Friday, June 28, 2013

Replika kapal Bugis mercu tanda di Tanjung Harapan


Replika kapal Bugis mercu tanda di Tanjung Harapan | Replika kapal Bugis yang menjadi mercu tanda di Tanjung Harapan, di sini hampir musnah keseluruhannya akibat terbakar didakwa angkara ‘orang gila’ yang kuat merokok. Saksi, Mohd Dalip Mohd Noor, 44, berkata, dia pada mulanya melihat terdapat asap keluar dari celahan papan dari arah belakang replika kapal tersebut. “Semakin lama, kepulan asap tersebut dilihat semakin banyak sebelum seorang lelaki yang dikenali penduduk sekitar sebagai orang kurang siuman keluar dan turun dari kapal tersebut untuk menyelamatkan diri. “Tidak lama selepas itu, kelihatan api mula membakar bahagian dalam kapal tersebut, saya terus menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya. Menurutnya, 'orang gila' itu selalu menjadikan kapal tersebut sebagai tempat rehat kerana ia dilengkapi bilik air.


“Selain itu, tabiatnya yang suka meminta rokok daripada sesiapa sahaja yang ditemuinya mengukuhkan lagi keyakinan bahawa dia yang menyebabkan kebakaran tersebut,” katanya. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Mohd Syamsul Jamil berkata, pihaknya menerima aduan daripada saksi pada jam 1.59 petang. Menurutnya, sebuah jentera dan seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum tiba lima minit kemudian. “Kebakaran yang mengakibatkan 50 peratus daripada bahagian kapal hangus berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.15 petang,” katanya. Beliau berkata, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan. -SH





.

Jimmy Shanley dedahkan isteri barunya


Jimmy Shanley dedahkan isteri barunya | Berikutan dari gosip panas yang mengatakan Jimmy Shanley sudah pun berkahwin dengan seorang wanita berstatus janda, Jimmy Shanley tidak mengiakan atau menafikan isu tersebut. Namun petang semalam, Jimmy telah memuat naik gambar bersama seorang wanita bertudung dan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai anak Jimmy, Zahrah Rania,2, di laman Twitter.

Gambar itu kelihatan seperti sebuah keluarga bahagia yang sedang menunggu hidangan makan malam. Jimmy yang juga pengacara dan pelakon sebelum ini pernah menyebut untuk mengadakan satu sidang media khas untuk menjawab segala pertanyaan statusnya mungkin telah bersedia untuk berkongsi cerita sebenar perkahwinannya kepada masyarakat. Buat masa ini, identiti wanita berkenaan masih belum dapat diketahui. -yM





.

Pelakon Benjy bertindak agresif


Pelakon era 90-an, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy bertindak agresif mengasari seorang jurugambar ketika mengelak gambarnya dirakam dalam keadaan bergari di Mahkamah Majistret Ampang di sini pagi ini. Benjy, 35, bertindak demikian ketika dibawa anggota polis di bangunan mahkamah itu untuk mendapatkan perintah tahanan reman selepas dia ditahan semalam berkaitan satu kes dadah. Pelakon itu mulanya dilihat cuba menutup wajah dan menghalang beberapa jurugambar daripada merakam gambarnya ketika keluar dari bilik mahkamah sebelum tiba-tiba bertukar agresif. Anak kepada dramatis veteran Azean Irdawaty Yusoef itu kemudian menumbuk kepala seorang jurugambar sebuah syarikat akhbar dan turut menepis beberapa kamera jurugambar lain. Benjy yang popular menerusi drama Kerana Cintaku Saerah sebelum itu telah dikenakan tahanan reman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 akta sama.

 Peguamnya, P G Cyril ketika ditemui berkata, pegawai penyiasat polis meminta Benjy direman kerana mereka memerlukan masa untuk menjalankan siasatan. "Benjy bersama tiga lelaki dan dua wanita telah ditahan dalam rumah salah seorang rakannya itu. Kami difahamkan dia ditahan kerana berkaitan kes mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 tetapi daripada apa yang dimaklumkan sendiri oleh Benjy, dia ke situ adalah untuk menguruskan satu dokumen pinjaman. "Dokumen terbabit juga telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan," katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Farhan Read sebagai peguam kepada enam yang ditahan. Beliau berkata, polis memberitahu telah menjumpai 4.7 gram dadah dalam sebuah bilik, bagaimanapun tiada sebarang dadah ditemui pada badan Benjy dan rakan-rakannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman keenam-enam mereka. Akhbar hari ini melaporkan pelakon itu sekali lagi ditahan atas kesalahan menyalahgunakan dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa pada pukul 11.30 pagi. Difahamkan, dia ditahan selepas ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis syabu. Pada Mac 2010, Benjy telah didakwa atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di No. A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B melalui Jalan Segambut tetapi awal tahun lalu, mahkamah mendapati pelakon itu tidak bersalah dan dibebaskan tanpa syarat. -Utusan





.

Gadis ini mengidap penyakit yang jarang berlaku iaitu haemolacria


Gadis ini mengidap penyakit yang jarang berlaku iaitu haemolacria | Seorang gadis di Chile mengejutkan doktor perubatan apabila dia dilaporkan menangis air mata darah. Yaritza Oliva, 20, memberitahu, keadaan pelik tersebut mula berlaku pada awal bulan ini dan sejak itu matanya boleh mengeluarkan darah beberapa kali dalam tempoh sehari. Jelasnya, dia cuba mendapatkan rawatan daripada doktor, namun hanya dibekalkan ubat titis mata selepas matanya didapati tidak menghadapi jangkitan. "Doktor hanya memberi saya ubat mata untuk mengurangkan kesakitan," katanya. Oliva berkata, setiap kali menangis air mata darah, dia akan merasa terlalu sakit.


 Ibu dan bapa gadis itu yang muncul dalam rancangan berita televisyen tempatan, memohon jasa baik orang ramai untuk menderma kepada mereka bagi menampung kos rawatan Oliva. Berdasarkan keadaannya, Oliva dikatakan mengidap penyakit yang jarang berlaku iaitu haemolacria yang menyebabkan pesakit mengeluarkan air mata darah. Buat masa ini, hanya ada tiga kes sama dilaporkan, berpunca daripada paras tinggi hormon kesuburan wanita atau mungkin merupakan tanda-tanda penyakit serius dan barah. - AGENSI






.

Inilah punca bekalan elektrik terputus di hampir seluruh Sarawak malam tadi (3 Gambar)



Inilah punca bekalan elektrik terputus di hampir seluruh Sarawak malam tadi (3 Gambar)  | Kira-kira sejuta penduduk bergelap apabila bekalan elektrik terputus di hampir seluruh Sarawak mulai jam 5.40 petang semalam. Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam kenyataannya menyebut, kejadian berpunca daripada sirkit terpelantik membabitkan sistem rangkaian kuasa grid Stesen jana kuasa Kemena-Bintulu. Kejadian dikesan pada jam 5.40 petang dan jurutera serta juruteknik SEB bertungkus-lumus berusaha memulihkan keadaan secepat mungkin, katanya di sini, malam tadi.


Setakat jam 9.30 malam tadi, bekalan di Kuching pulih 50 peratus manakala Sibu, Bintulu dan Miri masih bergelap. Pegawai Perhubungan Awam SEB, Haniza Abdul Hamid, ketika dihubungi berkata, bekalan dipulihkan secara berperingkat manakala ada beberapa kawasan mempunyai sistem sokongan kuasa automatik.


Kerah kawal lalu lintas 


Di SIBU, lebih 200 anggota polis dikerah mengawal lalu lintas dan melakukan rondaan sebaik bekalan elektrik terputus. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafie Ismail, berkata lampu isyarat tidak berfungsi di waktu puncak menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa tetapi dapat dikawal. Di MIRI, tiga rumah di Piasau Jaya terbakar dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam tadi, dipercayai akibat penggunaan lilin bekalan ketiadaan bekalan elektrik. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan api dapat dikawal sejam kemudian. -BH







.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!