Thursday, July 11, 2013

6 juta maut setiap tahun disebabkan merokok


6 juta maut setiap tahun disebabkan merokok | Meskipun kempen awam mengenai kesihatan, merokok masih kekal mendahului penyebab kematian di seluruh dunia dengan hampir enam juta maut setiap tahun, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini. Angka kematian itu kebanyakannya di negara miskin dan berpendapatan sederhana. Sekiranya arah alihan itu kekal, bilangan yang maut disebabkan penggunaan tembakau akan meningkat kepada lapan juta menjelang 2020, kata WHO dalam satu taklimat persidangannya di Panama.

Kira-kira 80 peratus kematian yang berkaitan penggunaan tembakau yang diunjurkan untuk tahun 2030 ialah di negara miskin dan sederhana. “Jika kita berbuat sesuatu dan mengharamkan iklan rokok, promosi dan penajaan, perokok dan anak remaja akan terus mengambil bahan tembakau seperti yang dikehendaki oleh industri tembakau," kata Ketua Pengarah WHO, Dr Margaret Chan. “Setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk melindungi penduduknya daripada penyakit atau kematian berkaitan tembakau," katanya. - AFP





.

Ada negara didunia yang berpuasa 15 jam sehari sepanjang ramadan


Ada negara didunia yang berpuasa 15 jam sehari sepanjang ramadan | Penduduk Emiriah Arab Bersatu (UAE) perlu menahan lapar dan dahaga paling lama dalam tempoh 33 tahun iaitu sekurang-kurangnya 15 jam sehari sepanjang Ramadan tahun ini. Berikutan itu, kebanyakan ibu bapa mahu memastikan generasi muda mampu berhadapan dengan suasana berkenaan ketika suhu pada Julai dicatatkan paling tinggi sehingga mencecah 50 darjah Celsius. Suhu paling panas pernah dicatatkan di negara itu adalah 52.1 darjah Celsius pada Julai 2002. Pun begitu, meskipun bimbang dengan keadaan cuaca panas serta tempoh berpuasa yang panjang, kebanyakan penduduk tetap gembira menyambut bulan suci ini kerana menyifatkan ia memberikan keseronokan terutama ketika berkumpul untuk berbuka puasa, waktu kerja lebih pendek selain dapat bersama berkumpul bersama keluarga dan melakukan amal ibadat.


Ambil makanan kaya potasium 

Bagi suri rumah kepada empat anak, Fatima Mohammed, beliau akan cuba untuk melakukan rutin hariannya bagi mengatasi sebarang masalah ketika berpuasa. Perkara penting adalah untuk tidak mengubah jadual anda. Tidak perlu berjaga lewat. Lakukannya seperti waktu biasa, katanya yang mengambil makanan yang kaya dengan zat potasium dan kekacang ketika bersahur untuk memastikan mampu bertahan sepanjang hari. Bagi suri rumah, Shamsa A, berpuasa pada zaman sekarang lebih mudah walaupun mereka terpaksa menahan lapar dalam tempoh yang lama serta keadaan suhu panas melampau. Sekarang semua rumah memiliki pendingin hawa dan kita tidak lagi merasa panas ketika di rumah. Saya takut dahaga, kata Dalia Ahmed, 25, yang mempunyai cara tersendiri untuk memastikan beliau benar-benar mampu melaksanakan ibadat di bulan Ramadan ini. Sebab itu, saya tetap bangun bersahur walaupun ada sesetengah orang akan terus makan pada waktu malam sebelum mereka tidur. Saya dapati bangun untuk sahur adalah cara terbaik yang boleh dilakukan dan minum sebanyak mungkin air bagi menghadapi cuaca panas.-AGENSI






.

Kanak-kanak 4 tahun ini mempunyai tanggungjawab yang sangat besar


Kanak-kanak 4 tahun ini mempunyai tanggungjawab yang sangat besar | Datuk Bandar Dorset, sebuah pekan kecil di Minnesota ialah Robert Bobby Tufts yang baru berusia 4 tahun dan menjawat jawatan itu pada umur 3 tahun. Pekan yang mempunyai 28 penduduk akan memilih Datuk Bandar tidak lama lagi dan Tufts yang belum bersekolah mahu memperbaharui mandatnya sekali lagi. Dorset yang menggelar dirinya sebagai Ibu kota restoran dunia, tidak mempunyai satu pentadbiran rasmi atau majlis perbandaran.


Pilih setiap tahun 

 Pada 4 Ogos setiap tahun, penduduknya akan memilih pemegang jawatan itu ketika Pesta Selera Dorset berlangsung. Sesiapapun boleh mengundi sebanyak mana sekalipun di mana-mana peti undi di kedai seluruh pekan itu tetapi satu undi dikenakan AS$1 (RM3). Ketika berjalan di sekitar bandar, ramai yang menyambut Tufts dengan panggilan Datuk Bandar, sambil menyampaikan kad kempennya. Saya amat gembira jika dapat menjadi Datuk Bandar anda seperti mana cinta saya kepada Sophie, kata kad itu, merujuk kepada nama teman wanitanya. Dia bagus. Banyak publisiti diberi kepada pekan ini. Saya fikir, dia bekerja dengan baik, kata ibu Tufts, Emma, 34.


Sambut pelancong 

Tugas Tufts ialah menyambut pelancong yang datang ke Dorset yang terletak di utara Minnesota dan terkenal dengan pokok pain dan tasik. Industri utamanya adalah sebagai pusat peranginan dan pelancongan manakala restoran yang ada daripada selera Mexico hingga Itali boleh dikunjungi di lebuh raya yang melalui pekan berkenaan. Dia budak yang comel dan itulah pandangan ramai orang di sini termasuk saya, kata Sheriff Hubbard County, Cory Aukes. Anda pun tahu, berapa ramai kanak-kanak sepertinya dengan personaliti bagus dan berani mampu berdepan penuh yakin dengan kamera? Jadi, ini sesuatu yang bagus bagi kami, katanya lagi. -AP






.

Bila artis kantoi tak puasa di bulan ramadan


Bila artis kantoi tak puasa di bulan ramadan | Kesucian 1 Ramadan yang sepatutnya dihormati, dicemari dua wanita Islam termasuk seorang pelakon drama apabila dicekup bermain mahjung di sebuah pusat siber di Bandar Puteri di sini, semalam. Pelakon yang pernah diberi jolokan nama seorang artis seksi luar negara itu kelihatan resah dan berjalan mundar-mandir dalam bilik berkenaan apabila wajahnya dirakam. Difahamkan, kedua-dua wanita itu dipercayai tidak berpuasa, menghisap rokok serta menikmati minuman yang terhidang dan memberi alasan sakit perut ketika dicekup di bilik VIP di tingkat tiga premis terbabit. Ketika serbuan, wanita berusia lingkungan 30-an itu leka bermain mahjung bersama dua lelaki bukan Islam di dalam sebuah bilik kecil yang terletak di sebalik ruang permainan snuker.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, hasil risikan dan pemantauan, pihaknya melakukan serbuan ke pusat siber yang turut menjalankan aktiviti permainan snuker itu, petang semalam. Hasil pemeriksaan mendapati perniagaan pusat siber yang turut menawarkan aktiviti perjudian itu tidak mempunyai lesen sah daripada MPSJ. Dalam serbuan diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPSJ, R Ravinthran bersama 23 anggota, premis itu dikenakan tindakan sitaan manakala peralatan dirampas.

Mohd Rasip berkata, premis terbabit sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dan menawarkan pelbagai aktiviti hiburan kepada pengunjung. “Kami bertindak merampas 42 set komputer mengandungi perisian perjudian atas talian dan dua televisyen. “Tindakan diambil di bawah UUK 3 Undang-undang kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan pusat siber tanpa lesen daripada MPSJ,” katanya. Beliau berkata, pelakon berkenaan bersama tiga rakannya kemudian dibebaskan selepas butir keterangan diri diambil. -SH





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!