Monday, February 6, 2012

Haramkan trend sambung rambut


Pakar rambut menggesa trend menyambung rambut diharamkan selepas seorang wanita maut akibat gam yang digunakan untuk melekatkan rambut berkenaan.
Pakar sains rambut dan kulit kepala, Barry Stephens berkata, bahan kimia yang digunakan untuk rambut sambungan itu boleh menjadi berbahaya jika terkena kulit.

''Kedai salon selalunya menggunakan gam lateks dan kebanyakan orang di United Kingdom mengalami alahan terhadap bahan itu.

''Jika seorang wanita itu sedang berpeluh, akan berlaku kemungkinan gam tersebut akan memasuki saluran darahnya,'' katanya.

Beliau berkata, keadaan itu akan menyebabkan reaksi alergi.
Dalam kejadian baru-baru ini, wanita yang dikenali sebagai Atasha Graham, 34, dari Lee, tenggara London yang memakai rambut sambungan sejak berusia 20 tahun maut namun keputusan siasatan ke atas kematiannya adalah kematian semula jadi.

Pakar bedah siasat, Michael Heath berkata, beliau melihat banyak kes di mana penggunaan bahan pelarut menyebabkan kejutan anaphylactic.

''Trend menyambung rambut sepatutnya diharamkan kerana ia sentiasa akan berakhir dengan tangisan,'' katanya.

Pelbagai jenis gam, lilin dan gelung besi kecil bernilai antara 300 pound (RM1,428) hingga 15,000 pound (RM71,400) digunakan untuk menyambung rambut.
Heath berkata, penggunaannya boleh menyebabkan kerosakan kosmetik.

''Ia menarik rambut dari kulit kepala yang adakalanya menyebabkan pendarahan dan risiko jangkitan kuman peringkat kedua,'' ujarnya.




P/S - Berita terdahulu..






.

Bapa, anak berkongsi pelamin


Bermula dengan perkenalan melalui anak mereka yang belajar di kolej sama, seorang pesara kerajaan, Zainal Abidin Nordin, 60, tidak menyangka akan bertemu jodoh sekali lagi bersama dengan kenalan lamanya, Noorazliza Ahmad, 50.

Tambah bermakna, pada majlis persandingan hari ini, Zainal Abidin turut berkongsi pelamin bersama anaknya, Nur Rushida, 25, yang melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya, Mohd. Firdaus Mohd. Husin, 27.
Zainal Abidin yang mempunyai lima anak dan tujuh cucu hasil perkahwinan pertamanya menyifatkan perkahwinan kali kedua ini adalah jodoh yang telah ditentukan Ilahi.

"Saya rasa hubungan kami bermula secara kebetulan kerana kami kehilangan pasangan masing-masing pada tahun yang sama dan kami berkenalan kerana usaha anak-anak yang ingin melihat kami disatukan.

"Setelah dua tahun setengah berkenalan dan yakin dia mampu menjaga saya dan anak-anak, akhirnya saya melamar dia," katanya pada majlis resepsi mereka di sini hari ini.

Menurut Zainal Abidin, dia bersyukur kerana majlis hari ini berjalan lancar dan berdoa supaya perkahwinan anaknya kekal hingga ke akhir hayat.
Sementara itu, bagi Noorazliza, sifat penyayang dan ambil berat suami terhadapnya serta anak-anak menyebabkan dia tertarik untuk mengenali lebih dekat bakal suaminya pada ketika itu.

"Kebiasaannya kami selalu berhubung melalui telefon sahaja dan suami saya yang selalu menelefon bertanya tentang keadaan saya dan anak-anak.

"Kami jarang keluar berdua kerana kebanyakan masa pertemuan kami adalah melalui aktiviti yang melibatkan anak-anak kami seperti menonton tengok wayang dan riadah," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa terdekat, pasangan mempelai warga emas itu merancang untuk berbulan madu di Padang, Indonesia.
Sementara itu, Nur Rushida yang berkerja sebagai guru Tabika Kemas di sini menganggap hari ini sebagai paling istimewa dalam hidupnya kerana berkongsi pelamin dengan bapanya.

"Perkahwinan seperti ini adalah sesuatu yang jarang berlaku dan saya merasa bertuah kerana berpeluang untuk mengadakan majlis perkahwinan yang cukup unik ini," ujarnya.

Majlis perkahwinan kedua-dua mempelai tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Ir. Muhammad Bushro Mat Johor.





.

Terbeli Blackberry tiruan

WALAUPUN pada masa kini, terdapat pelbagai sumber untuk mengetahui maklumat mengenai sesuatu barangan, namun segelintir individu di negara ini masih mengabaikan tentang perkara tersebut.

Keghairahan membeli sesuatu barangan sehingga tidak memeriksa ketulenan barang tersebut akan menyebabkan para pengguna sering tertipu dengan kata-kata manis penjual.

Sebagai pengguna, kita sepatutnya peka untuk memeriksa maklumat sesuatu barangan terlebih dahulu sebelum bersetuju dalam sebarang urusan jual beli.

Itulah kisah yang berlaku ke atas seorang suri rumah bernama Teo Choong Kiang, 40, yang membeli seunit telefon pintar jenis Blackberry di sebuah kedai telekomunikasi, baru-baru ini.

Tindakan wanita itu membeli Blackberry berharga RM941 tanpa mengetahui bahawa ia merupakan telefon bimbit tiruan menyebabkan pengguna terbabit mengalami kerugian apabila alat telekomunikasi itu rosak selepas sehari Choong Kiang menggunakannya.

Dia kemudiannya menghantar telefon bimbit tersebut ke kedai terbabit untuk dibaiki tetapi pekerja di kedai berkenaan memberitahu Choong Kiang bahawa telefon pintar terbabit akan diganti dengan telefon bimbit yang baru.

Tidak lama kemudian, telefon pintar gantian itu turut rosak semula dan wanita itu sekali lagi menghantarnya untuk dibaiki. Tatkala itu, Choong Kiang baru mengetahui bahawa Blackberry terbabit merupakan barangan tiruan selepas diberitahu oleh pekerja kedai berkenaan.

Selepas mengetahui perkara berkenaan, Choong Kiang dengan segera mengemukakan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di ibu negara bagi menuntut ganti rugi dari kedai telekomunikasi itu.

Presiden tribunal, Maznah Haron yang mendengar kes itu baru-baru ini, mengarahkan kedai telekomunikasi tersebut yang dinamakan sebagai penentang memulangkan semula wang RM941 kepada Choong Kiang dalam tempoh 14 hari.

Maznah mengeluarkan award berkenaan selepas penentang gagal hadir untuk mengemukakan pembelaan ketika kes itu didengar di hadapannya.

Sekiranya kedai itu gagal berbuat demikian, suri rumah tersebut boleh melaporkan kepada Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

Maznah turut sempat menasihatkan Choong Kiang agar memeriksa maklumat sesuatu barangan dengan bertanyakan kepada rakan-rakan atau melayari laman web terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barang.






.

Sawah diserang ulat ratus


Hampir 200 hektar daripada 275 hektar sawah padi di daerah ini terjejas akibat serangan makhluk perosak tanaman dikenali sebagai ulat ratus atau dipanggil ulat kerbau sejak sebulan lalu.
Serangan ulat berkenaan atau nama saintifiknya Spodoptera Mauritia mengakibatkan lebih 100 petani kerugian kira-kira RM150,000 apabila padi mereka patah tangkai sebelum boleh dituai.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, serangan ulat ratus kali ini berlaku secara menyeluruh apabila hampir seluruh kawasan sawah padi di daerah ini terjejas.

"Ulat ini yang datang daripada sejenis kupu-kupu cepat membiak dan dalam tempoh seminggu, ancaman boleh menjadi lebih serius.

"Biasanya seekor kupu-kupu dewasa akan bertelur sehingga 300 biji telur dan selepas menetas, ia akan bertukar menjadi larva yang makan daun dan tangkai pokok padi," katanya selepas melawat kawasan sawah padi yang terjejas akibat serangan ulat tersebut di Kampung Pulau Pisang, di sini semalam.

Menurut Mohd. Johari, serangan ulat ratus boleh dikawal dengan menggunakan racun serangga yang disyorkan manakala di kawasan sawah padi yang sudah masak, tuaian boleh dilakukan segera bagi mengelakkan diserang makhluk perosak tanaman tersebut.

Katanya, permohonan akan diajukan kepada kerajaan untuk membantu pesawah yang terjejas akibat serangan makhluk perosak tanaman itu.

"Saya akan meminta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) membuat laporan untuk dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara bagi memohon bantuan dalam meringankan beban pesawah terlibat," katanya.

Dalam pada itu, seorang pesawah dari Kampung Pulau Pisang, Abdul Ghani Saad, 67, berkata, dia menganggarkan kerugian kira-kira RM4,000 selepas hampir 3.74 hektar sawah padi yang diusahakannya diserang ulat ratus.

"Saya sudah menyiram racun di kawasan sawah padi yang terjejas tetapi ulat-ulat ini terus membiak sehingga banyak tangkai pokok padi gugur selepas ia dimakan haiwan ini," katanya.





.

Bersanding di pasar awam


Kebiasaannya majlis persandingan diadakan di rumah mahupun hotel, namun berbeza buat Erryzuan Topah, 34, dan pasangannya, Nurul Jannah Abdullah, 22, yang bersanding di Pasar Awam Larkin di sini hari ini.
Menurut Nurul Jannah, cadangan mengadakan majlis persandingan di pasar berkenaan disuarakan oleh bapanya, Abdullah Idris, 50, yang merupakan peniaga ayam di pasar tersebut sejak 30 tahun lalu.

"Pada mulanya kami agak terkejut apabila bapa menyuarakan hasrat untuk mengadakan majlis persandingan di pasar.

"Tetapi apabila kami fikirkan, ia agak menarik kerana rasanya tidak pernah majlis persandingan diadakan di pasar dan mungkin kami pasangan yang pertama melakukannya," katanya.

Erryzuan dan Nurul Jannah mengikat tali pertunangan pada Disember lalu setelah mengenali hati budi masing-masing selama beberapa tahun.

Sementara itu, Abdullah berkata, anaknya itu diijabkabulkan di rumahnya di Taman Skudai Kanan di sini pukul 9 pagi sebelum majlis persandingan diadakan di pasar berkenaan.
Katanya, kira-kira 1,500 tetamu datang ke majlis persandingan anak keduanya itu termasuk para peniaga di pasar tersebut.





.

Muar diisytihar Bandar Diraja


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mengisytiharkan bandar Muar sebagai Bandar Diraja selepas sekian lama dikenali sebagai Bandar Maharani.
Pengisytiharan tersebut dibuat baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat negeri 1433 Hijrah di Masjid Sultan Ibrahim.

Baginda berharap dengan pengisytiharan tersebut, daerah ini akan menjadi bandar contoh bagi negeri ini termasuk dari segi kebersihan yang ketika ini kurang memuaskan.

"Setiap kali saya datang ke Muar, masalah yang dilihat adalah tahap kebersihan. Bandar Muar adalah bandar utama di Johor. Pembangunannya tidak pesat sehingga ada yang menggelar bandar ini sebagai bandar pencen.

"Muar sesuai untuk golongan yang mahu kedamaian dan ketenteraman. Oleh itu, saya mahu Muar menjadi bandar contoh sebagai bandar bersih dan damai. Dengan ini, sukacita saya isytiharkan bandar Muar sebagai Bandar Diraja," titah baginda.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Mufti Johor, Datuk Mohamad Tahrir Samsuddin.

Sultan Ibrahim bertitah, tanggungjawab menjaga kebersihan daerah ini tidak seharusnya diletakkan di bahu pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja tetapi penduduk juga perlu turut memainkan peranan mereka.

"Penduduk Muar juga harus memberi kerjasama untuk menjaga kebersihan bandar Muar. Jangan hanya serah tanggungjawab itu kepada kerajaan atau pihak majlis.

"Hari ini selepas majlis ini kita dapat nilai sendiri adakah masyarakat Muar benar-benar mengamalkan kebersihan. Adakah kita akan lihat sampah sarap, kita tunggu dan lihat," titah baginda.

Terdahulu, baginda diiringi Abdul Ghani mengetuai perarakan sambutan Maulidur Rasul yang disertai 1,500 kakitangan agensi kerajaan di seluruh negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada 80 kontijen.

Perarakan mulai pukul 7 pagi itu bermula dari Jalan Ibrahim sehingga ke masjid berkenaan sejauh kira-kira 2.5 kilometer.




P/S - Tahniah Muar..





.

Tak cam mayat anak saudara


Seorang pegawai polis tidak menyangka mayat ditunjukkan kepadanya oleh seorang lelaki di dalam sebuah longkang di bawah jejambat di Bulatan Batu Caves semalam, adalah anak saudaranya, juga anggota pasukan itu yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 1 Februari lalu.

Pegawai berpangkat Inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam itu yang hanya ingin dikenali sebagai Jaya berkata, beliau melalui jalan tersebut dengan menunggang motosikal pada pukul 7.15 petang sebelum ditahan seorang lelaki yang mendakwa menemui mayat lelaki.

Katanya, ketika itu beliau berpakaian preman dan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

"Saya lalu berhenti di tepi jalan dan bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati terdapat mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian dalam keadaan tertiarap.

"Selepas menghubungi bilik gerakan, saya pun menunggu kehadiran mereka di sekitar kawasan itu tanpa mengenal pasti identiti mayat itu dengan lebih dekat.

"Namun, melihat saiz tubuhnya yang agak besar disebabkan kembung serta bengkak dan lebam, saya menyangka mayat itu berusia 30-an," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Tambahnya, sangkaannya meleset apabila anggota polis yang datang membuat pemeriksaan memaklumkan kemungkinan mangsa berusia 20-an.

"Apabila dimaklumkan tentang umur mangsa, saya pun menjenguk semula mayat itu sambil firasat saya mengatakan kemungkinan ia adalah anak saudara saya yang telah dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu.

"Saya pun menghubungi bapa mangsa bagi mengetahui pakaian anak saudara saya ketika kali terakhir ditemui. Saya terkejut apabila baju dan seluar mangsa benar-benar menyerupai pakaian mayat itu," ujarnya.

Selepas identiti mangsa itu disahkan oleh Unit Forensik yang membuat pemeriksaan, mayat kemudian dibawa ke HKL untuk bedah siasat.


Semalam, mayat mangsa seorang anggota dari Bahagian Risikan (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ditemui mati dipercayai dibunuh di bawah jejambat Bulatan Batu Caves.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai V. Divendran itu telah bertugas selama tiga tahun sebagai konstabel.

Sementara itu, bapa mangsa, Veeramogan M. James, 55, ketika ditemui di HKL berkata, kehilangan anaknya tersebut disedari selepas telefon bimbitnya gagal dihubungi.

Katanya, dia yang menghubungi pejabat mangsa namun terkejut apabila dimaklumkan mangsa yang berulang-alik menaiki bas dari Pudu tidak datang bekerja.

"Kali terakhir saya melihat mangsa pada Rabu lalu ketika dia memaklumkan hendak keluar bersama tiga rakannya pada pukul 7.30 petang.

"Mangsa hanya maklumkan hendak keluar sebab mahu melihat kedai yang ingin disewa untuk perniagaan gunting rambut sempena sambutan Thaipusam," katanya yang turut memaklumkan hari ini sepatutnya adalah hari merisik teman wanita mangsa sebelum bertunang pada Jun nanti.

Dia turut menyifatkan mangsa sebagai anak yang baik hati dan tidak bergaul dengan mana-mana individu jahat.

"Mangsa juga tidak pernah menceritakan tentang kerja yang dilakukan atau sebarang masalah yang dihadapi," ujarnya.





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!