Friday, December 6, 2013

Gambar rumah pangsa paling sempit di dunia


Gambar rumah pangsa paling sempit di dunia | Sebuah rumah pangsa di sini boleh diiktiraf sebagai bangunan paling sempit di dunia, sehinggakan kerusi pun tidak muat untuk dimasukkan ke dalam rumah tersebut. Terletak di Jalan Ningbo di bandar raya ini, bangunan itu kelihatan tidak lebih daripada dinding bata yang dibangunkan berhampiran dengan sebatang jalan. Bangunan tersebut merupakan sebahagian daripada blok rumah berbentuk segi tiga. Kebanyakan penduduk mengatasi masalah kesempitan rumah berkenaan dengan menambahkan ruang di bahagian beranda.


Sesetengah penulis blog menyamakan bangunan berkenaan dengan bangunan Flatiron di New York, ekoran rupa bentuknya yang nipis dan bentuknya yang seakan-akan seterika baju. Bangunan Flatiron kini menjadi mercu tanda dan kawasan tarikan pelancong bandar raya tersebut. Terletak di Fifth Avenue, bangunan itu dianggarkan bernilai AS$190 juta (RM613.13 juta). - AGENSI




.

Pesakit kanser ini terinspirasi dengan seekor kambing



Pesakit kanser ini terinspirasi dengan seekor kambing | Seorang pesakit kanser dari wilayah Anhui di China, sanggup mengembara beribu-ribu kilometer ke wilayah Henan semata-mata kerana mahu membeli seekor kambing berkaki dua yang dipaparkan sebuah akhbar tempatan, baru-baru ini. Wang Xinmin, penghidap barah limfoma dari daerah Fuyang membuat keputusan untuk membeli haiwan dari daerah Zhoukou itu selepas dia kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh kambing tersebut untuk terus hidup walaupun cacat. Xinmin, 31, membayar sebanyak 4,500 yuan (RM2,343) kepada pemilik kambing itu yang mampu berjalan sendiri selepas dilahirkan hanya dengan dua kaki di bahagian belakangnya.

"Bila saya melihat laporan tentang kambing itu, saya rasa, saya mempunyai tanggungjawab untuk melindunginya kerana haiwan itu menunjukkan semangat yang bersungguh-sungguh untuk terus hidup. "Saya mahu membesarkan kambing itu kerana semangatnya yang kuat merupakan 'penawar' terbaik kepada saya,'' kata anak sulung daripada lima beradik itu yang kini mempunyai sebuah syarikat yang diusahakan bersama seorang rakannya.


Menurut petani yang memelihara kambing itu, Zhao Jinfeng, haiwan tersebut dilahirkan pada Ogos lalu dan mempunyai empat beradik. Namun katanya, tiga daripada anak kambing itu dilahirkan dalam keadaan sempurna dan sihat. Katanya lagi, sebulan sejurus dilahirkan, kambing yang mempunyai dua kaki itu mula belajar untuk berjalan sendiri dengan dua kaki belakangnya. Menurut doktor haiwan, kecacatan yang dialami kambing itu adalah disebabkan oleh faktor mutasi genetik. - AGENSI




.

Alasan Barrack Obama tidak dibenarkan memiliki iPhone


Alasan Barrack Obama tidak dibenarkan memiliki iPhone | Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama semalam memberitahu, beliau tidak dibenar untuk menggunakan telefon pintar iPhone atas faktor keselamatan. Menurut Obama, atas sebab itu juga, beliau kadang kala sering dilihat menggunakan telefon Blackberry yang mempunyai ciri keselamatan yang lebih baik. "Atas sebab keselamatan, saya tidak dibenarkan untuk memiliki iPhone,'' kata Obama kepada sekumpulan belia di White House pada satu majlis mempromosikan undang-undang penjagaan kesihatan yang dirancangnya. Kata Obama, anaknya, Sasha dan Malia pula sering menghabiskan banyak masa bersama iPhone masing-masing.

Telefon pintar Blackberry terkenal kerana sistem keselamatannya yang canggih dan itu juga adalah sebab utama mengapa ia masih popular dalam kalangan pegawai kerajaan di Washington walaupun syarikat itu mengalami kerugian berbanding pesaingnya. Sistem keselamatan Blackberry diteliti semula tahun ini selepas pendedahan dakwaan agensi perisikan AS mengintip perbualan telefon Canselor Jerman, Angela Merkel. Dalam tempoh beberapa hari sebelum memulakan tugasnya sebagai Presiden, Obama memenangi tuntutannya untuk terus menggunakan telefon Blackberry miliknya daripada Perkhidmatan Rahsia meskipun wujud kebimbangan telefon pintar itu terdedah untuk digodam. Obama dilihat sering tidak lekang untuk melihat mesej-mesej pada telefon bimbitnya walaupun semasa berada dalam kenderaan rasminya atau ketika bertugas. - AFP




.

Penduduk Dilarang Kahwin Sepanjang Musim Hujan



Penduduk Dilarang Kahwin Sepanjang Musim Hujan  | Sepanjang empat bulan, mulai November lepas sehingga Februari tahun depan yang merupakan musim hujan, sebilangan penduduk di sebuah daerah kecil di Nusa Tenggara Barat terpaksa menunda hasrat mereka untuk berkahwin. Ini berikutan keputusan kepimpinan masyarakat tempatan mengenakan peraturan melarang penduduknya berkahwin di sepanjang musim hujan sekarang, dengan alasan musim hujan perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan kegiatan pertanian. Mereka yang didapati melanggar peraturan itu akan dikenakan denda. Peraturan yang dibuat melalui kesepakatan kepimpinan masyarakat tempatan di daerah kecil Amarasi Selatan, dalam daerah Kupang itu, memutuskan bahawa musim hujan adalah masa terbaik untuk berbudi kepada tanah dan bukannya untuk menganjurkan kenduri perkahwinan secara berlebihan, sebagaimana kelaziman penduduk di situ bila ada majlis perkahwinan.

"Kami tidak akan melayan urusan pendaftaran pasangan yang ingin bernikah di bulan-bulan ini. Masyarakat harus memberi fokus untuk menguruskan tanah pertanian mereka, bukannya menguruskan pesta perkahwinan," kata Ketua Daerah Kecil Amarasi Selatan, Murlin Buraen. Murlin berkata denda akan dikenakan kepada pasangan melanggar peraturan itu namun bentuk denda akan ditetapkan berdasarkan kesepakatan masyarakat setempat. Beliau berkata larangan itu akan dihebahkan kepada seluruh masyarakat dan melalui kerjasama dengan pengurusan gereja, semua pasangan yang memohon untuk berkahwin akan diumumkan kepada orang ramai bagi memastikan permohonan mereka dibatalkan. Penduduk hanya akan dibenarkan berkahwin mulai bulan Mac tahun depan. - Bernama




.

Terkini : Ramalan cuaca buat 4 negeri, Johor Kelantan Terengganu dan Pahang


Terkini : Ramalan cuaca buat 4 negeri, Johor Kelantan Terengganu dan Pahang | Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 60km/j dengan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter di perairan Kelantan dan Terengganu dijangka berterusan sehingga Isnin, 9 Disember 2013. Keadaan banjir di pantai timur Semenanjung semakin buruk dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sejak malam tadi meningkat kepada 42,626 orang pagi ini.

 Semalam, jumlah yang dipindahkan sebanyak 37,136 orang. Pahang merupakan negeri paling buruk mengalami kesan musim tengkujuh ini dengan 34,235 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Jerantut, Lipis, Temerloh dan Bera. -BH





.

Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela meninggal dunia



Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela meninggal dunia | Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela meninggal dunia di kediamannya di Johannesburg hari ini selepas sekian lama menghidap jangkitan paru-paru. Pejuang anti-aparthied itu berusia 95 tahun. Kematian Mandela diumumkan oleh Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma. “Kini beliau pergi dengan aman untuk selama-lamanya," kata Zuma yang turut bersedih. Zuma juga mengumumkan satu pengkebumian negara akan dilakukan untuk Mandela dan mengarahkan semua bendera dikibar separuh tiang mulai hari ini sehinggalah pengkebumian tokoh negara itu. - AP



.

Ketumbuhan seberat 25 kilogram dalam rahim seorang wanita



Ketumbuhan seberat 25 kilogram dalam rahim seorang wanita | Pasukan doktor bedah di sebuah hospital timur Sepanyol berjaya membuang ketumbuhan seberat 25 kilogram daripada rahim seorang wanita dalam satu pembedahan. Menurut Ketua Jabatan Bbstetrik dan Ginekologi Hospital Torrevieja, Eduardo Cazorla hari ini, pembedahan itu merupakan satu kejayaan terbesar dalam sejarah hospital tersebut. "Ketumbuhan itu berjaya dikesan selepas pesakit yang berusia 47 tahun sering mengadu berasa sakit di bahagian perutnya," katanya. Bagaimanapun, hospital terbabit tidak menyatakan bila pembedahan itu dilakukan. - AFP



.

Rita Rudaini dikatakan buat tuntutan melampau terhadap bekas suaminya, Aidil Zafuan


Rita Rudaini dikatakan buat tuntutan melampau terhadap bekas suaminya, Aidil Zafuan | Pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini yang pendapatannya RM10,000 sebulan dan tuntutan nafkah anak RM5,392 oleh pelakon Rita Rudaini terhadapnya adalah melampau. Mohamad Aidil, 26, berkata, dia tidak bersetuju dengan jumlah yang diminta oleh bekas isterinya itu kerana melampaui keperluan sebenar dua anaknya dan dia telah menyediakan nafkah mengikut keperluan mereka dan kemampuannya. Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 37, selaku pihak plaintif menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2, merangkumi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.

Mohamad Aidil yang juga pemain pasukan Johor Darul Takzim mendakwa, dia telah memperuntukkan antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan untuk plaintif dan anak-anak serta RM4,000 setiap kali musim perayaan. "Saya tidak menentukan jumlah nafkah untuk mereka, jika ada lebih saya akan bagi lebih," katanya. Menurut beliau, selain nafkah anak-anak, dia juga perlu menanggung ibu bapa serta hutang peribadi seperti kereta dan motosikal yang digunakan untuk pergi bekerja. Mohamad Aidil yang dinamakan sebagai defendan turut menafikan dakwaan yang dia cuai serta gagal menyediakan nafkah untuk plaintif dan dua anak lelaki mereka. Menurutnya, sepanjang tempoh anak-anaknya tinggal bersama Rita sejak Januari 2012, dia memasukkan wang melalui akaun bank milik pelakon itu pada setiap bulan.

"Saya telah mengirimkan nafkah untuk anak-anak saya sejak mula tinggal berasingan dengan plaintif. "Pada awalnya saya ada mengirimkan cek berjumlah RM3,000 yang dikirim secara pos berdaftar di alamat tempat tinggal plaintif di Kota Damansara, Petaling Jaya namun cek itu tidak dituntut dan dikembalikan," katanya. Selepas mendapat nombor akaun bank Rita, Mohamad Aidil berkata, dia memasukkan duit nafkah ke dalam akaun tersebut. Berhubung tuntutan plaintif berkaitan 18 kotak susu yang didakwa digunakan oleh dua anak lelakinya, Mohamad Aidil tidak bersetuju dengan perkara tersebut. "Saya percaya jumlah itu tidak logik kerana anak-anak saya sudah pandai makan dan tidak hanya bergantung kepada susu semata-mata. "Saya juga percaya jumlah RM792 untuk susu sahaja adalah di luar keperluan anak-anak saya dan kos itu tidak selari dengan resit yang dilampirkan plaintif," ujarnya.

Selain itu, Mohamad Aidil mendakwa, Rita sering menafikan haknya sebagai bapa untuk melawat dan berjumpa dengan anak-anaknya. Mohamad Aidil berkata demikian menerusi afidavit bertulisnya yang dikemukakan dalam perbicaraan kes tuntutan nafkah dua anaknya yang didengar di hadapan Hakim Syarie Abd. Halim Abu Samah. Afidavit itu diserahkan kepada mahkamah oleh peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie yang mewakili pemain bola sepak itu. Mohamad Aidil turut mengemukakan resit-resit pembayaran nafkah menerusi bank kepada mahkamah untuk ditandakan sebagai bukti.

Selain memberi wang, menurut defendan, dia telah membuka akaun Bijak Malaysia dan akaun Tabung Haji bagi kedua-dua anaknya itu. Defendan juga memberitahu, dia turut menyediakan insurans untuk anak-anaknya serta keperluan asas seperti susu dan lampin pakai buang jika berkesempatan berjumpa mereka. Mohamad Aidil hadir ke mahkamah ditemani adik kembarnya, Zaquan Adha manakala Rita yang diwakili peguam syarie Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain hadir bersama tiga rakannya. Mahkamah menetapkan 16 Januari tahun depan untuk Mohd. Zaidi menyoal balas keterangan defendan. -Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!