Thursday, October 31, 2013

Gambar Flat PKNS Kerinchi terbakar


Gambar Flat PKNS Kerinchi terbakar | Flat PKNS Kampung Kerinchi dilaporkan terbakar sekitar jam 4.40 petang tadi. Pihak bomba dikatakan sedang berusaha memadam kebakaran di tingkat paling atas flat 17 tingkat itu. Berita itu turut disahkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar di laman Instagram miliknya. "Flat PKNS 17 tingkat alami kebakaran. Makluman untuk penghuni dan penduduk setempat. Innalillah," tulisnya. Dalam satu laporan di sebuah laman portal menyebut, kebakaran tersebut memusnahkan kira-kira enam unit rumah. - SH




.

Gambar banjir kilat berikutan hujan lebat di Lembah Kelang


Gambar banjir kilat berikutan hujan lebat di Lembah Kelang | Kesesakan lalu lintas bermula awal pagi Khamis di Lembah Klang berikutan hujan lebat pada hari kedua menyebabkan banjir kilat di beberapa laluan memasuki atau keluar dari ibu negara. Setakat pukul 4 petang, Star Radio Traffic(@mytrafiic) melaporkan beberapa laluan utama di Lembah Klang sesak teruk. Di lebuhraya Sprint, banjir kilat menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua arah. Satu lagi banjir kilat dilaporkan berlaku di KM19 lebuhraya NPE. Terowong SMART masih lagi dibuka untuk kenderaan dari kedua-dua arah. -Mstar





.

Inilah sebab sebenar penyampai radio popular, Hot FM, Faizal Ismail letak jawatan


Inilah sebab sebenar penyampai radio popular, Hot FM, Faizal Ismail letak jawatan | "SAYA letak jawatan bukan kerana tawaran lumayan daripada stesen radio lain!" tegas penyampai radio popular, Hot FM, Faizal Ismail, berhubung isu letak jawatan pada 24 Oktober lalu, menerusi laman sosial miliknya. Menerusi sidang media semalam, di Restaurant Marche, The Curve, Faizal yang lebih mesra dengan panggilan FBI tampil merungkai spekulasi mengenai tindakannya itu. "Tindakan ini dibuat bukan kerana saya lebih tertarik dengan tawaran stesen radio lain atau mempunyai masalah dengan Hot FM. "Dalam masa terdekat ini, saya tidak akan terima sebarang tawaran bekerja dengan stesen radio lain. Jadi, spekulasi mengenai peletakan jawatan saya kerana ingin beralih angin adalah tidak benar.

"Saya berhenti kerana ingin urus perniagaan sendiri. Malah, perkara ini telah saya bincang bersama isteri yang juga penasihat saya sejak dua tahun lalu," katanya yang masih lagi bersama Hot FM sehingga 15 November ini. Tambah Faizal, selepas tarikh itu, dia masih lagi bersama radio tersebut secara sambilan menerusi segmen khas. "Saya masih lagi bersama Hot FM sehingga 15 November ini. Selepas itu, saya akan sambung secara 'part time' sahaja, mungkin di segmen hujung minggu, Sabtu atau Ahad. "Pada 24 Oktober lalu, notis peletakan jawatan itu, namun saya perlu mengikuti prosedur yang telah ditetapkan oleh stesen radio. "Setelah berbincang dengan pihak pengurusan, mereka menerima permohonan saya," katanya yang menggalas tugas sebagai penyampai radio berkenaan hampir tujuh tahun.


Sukar urus masa 

Baru sahaja menubuhkan syarikat miliknya, FBI Entertainment Sdn Bhd, sejak dua bulan lalu, akui Faizal, agak sukar untuk menguruskan pelbagai perkara dalam satu masa. "Pada awalnya, saya cuba untuk bahagi masa sebaik mungkin untuk urus syarikat dan kerjaya. Namun, saya gagal beri komitmen yang baik untuk kedua-duanya. "Jadi, saya perlu korbankan karier saya. Walaupun berat hati, saya terpaksa demi masa depan keluarga. Sejujurnya, saya memang sayangkan karier ini kerana saya bermula dari bawah dan melalui peringkat demi peringkat sehingga berjaya sampai ke tahap ini. "Namun, sampai bila saya mahu berada di konti? Saya percaya, populariti kini tidak jamin (kekal populariti) untuk lima tahun yang akan datang. Saya tidak mahu terus terperangkap dalam kepompong ini sehingga sukar untuk pilih cabang lain," katanya yang menghargai setiap pengalaman yang diperoleh bersama radio itu.

Katanya, selama 15 tahun dalam bidang ini, dia berhasrat untuk melakukan perubahan dalam perjalanan kariernya. "Saya tidak boleh sentiasa berada di zon selesa kerana sampai pada satu tahap, kita memerlukan pembaharuan. "Saya perlu cuba bidang lain dan mencabar diri saya untuk urus perniagaan," katanya yang pernah memenangi Anugerah Penyampai Radio Lelaki Popular selama 6 tahun berturut-turut menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP). Tambah Faizal, walaupun syarikatnya masih baru, tetapi ia menunjukkan perkembangan membanggakan. "Alhamdulillah, ada dalam kalangan rakan saya bersedia untuk bekerja bersama dan mereka menunjukkan komitmen yang baik. "Menerusi syarikat itu, kami akan terlibat dalam pengurusan majlis, produksi televisyen. Malah, saya juga berhasrat untuk kembangkannya sebagai platform untuk penghasilan drama," katanya yang masih lagi terlibat dengan program pengacaraan televisyen.


Tiada pengganti? 

Menurut Pengarah Rangkaian Hot FM, Seelan Paul, mengakui peletakan jawatan Faizal adalah satu kehilangan besar buat radio itu. Katanya, populariti Faizal sepanjang berada di radio itu banyak memberi keuntungan dan kepentingan kepada syarikat. "Faizal adalah salah seorang penyampai radio yang memainkan peranan penting dalam peningkatan rating pendengar. Malah, ia adalah satu kehilangan besar buat kami. "Mana tidaknya, sehingga kini, dia mempunyai kelompok peminat tersendiri termasuk 500,000 pengikut di laman sosial. "Malah, sehingga kini, kami masih tidak jumpa pengganti yang layak untuk menggantikan Faizal. Mungkin kami akan ambil masa selama sebulan dua untuk mencarinya. Sepanjang ketiadaan Faizal, AG dan Fara Fauzana akan menggantikannya," katanya lagi. -SH




.

Gambar anak perempuan Cheryl Samad yang dinamakan Stella



Gambar anak perempuan Cheryl Samad yang dinamakan Stella | Dalam diam rupa-rupanya Cheryl Samad telah pun bergelar ibu pada 18 Oktober yang lalu. Tahniah diucapkan kepada Cheryl dan suami atas kelahiran bayi perempuan yang diberi nama Stella. Berita baik ini telah dikongsi oleh Cheryl menerusi akaun Instagramnya semalam. Keterujaan Cheryl Samad bergelar ibu dapat dilihat menerusi status yang dikongsinya. Meet our little girl, Stella.We’ve been waiting for her for a long time. She finally arrived on Friday the 18th of October. We feel very blessed.


Cheryl Samad telah pun berkahwin dengan Ng Ping Ho pada 30 April 2011. Semoga dengan kehadiran cahaya mata ini akan memeriahkan lagi keluarga mereka. Tahniah diucapkan kepada Cheryl dan suami. Selamat menjalani kehidupan sebagai ayah dan ibu. -BN





.

Pengawal Keselamatan bersenjata rompak barang kemas pula


Pengawal Keselamatan bersenjata rompak barang kemas pula | Seorang pengawal keselamatan bersenjatakan pistol melarikan sedulang barang kemas dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi tadi di sebuah pusat beli belah di Setapak. Difahamkan, sebelum kejadian pengawal keselamatan berkenaan sedang duduk di kerusi berdekatan pintu masuk kedai manakala staf lain sedang menyusun dulang barang kemas dalam rak kaca.

Sumber polis berkata, dengan tiba-tiba lelaki berusia 30an dan berpakaian seragam pengawal keselamatan itu mengarahkan seorang staf untuk keluarkan sebuah dulang barang kemas dan melarikan diri ke arah aras bawah tanah dipercayai untuk mengambil motosikalnya. Katanya, meskipun kejadian berkenaan berlaku hanya 100 meter dari pintu masuk utama pusat beli belah itu namun disebabkan pintu berkenaan akan dibuka selepas 10 pagi, suspek melarikan diri melalui aras bawah tanah. Beliau berkata, kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000. -HM





.

Gambar Jambatan Kedua P.Pinang Disalurkan Bekalan Elektrik Buat Pertama kalinya


Gambar Jambatan Kedua P.Pinang Disalurkan Bekalan Elektrik Buat Pertama kalinya | Jambatan Kedua Pulau Pinang mula menerima bekalan elektrik secara rasmi pada jam 8.10 malam Rabu yang disalurkan dari dua substesen Tenaga Nasional Bhd (TNB). Penyaluran bekalan elektrik itu disempurnakan Pengurus Besar TNB negeri, Datuk Mohd Zahir Md Nagor dan Pengarah Urusan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Ir Dr Datuk Ismail Mohamed Taib. Majlis bersejarah itu juga turut disaksikan kira-kira 150 kakitangan TNB, JKSB serta petugas media. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, bekalan elektrik untuk Jambatan Kedua disalurkan dari dua substesen TNB iaitu dari sini dan Batu Maung di bahagian pulau. -Mstar





.

Jemaah haji baru pulang temui ajal dalam kemalangan


Jemaah haji baru pulang temui ajal dalam kemalangan | Waris tiga jemaah haji yang menemui ajal dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini awal pagi ini tidak menyangka saat yang ditunggu-tunggu dengan penuh gembira bagi menyambut kepulangan mereka dari Tanah Suci bertukar pilu. Dalam kejadian 3.40 pagi di KM210.2, LPT dekat Gambang itu, van yang membawa pulang lima jemaah haji ke Kuantan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) telah merempuh belakang lori muatan bijih besi mengakibatkan tiga maut dan tiga lagi termasuk pemandu cedera. Tiga yang maut ialah Kamarudin Ab. Rahman, 43, Zainab Awang Hassan, 59, dan Fatimah Said, 63, manakala isteri dan ibu Kamaruddin, Tuan Mazlinawati Tuan Abdullah, 40, dan Rokiah Ibrahim, 63, serta pemandu van Robaie Roslan, 45, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

 Cucu Fatimah, Nur Syafiqa Lyanna Saidi, 25, berkata, dia tidak sabar menunggu kepulangan neneknya selepas tidak bertemu lebih sebulan, namun mereka sekeluarga reda dengan ketentuan ALLAH SWT. "Dia (Fatimah) memang kat sana katanya 'happy' sebab tahun lepas dia dah nak pergi cuma tak dapat...tapi tak sangka pulak nak jadi macam ni.


"Keluarga pun terima berita ini (kematian) dengan reda," katanya dalam sebak ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, HTAA. Seorang anggota keluarga Kamarudin, Khairul Azhan Zainol, 41, berkata, mereka sekeluarga merancang untuk bercuti ke Pulau Langkawi selepas pulang dari Makkah. "Saya hubungi biras saya, Mazlinawati (isteri Kamarudin) pada kira-kira jam 4 pagi untuk bertanya sama ada sudah sampai di Kuantan sebab jangka sampai jam 2 pagi namun mereka lewat. "Ketika menghubungi Mazlinawati saya diberitahu mengenai kemalangan itu dan kami sekeluarga terus bergegas ke HTAA," katanya. Jenazah ketiga-tiga mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Gambang petang semalam. - Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!