Sunday, December 25, 2011

Jururawat dipecat tutup mulut pesakit


Dua jururawat di unit rawatan rapi sebuah hospital di Utah dipecat minggu lepas kerana menutup mulut seorang pesakit wanita dengan pita pelekat dan berjenaka mengenai kejadian itu. Pesakit tersebut, Penny Artalejo dimasukkan ke Pusat Perubatan Utah Valley di Provo pada 17 Disember lalu kerana muntah selepas mengambil ubat untuk sakit leher kronik.

Anak perempuan Artalejo, Brittany Bilson berkata, emaknya mengalami kancing gigi dan dia merintih kesakitan.

"Jururawat berkenaan menyuruh ibu saya senyap, melekatkan pita pelekat ke mulutnya dan berjenaka mereka akan dipecat jika ditangkap melakukan perbuatan itu.

"Tindakan itu tidak berperikemanusiaan. Kami mengharapkan mereka menjaga orang yang kami sayangi dan berharap perkara buruk tidak berlaku,'' ujarnya.

Artelejo berkata, dua jururawat berkenaan mengetahui perbuatan mereka itu salah dan dia juga sedar apa yang berlaku walaupun berada dalam kesakitan.

Bilson marah apabila dimaklumkan kejadian itu oleh ibunya dan terus melaporkan kepada ketua jururawat dan pihak pentadbiran pusat perubatan itu. Jurucakap pusat perubatan itu, Janet Frank berkata, siasatan penuh sedang dijalankan dan jururawat yang merupakan seorang lelaki dan seorang wanita telah dipecat Rabu lalu.








.

Krismas hambar


Berpuluh-puluh ribu orang di selatan Filipina terpaksa menyambut Hari Krismas hari ini di beberapa buah sekolah dan gimnasium yang beroperasi sebagai pusat perlindungan sementara selepas banjir kilat yang dibawa ribut tropika Washi menyebabkan 1,000 orang maut manakala 1,000 lagi masih hilang.

Ketika petugas-petugas kerajaan menemui lebih banyak mayat susulan bencana alam tersebut, seorang datuk bandar tempatan memberitahu mereka yang kehilangan tempat tinggal bahawa 'tiada sambutan Krismas' pada tahun ini.
Ketika ini, puluhan ribu mangsa terpaksa bersesak di pusat-pusat perlindungan sementara dengan berdepan kekurangan air serta bekalan asas lain.

"Tiada sambutan Krismas tahun ini," kata Datuk Bandar ini, Vicente Emano semalam ketika ditanya sama ada beliau akan menyampaikan ucapan sempena Hari Krismas seperti sebelumnya.
Washi membawa hujan lebat yang menyebabkan air sungai melimpah seterusnya mencetuskan banjir kilat yang menenggelamkan kampung-kampung di tebing sungai di bandar pelabuhan ini dan bandar Iligan Sabtu lepas.
Ribut tropika dan banjir tersebut menyebabkan sekitar 330,000 orang hilang tempat tinggal dengan 69,000 lagi tinggal di beberapa pusat perlindungan sementara.

Emano sehubungan itu berkata, para pekerja bandar ini dan anggota penyelamat akan bekerja sepanjang musim cuti Krismas untuk mencari mayat mangsa-mangsa ribut Washi selain membantu mereka yang berpindah dari kediaman masing-masing

Menurutnya, dua kubur besar telah digali bagi menanam ratusan mangsa yang terkorban dalam bencana tersebut.











.

Akhirnya aku bakal menjadi milikmu..


Teka-teki mengenai tarikh perkahwinan pasangan artis Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim terjawab apabila mereka mengumumkan bakal bernikah pada 23 Februari 2012. Yusry berkata, dia tidak berniat untuk menyorokkan tarikh perkahwinan mereka kerana perlu berbincang dengan kedua-dua belah keluarga terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pegumuman.

"Seperti yang sering saya katakan sebelum ini bila keluarga telah mengetahui mengenai perkara ini baru akan diberitahu kepada media tentang tarikh perkahwinan kami.

"Bukan ingin menyorok daripada media tetapi menghormati keluarga kedua-dua belah pihak," ujarnya.

Yusry dan Lisa membuat pengumuman itu dalam satu sidang media khas di Hotel Marriot Putrajaya di sini, Sabtu. Dalam pada itu, Yusry memberitahu pihak keluargannya juga telah pun merisik Lisa dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada Jumaat malam. Ujarnya, majlis tersebut diadakan secara ringkas dengan kehadiran keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan telah memberikan sebentuk cincin sebagai tanda.

"Bagaimanapun tidak akan ada sebarang majlis pertunangan akan diadakan kerana kami memilih untuk bernikah terus pada tarikh yang diumumkan itu," katanya.

Sementara itu, Lisa berkata, majlis akad nikah akan dilangsungkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya selepas solat Asar manakala resepsi perkahwinan dijadualkan pada 26 Februari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Lisa berkata, dia dan Yusry sepakat untuk mengadakan sebuah majlis perkahwinan yang sederhana dan tidak terlalu mewah untuk hari bahagia mereka nanti.

"Saya tidak begitu memikirkan untuk membuat majlis gilang gemilang tetapi biarlah ia sederhana kerana apa yang penting nanti adalah majlis akad nikah.

Yusry menambah, setakat ini mereka berdua masih belum memikirkan sebarang konsep untuk majlis itu nanti tetapi akan berbincang dengan Lisa dan keluarga dalam masa terdekat.

"Saya baru hantar tanda semalam dan hari ini umum tarikh pernikahan jadi kami masih belum membincangkan mengenai perancangan majlis itu nanti cuma lokasi sahaja telah ditempah," ujarnya.

Berhubung isu perkahwinan mereka akan disiarkan secara langsung di Astro, Yusry berkata, tiada sebarang perbincangan dibuat antara pihak pengurusan mereka dengan stesen berbayar tersebut. Bagaimanapun katanya, keputusan sama ada perkahwinan mereka akan disiarkan secara langsung atau tidak adalah terletak ditangannya dan Lisa tetapi tidak dapat memberi jawapan sekarang kerana masih belum ada perbincangan.

"Seperti saya katakan tadi, kami mahukan perkahwinan ini menjadi satu majlis yang sederhana dan bukannya ingin menunjuk-nunjuk.



"Bagaimanapun sebarang hak penyiaran atau tajaan akan kami fikirkan sebaik-baiknya sebelum membuat sebarang keputusan," ujarnya.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah ibu Lisa, Siti Amira Ahmad, ibu bapa Yusry, Abdul Halim dan Zarina Fenner selain abang sulungnya, Norman Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG), David Teo. Ibu Lisa ketika ditanya mengenai perkahwinan anaknya berkata, dia tidak mempunyai sebarang halangan mengenai siapa pilihan anak gadisnya itu dan membiarkannya memilih lelaki yang dirasakan sesuai untuk dijadikan suami.

"Sudah tentu saya gembira dengan perkahwinan anak saya selain menganggap Yusry adalah seorang lelaki yang baik dan saya merestui perkahwinan ini," ujarnya.

Manakala ibu yusry, Zarina berkata, Lisa adalah seorang yang mudah didekati dan gembira dengan kehadirannya dalam hidup Yusry dan mengambil berat tentangnya.

"Lisa sangat disukai oleh semua ahli keluarga saya kerana sifat ramahnya dan saya gembira dia sangat mengambil berat tentang Yusry," katanya.











.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!