Saturday, July 27, 2013

Keputusan Undian Piala Malaysia 2013 mengikut kumpulan



Keputusan Undian Piala Malaysia 2013 mengikut kumpulan | Juara bertahan, Kelantan bakal mengharungi saingan Piala Malaysia dengan penuh getir apabila diundi bersama-sama dua lagi gergasi Pantai Timur, Pahang dan Terengganu serta Negeri Sembilan dalam Kumpulan C. Pada majlis pengundian yang berlangsung di sini hari ini, Lions XII yang menjulang trofi Liga Super pula mendapat laluan lebih mudah apabila diundi dalam Kumpulan D bersama-sama juara Liga Perdana, Sarawak di samping Perak dan Kedah. Johor Darul Takzim (Johor DT) turut mendapat lawan lebih mudah apabila diundi bersama-sama tiga pasukan berstatus kelab dalam Kumpulan B iaitu PKNS, T-Team dan Felda United. Manakala Selangor pula yang berada dalam Kumpulan A bakal menghadapi saingan naib juara musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), naib juara Liga Super, Sime Darby dan Johor.


Berikut undian Piala Malaysia 2013:

KUMPULAN A:
Selangor
Angkatan Tentera Malaysia
Sime Darby
Johor


KUMPULAN B:
Johor Darul Takzim
PKNS FC
T-Team
Felda United


KUMPULAN C:
Kelantan
Pahang
Terengganu
Negeri Sembilan


KUMPULAN D:
Lions XII
Perak
Sarawak
Kedah



- UTUSAN





.

Kontroversi sebuah restoran di Bandung



Kontroversi sebuah restoran di Bandung | Restoran tema Nazi di Bandung yang sebelum ini ditutup secara sukarela Jumaat lalu akan dibuka semula dengan menampilkan tema Perang Dunia Kedua dan mengekalkan imej Adolf Hitler tanpa lambang swastika. "The SoldatenKaffee" atau Kafe Tentera itu telah dihias dengan imej kenangan berkaitan Nazi ditutup oleh pemiliknya, Henry Malyana,35, setelah dituduh mencetuskan kebencian kaum dan dia terpaksa berhadapan dengan ancaman bunuh. Kafe yang diberi nama sempena kedai popular di Jerman dan Paris ketika Perang Dunia Kedua ini telah beroperasi sejak 2011. Sebelum ini, kafe tersebut tidak mendapat banyak tentangan namun setelah disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris, kewujudan kafe itu dikecam pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

Menurut peguam Henry, Rohman Hidayat, pemilik restoran itu tidak melakukan sebarang kesalahan. Malah, Henry bercadang untuk memindahkan lokasi kafe ke tempat lain di Bandung dengan tema Perang Dunia Kedua yang lebih luas. "Kafe baru itu tidak hanya digantung dengan gambar Hitler. Gambar Winston Churchill juga akan digantung, begitu juga dengan pahlawan Indonesia. Gambar tentera Jepun juga akan dipasang, bukan hanya tentera Jerman. Yang pasti, tidak ada swastika," katanya. Walaubagaimanapun, Henry tidak memberitahu bila dia akan membuka semula kafe itu. -AP





.

Cerita penyanyi Ning Baizura yang kini menjadi ibu kepada Ryan Sky Dalton


“SEKARANG saya penyanyi separuh masa.” Demikian reaksi penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura tentang status terbarunya yang sudah hampir enam bulan bergelar ibu. Ketika ditemui baru-baru ini, anak lelaki Ning, Ryan Sky Dalton sudah bijak beraksi di depan kamera. Ryan lahir pada hari ulang tahun perkahwinan Ning dan suaminya, Omar Sharif, 31 Januari lalu. “Sekarang saya memang dah jadi ibu sepenuh masa dan penyanyi separuh masa. Sebab anak memang nombor satu dan keutamaan saya memang Rayyan,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi sempena hari raya di Restoran Warisan Dataran Merdeka.

Akui tidak meletakkan kepercayaan merawat Ryan di tangan pengasuh, Ning memilih ibunya sendiri untuk menjaga Ryan. “Ibu saya yang menjaga Ryan. Memang saya tak percaya pada pengasuh buat masa sekarang. Sebelum ini, kami tak pernah ambil pembantu rumah, cuma kerana ada anak ini, baru pertama kali saya ambil. “Pembantu rumah memang mengemas rumah sahaja kerja dia. Kalau tolong pegang Rayyan pun jika ibu saya nak berhenti untuk berbuka puasa, tetapi hanya sekejap sahaja. "Setiap kali dia pegang, memang kami ada di sekeliling,” katanya. Ning juga tidak membenarkan pembantu rumahnya mendukung Ryan sebelum ini. “Memang saya tak lepaskan Ryan dengan pembantu rumah.

Mungkin sebab anak pertama, kena protektif sedikitlah kan. Lagi satu sebab banyak sangatlah cerita ‘seram’ tentang pembantu rumah, saya tak beranilah. “Saya bagi pembantu angkat Ryan selepas Rayyan berusia empat bulan ke atas. Sebelum itu, saya tak bagi dia angkat. Sebagai ibu, saya cuma tak nak apa-apa terjadilah. Nanti dia kena bertanggungjawab pula,” katanya. Berkongsi aktiviti Ryan, Ning akui mengajar anaknya bersenam dan berenang. “Setiap Sabtu dan Selasa, saya bawa Ryan bersenam di Bangsar.

Hari Ahad pula, Rayyan akan belajar berenang dengan bayi-bayi lain, anak kawan-kawan saya. “Pada usia Ryan tiga bulan saja, suami saya sudah ajar berenang. Saya geram jugalah sebab takut,” katanya. Dalam perkembangan lain, Ning bakal mengadakan konsert Pelangi Untukmu pada September ini dan Januari depan. Penyanyi Selagi Ada Cinta ini juga akui tidak kisah jika hamil kali kedua dalam masa terdekat. “Saya memang rancang tak nak tunggu lama-lama untuk anak kedua. Kalau masa konsert kedua, saya mengandung, buat sajalah konsert dengan kandungan itu sekali,” katanya. -SH




.

Kisah iklan Hari Raya Petronas tahun ini 'Kudrat membawa berkat'


Kisah iklan Hari Raya Petronas tahun ini 'Kudrat membawa berkat' | Kisah kehidupan tukang jahit veteran yang gigih bekerja demi mengumpul wang untuk pengajian anaknya, menjadi pilihan sebagai cerita latar dalam iklan Hari Raya Petronas tahun ini. Iklan berdurasi 8 minit 45 saat mengisahkan bagaimana seorang ibu yang bekerja sebagai tukang jahit menerima tempahan baju sempena sambutan Hari Raya, bersengkang mata demi mengumpul duit dan dalam masa yang sama tidak mahu menghampakan pelanggannya. Dengan tema 'Kudrat Membawa Berkat', Petronas turut menyelit elemen perpaduan menerusi paparan semangat kejiranan muhibah antara Makcik Aishah (tukang jahit) dan seorang tauke kedai berbangsa Cina yang membantunya dan menasihati supaya menjaga kesihatan.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas Datuk Mohammad Medan Abdullah berharap iklan Hari Raya itu menjadi inspirasi kepada penonton supaya berusaha gigih untuk berjaya. Iklan arahan Quek Shio Chuan dan dibantu kira-kira 40 krew produksi menjadikan Behrang Station di Perak sebagai lokasi penggambaran selama tiga hari. Quek berkata tukang jahit dipilih sebagai watak utama dalam iklan kali ini kerana mereka merupakan orang paling penting dan sibuk menjelang sambutan Hari Raya. "Tukang jahit sangat penting dan menjadi tumpuan setiap kali Hari Raya, jadi kita tonjolkan tukang jahit kali ini dan hubungan ibu dan anak yang sentiasa berusaha untuk berjaya.

"Behrang Station pula dipilih kerana lokasi itu mempunyai banyak kedai jahit terutama yang tradisional dan klasik," katanya yang ditemui Bernama pada majlis pelancaran iklan itu di Kampung Dato Hormat di sini sempena program Sentuhan Kasih Ramadan Petronas 2013. 'Jahit' ditayangkan mulai malam ini dengan versi televisyen dipendekkan kepada satu minit. Iklan Hari Raya Petronas sentiasa menjadi perhatian dan ditunggu-tunggu setiap tahun oleh masyarakat Islam kerana sering membawa mesej yang menyentuh perasaan. Antara iklan Hari Raya Petronas yang pernah diarahkan allahyarham Yasmin Ahmad ialah Janda Anak Tujuh, Ombak Jahat, Burung Apa dan Aku Ingin Pulang yang sarat dengan kisah mengenai kekeluargaan. - Bernama






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!