Saturday, October 26, 2013

Gempar, kilang gula-gula meletup


Gempar, kilang gula-gula meletup | Seorang maut manakala puluhan yang lain parah selepas sebuah kilang gula-gula Dulces Blueberry tiba-tiba meletup di utara Mexico, semalam. Saksi Ismael Bouchet berkata, letupan berlaku di tingkat dua bangunan itu menyebabkan lantai runtuh. "Saya berupaya membantu lima orang pekerja keluar dari bangunan. Bagaimanapun, mereka pengsan sejurus keluar dari bangunan berkenaan keran terkejut," katanya. Media melaporkan, sebanyak 30 ambulan bergegas ke tempat kejadian membawa mangsa ke hospital. Ketua Penyelamat Fernando Motta berkata, pihaknya sedang memeriksa kawasan letupan bagi mencari mangsa hilang dan maut, menurut laporan Al Jazeera. -AP




.

Apa itu persembahan monyet di jalanan atau dikenali sebagai topeng monyet?


Apa itu persembahan monyet di jalanan atau dikenali sebagai topeng monyet? | Pihak berkuasa Jakarta bakal menguatkuasakan larangan persembahan monyet di jalanan atau dikenali sebagai topeng monyet bagi mengelakkan penyebaran penyakit anjing gila dan mengganggu lalu-lintas. Gabenor Jakarta, Joko Widodo berkata, Jabatan Sosial akan bekerjasama dengan pihak polis dan Jabatan Laut dan Penternakan untuk mengatasi lambakan persembahan monyet di ibu negara ini. Widodo berkata, kebanyakan persembahan monyet jalanan tidak dilakukan oleh pemiliknya, dan ramai di antara mereka datang dari luar Jakarta untuk mencari wang di bandar ini. Jelasnya, persembahan topeng monyet sering menyebabkan kesesakan lalu-lintas ekoran tindakan orang ramai berkumpul dan berhenti di tepi jalan untuk melihat aksi lincah haiwan terbabit.


"Selain itu, mengikut Peraturan Daerah Nombor 8 (2007) berkaitan perihal awam, persembahan monyet merupakan satu kesalahan kerana haiwan terbabit boleh menyebarkan penyakit berbahaya kepada orang ramai. "Monyet merupakan haiwan yang dilindungi dan perlu dihantar semula ke habitat di kawasan hutan simpan," katanya kepada tribunnews.com. Larangan terbabit dijangka dikuatkuasakan bermula tahun depan dan kesemua monyet yang dirampas akan ditempatkan di Taman Mergastua Ragunan sebelum dilepaskan ke hutan simpan. Bagaimanapun Widodo berkata, pihaknya akan membeli kesemua monyet terbabit dan menanggung kos rawatan bagi yang berpenyakit. "Saya juga akan membantu pemilik monyet untuk mendapatkan pekerjaan baharu bagi memastikan sumber pendapatan mereka tidak terjejas," katanya tanpa menjelaskan jenis pekerjaan yang ditawarkan kepada golongan itu. - AGENSI





.

Gambar Titan Arum atau Amorphophallus Titanum yang berkembang mekar ditemui di Sumatera Utara


Gambar Titan Arum atau Amorphophallus Titanum yang berkembang mekar ditemui di Sumatera Utara | Sekumpulan Ahli Komuniti Medan Petualang, baru-baru ini berpeluang melihat keajaiban bunga paling besar di dunia, Titan Arum atau Amorphophallus Titanum yang berkembang mekar dekat air terjun Deli Serdang, Sumatera Utara. Titan Arum atau dikenali sebagai bunga mayat merupakan tumbuhan istimewa kerana hanya berkembang untuk tempoh 72 jam dan mengeluarkan bau busuk serta warna bunga menyerupai corak daging yang sering menarik perhatian agen pendebungaan seperti lalat dan kumbang.

Seorang daripada anggota komuniti tersebut, Ria Handayani berkata, ini merupakan kali pertama dia melihat bunga gergasi itu mekar dan berasa sangat kagum dengan saiz tumbuhan itu. "Saya dan rakan yang lain tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan bunga mayat itu, walaupun terpaksa menuruni tebing curam di tepi sungai," katanya kepada solopos.com.


Kumpulan tersebut bernasib baik dapat melihat fenomena itu ketika berkunjung ke air terjun Tarunggang untuk aktiviti riadah. Bunga tersebut yang berasal dari Sumatera ditemukan buat pertama kali pada 1878 oleh pakar botani dari Itali, Odoardo Baccari dan rakannya, Profesor Giovanni dari Turki. Tumbuhan gergasi itu mampu membesar sehingga mencapai ketinggian 3.17 meter dan hanya tumbuh di kawasan rendah yang beriklim tropika dan subtropika seperti di Afrika Barat dan Kepulauan Pasifik termasuk Indonesia. - AGENSI




.

Info mengenai GST yang akan dikuatkuasa pada 1 april 2015


Info mengenai GST yang akan dikuatkuasa pada 1 april 2015 | Kerajaan akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkuatkuasa 1 April 2015 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang dimansuhkan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kadar GST yang akan dikenakan adalah sebanyak 6 %. "Gst bukanlah cukai tambahan baharu realitinya kadar inflasi kini berada di paras rendah 2%. Kerajaan yakin inilah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi minimum dan terkawal," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2014 di Parlimen pada Jumaat. Najib berkata pelaksanaan GST dapat membantu negara menangani banyak kelemahan dalam sistem pencukaian sedia ada.

 "Sebagai contoh pada waktu ini sekiranya kita membeli minuman berkarbonat di restoran tanpa kita sedari, kita dah membayar dua kali cukai iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan. "Dalam bahasa mudahnya dalam sistem GST pengguna perlu membayar satu kali cukai sahaja. Realitinya juga perubahan harga barangan dan perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat minimum," katanya. Najib berkata, kerajaan akan memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM300 sebaik sahaja GST dilaksanakan nanti. -SH




.

Kisah tragis disebabkan daging korban pada sambutan raya aidiladha


Kisah tragis  disebabkan daging korban pada sambutan raya aidiladha | Hasrat seorang warga emas untuk mendapatkan daging korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha lalu tidak kesampaian, apabila dia meninggal dunia sebelum sempat beratur untuk mendapatkan pembahagian daging tersebut yang berlangsung di Masjid Istiqlal, di sini. Sukiyo, 74, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 4.30 pagi waktu tempatan, ketika pintu gerbang masjid tersebut dibuka kepada orang ramai yang mahu mendapatkan daging percuma sebanyak satu kilogram seorang. ''Kematian Sukiyo tiada kena mengena dengan kekecohan yang berlaku ketika pembahagian tersebut dijalankan. ''Mangsa terjatuh dan dihantar ke hospital sebelum didapati sudah meninggal dunia,'' kata Ketua Pesuruhjaya Polis Sawah Besar, Shinto Silitonga kepada Liputan6.com.


Sementara itu, anak Sukiyo iaitu Sigit, 27, berkata, bapanya menghidap penyakit darah tinggi dan sering mengadu kesakitan ekoran usianya yang sudah lanjut. ''Kami sudah berpesan kepada dia supaya tidak pergi ke masjid bagi mendapatkan daging korban,'' ujar Sigit. Dalam perkembangan yang sama, lapan orang cedera, kesemuanya wanita selepas berlaku kekecohan ketika pembahagian daging korban dijalankan di masjid tersebut. Mangsa mengalami kecederaan selepas dipijak oleh orang ramai yang berasak-asak ketika beratur dan kesemua mereka dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan, kata Pegawai Perhubungan Awam Hospital Cipto Mangunkusumo, Sulastin. - AGENSI





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!