Saturday, December 7, 2013

Bantuan RM500 Kepada Setiap Keluarga Mangsa Banjir - Najib


Bantuan RM500 Kepada Setiap Keluarga Mangsa Banjir - Najib | Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan kewangan RM500 diberikan kepada setiap keluarga yang terlibat dengan musibah banjir. "Sebagai tanda keprihatinan kerajaan, saya faham bila kena banjir sebab saya ahli Parlimen (Pekan) kawasan yang selalu kena banjir. Saya tahu susah payah, penderitaan mereka. "Sebagai tanda kasih dan prihatin kerajaan maka saya nak umumkan pembayaran RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat banjir," katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Sabtu. Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut menyarankan semua bank di negara ini untuk membenarkan mangsa-mangsa banjir menangguhkan sementara bayaran balik pinjaman mereka.

"Saya mengalu-alukan cadangan malah langkah pertama dan dibuat oleh Malayan Banking supaya (bayaran balik) hutang bank bagi mangsa banjir ditangguhkan sementara. "Saya sebagai Menteri Kewangan sarankan semua bank mengikut langkah menangguhkan bayaran balik untuk sementara waktu," katanya. Presiden Umno itu melahirkan rasa simpati kepada rakyat Malaysia yang berdepan dengan masalah banjir khususnya di negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung. "Timbalan perdana menteri dah turun melawat dan sebagai pengerusi jawatankuasa banjir negara telah mengeluarkan arahan yang tegas kepada semua jabatan, agensi kerajaan bantu mangsa banjir dengan bersungguh-sungguh,"katanya. Banjir yang melanda Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan membabitkan puluhan ribu mangsa terpaksa dipindahkan. Perdana Menteri juga telah bergegas ke Pahang untuk meninjau lebih dekat masalah rakyat susulan banjir, selepas merasmikan Perhimpunan Agung Umno di siniKhamis.-Bernama




.

Kanak-Kanak 18 Bulan Dicampak Dari Tingkat 25


Kanak-Kanak 18 Bulan Dicampak Dari Tingkat 25  | Satu rakaman memaparkan seorang pelajar perempuan menyerang seorang kanak-kanak lelaki di dalam lif dan mencampakkannya ke bawah dari beranda di tingkat 25 memeranjatkan seluruh negara. Rakaman video pengawasan itu yang menunjukkan pelajar perempuan terbabit memukul dengan kejam kanak-kanak berkenaan selepas menghempas dan menendangnya beberapa kali di dalam lif tersebar luas dalam laman sosial mirip Twitter China, Sina Weibo, mencetuskan perdebatan hangat melibatkan lebih 310,000 perbincangan dalam mikroblog. Portal berita dalam talian BjNews melaporkan insiden itu berlaku pada 25 Nov di bandaraya Chongqing, barat daya China, apabila nenek kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan itu yang digelar 'Yuanyuan' keluar dari lif dengan membawa basikal cucunya, pintu lif tertutup dan meninggalkan Yuanyuan bersama pelajar perempuan berumur 10 tahun itu.

Rakaman itu menunjukkan selepas menyerang anak kecil itu dengan kejam, lif tiba di tingkat 25, pelajar perempuan mengangkat Yuanyuan dan mencampakkannya keluar. Setelah mendapati lif berhenti di tingkat 25, si nenek yang amat bimbang berkata dia segera bergegas ke tingkat berkenaan dan berjumpa pelajar perempuan itu. Bagaimanapun, pelajar itu berkata dia tidak nampak kanak-kanak itu dan mendakwa seseorang telah membawanya pergi, tetapi tidak ingat sama ada wanita atau lelaki yang membawanya, kata nenek dan menambah pelajar itu malah menawarkan diri untuk mencari cucunya.

"Dalam masa lima minit, Yuanyuan terbaring berlumuran darah di atas tanah di luar bangunan," kata nenek itu. Kanak-kanak itu dilaporkan mengalami pendarahan paru-paru dan retak tempurung kepala. Keadaannya stabil dan diletakkan di bawah pemerhatian dalam unit rawatan rapi di sebuah hospital. Polis berkata kes itu masih disiasat. Sungguhpun menerima 58,000 yuan (US$9,464) daripada keluarga pelajar perempuan itu, ibu mangsa berkata pada Rabu dia akan memfailkan saman terhadap keluarga pelajar berkenaan. - BERNAMA




.

Reaksi Tun Mahathir diatas kematian Nelson Mandela



Reaksi Tun Mahathir diatas kematian Nelson Mandela | Nelson Mandela adalah seorang pemimpin yang cukup hebat serta memiliki ketabahan luar biasa dan komitmen yang tidak pernah luntur dalam memperjuangkan keadilan sosial, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri itu berkata beliau menyambut berita kematian Mandela dengan amat sedih dan berasa suatu kehilangan yang amat besar. "Pemergiannya merupakan suatu kehilangan besar bagi saya dan semua rakyat Afrika," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Dr Mahathir berkata Mandela bukan sahaja sahabat sejati beliau, tetapi juga pemimpin yang amat beliau kagumi. "Setiap kali ditanya siapakah pemimpin yang pernah saya jumpa yang paling saya kagumi, tanpa teragak-agak saya akan menjawab, Nelson Mandela," katanya.

Dr Mahathir berkata Mandela juga adalah insan bersifat pemaaf dan tidak memusuhi mereka yang pernah memenjarakannya kerana beliau lebih mementingkan perdamaian serta perkongsian kekayaan dan peluang yang terdapat di negaranya antara masyarakat kulit putih dan masyarakat kulit hitam. "Tidak ramai manusia di dunia yang memiliki sikap mulia seperti ini," katanya. Mandela, 95, meninggal dunia di kediaman beliau di Johannesburg pada Khamis malam setelah bergelut dengan jangkitan paru-paru sejak sekian lama. - Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!