Sunday, December 11, 2011

SEGMEN | JOM TAMBAH FOLLOWER


Atas sebab-sebab yang tidak dapat lulu jelaskan, lulu terpaksa batalkan segmen sebelum ni..
So, lulu buat segmen lain.. Lulu mohon maaf untuk keterlanjuran ini yer..
Dan marilah kita buat segmen yang ringkas namun beri banyak maknanya buat seorang blogger.. kan..kan...


  1. Ambik header kat atas, letak dalam entri beserta linkkan ke entri ini, dengan tajuk "JOM TAMBAH FOLLOWER"
  2. Dalam entri tu, nak tulis apa pun boleh, paling penting, ceritalah kenapa korang join segmen ni, kan
  3. Dah siap, hantar link entri tu kat ruangan komen dalam entri ni
  4. Tarikh tutup ahad ni 11 (11.12.11) menjelang tengah malam..


Semua link peserta segmen ni akan lulu masukkan dalam satu entri melekat, bagi memudahkan semua blogger blogwalking dan tambah follower... Inilah masanya korang....wee







Jom klik ni, [KLIK SINI]  dan ni [KLIK SINI] tengah saving duit nak beli sesuatu ;)   





.

Warga emas dapat diploma


Biarpun bergerak dengan menggunakan bantuan kerusi roda ketika usia sudah pun menjangkau 70 tahun, semangat menuntut ilmu tidak pernah luntur dalam jiwa seorang warga emas, Hamidah Mohd. Salleh.
Hamidah merupakan salah seorang peserta program Persatuan Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk Warga Emas (U3A) Kuala Lumpur dan Selangor, mengikuti kursus bahasa dan muzik dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata, program yang diikuti bersama-sama suaminya, Zainal Ahmad, 75, itu memberinya peluang mendapatkan ilmu pengetahuan dan mengisi masa lapang.
"Saya gemar belajar dan tidak boleh duduk diam sahaja di rumah biarpun lumpuh separuh badan sejak 1993. Setiap ilmu yang diperoleh tidak boleh dilepaskan kerana ia memberi banyak faedah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sijil dan Hari Terbuka Program U3A di Palm Garden Hotel.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Harjeet Sigh dan Pengarah Institut Gerontologi UPM, Profesor Dr. Tengku Aizan Hamid.
Seramai 196 peserta menerima sijil masing-masing pada majlis dianjurkan oleh Institut Gerontologi, UPM itu.
Sementara itu, Zainal berkata, penyertaan dalam program tersebut memberinya peluang menambah ilmu pengetahuan dalam bidang agama Islam, bahasa Arab dan seni muzik.

"Berkongsi minat yang sama dengan isteri, menyebabkan kami tidak jemu untuk datang mempelajari kursus yang ditawarkan U3A.
"Masa yang ada tidak boleh dibiarkan begitu sahaja di rumah," kata bekas kakitangan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) itu yang sering menemani isterinya.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Institut Gerontologi UPM, Profesor Dr. Tengku Aizan Hamid berkata, pihak pengurusan tertinggi universiti akan sentiasa memberi sokongan kepada program tersebut.










.

Pokok pisang berbuah dua kali


Pokok pisang biasanya berbuah hanya sekali, tetapi apa yang berlaku di Kampung Sidorejo di Jawa Timur amat menakjubkan apabila sebatang pohon pisang berbuah sebanyak dua kali.

Kejadian ini menyebabkan orang ramai berduyun-duyun datang untuk melihat sendiri keanehan tersebut, memandangkan ini kali pertama peristiwa seperti itu berlaku di kampung tersebut.

Menurut pemilik pohon pisang itu, Arni, 47, dia menyedari kejadian aneh itu pada minggu lalu selepas dimaklumkan oleh isterinya dan pada mulanya dia sendiri tidak mempercayainya.

"Mana mungkin pisang yang telah ditebang dan membusuk berbuah lagi," katanya.

Arni berkata, sebelum kejadian aneh itu berlaku, dia ada bermimpi mengaji al-Quran selama beberapa kali, tetapi tidak menyangka akan berlaku sesuatu perkara ganjil.

Arni menegaskan bahawa dia tidak akan menjual pisang itu dan mahu makannya sendiri kerana mereka sekeluarga teringin untuk makan pisang aneh tersebut.










.

Ulat bersarang dalam kepala


Kebiasaannya kita sering melihat ulat di dalam buah yang sudah busuk atau dalam timbunan sampah.
Namun, lain pula kisah yang dialami oleh bayi berusia setahun lima bulan, Muhamad Faisal yang terpaksa menjalani beberapa pembedahan untuk membuang ulat misteri yang bersarang di dalam ubun-ubun kepalanya.

Ayahnya, Suyardi berkata, dia hanya mampu pasrah melihat keadaan anaknya yang menjalani pembedahan di Hospital Pekan Baru, Riau, Indonesia.
"Saya hanya mampu berserah ketika melihat lebih 200 ekor ulat dikeluarkan dari kepala Faisal.

"Pada mula, saya dan isteri berasa bimbang melihat ulat keluar dari kepala anak saya dan doktor mengesyaki dia mengalami penyakit busuk di bahagian ubun-ubun," katanya.
Menurut isterinya, Ngaini, anaknya itu sering jatuh sakit sejak dilahirkan dan tidak pernah minum susu ibu, menyebabkan berat bayinya menurun sehingga 5.3 kilogram.

"Setiap kali bangun tidur, saya melihat kepala Faisal berlubang dan berulat," katanya kepada Kompas.com
Pasukan pembedahan hospital berkenaan telah mengeluarkan lebih 250 ekor ulat dari kepala Faisal.

Suyardi berkata, kira-kira 200 ekor ulat dikeluarkan pada hari pertama, disusuli 20 ekor pada hari kedua dan 30 ekor pada hari ketiga.
"Setakat ini, selepas menjalani pembedahan, kepala anak saya tidak busuk lagi dan bahagian pembedahan sudah mulai kering," katanya.






.

Pesawat terhempas di Manila


Sebuah pesawat ringan empat tempat duduk terhempas di sebuah kawasan penempatan di Filipina hari ini, mencetuskan kebakaran yang membunuh 13 orang termasuk dua kanak-kanak, sementara sekurang-kurangnya 20 yang lain cedera.
Setiausaha Agung Palang Merah Kebangsaan, Gwendolyn Pang berkata, pasukan penyelamat menemui mayat-mayat yang rentung di lokasi kejadian di daerah Paranaque, berhampiran dengan lapangan terbang Manila.

"Sekurang-kurangnya 50 buah rumah turut terbakar akibat nahas itu. Ia adalah pondok-pondok yang diperbuat daripada bahan mudah terbakar," katanya.
Menurutnya lagi, mereka yang disahkan terbunuh termasuk juruterbang, pembantu juruterbang dan penghuni rumah.
Pesawat jenis Beechcraft itu dilapor berlepas dari lapangan terbang Manila beberapa minit sebelum terhempas.

Pang berkata, api terus merebak ke sebuah sekolah rendah berdekatan, tetapi keadaan agak terkawal memandangkan sekolah tersebut kosong kerana cuti hujung minggu.
Datuk Bandar Paranaque, Florencio Bernabe berkata, sekurang-kurangnya 20 orang orang yang cedera telah dibawa ke hospital.

Ketua Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina, Ramon Gutierrez pula berkata, juruterbang itu ada meminta kebenaran melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Manila sebaik saja ia berlepas.
Punca kemalangan masih belum diketahui.










.

Lelaki nyaris maut


Seorang pemuda nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya merempuh dua ekor lembu di Jalan Felda Sendayan-Seremban, dekat sini semalam.
Mangsa, Azral Mazlan, 31, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Felda Sendayan ke Seremban atas urusan kerja.

Katanya, sampai di lokasi kejadian secara tiba-tiba dua ekor lembu melintas jalan.
"Saya tidak sempat brek dan mengelak menyebabkan saya merempuh dua ekor lembu terbabit.

"Kenderaan saya hilang kawalan tetapi bernasib baik kerana tidak terbabas ke dalam longkang di tepi jalan raya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Katanya, rempuhan itu menyebabkan salah seekor daripada lembu berkenaan mati.
Menurutnya, akibat rempuhan itu keretanya tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan serius di bahagian enjin.

"Saya kesal kerana pemilik haiwan itu membiarkan ternakan mereka berkeliaran," katanya.
Dalam kejadian itu juga, seorang penunggang motosikal, Nor Azmi Mohd. Ali, 37, terjatuh selepas tidak dapat mengelak dua ekor lembu yang dilanggar kereta Azral.










.

Lemas ketika seberang sungai


Seorang pemuda ditemui mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Haiwan dekat sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 7.10 malam itu berlaku ketika Mohd. Zulhilmi Mahmood, 29, bersama seorang rakannya dipercayai cuba menyeberang sungai itu malangnya dia terjatuh dan dihanyutkan arus.

Bapa mangsa, Mahmood Jusoh, 56, berkata, kali terakhir dia berjumpa anak lelakinya itu kira-kira setengah jam sebelum kejadian ketika mangsa berada di rumahnya di Kampung Banggol Kulim di sini.
“Seorang rakan Mohd. Zulhilmi datang ke rumah memaklumkan perkara kejadian berkenaan kira-kira sejam selepas ia berlaku.










.

Dia juga tidak ketinggalan


Majlis berkhatan membabitkan 39 kanak-kanak anjuran Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) di Wisma Rozali di Shah Alam semalam menjadi istimewa apabila salah seorang daripada mereka ialah budak Cina berusia tujuh tahun.

Ng Jun Hau yang ditemani bapa, Ng Wai Hoong, 43, dan ibu, Pauline Wong, 37, tersenyum sepanjang tempoh berada dalam bilik berkhatan dengan dikendalikan oleh doktor Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Mula-mula saya rasa takut tetapi hari ini (semalam) rasa seronok," ujarnya.
Wai Hoong berkata, keluarga mereka bersetuju mengkhatankan Jun Hau kerana selama ini mereka sering bergaul bersama masyarakat Melayu dan membuatkan dia rasa teruja untuk melibatkan anak lelaki tunggalnya itu dalam majlis tersebut.

Katanya, selain faktor kebersihan, berkhatan juga sebenarnya baik untuk kesihatan.








.

Borang BR1M berharga RM50?


Di saat kesibukan orang ramai untuk memperoleh borang permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi mendapatkan RM500 yang diberikan oleh kerajaan bermula semalam, rupa-rupanya ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengaut keuntungan dengan menjual borang tersebut pada harga RM50 setiap satu.

Perbuatan itu didedahkan oleh Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman dengan berkata, selain dijual, mereka juga mengenakan bayaran bagi mengisi borang berkenaan.

“Perbuatan menjual borang BR1M tidak sepatutnya berlaku kerana ia adalah percuma,” katanya di sini semalam.










.

Gambar gerhana bulan penuh


Kira-kira 3,000 pengunjung bertumpu di Planetarium Negara untuk menyaksikan gerhana bulan penuh yang terakhir pada tahun ini bermula pukul 7.35 malam hingga 1.30 pagi.
Fenomena itu hanya dapat disaksikan semula oleh rakyat Malaysia pada 2014.

Pengarah Planetarium Negara, Azreena Ahmad; Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Mustafa Din Subari dan Timbalannya, Dr. Nordin Ahmad turut menyertai orang ramai menyaksikan fenomena itu.
Azreena ketika ditemui berkata, gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan apabila ia melintasi bayang bumi.

“Gerhana pada malam ini bermula dengan fasa penuh penumbra pada pukul 7.34 malam (waktu tempatan), tetapi kesan gerhana masih tidak dapat diperhatikan memandangkan bulan merentasi bayangan penumbra bumi yang kurang gelap.
“Gerhana jelas dapat dilihat semasa bulan memasuki bayang umbra bumi mulai pukul 8.46 malam sehingga gerhana maksimum pada pukul 10.32 malam ini.

“Bulan akan mula keluar daripada bayang umbra bumi pada pukul 10.57 malam dan keluar sepenuhnya pada pukul 12.18 tengah malam ini,” katanya.










.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!