Tuesday, June 18, 2013

Awas buat kanak-kanak yang suka buat mimik comel


Mimik muka comel, gaya manja yang dibuat kanak-kanak ketika bergambar dan dimuat turun ke dalam laman sosial Facebook dan sebagainya boleh mengundang jenayah fidofilia, menurut Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor. Beliau berkata senario kini menyaksikan ramai kanak-kanak yang berusia 13 tahun ke bawah, terutama di bangku sekolah rendah memiliki akaun Facebook sendiri, dan gemar memuat turun gambar mereka dalam pelbagai aksi dan gaya tanpa menyedari mereka mungkin diperhatikan golongan fidofilia. Penghidap fidofilia merujuk kepada mereka yang mempunyai masalah psikologi serta kecenderungan melakukan jenayah seks terhadap kanak-kanak dan golongan ini biasanya bertindak kejam terhadap mangsa bagi mencapai kepuasan.

"Bukan setakat tubuh kanak-kanak, kadang-kadang mimik muka, gaya bibir, gaya lihat kamera juga boleh menjadi perbuatan yang merangsang golongan fidofilia ini. "Dan bukan hanya kanak-kanak perempuan, malahan kanak-kanak lelaki yang bermuka comel dan 'jambu' juga terdedah kepada ancaman mereka," katanya kepada Bernama. Bagaimanapun menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Polis Diraja Malaysia Asisten Komisioner Hamidah Yunos, sehingga kini di Malaysia belum ada sebarang kes fidofilia yang direkod meskipun ada beberapa kes rogol dan bunuh membabitkan kanak-kanak dilaporkan. "Pesakit fidofilia dikategorikan apabila mereka melakukan perbuatan merogol kanak-kanak lebih daripada beberapa kali.

Kalau hanya satu kali ia tidak dikategori sebagai fidofilia," katanya. Dr Mariani berkata kebanyakan kanak-kanak kini dilihat berlumba-lumba dalam kalangan rakan sebaya untuk mencari populariti diri dengan memuat turun banyak gambar untuk mendapat 'like' paling tinggi. "Mereka (kanak-kanak lelaki dan perempuan ini) hendak popularkan diri sendiri di Facebook. Malah di laman YouTube juga mereka berlumba-lumba memuat turun gambar dan video untuk mendapat hits tertinggi, sedangkan hasil yang mereka perolehi bukan sekadar populariti namun menjejaskan keselamatan diri," katanya. Beliau berkata ancaman golongan fidofilia ini sentiasa ada apatah lagi dalam dunia teknologi maklumat tanpa sempadan yang membolehkan golongan itu mencari mangsa hanya melalui internet.

Katanya ruang yang sentiasa terbuka kepada golongan fidofilia itu perlu diatasi dengan pemantauan berterusan ibu bapa terhadap kanak-kanak bukan sahaja ketika berada di luar, tetapi juga di rumah ketika kanak-kanak menggunakan laman sosial dan internet. Sementara itu Ketua Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sheikh Raffie Abd Rahman berkata penggunaan internet terutama laman sosial Facebook sebenarnya dihadkan penggunaannya kepada remaja berusia 14 tahun ke atas. Bagaimanapun katanya sistem akses Facebook yang mudah menyebabkan ramai kanak-kanak dapat memalsukan umur mereka untuk mendapatkan akses menggunakan laman sosial terbesar itu.

"Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa, mereka perlu memantau anak-anak mereka, terutama dalam penggunaan laman sosial. "Pastikan mengikut syarat, anak-anak yang berusia bawah 14 tahun tidak menggunakan laman sosial, pastikan juga mereka tidak berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali di alam maya," katanya. Beliau berkata SKMM sentiasa berusaha melaksanakan program kesedaran dan pendidikan mengenai keselamatan penggunaan internet untuk membendung penyalahgunaan Internet yang seterusnya mengundang pelbagai ancaman termasuk jenayah fidofilia. - Bernama





.

Remaja Penggal Kepala Bapa Setelah Tidak Tahan Dirogol Berkali-Kali



Seorang remaja perempuan Papua New Guinea (PNG), memenggal kepala bapanya sendiri setelah dia tidak tahan menjadi mangsa rogol. Menurut akhbar The Post-Courier, masyarakat setempat kini mempertahankan remaja perempuan berusia 18 tahun itu dengan alasan mangsa memang wajar menerima pembalasan akibat perbuatannya sendiri. Akhbar itu melaporkan, mangsa yang berusia pertengahan 40-an mempunyai tiga lagi anak dan dia mengambil kesempatan merogol anak perempuannya sendiri apabila ibu mereka tidak ada di rumah kerana berkunjung ke rumah saudara.

Seorang paderi tempatan, Lucas Kumi mengesahkan kejadian rogol itu dan juga kes pembunuhan tersebut. Menurut paderi tersebut, bapa remaja perempuan itu mahu merogol anaknya sekali lagi pada waktu pagi dan ketika itulah dia bertindak berani memotong kepala bapanya menggunakan parang.

Kini paderi berkenaan dan para pemimpin masyarakat enggan menyerahkan remaja perempuan tersebut kepada polis. "Kami semua telah pergi melihat mayat bapa mangsa di rumahnya dan kami semua percaya dengan ceritanya. Dia telah melakukan apa yang perlu dilakukan untuk mempertahankan dirinya daripada terus menjadi mangsa rogol bapa kandungnya sendiri...sebab itulah kami mempertahankan tindakannya itu," ujar Paderi Kumi lagi. -AP





.

Umpama hidup dalam fantasi, dia akhirnya menemui anak yang hilang lama dulu



SETELAH lebih empat dekad terpisah dengan anaknya, seorang ibu, Marie-Jose E berjaya menemui anak lelakinya selepas ujian DNA mengesahkan mereka mempunyai pertalian darah. “Saya hidup dalam fantasi. Ia sangat menakjubkan. Saya berasa sangat gembira. “Apabila saya bangun dari tidur, saya beritahu diri sendiri bahawa dia (anak) ada di sana, dia wujud...kemudian, saya takut kehilangan dia,” katanya dengan penuh emosi dalam satu temubual melalui telefon dengan AFP. Marie-Jose yang kini bekerja sebagai guru berkongsi kisah di sebalik kehilangan anak lelakinya itu. Menurutnya, ayahnya berbangsa Sepanyol merupakan seorang yang sangat tegas dan apabila mendapati Marie hamil pada usia 22 tahun tanpa berkahwin, Marie dibawa ke Santo Celo. Marie-Jose kemudiannya melahirkan anak lelaki pada 12 Julai 1969 di situ.

Ayahnya berjanji bahawa dia akan dapat menjaga anaknya itu dan bayi baru lahir itu diserahkan kepada rahib wanita di situ oleh ayahnya tanpa persetujuan Marie-Jose. “Ia merupakan mimpi ngeri. Saya tak bercakap dengan ayah selepas itu,” katanya. Ibunya meninggal tiga tahun selepas anaknya diambil akibat barah dan ayahnya pula meninggal dua tahun kemudian. Marie-Jose dan anaknya salah satu daripada ribuan keluarga yang menjadi mangsa kepada skandal pencurian bayi di Sepanyol.

Marie-Jose yang berkahwin dan mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia 30 tahun tidak pernah berputus asa mencari anak lelaki sulungnya itu. Sementara, anak lelakinya itu pula menyedari dirinya adalah anak angkat pada usia 14 tahun. “Tapi, mereka memberitahu dia, ibu bapa kandungnya meninggal dalam kemalangan jalan raya,” kata Marie-Jose. Anak lelaki Marie-Jose menghubungi persatuan yang berkaitan di Valencia dan padanan antara dia dan Marie-Jose begitu cepat, ditambah dengan ujian DNA yang mengesahkan pertalian darah antara mereka.

“Sejak itu, kami berhubung melalui telefon setiap hari. Dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan tahun. Saya sudah menjadi nenek sekarang. "Cucu saya memanggil saya yaya (nenek) di telefon. Ia sangat menggembirakan saya,” katanya yang merancang untuk bertemu si anak pada Jumaat ini dan menyambut hari lahir si anak pada 12 Julai ini. -AP





.

Lelaki ini selamat walaupun jatuh dari tingkat 15


Seorang lelaki berasal dari England, Tom Stilwell, selamat meskipun jatuh dari tingkat 15 bangunan apartmen di New Zealand. Media New Zealand melaporkan Tom Stilwell jatuh dari balkoni rumah jiran di bangunan Volt Apartments yang juga tempat dia tinggal di Auckland. Polis tempatan mengatakan Stilwell berusaha turun ke balkoni apartmennya sendiri yang terletak di bawah apartmen jirannya ketika dia jatuh. "Lelaki itu terkunci di luar apartmennya di tingkat 14. Dia jatuh ketika berusaha turun melalui balkoni dari apartmen tingkat 15 yang berada di atas apartmennya sebagai usaha untuk masuk melalui balkoni," kata pihak polis.


Tertawa 

Meskipun jatuh dari ketinggian itu, dia dikatakan "baik-baik saja" dan "sangat bernasib baik". Menurut teman-temannya, Tom Stilwel mengalami patah tulang dan luka dalam. "Dia kelihatan baik-baik saja," kata salah seorang temannya, Beth Goodwin kepada Fairfax Media. "Dia mengalami patah tulang rusuk dan leher tetapi tulang-tulang itu tidak penting," tambahnya. Beberapa temannya mengatakan Tom Stilwell sedar keesokkan harinya dan tertawa, tetapi tidak ingat apa yang telah terjadi. -AP






.

Kanak-kanak 8 tahun ini akan buat orang terpegun


Kanak-kanak perempuan ini akan membuatkan orang terpegun. Bukan kerana kecantikan atau bakatnya, tapi rambutnya. Meskipun usianya masih kecil, tapi panjang rambutnya sudah mengalahkan tinggi tubuhnya. Kerana kelebihan itulah yang menjadikan Bohdana Stotska jadi terkenal. Dia adalah kanak-kanak dengan rambut sepanjang 91.4 cm. Menariknya, kanak-kanak lapan tahun ini berinisiatif sendiri memanjangkan rambutnya kerana terinspirasi dari sebuah dongeng.

”Aku mula memelihara rambut sejak usia empat tahun,” katanya. Kerana panjangnya rambut, Stostka mesti meluangkan waktu lebih dari dua jam untuk mengurusnya. Bahkan ibunya, Olga Stostka, turut meluangkan masa selama 90 minit untuk menyikat rambut anaknya. Cuma yang paling menyusahkan adalah ketika mencucinya. Tiap 10 hari sekali, Olga mesti membantu Stotska mencuci rambut dan memberikan perapi agar rambutnya tetap kuat.

Dia mengakui tak pernah memberikan cairan kimia agar rambut anaknya tumbuh semulajadi dan indah. Mereka yang berasal dari Ukraine ini menjadi terkenal di London. Stotska popular di sekolahnya kerana kelebihan rambutnya itu. ”Mungkin tinggi anak saya tumbuh satu sentimeter tiap bulan, tapi rambutnya tumbuh lebih cepat,” katanya. -AP






.

Misteri kewujudan seorang gadis bergaun merah di Turki



DI kala Turki sedang menjadi tumpuan dunia, masyarakat antarabangsa heboh memperkatakan tentang kemunculan seorang gadis bergaun merah. Wajahnya tersebar luas di beberapa laman sosial dan media digital sehingga dilabelkan sebagai ‘Gadis bergaun merah, ikon protes’. Paparan itu jelas menunjukkan gadis yang berada di sebuah taman bunga memakai gaun merah, sambil mengepit tas tangan berwarna putih. Siapakah wanita itu dan apakah kehebatannya sehingga beliau digelar ikon protes? Gelaran ikon protes itu diperoleh oleh wanita dikenali sebagai Ceyda Sungar selepas wajahnya dirakam lensa kamera apabila berdiri teguh ketika disembur dengan gas pemedih mata oleh anggota keselamatan bagi menyuraikan perhimpunan di Gezi Park.

‘Kekebalan’ wanita degil itu kemudiannya dipolitikkan kumpulan aktivis wanita bagi menunjukkan kepada dunia betapa kerajaan Turki kejam menggunakan kekerasan terhadap wanita dan peserta demonstrasi. “Saya tidak mahu menjadi popular, apa yang saya perjuangkan adalah hak wanita yang sekian lama dinikmati. Mengapa kerajaan mahu mengubahnya sedangkan itu adalah hak kami,” katanya ketika dalam ditemu bual majalah Dailymail. Penyebaran gambar itu juga mendorong sekumpulan wanita untuk kekal bersama golongan lelaki melakukan protes secara lebih agresif sungguhpun amaran keras telah dikeluarkan oleh Erdogan Khamis lalu. Aksi ‘wanita berbaju merah’ itu juga dilihat sebagai usaha mencabar Erdogan yang ingin 'membersihkan' wanita daripada memakai pakaian mencolok mata berbanding usaha Ataturk yang selama ini membenarkan wanita menggunakan hak mereka untuk bebas berpakaian, bergaul antara lelaki dan wanita tanpa batas.

Usaha mengubah wanita bukan tertakluk kepada pemakaian sahaja, Erdogan juga berusaha membataskan pergaulan wanita dengan lelaki, mengenakan arahan memakai tudung di majlis tertentu dan mengharamkan pengguguran di Turki. Kesemua perubahan itu wajar disokong kerana berlandaskan syariah Islam. Selepas dua minggu, ribuan penunjuk perasaan terus berkumpul di Dataran Taksim dengan ratusan daripada mereka mendirikan khemah, berpesta seolah mahu mencabar anggota keselamatan dan kerajaan Turki.

 Mereka juga merosakkan kemudahan awam dan hotel berhampiran dataran itu. Khamis lalu, kumpulan aktivis menyangkal dakwaan Erdogan apabila pemimpin itu sedia melakukan pungutan suara untuk mencorak kembali Dataran Taksim. Kumpulan aktivis berkata, mereka tidak dijemput untuk rundingan itu dan pungutan suara itu adalah pembohongan terang-terangan kerajaan. Sehingga semalam , lima disahkan maut termasuk anggota polis manakala lebih 600 anggota keselamatan cedera dalam rempuhan nekad untuk meyuraikan lebih 5,000 penunjuk perasaan. -AP





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!