Saturday, September 3, 2011

Dia memang wira yang sebenar..


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi di Somalia pada Jumaat, sebagai seorang wira Malaysia sebenar "yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana saja bantuan diperlukan".

Sambil melahirkan rasa sedih berhubung apa yang berlaku, Najib berkata: "Kita kehilangan seorang rakyat Malaysia sangat mulia dan benar-benar berdedikasi.
"Beliau bersedia mengambil risiko untuk memberikan liputan meluas mengenai misi kita membantu orang lain di banyak tempat di dunia."
Bercakap kepada BERNAMA hari ini, Najib berkata lawatannya ke Perth disingkatkan dan akan pulang ke Kuala Lumpur malam ini bagi membolehkan beliau berada di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang untuk ketibaan jenazah Noramfaizul dari Mogadishu, esok.

Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan bersama beberapa petugas media Malaysia lain yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.


P/S - Al-fatihah... Semoga seluruh ahli keluarga tabah..



.

Owh bosannya malam ni.

Hai korang. . .
Sihat tak? Ke masih sibuk beraya?
Lulu sendiri masih sibuk menghadiri rumah terbuka, ekeke rasanya berat badan sudah mula naik. Juadah tersangat sedap susah nak tolak, ngee.

Siyes malam ni memang agak bosan.
Apatah lagi, bila salah tengok jadual perlawanan. Beriya tunggu depan tv, konon nak tengok game bola, tapi takde pun. Belek lagi sekali jadual perlawanan, owh rupanya salah tengok. Minggu ni takde game. .lah. Minggu kelayakan euro. Arghh. .

Badan letih, perut kenyang, tapi mata masih tak boleh lelap. Adeh, esok rasanya takde rancangan. . Boleh lah perut rehat. Ok, esok boleh cuci keta. Ngee



P/S - Kelmarin dari hospital. . . Nanti lulu cerita eh. .





.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Semoga lekas terima jodoh..


HAKIKATNYA, tidak mudah untuk pertemukan tiga bintang popular ini. Meskipun mereka teman rapat yang sering kali meluangkan masa bersama, ia tidak semudah mengaturkan sesi fotografi seperti dulu. Ini kerana masing-masing terikat dengan komitmen dan tanggungjawab sendiri, malah lebih sukar sejak dua daripada mereka sudah bergelar ibu.
Baik Erra Fazira yang kini sibuk menguruskan puteri kesayangannya, Aleesya, ibu kepada dua hero yang kian membesar, Datin Paduka Umie Aida mahupun Zahida Rafik yang tidak lekang mengukir senyuman, masing-masing percaya pada paksi persahabatan atas landasan keikhlasan.

Lantas, undangan ke sesi rakaman program Astana bersama Anita Sarawak yang kebetulan singgah di kediaman Umie, tidak harus dilepaskan.

Rungut Zahida, dia satu-satunya bunga yang masih belum disunting. Apabila Umie dan Erra sudah berkeluarga, ia sedikit sebanyak memberikan tekanan kepadanya.
Tambahnya lagi, Erra dan Umie yang sudah dikenali lebih 10 tahun lalu begitu bertuah kepada memiliki suami yang begitu memahami dan membenarkan mereka bertiga untuk sesekali meluangkan masa melepak bersama.

 “Memang awalnya saya sedih juga terutama melihat sahabat baik menjadi isteri orang. Kemudian mulalah terfikir yang saya akan kehilangan mereka tapi selepas beberapa ketika, itu semua adalah andaian semata-mata kerana persahabatan kami masih seperti dulu. Jika ada kelapangan, kami memang akan berjumpa duduk bersembang dan minum kopi bersama.

“Setiap hari kami akan berhubung dengan menghantarkan mesej SMS bertanya khabar. Saya sendiri akan cuba mencari masa untuk datang melawat mereka di rumah lebih-lebih lagi Umie memang rajin untuk masak dan jemput kami semua datang ke rumahnya. Lantas hubungan kami masih sama yang mana Erra dan Umie adalah tempat saya bertanya pendapat atau mengadu apa juga masalah.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, kami akan mengadakan rumah terbuka seperti biasa,” katanya.

Usik Erra pula yang kini sibuk membuat persiapan untuk pementasan teater Badai Semalam selepas raya ini, baik Umie mahupun dirinya, mereka memang tidak sabar-sabar menunggu hari bahagia Zahida.

“Saya dan Umie adalah orang yang paling gembira kalau betul Zahida bertemu jodoh. Kami berdua akan paling sibuk menguruskan segala persiapan dan memastikan perkahwinannya itu sebuah majlis yang istimewa,” katanya yang menyifatkan Zahida seorang teman baik dan jujur.

Bercerita soal sambutan Aidilfitri, ketiga-tiga bintang jelita ini punya kisah berbeza.

Umie umpamanya yang kali kedua meraikan Syawal bersama suami, ahli perniagaan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan serta anak, Mohd Dzulhelmy dan Mohd Daniel Firdaus, menyifatkan kedatangan Aidilfitri sebagai peluang terbaik buat mereka sekeluarga mengejar ganjaran yang dijanjikan.

“Memang saya begitu seronok setiap kali datangnya Ramadan kerana kami sekeluarga boleh makan bersama dan kemudian berjemaah tarawih bersama. Cuma tahun ini suami saya mencuri peluang untuk menunaikan umrah selama seminggu dan saya pula terikat dengan jadual penggambaran filem Rentas.

“Persiapan beraya tiada bezanya. Anak-anak sudah besar dan persediaan raya mereka lakukan sendiri. Maklumlah anak bujang, saya hanya memberi duit dan mereka akan membeli sendiri.

“Sambutan Aidilfitri tahun ini seperti biasa kerana kami bergilir-gilir beraya bersama keluarga. Oleh kerana tahun lalu kami sekeluarga sudah menyambut hari raya pertama di rumah keluarga saya di Kuala Lumpur, lantas tahun ini kami meraikan Syawal di rumah mentua pula.
“Kalau diberi kelapangan dan rezeki atau tidak sibuk dengan jadual lakonan, saya akan mengadakan rumah terbuka macam tahun lalu di rumah kami,” kata Umie
yang menggemari juadah laksa di pagi raya.

Erra yang menyambut Syawal di kampung sebelah suaminya di Pulau Mutiara dan Terengganu pula meletak sepenuh fokus kepada puteri kesayangannya yang kini semakin membesar.
“Alhamdulillah puasa kali ini saya dapat juga meluangkan masa bersama suami dan anak walaupun masih sibuk dengan jadual penggambaran. Sekarang saya sudah tahun keempat dengan Astro dan masih banyak lagi baki komitmen dengan mereka. Kemudian selepas raya nanti saya terus ke pentas Badai Semalam di Istana Budaya sebelum mula membaca skrip bagi filem terbaru pula.
“Seperti selalu saya kongsi bersama peminat, hidup saya lebih tertumpu kepada anak selepas berkahwin. Keseronokan raya itu adalah buat Aleesya dan saya mahu memberi dia segala-galanya,” kata Erra.

Lain pula Zahida kerana sambutan Aidilfitri adalah peluang buatnya berkumpul dengan sanak-saudara yang lama tidak ketemu.

“Tahun ini kami sekeluarga beraya di rumah keluarga saya di Ampang kerana tiada siapa lagi yang tinggal di kampung. Kebiasaannya kami pulang ke Teluk Intan melawat nenek tapi nenek sendiri sudah pindah di Subang kerana sunyi selepas arwah datuk meninggal.
“Bagaimanapun, ibu saya adalah sulung kepada 13 adik-beradik. Jadi memang kali ini semua adik-beradiknya bertumpu menyambut raya pertama di rumah kami. Lagipun memang sudah menjadi tradisi yang mana kami akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya pertama,” ujarnya dengan gembira.



.

Maut Selepas Teksi Dinaiki Terbabas

Seorang pelancong warganegara Arab Saudi maut selepas teksi yang dinaiki bersama dua rakannya terbabas ketika menuruni bukit dan selekoh tajam di Kilometer 4.7 Jalan Genting Highlands - Kuala Lumpur.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Pahang, Asisten Supritendan (ASP) Zainalabidin Othman berkata dalam kejadian pada 10.30 malam itu, mangsa, Abu Bakar Abdullahi Mohamad, 17, bersama dua rakannya yang berusia lingkungan 20-an sedang dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke ibu kota.

Beliau berkata setiba di tempat kejadian, teksi yang dipandu lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit lalu terbabas sebelum merempuh penghadang jalan di sebelah kanan.
"Ekoran itu, mangsa yang duduk di bahagian hadapan tercampak keluar dari teksi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, Jumaat.

Katanya pemandu teksi terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka manakala dua rakan mangsa yang turut cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya," katanya.



.

Saida sudi terima..


Penyanyi Saida yang tinggal berasingan dengan suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri tidak menolak sekiranya suami meminta untuk beraya dengan anak-anaknya pada Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Mereka sedang melalui proses penceraian setelah Saida memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik pada 6 Oktober tahun lalu.

“Saya beraya dengan empat orang anak saya di rumah ibu saya di Kuala Lipis, Pahang pada Hari Raya ini. Tetapi saya masih membenarkan sekiranya suami mahu beraya dengan anak-anak,” katanya.
Seperti biasa, Saida berkata dia meraikan Hari Raya secara sederhana dan perasaan sedih pasti menyelubungi dirinya apabila pertama kali beraya sendirian tanpa suami.

“Sudah tentu saya rasa raya tahun ini memberikan kelainan apabila beraya secara berasingan dengan suami berbanding sebelum ini.

“Tetapi saya tidak akan menunjuk perasaan sedih itu kepada anak-anak dan cuba menggembirakan mereka,” katanya yang berpakat membelikan baju raya untuk anak-anak dengan suami.
Selain beraya dengan ibu dan adik-beradiknya yang lain, dia juga teruja menyambut Hari Raya dengan nenek sebelah ibunya yang sudah berusia hampir 90 tahun.

Saida, 35, dan Mohd Ghazali, 41, mendirikan rumah tangga di kampung halaman penyanyi itu, di Kuala Lipis, Pahang pada 14 Disember 1996 dengan berwalikan bapa kandung.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.



.

Mayat tersangkut pada batu

Sekumpulan remaja yang mengunjungi Sungai Emas, dekat Kampung Orang Asli Sungai Lembing di sini untuk berkelah terkejut setelah menemui mayat seorang wanita.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan Deputi Supritendan (DSP) Kamaruzaman Jaafar berkata kumpulan remaja berkenaan yang tiba di tempat itu pada 2 petang terlihat sesuatu seakan tubuh manusia yang tersangkut pada batu di dalam sungaiberkenaan.

"Setelah diperiksa, mereka mendapati ia merupakan mayat seorang wanita, lalu mereka mengangkatnya ke darat sebelum membuat laporan polis," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.
Katanya wanita terbabit berusia lingkungan awal 20-an ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dengan berseluar jeans bewarna biru serta T-Shirt putih, dan menurutnya polis belum dapat mengenal pasti identiti mangsa.

Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat, dan sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan kenalan atau sanak saudara supaya tampil membuat pengecaman terhadap mayat wanita itu.



.

Kanak-kanak perempuan maut di gilis bas

Seorang kanak-kanak perempuan terbunuh selepas digilis bas apabila dia terjatuh daripada motosikal yang ditunggang ibunya di kilometer 40 Jalan Teluk Intan-Sitiawan dekat Perak Tengah semalam.

Ketua Polis Trafik Negeri Superintenden Wan Abdullah Ishak, berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada jam 3.20 petang semalam, Nor Ezwin Mohd Erwan, 6 berasal dari Kampung Bakar Arang, Kota Setia, Sungai Renggam, Perak Tengah.

"Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa membonceng motosikal yang ditunggang ibunya Rodiah Abdullah, 40-an dalam perjalanan dari Sitiawan ke Teluk Intan apabila dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal lain.

Katanya, akibat kejadian itu mangsa tercampak di atas jalan dan gilis oleh sebuah bas yang datang dari arah belakang, manakala ibu mangsa terselamat.

Sementara itu, seorang wanita terbunuh selepas kereta yang dipandu suaminya terbabas dan merempuh penghadang jalan di kilometer 285.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini pada jam 3 petang semalam.

Mangsa Rohaya Darus, 41 berasal dari Taman Mulia, Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, manakala suami mangsa terselamat dalam kejadian itu.
Ketika kejadian mangsa bersama suaminya dalam perjalanan dari Utara ke Selatan apabila sebuah tayar kereta yang mereka naiki meletup lalu terbabas dan merempuh penghadang jalan.



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!