling indah dalam hidupnya itu.
“Saya tidak boleh fokus dengan kerja jika anak-anak tidak ada depan mata.
Tinggal anak sekejap pun sudah rasa sebak inikan lagi kalau berjauhan. Ke mana saja saya pergi Rayyan dan Arjna pasti ada bersama malah saya bawa mereka ke lokasi penggambaran.
“Jika tiba giliran saya beraksi depan kamera, ada rakan-rakan di lokasi akan jaga anak saya. Pengarah dan penerbit pun tak kisah kerana mereka faham tanggungjawab saya sebagai seorang ibu.
“Selepas berkahwin dan dikurniakan zuriat, rezeki saya semakin murah. Tawaran tak pernah putus bahkan drama Jangan Bunuh Matahariku baru-baru ini dan Tangisan Bulan Madu musim kedua yang akan memulakan penggambaran selepas raya ini adalah hutang saya ketika hamil.
“Produksi sanggup menangguh penggambaran semata-mata mahu tunggu saya. Pernah saya minta mereka gantikan tempat saya dengan orang lain tapi mereka berkeras mahu tunggu. Habis tempoh berpantang saya lunas janji. Kalau ikutkan ada banyak tawaran tetapi saya tolak sebab sudah berjanji jayakan dua drama itu.
“Melihat tawaran yang datang, saya mula risau andai tidak dapat tumpukan perhatian terhadap anak-anak. Justeru, saya janji dengan Aidil tidak akan kerja secara berterusan. Habis satu penggambaran saya akan berehat sebulan dan kemudian barulah kembali bekerja. Walaupun tawaran bagus, saya akan pejam mata sebab itu janji saya. Saya tak mahu kasih sayang anak berkurang. Sudahlah Aidil sibuk, jadi saya kena main peranan luangkan masa sebanyak mungkin dengan anak-anak,” katanya.
.
8 Penyokong CHELSEA:
comelkan rita nih :)
untunglah :)
semoga berbahagia Aidil dan Rita.
alhamdulillah..baguslah mcm tu..buang keegoan masing2..saling memerlukan itu jawapannya
Bagus la tu Aidil ngan Rita dah ok...tok sah gaduh2 sampai nak cerai berai...kena banyak sabar dan mengalah...
kalau slalu mcm nei kn
comel ^^,m
Terjah;
1. Saat benar kamu ingin pergi
2. Kisah cinta Lia
syoknye.....
lawanye rita even dh beranak 2
Post a Comment