Tuesday, June 25, 2013

Kenali Kaesong di Korea utara, yang baru diiktiraf sebagai tapak warisan dunia


Kenali Kaesong di Korea utara, yang baru diiktiraf sebagai tapak warisan dunia | Tinggalan kota purba di wilayah Hwanghae Utara di selatan Korea Utara, diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), semalam. Kaesong yang menjadi ibu kota kepada Dinasti Koryo yang memerintah Korea Utara dan Korea Selatan dari 918 Masihi hingga 1392, terletak berhampiran kawasan industri Kaesong, yang terpaksa ditutup pada April lalu ekoran perselisihan antara kedua-dua negara terbabit. Usaha Korea Utara untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut diluluskan pada mesyuarat UNESCO di Phnom Penh, Kemboja, semalam.

Kaesong memiliki 12 tapak berasingan, termasuk makam Raja Kongmin, runtuhan Istana Manwoldae dan akademi Songkyongkwan berusia 1,000 tahun yang pernah menjadi sekolah terbaik ketika era itu. "Peninggalan budaya bernilai itu menjadi kebanggaan negara kami dan terdapat juga tinggalan budaya berharga yang menunjukkan sejarah panjang negara Korea. "Ada juga tinggalan yang telah disimpan dalam tempoh yang panjang yang boleh menjadi kebanggaan kami di mata dunia," kata seorang penyelidik di Pejabat Pengurusan Bandar Kaesong bagi Pemuliharaan Warisan Kebangsaan, Kim Jin-sok.


Kaesong menjadi tapak kedua di Korea Utara yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia selepas kompleks Makam Koguryo di Pyongyang yang menerima pengiktirafan sama pada 2004. Sementara itu, sebanyak 13 lokasi di seluruh dunia turut diwartakan sebagai Warisan Dunia UNESCO pada hujung minggu lalu termasuklah gunung berapi tertinggi dan paling aktif di Eropah, Gunung Etna di Itali dan Gunung Fuji, gunung tertinggi di Jepun. - AGENSI





.

Remaja berusia 16 tahun ini menghidap penyakit yang sangat ganjil


Remaja berusia 16 tahun ini menghidap penyakit yang sangat ganjil | Dia baru berumur belasan tahun, namun rupanya jauh berbeza daripada remaja lain hingga penampilannya kelihatan seperti seorang wanita separuh usia. Itulah yang menimpa Zara Hartshorn, 16, dari Rotherham, Yorkshire selepas dia didapati menghidap sejenis penyakit dikenali sebagai lipodystrophy. Penyakit tersebut mempengaruhi keanjalan kulit Hartshorn sehingga menyebabkan kulitnya berkedut seperti wanita berumur 50 tahun ke atas. Hartshorn mewarisi penyakit tersebut daripada ibunya, Tracy Gibson, namun kakaknya, Chloe, 17, tidak pula dijangkiti penyakit itu.


Sejak kecil remaja tersebut dibuli di sekolah dan sering dipanggil ‘monyet’ atau ‘nenek’ kerana keadaannya itu. Bagaimanapun, seorang pakar bedah terkemuka di Amerika Syarikat (AS) yang dimaklumkan tentang keadaan Hartshorn menawarkan usaha untuk merawat penyakitnya itu.


Selepas dirawat, keyakinan diri Hartshorn meningkat dan dia kini bercinta dengan teman lelakinya, Ricky Andrews dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di kolej. Rawatan tersebut mengubah kehidupan remaja tersebut yang pernah menangis ketika berumur 12 tahun apabila diminta turun dari bas kerana dia memberi tiket bas untuk kanak-kanak sedangkan rupanya seperti orang tua. - AGENSI






.

Presiden Indonesia Minta Maaf Kepada Malaysia & Singapura berkaitan isu jerebu


Presiden Indonesia Minta Maaf Kepada Malaysia & Singapura berkaitan isu jerebu | Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono meminta maaf kepada Malaysia dan Singapura yang dilanda jerebu sehingga menjejaskan kualiti udara kedua-dua negara itu akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera. "Atas apa yang terjadi ini, selaku presiden saya meminta maaf dan pengertian saudara-saudara kami di Singapura dan Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Presiden di sini pada Isnin malam. "Tentu, tidak ada niat Indonesia atas apa yang terjadi," katanya. Yudhoyono berkata pada masa ini kawasan yang terlibat dengan kebakaran itu iaitu Jambi, Bengkulu, dan Riau ditetapkan sebagai daerah bencana berstatus darurat, dan kerajaan pusat mengerahkan tenaga secara maksimum untuk menangani bencana itu.

Beliau berkata Indonesia bertanggungjawab penuh untuk mengatasi masalah itu dan beliau yakin ia akan dapat diatasi dengan segera. Yudhoyono berjanji bahawa Indonesia akan berusaha memadamkan titik-titik api yang membakar hutan Indonesia dengan melakukan hujan buatan melalui pembenihan awan selain mengerah pasukan pemadam kebakaran di darat termasuk menggunakan tenaga anggota tentera. Pada sidang akhbar itu Presiden Indonesia itu turut menyindir beberapa pegawai kerajaan republik itu yang menyebut nama syarikat perladangan yang dipercayai menyebabkan kebakaran itu, yang katanya tidak seharusnya mereka lakukan. "Dari apa yang saya pantau setiap hari, ada pernyataan dari sejumlah pegawai yang menurut saya tidak semestinya disampaikan seperti itu," katanya.

Beliau berkata syarikat berkenaan belum dipastikan terlibat dalam pembakaran itu dan para pegawai kerajaan harus menghindari daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian. "Kalau ada syarikat lalai, apa lagi menyebut namanya jelas tidak diperlukan seperti itu. Sama halnya menyebutkan syarikat asing yang dimiliki negara jiran kita, itu juga tidak diperlukan," katanya. Apa yang lebih penting pada masa ini ialah tumpuan kepada usaha mengatasi bencana kebakaran dan asap yang sudah berlarutan selama seminggu ini, katanya. - Bernama





.

Bayi malang itu diberi racun dan dibuang, namun dia selamat


Bayi malang itu diberi racun dan dibuang, namun dia selamat | Meskipun diberi minum racun dan dibuang tanpa sehelai pakaian sebaik dilahirkan, namun nasib tetap menyebelahi seorang bayi lelaki apabila ditemui penduduk dalam keadaan masih hidup sebelum diberi rawatan tradisional. Namun, keadaan bayi malang itu ditemui di depan rumah kongsi pekerja ladang kelapa sawit di Ladang KJS di Kampung Inarad, di sini, kira-kira jam 5.30 petang pada 16 Jun lalu, dilihat semakin lemah. Keadaan itu menyebabkan penduduk segera menghantarnya ke klinik bergerak, kelmarin, bagi mendapatkan rawatan. Difahamkan, bayi itu dipercayai cuba digugurkan ibunya ketika kandungan berusia lima bulan, tetapi sebaik ‘dilahirkan’, bayi berkenaan terus bernyawa.

Tidak sanggup membunuh dengan mencederakan bayi itu, pelaku yang lebih kejam daripada binatang itu kemudian memberi insan kecil itu racun sebelum meninggalkan bayi terbabit dalam keadaan bogel di hadapan rumah pekerja ladang sawit. Individu menemui bayi terbabit mendakwa mulut bayi itu berbau racun dan masih hidup sebelum dirawat menggunakan perubatan tradisional. Ketua Polis Daerah Kinabatangan Deputi Superintendan Martin Lugu ketika dihubungi semalam, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya masih melakukan siasatan.

“Saya difahamkan sebaik menemui bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan itu, pekerja ladang hanya membawanya berubat menggunakan kaedah tradisional berikutan kedudukan ladang yang jauh dari hospital. “Namun, oleh kerana keadaannya semakin lemah, bayi itu dihantar ke Klinik Bergerak Kampung Inarad, kelmarin, bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Klinik Kesihatan Telupid sebelum satu laporan polis dibuat,” katanya.

Martin berkata, siasatan awal mendapati, mulut bayi itu berbau racun ketika ditemui dan sehingga kini, belum ada individu yang tampil menuntut bayi terbabit. “Polis akan menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. Martin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31, Kanun Keseksaan kerana membuang bayi. -SH





.

Kerana ditahan dalam sekatan jalan raya, baru dia tahu teman wanitanya seorang lelaki



Kerana ditahan dalam sekatan jalan raya, baru dia tahu teman wanitanya seorang lelaki | Perkenalan selama enam bulan seorang remaja lelaki dengan pasangannya membongkar rahsia berikutan selama ini dia tidak mengetahui temannya itu rupa-rupanya bukan perempuan sejati selepas mereka ditahan dalam satu sekatan jalan di Jalan Tun Ali di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 1.10 pagi, kedua-dua remaja lelaki berusia 18 dan 19 tahun itu bersiar-siar dengan motosikal di sekitar kawasan berkenaan. Berikutan seorang daripada mereka tidak memakai topi keledar, mereka ditahan polis dan pemeriksaan pada kad pengenalan diri mendapati pembonceng itu adalah lelaki dan sekali gus mengejutkan temannya yang selama ini mendakwa tidak mengetahui perkara berkenaan.

Sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang kebetulan meronda di kawasan itu terus menahan ‘pondan’ berkenaan dan mendapati dia pernah ditahan dua kali kerana kesalahan berlagak seperti wanita di tempat awam sebelum ini. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIM Rahimin Bani berkata, sebelum dibawa ke pejabat penguatkuasaan, remaja lelaki itu yang berpenampilan seperti wanita itu menghubungi ibunya dan timbul kekecohan apabila wanita berkenaan yang tiba menangis mempersoalkan tindakan anak bongsunya itu. “Ibu tunggal itu merayu supaya membebaskan anaknya.

Bagaimanapun, selepas diberi penerangan mengenai prosedur menahan pesalah syariah, wanita berkenaan faham dan mengikut anaknya ke pejabat penguatkuasaan. “Remaja lelaki terbabit ditahan kerana memakai kemeja-T dan seluar, selain mengenakan solekan dan tata rias wanita,” katanya di sini, semalam. Menurut beliau, remaja lelaki itu mendakwa datang ke kawasan berkenaan bukan bertujuan melakukan perbuatan tidak bermoral tetapi sekadar bersiar-siar. Kata Rahimin, berdasarkan keterangan yang diambil daripada rakannya, dia mendakwa langsung tidak mengetahui temannya itu ialah lelaki yang penampilannya seperti kaum Hawa selama ini.

“Dia dibebaskan selepas diambil keterangan dan disaman polis kerana kesalahan tidak mempunyai lesen memandu,” katanya. Manakala, katanya, pasangannya iaitu remaja lelaki lembut itu ditahan mengikut Seksyen 72, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana lelaki berlagak seperti perempuan. “Jika sabit kesalahan, pesalah didenda RM1,000 atau dipenjara enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!