Tuesday, August 20, 2013

Ketahui Gunung berapi paling aktif yang mengeluarkan asap tebal sebanyak 500 kali tahun ini


Ketahui Gunung berapi paling aktif yang mengeluarkan asap tebal sebanyak 500 kali tahun ini | Gunung berapi paling aktif di Jepun, Gunung Sakurajima dilaporkan mengeluarkan asap tebal yang ke-500 kali pada tahun ini. Menurut pakar gunung berapi, kepulan asap tebal direkodkan mencecah 5000 meter dan paling tinggi sejak letusan pada 1955 sekali gus menyebabkan keseluruhan bandar Kagoshima bergelap serta diselaputi debu. Gunung Sakurajima yang berketinggian 1,117 meter, terletak di pulau Kyushu dan mula memuntahkan asap lewat malam Jumaat lalu.

Walaupun tiada laporan mengenai masalah kesihatan akibat debu Gunung Sakurajima, pihak jabatan kesihatan tetap mengeluarkan arahan supaya penduduk memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di kawasan terbuka. Sepasukan pakar dari institut pengurangan bencana di Universiti Kyoto, bertindak memantau setiap pergerakan gunung berapi tersebut bagi mengelak insiden letusan kuat 1914 yang mengorbankan 58 orang berulang. Setakat ini, Gunung Sakurajima hanya meletus pada skala kecil beberapa ribu kali setahun dan tidak menjejaskan penduduk. - MailOnline





.

Mainkan lagu Negaraku di pawagam sebelum tayangan filem



Mainkan lagu Negaraku di pawagam sebelum tayangan filem | Cadangan memainkan lagu Negaraku di pawagam di seluruh negara sempena sambutan kemerdekaan mendapat maklum balas positif. Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, setakat ini, Golden Screen Cinemas telah memberi kesediaan untuk memainkan lagu Negaraku sebelum tayangan filem di panggung milik mereka jika cadangan itu dikuatkuasakan. "Tapi, terdapat beberapa lagi pengusaha pawagam yang bersedia untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. - KOSMO!





.

Penjelasan penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh mengenai aksi panasnya dalam filem Laga


Penjelasan penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh mengenai aksi panasnya dalam filem Laga | Filemnya belum pun lagi ditayangkan namun beberapa hari ini nama pelakon seksi Marsha Milan Londoh menjadi bualan hangat ramai ekoran lakonannya yang bergandingan bersama pelakon veteran handalan, Wan Hanafi Su dalam Laga sebagai suami isteri. Apa yang diperkatakan ialah sedutan filem arahan Ismail Yaacob itu yang memaparkan babak ranjang antara Wan Hanafi Su dan Marsha mula tersebar di internet. Memetik kenyataan di Kosmo! hari ini, Marsha berkata sebagai pelakon dia bersikap profesional. Bahkan dia sama sekali tidak terfikir orang akan mempertikaikan aksinya itu kerana babak tersebut sebenarnya bukanlah seperti yang disangka ramai.

Tidak merasakan yang dirinya diekploitasi sebagai pelaris filem sebaliknya Marsha berkata dia berasa selesa sepanjang penggambaran, termasuklah melakonkan babak tersebut. Terpulang kepada penonton mahu menilainya tetapi dia berharap peminat filem tanah air dapat menonton dahulu filem tersebut sebelum menghentam dirinya hanya kerana satu babak panas itu sahaja. "Sebelum penggambaran bermula, pengarah awal-awal sudah beritahu saya terdapat babak atas katil bersama Wan Hanafi Su. Dia menerangkan kepada saya tentang syot dan keperluan babak itu secara terperinci. Sebagai pelakon, saya juga tidak mahu masalah timbul di kemudian hari hanya kerana satu babak itu", katanya.

Sementara itu dalam laporan sama, pelakon Wan Hanafi Su berkata, babak itu bersifat mendidik bukannya nampak seperti filem porno. "Dalam skrip sebelum babak itu, bidan ada memberitahu, jika ingin dapat anak harus mengangkat kaki isteri tinggi-tinggi, jadi hanya babak itu yang dipaparkan. Tidak ada sebarang babak ghairah seperti yang difikirkan orang ramai. Rasanya selepas tonton sepenuhnya filem ini, tidak akan ada sebarang impak negatif kerana saya bukannya melakonkan babak rogol", bidasnya. -MD





.

Apa yang terbaru pada Facebook


Apa yang terbaru pada Facebook | Facebook difahamkan sedang berusaha memperkenalkan sistem perintis yang membolehkan pengguna laman sosial itu membuat pembelian secara atas talian seperti aplikasi PayPal, dengan hanya menggunakan butiran log masuk mereka. Syarikat rangkaian sosial terbesar dunia itu mengesahkan rancangan itu dengan menguji perkhidmatan baharu berkenaan yang dilaporkan akan membolehkan pengguna membuat pembelian tanpa memasukkan butiran kad kredit mereka pada setiap masa. Sistem itu akan beroperasi secara automatik dengan mengisi maklumat pada borang yang tertera dengan butiran pembayaran ditambah oleh pengguna pada akaun Facebook bila mereka melakukan transaksi menerusi aplikasi mudah alih.

Difahamkan, Facebook telah bekerjasama dengan laman web membeli-belah barangan lelaki, Jackthreads, bagi projek itu. Sekiranya fasa percubaan itu berjaya, Facebook akan akan bersaing dengan PayPal dalam sistem pembelian atas talian. Facebook dipercayai tidak akan memperluaskan rancangan itu, namun difahamkan syarikat tersebut akan memberi tumpuan kepada peningkatan pengalaman daftar keluar mudah alih. Facebook juga tidak akan terlibat dalam proses pembayaran yang akan kekal dikendalikan penyedia perkhidmatan semasa bagi aplikasi runcit. Menurut portal teknologi All Things D, perkhidmatan pembayaran masih membenarkan syarikat yang bekerjasama dengan Facebook beroperasi dengan memproses pembayaran yang mereka pilih. - AGENSI





.

Peraturan baru buat pelatih PLKN


Peraturan baru buat pelatih PLKN | Semua pelatih wanita kini diwajibkan menjalani ujian kehamilan sebelum menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil. Keputusan itu dipersetujui anggota Jemaah Menteri pada 12 Julai lepas, katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kem PLKN Geo Kosmo di sini, Isnin. Beliau berkata kumpulan ketiga untuk tahun ini yang memulakan latihan sejak dua hari lepas, bakal menjadi kumpulan pertama menjalani ujian itu. Menurutnya sekiranya ada pelatih wanita yang positif ujian kehamilan, mereka akan diberi tempoh penangguhan daripada menjalani program itu.

"Keputusan itu dibuat selepas perbincangan dilakukan bersama Kementerian Pertahanan dan hasil kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung ujian kehamilan ke atas bakal pelatih PLKN," katanya. Kajian pada 2011 itu, yang melibatkan 4,500 responden daripada pelatih PLK Ndan ibu bapa, mendapati sebanyak 94 peratus daripada mereka bersetuju ujian itu dilaksana. Abdul Hadi berkata keputusan itu juga dibuat bagi menjaga keselamatan kandungan pelatih. Menurut Kementerian Pertahanan, sejak PLKN dilaksanakan dari 2004 hingga kini, terdapat enam kes pelatih melahirkan bayi semasa menjalani program itu.-Bernama




.

Pelakon 'Suami Aku Ustaz' dimasukkan ke hospital


Pelakon 'Suami Aku Ustaz' dimasukkan ke hospital  | Pelakon popular Adi Putra, 32, dimasukkan ke hospital hari ini berpunca daripada bebanan kerja dan kurang istirehat. Pelakon dan pengarah filem Suami Aku Ustaz itu bukan dimasukkan ke hospital tempatan tetapi sedang menjalani rawatan di salah sebuah hospital di Surabaya, Indonesia. Menurut Presiden 1 Hotlovers, Che Zaipah Abdul, pelakon tersebut berada di sana bagi menjalani klip video untuk lagu yang bakal dimuatkan dalam filem Suami Aku Ustaz. "Ya memang benar Adi dimasukkan ke hospital pagi semalam. Kejadian berlaku sewaktu dia sedang menjalani penggambaran klip video untuk filem Suami Aku Ustaz. "Setakat ini saya difahamkan yang Adi mengalami keletihan melampau hingga kesihatannya terganggu. Sejak dia balik daripada umrah sebelum raya hingga sekarang, dia tidak henti bekerja," kata presiden kelab peminat pelakon itu kepada Utusan. Turut berada di sisi Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim adalah isterinya, Zuhaidah Yusof, 38. - Utusan





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!