Saturday, July 6, 2013

Penemuan mengerikan di tepi sebuah lebuh raya.. apakah?


Penemuan mengerikan di tepi sebuah lebuh raya.. apakah? | Pihak berkuasa Mexico menemui tujuh kepala yang dipenggal dan disumbat ke dalam sebuah beg plastik di tepi satu lebuh raya di bandar Guadalajara semalam, kata seorang pegawai pendakwa di negeri Jalisco. Penemuan mengerikan kira-kira 40 kilometer dari bandar kedua terbesar di Mexico itu memberi isyarat bahawa keganasan dan jenayah masih melanda Mexico, walaupun kerajaan sebelum ini memberi jaminan bahawa kadar kejadian pembunuhan semakin berkurangan. Lebih 60,000 orang terbunuh dalam keganasan berkaitan dengan kartel dadah dalam tempoh 2006 hingga 2012, di bawah pemerintahan Presiden Felipe Calderon.

Pembunuhan meningkat “Kejadian pembunuhan meningkat lebih lima peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu,” kata seorang pegawai di jabatan polis Mexico. Beliau berkata, purata, 1,000 dibunuh setiap bulan di bawah pentadbiran pengganti beliau Enrique Pena Nieto yang mengambil alih jawatan pada Disember. Negeri Jalisco yang menjadi pembekal utama minuman keras tequila dan terkenal dengan muzik mariachi, dilanda keganasan hampir sepanjang masa. Awal minggu ini, mayat dua muris sekolah yang disyaki membuli anak seorang pengedar dadah berpengaruh ditemui di Jalisco. Mac lalu, menteri pelancongan Jalisco ditembak mati di Guadalajara hanya selepas seminggu menyandang jawatan. - REUTERS






.

Cara bercerai secara baik dan kesannya pada anak-anak


Cara bercerai secara baik dan kesannya pada anak-anak | TIDAK salah untuk bercerai jika keputusan itu merupakan pilihan terbaik bagi kedua-dua belah pihak iaitu suami dan isteri. Tetapi, sering kali mereka yang mengambil keputusan untuk bercerai terlepas pandang akan satu perkara, iaitu kebajikan anak-anak mereka. Ada pasangan yang bercerai tanpa memikirkan anak-anak mereka iaitu zuriat yang lahir dari perasaan cinta pada awalnya tetapi bertukar menjadi api kebencian kerana sudah tiada persefahaman lagi.

Perkara inilah yang ditekankan dan menjadi fokus utama kepada Vicky Alahakone, peguam keluarga yang berpengalaman lebih 35 tahun dalam mengendalikan kes penceraian yang melibatkan pasangan bukan Islam. Di Malaysia, setiap pasangan bukan Islam yang mengambil keputusan untuk bercerai hendaklah dilakukan menurut peruntukan yang telah ditetapkan dalam Mahkamah Sivil. Pemilik sebuah firma guaman di Kuala Lumpur ini, telah lama aktif dalam membela nasib wanita dan kanak-kanak di Malaysia, sama ada secara rasmi atau tidak.


Kesedaran pada masyarakat 

Sedar atas jumlah statistik penceraian yang semakin meningkat di Malaysia, Alahakone mengambil inisiatifnya tersendiri dalam membela hak kanak-kanak kerana kebanyakan pasangan bercerai tidak meletakkan anak sebagai kepentingan utama mereka. “Saya mahu setiap pasangan yang hendak bercerai meletakkan dulu kepentingan anak mereka melebihi hal-hal lain. Ini kerana anak-anak tidak mengerti apa-apa ini sering kali menjadi mangsa keadaan apabila ibu bapa mereka bercerai,” katanya. Menurutnya, kesedaran inilah yang sering ditekankan olehnya kepada klien yang datang berjumpa dengannya apabila hendak bercerai. “Anak-anak sering menjadi mangsa keadaan dan akibatnya ini akan menjejaskan kehidupan anak itu kerana belum mengerti apa yang sedang dilalui oleh ibu bapa mereka.

“Ada sesetengah anak meletakkan dirinya sebagai punca penceraian tersebut dan mereka akan terus menyalahkan diri mereka seandainya tidak diberikan terapi dan kaunseling,” katanya. Katanya, ibu bapa yang hendak bercerai haruslah duduk berbincang terlebih dahulu mengenai kebajikan anak mereka dan memberi penerangan kepada mereka bahawa ibu bapa akan bercerai dan memberi pilihan kepada anak sama ada hendak mengikut ibu atau ayah selepas ini. “Ini yang sepatutnya dilakukan. Bukan bersikap lepas tangan dan sambil lewa terutama selepas bercerai. Jika perkara yang saya nyatakan tadi dilakukan, saya pasti anak-anak mangsa penceraian ini akan lebih mudah menerima situasi ini,” katanya. Jelasnya, apa yang berlaku sekarang, ibu bapa akan bergaduh terlebih dahulu sebelum membawa kes penceraian mereka kepada peguam yang dilantik dan kemudian terus bercerai tanpa memikirkan anak-anak.


Kesan kepada anak 

Beliau berkata, kesan perceraian kepada kanak-kanak adalah aspek yang tidak boleh dipandang enteng terutama dalam memperkatakan mengenai pertumbuhan dan perkembangan sihat anak-anak. Tambahnya, penceraian ibu bapa secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap anak-anak terutama dari segi sosial dan psikologi mereka. “Keadaan tersebut memberi kesan negatif kepada anak-anak malah kehidupan anak-anak yang lahir hasil dari penceraian akan terumbang-ambing tanpa kawalan dan pegangan kukuh daripada kedua ibu bapanya,” katanya. Menurut Alahakone, anak-anak mangsa penceraian perlu masa untuk menerima keadaan ini dan segala perubahan yang berlaku kepada anak-anak perlu segera ditangani agar ia tidak melarat dan menjejaskan anak-anak tersebut. “Kebiasaannya individu pertama yang menyedari perubahan sikap dan emosi anak-anak tersebut ialah cikgu mereka.

Kemungkinan pelajar aktif bertukar menjadi pasif dan sebaliknya. Apa yang dapat dilakukan oleh cikgu berkenaan adalah merujuk pelajar berkenaan ke kaunselor sekolah. “Ada kes pelajar berhenti sekolah dan ingin bekerja akibat penceraian. Ini sudah semestinya tidak bagus untuk kemajuan akademik mereka. Daripada sini mereka akan mula melibatkan diri dalam gejala sosial tidak sihat kerana mereka merasakan diri mereka sudah terabai,” katanya lagi. Tambahnya lagi, hasil kajian yang dibuat mendapati punca jenayah adalah tinggi di kalangan anak-anak yang mengalami perpecahan rumah tangga. Ini kerana pasangan yang bercerai menghadapi kesukaran untuk mengawal anak-anak mereka dan ramai yang menunjukkan sikap memberontak terhadap tindakan ibu bapanya yang bercerai. Katanya, ada ibu atau bapa yang telah memperoleh hak penjagaan anak tidak benarkan dan halang anak tersebut daripada berjumpa dengan ibu atau bapa mereka.

“Ini secara tidak langsung akan membuatkan anak berfikir bahawa ibu atau bapa mereka adalah jahat dan menganggap mereka sebagai punca penceraian tersebut. “Ibu bapa dinasihatkan untuk berkongsi pendapat dan perasaan yang dialami anak mereka sebelum mahupun selepas perceraian supaya kanak-kanak dapat menerima dan sedia meluahkan pendapat mereka dalam meneruskan jadual harian. “Interaksi antara ibu bapa juga perlu supaya anak tidak dibayangi dengan pemikiran mahupun emosi negatif kesan daripada perceraian,” jelasnya. Jelasnya, dalam konteks ini pasangan bercerai perlu ketepikan perbezaan sedia ada dan mengambil pendekatan terbaik untuk memastikan perceraian tidak menjadi trauma berpanjangan sehingga memberi kesan sukar dilupakan atau menyekat pembangunan masa depan anak.






.

Sebab populasi negara yang satu ini menurun


Sebab populasi negara yang satu ini menurun | Pihak berkuasa berkata, populasi Romania menurun kepada lebih 20 juta orang, keputusan itu ekoran daripada kadar kelahiran yang menyusut dan penghijrahan rakyat negara itu untuk mencari kerja, terutama ke Eropah Barat. Keputusan itu disiarkan pada Khamis daripada bancian 2011 dan menunjukkan populasi menurun kira-kira 1.55 juta orang sejak bancian pada 2001. Romania pada 1989 mempunyai populasi seramai 23 juta orang, sebagai salah satu negara du Eropah Timur yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai. Bagaimanapun, negara itu mengalami penurunan dalam kadar kelahiran, dengan populasi penuaan seperti kebanyakan Eropah, dan berjuta-juta berhijrah ke Itali dan Sepanyol untuk bekerja. - AP





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!