Wednesday, January 2, 2013

Terkini : Tiada had harga pembelian telefon pintar menggunakan rebat RM200


Jemaah Menteri telah bersetuju supaya belia berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan RM3,000 ke bawah boleh membeli apa jua jenis telefon pintar dengan rebat RM200 yang diumumkan kerajaan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan di sini memaklumkan, perkara itu diumumkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementerian tersebut hari ini. - BERNAMA





.

Ayam selamatkan mereka daripada rumah yang terbakar


Sebuah keluarga di Kota Alama, Amerika Syarikat, terhutang budi pada seekor ayam. Ini adalah kerana, ayam bernama Cluck Cluck itu berkokok sehingga mereka berjaya selamat dari kebakaran yang terjadi di rumah pada pukul 6 pagi waktu tempatan. Dennis Murawska mengaku ketika kejadian dia terbangun setengah sedar namun tidak menyedari ada api di dalam rumahnya. Rupanya alarm kebakaran yang dipasang di rumah rosak sehingga tidak berbunyi ketika api mula merebak. Namun oleh kerana Cluck Cluck terus berkokok di kandangnya dengan kuat, akhirnya membuatkan mereka benar-benar bangun. Setelah terbangun, Dennis dan isterinya, Susan Cotey, memanggil bomba. Nasib baik, Cluck Cluck ditemui selamat di dalam kandangnya di tingkat bawah walaupun kucing mereka mati.

Susan mengakui ayamnya itu memang sering berkokok dengan kuat ketika merasa tertarik dengan sesuatu. "Kami sering mendengar seekor anjing atau kucing memperingatkan tuan mereka dari bahaya," ujar petugas bomba. "Namun saya tidak pernah dengar sebelum ini seekor ayam melakukan aksi seperti itu." Ayam betina itu didapatkan Dennis Murawska dan isterinya dari jiran kerana sudah tidak bertelur lagi. Jiran mereka menyarankan mereka masak ayam itu. Namun mereka memilih memeliharanya kerana kasihan melihat ayam itu memiliki kecacatan pada kaki yang membuatnya sukar berjalan. -USnews








.

'Rumah hijau' bersaiz bangunan pencakar langit di tengah-tengah bandar


Syarikat-syarikat pertanian di Britain merancang untuk membina 'rumah hijau' bersaiz bangunan pencakar langit di tengah-tengah bandar bagi memenuhi peningkatan permintaan hasil tanaman. Satu daripada syarikat berkenaan, Birds Eye dilapor sedang melakukan kajian untuk membina bangunan beratus-ratus tingkat yang mampu menempatkan tanaman, dalam usaha mewujudkan projek penanaman yang lebih ekonomi, berdaya tahan dan memenuhi keperluan pasaran. Rumah hijau itu akan menggunakan sistem penyaluran makanan berinovasi yang menyaksikan air khas yang kaya dengan mineral menjadi medium utama penanaman dan menyebabkan tanah tidak diperlukan.

Disebabkan cuaca di dalam bangunan itu boleh dikawal, hasil tanaman dijangka dapat ditingkatkan kerana penanaman boleh dilakukan sepanjang tahun selain mengelak penggunaan racun serangga. Birds Eye kini melihat kejayaan sistem hidroponik Verticrop yang digunakan di Zoo Paignton di Devon bagi menghasilkan sayur-sayuran murah untuk haiwan di sana. Birds Eye juga mengadakan rundingan dengan firma teknologi, Alterrus yang menghasilkan teknologi hidroponik untuk meningkatkan skala sistem tersebut. Di Linkoping, Sweden, sebuah struktur setinggi 54 meter kini dibina oleh firma pertanian, Plantagon. Bangunan tersebut dijangka menghasilkan pelbagai sayur-sayuran hijau termasuk daun salad dan bayam menjelang 2014. - AGENSI






.

Filem baru ini mencatat kutipan tertinggi dalam 40 hari


Filem terbaru James Bond, Skyfall, muncul sebagai filem pertama yang berjaya mengumpul lebih 100 juta pound (RM429 juta) dalam sejarah box-office filem Britain. Filem ke-23 James Bond itu berjaya melepasi jumlah 100 juta pound (RM429 juta) apabila berjaya memperolehi jualan tiket sebanyak 162 juta pound (RM798 juta). Kejayaan itu dicapai selepas Skyfall muncul sebagai filem yang memperoleh pendapatan tertinggi di Britain awal bulan lalu, apabila mengalahkan filem fiksyen Avatar yang mengumpul jumlah sebanyak 94 juta pound (RM 463 juta).

Skyfall mencatat rekod itu hanya dalam tempoh 40 hari tayangan berbanding filem Avatar yang mengambil masa 11 bulan. Filem yang dibintangi Daniel Craig sebagai ejen 007 untuk kali ketiga berturut-turut itu, masih lagi ditayangkan selepas dua bulan tayangan di Britain. Filem tersebut menyaksikan Bond terpaksa bertarung dengan watak penjahat Raoul Silva yang dibintangi oleh Javier Bardem yang ingin membalas dendam terhadap bekas majikannya, M, lakonan Judi Dench. - AFP







.

Ikan hidup dalam paru-paru kanak-kanak berusia 12 tahun..


Seorang kanak-kanak di India menelan ikan hidup sepanjang 9 cm, ketika sedang bermain di tepi sungai. Uniknya ikan tersebut masih hidup di dalam paru-paru anak tersebut, sehingga doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk mengeluarkannya. Menurut laporan The Times of India, menelan ikan hidup-hidup sebenarnya merupakan kegiatan umum anak-anak yang tinggal di tepi sungai. Namun dalam kes ini, ikan yang tertelan memasuki saluran paru-paru bukan saluran untuk saluran makanan. Kanak-kanak 12 tahun tersebut, terus mengalami sesak nafas. Tingkat oksigennya menurun drastik.

Kanak-kanak tersebut kemudian dibawa ke hospital terdekat. Dia segera di X-Ray. Dari laporan, salah satu bahagian paru-paru tidak dapat dilihat kerana adanya benda asing. Setelah doktor melakukan pembedahan bronkoskopi, mereka mendapati ikan masih dalam keadaan hidup. Ikan tersebut bernafas di dalam paru-paru kanak-kanak itu. Doktor melakukan pembedahan kecemasan untuk mengeluarkan ikan dari paru-paru. Mereka mengakui bahawa ini adalah kes pertama dalam beberapa abad. -The Times






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!