Sunday, October 14, 2012

Fenomena hujan ais melanda penduduk


Bandar Pontianak dan daerah Kubu Raya di sini baru-baru ini, digemparkan dengan fenomena hujan ais berserta angin kencang. Menurut seorang penduduk tempatan, Dewi, fenomena yang berlaku pada waktu petang itu merupakan kejadian pertama yang melanda bandar ini. "Pada mulanya, saya menyangka ada orang membaling batu ke arah saya. Namun apabila diteliti, batu tersebut adalah ais dan jumlahnya semakin banyak. "Ais yang turun berserta hujan lebat itu berukuran seperti batu kerikil," katanya kepada Metrovnews.com. Seorang lagi penduduk, Erwin Harahap berkata, dia ditimpa hujan ais ketika sedang membaiki radio di belakang rumahnya.

"Rasanya sakit seperti terkena batu," ujarnya. Pegawai Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Pontianak, Sutikno berkata, fenomena tersebut berlaku disebabkan proses kondensasi di atmosfera melalui lapisan sejuk di atas paras beku. "Ais akan terbentuk dalam ukuran yang besar, namun saat turun bersama hujan, saiz ais akan berubah menjadi kecil disebabkan perubahan suhu. "Hujan ais ini akan berlanjutan selama beberapa hari. Oleh itu, penduduk perlu berhati-hati agar tidak terkena ketulan ais," katanya. - AGENSI






.

Misteri sesuatu yang gergasi kini terungkap..


Misteri kemunculan seekor labi-labi gergasi yang sering dilihat penduduk Kampung Pucangarum di sini akhirnya terjawab selepas haiwan itu ditangkap ketika cuba menyeberangi Sungai Bengawan Solo. Malah beberapa penduduk tempatan terpaksa bekerja keras untuk menangkap labi-labi seberat kira-kira 100 kilogram tersebut dan membawanya ke darat sebelum dipamerkan kepada orang ramai. Menurut seorang penduduk kampung, Darun, labi-labi gergasi berwarna perang itu mempunyai ukuran panjang 1.4 meter dan lebar 93 sentimeter. Katanya, haiwan amfibia itu dipercayai berusia beratus-ratus tahun berdasarkan warna kulitnya.

"Pada mulanya, kami hanya melihat kepalanya dan penduduk kampung tidak berani untuk menangkapnya," katanya kepada beritatajim.com. Darun bersama empat rakannya, Wito, Sarijan, Purdi dan Kusni terpaksa memanggil lebih ramai penduduk untuk membantu mereka menangkap labi-labi tersebut sebelum membawanya ke darat. Malah semasa mengangkat labi-labi itu keluar dari air, seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Kasan mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat digigit haiwan itu. Beberapa penduduk kampung mendakwa, mereka sering melihat labi-labi gergasi itu sebelum ini, namun hanya untuk tempoh yang singkat. - AGENSI






.

Kata penduduk, batu itu memang menyerupai...


Sebiji bongkah batu di dalam sebuah kolam yang telah kering di Kampung Pananjung dekat sini didapati menyerupai wajah seorang bayi. Malah, batu itu dilihat boleh berubah-ubah dalam lingkungan jarak dua meter. Dadan Supriatna, pengunjung dari Cimahi, Bandung berkata, jika diperhatikan, batu menyerupai wajah bayi itu mampu menunjukkan sama ada ekspresi sedih atau ceria. ''Beberapa kali saya mengambil gambarnya, batu itu berubah-ubah sama ada menunjukkan wajah bayi yang sedang kesedihan atau ceria,'' katanya kepada detikNews.

Menurut penduduk setempat, Ny. Atin, 35, terdapat beberapa lagi bongkah batu di dalam kolam yang telah kering itu. ''Rumah saya hanya 50 meter dari kolam itu. Jadi, saya dapat melihat dengan jelas batu itu menyerupai wajah seorang bayi,'' katanya. Bagaimanapun, penduduk dari sekitar Garut menganggap fenomena itu sebagai perkara biasa. Namun, perasaan ingin tahu telah membuatkan kawasan itu mula dikunjungi ramai orang. - AGENSI





.

Siapakah individu terkaya di China?


Jutawan air minuman, Zong Qinghou, merampas kembali kedudukan individu terkaya China, tahun ini dengan jumlah kekayaan AS$10 bilion (RM30.6 bilion), lapor majalah Forbes hari ini. Menurut senarai 400 individu terkaya China 2012 yang dikeluarkan oleh majalah itu, Qinghou yang merupakan pengeluar air minuman jenama Wahaha, mengembalikan kedudukan sebagai orang paling kaya tahun ini, selepas gagal tahun lalu. Senarai sama yang dikeluarkan oleh agensi berita China, Hurun bulan lalu turut mengumumkan beliau sebagai individu terkaya.

Usahawan pembinaan Liang Wengen, yang dinobatkan sebagai terkaya tahun lalu, jatuh ke tempat keenam senarai, selepas kekayaan miliknya menurun sebanyak 37 peratus kepada AS$5.9 bilion (RM18.1 bilion). Menurut Forbes, senarai jutawan di negara ini menurun kepada 113 orang berbanding 146 orang pada tahun lalu.

Robin Li, pengasas bersama enjin carian terkemuka China, Baidu, berada di tempat kedua dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$8.1 bilion (RM24.8 bilion) dan pemaju hartanah Wanda, Wang Jianlin, pula berada di tempat ketiga dengan kekayaan sebanyak AS$8 bilion (RM24.5 bilion). Pengusaha hartanah terkenal, Wu Yajun dinamakan wanita paling kaya dengan kekayaan sebanyak AS$6.2 bilion (19.1 bilion), meningkat lima peratus berbanding tahun lalu. -ATP





.

Alahai mewahnya...


Pembuat peti sejuk dari Itali, Meneghini menghasilkan sebuah peti sejuk serbaguna moden yang mempunyai ciri-ciri sebuah dapur lengkap. Peti sejuk tiga pintu itu dinamakan sebagai La Cambusa yang mampu menempatkan pembancuh kopi, tempat simpanan makanan yang mempunyai pengawal suhu dan pembuat ais. Malah, sebuah televisyen juga boleh diletakkan dalam satu ruangan khas. Peti sejuk yang kelihatan seperti perabot antik itu berukuran 2.5 meter lebar dengan berat 499 kilogram serta mempunyai ruang simpanan sehingga 754 liter.


La Cambusa dijual pada harga sehingga AS$41,500 (RM127,312) dan disasarkan untuk dijual kepada golongan mewah. Bagaimanapun, peti sejuk itu masih boleh ditempah mengikut keperluan pembeli. Mereka perlu membayar sejumlah AS$26,000 (RM79,761) untuk bingkai peti sejuk yang diperbuat daripada kayu dan ia boleh dicat mengikut lebih 500 warna. Pembeli kemudiannya perlu membayar sama ada untuk peti sejuk, tempat penyimpanan gelas dan perkakas lain mengikut kemahuan mereka. - AGENSI







.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!