Thursday, December 19, 2013

Tragedi : Penyokong bola sepak ditembak mati



Tragedi : Penyokong bola sepak ditembak mati | Seorang remaja ditembak sebelum meninggal dunia awal pagi ini selepas 'Hari Penyokong' yang dianjurkan kelab bola sepak Boca Juniors bertukar menjadi ganas. Mangsa dikenali sebagai Rafael Ruiz, 19, berada di dalam kereta api selepas menyertai festival berkenaan bersama ratusan penyokong lain apabila ditembak oleh individu dari dalam sebuah van. Saksi berkata, Ruiz ditembak di kepala dan dada sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. Ribuan penyokong Boca yang memakai jersi popular biru-kuning, berkumpul malam tadi di tengah ibu negara Argentina itu.

Ia bertukar ganas apabila sebahagian penyokong menyerang premis perniagaan dengan kumpulan penyokong bertempur sesama sendiri. Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Argentina dipersalahkan kerana gagal menangani masalah tersebut meskipun menyedari keganasan kerap berlaku di negara itu, Sementara itu, polis sedang menyiasat sama ada penyokong dari kelab bola sepak lain bertanggungjawab dalam kejadian itu atau ia melibatkan kumpulan penyokong Boca Juniors yang bermusuh sesama sendiri. Setakat ini polis sudah menahan 22 orang. -AP



.

Cara pelik selesai masalah kereta yang enggan mengalihkan kenderaan yang halang lalu lintas



Cara pelik selesai masalah kereta yang enggan mengalihkan kenderaan yang halang lalu lintas | SEORANG pemandu lori konkrit bertindak menyimen sebuah kereta kerana berang selepas pemandu kereta terbabit berdegil enggan mengalihkan kenderaan berhampiran kawasan pembinaan di Belo Horizonte, Brazil. Menurut Daily Mail, sebelum kejadian, pekerja dipercayai meminta pemilik kenderaan itu supaya mengalihkan kereta bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan, namun arahan tidak diendahkan dan dia berlalu pergi. Sekembalinya ke kereta, pemandu tersebut terkejut selepas mendapati keretanya disimen dan menjadi sebahagian daripada kawasan kaki lima. Perkataan 'memudahkan' turut ditulis di tingkap kereta itu. -AP



.

Kisah menteri luar termuda di Eropah


Kisah menteri luar termuda di Eropah  | Menteri Luar termuda di Eropah yang berusia 27 tahun, merupakan antara 12 menteri Kabinet yang dilantik Presiden Austria, Heinz Fischer dalam upacara mengangkat sumpah kerajaan campuran negara hari ini. Sebastian Kurz (gambar) sebelum ini memegang jawatan Setiausaha Integrasi Negeri dan dianggap sebagai pemimpin muda dari Parti Rakyat apabila mendapat pujian dalam kerja-kerja kebajikannya di sekolah dan pernah membantu pendatang Islam. Beliau pernah melaksanakan polisi bagi menyatukan pendatang Islam ke dalam masyarakat Austria dengan syarat anak-anak mereka perlu bertutur dalam bahasa Jerman sebelum memasuki alam persekolahan. Kurz turut mengadakan kelas bahasa percuma untuk pemimpin agama Islam dan melancarkan sebuah forum untuk berdialog bersama masyarakat Islam.

Parti Demokratik Sosial dan Parti Rakyat memenangi pilihan raya umum pada September lalu, namun populariti kedua-dua parti itu menurun ke tahap paling teruk sejak Perang Dunia Kedua. - AGENSI Ini berikutan beberapa skandal yang menggugat kedudukan kedua-dua parti dalam kalangan pengundi. Selain Kurz, terdapat beberapa individu muda berkuasa di dunia termasuklah Presiden Korea Utara, Kim Jong-un yang mula memimpin pada usia 28 tahun, sementara Roosevelt Skerrit menjadi Perdana Menteri Dominica pada 2004 seawal umur 32 tahun. Dalam pada itu, Raja Bhutan, Jigme Khesar Namgyel Wangchuck merupakan antara pemerintah termuda apabila beliau memegang takhta pada usia 28 tahun selain Raja Swaziland, Mswati III yang hanya berusia 18 tahun ketika dimahkotakan pada 1986. - AGENSI




.

Gambar fenomena luar biasa salji tebal di utara Vietnam


Gambar fenomena luar biasa salji tebal di utara Vietnam | Salji tebal yang melanda kawasan pergunungan di daerah Sa Pa, barat laut wilayah Lao Cai di sini, memusnahkan sebahagian besar tanaman dan mengakibatkan gangguan lalu lintas. Fenomena seperti itu jarang berlaku, namun salji biasa dilihat di kawasan pergunungan di utara Vietnam pada musim sejuk. Berbanding tahun-tahun sebelumnya, keadaan kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku di wilayah berkenaan, dengan lebih daripada 100 hektar ladang buah-buahan dan bunga dilitupi salji tebal, menurut Jabatan Pembangunan Pertanian dan Luar Bandar. Selain itu, salji tebal turut menyekat laluan lebuh raya sepanjang 10 kilometer menghubungkan wilayah Lao Cai dan Lai Chau, namun usaha kini giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan bagi memulihkan keadaan.

Cuaca sejuk juga memaksa lebih 8,500 buah sekolah rendah dan menengah ditutup buat sementara waktu. Sementara itu, menurut Jabatan Pendidikan dan Latihan Lai Chau, beribu-ribu orang pelajar dari daerah yang teruk dilanda salji iaitu Sin Ho, Phong Tho dan Tam Duong diarahkan supaya tinggal di rumah. "Pelajar dari 63 buah sekolah di Sa Pa termasuk 20 tadika, 22 sekolah menengah dan 21 buah sekolah rendah diarahkan supaya tinggal di rumah bermula semalam hingga hari ini. "Bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini, selimut turut disalurkan kepada pelajar terbabit,'' jelas jabatan itu. Semalam, keseluruhan kawasan di wilayah Lao Cai mencatatkan suhu 5 darjah Celsius dan di Sa Pa, suhunya lebih rendah iaitu 3 darjah Celsius di bawah paras beku. Fenomena salji luar biasa itu turut menyebabkan Lao Cai menjadi tumpuan para pelancong. - Bernama




.

Apa kaitan kahwin dengan facebook?



Apa kaitan kahwin dengan facebook? | Seorang bapa meminta pengguna laman Facebook menekan simbol Like atau suka sebagai menggantikan mas kahwin. Salem Ayash dari bandar Taiz, Yaman, meminta pengguna Facebook berbuat demikian bagi membantu bakal menantunya melangsungkan perkahwinan. “Perkara itu mungkin sukar dilakukan sungguh pun terdapat 25 juta penduduk di Yaman kerana pengguna internet adalah sangat terhad,” katanya. Tindakannya itu bagaimanapun mewujudkan gelombang luar biasa di media sosial apabila ratusan penulis blog turut membantu dengan menggesa pengguna lain berbuat demikian.

Sejak laman itu diwujudkan Ahad lalu, sehingga kini terdapat 30,000 orang menandakan Like. “Mas kahwin terlalu mahal di Yaman. Perkara ini menyukarkan pasangan untuk berkahwin. Saya tidak terkilan menggantikan mas kahwin berbentuk wang ringgit atau barang kemas kepada kaedah digital asalkan mereka dapat berkahwin," katanya. -BBC




.

Permintaan Benjy selepas kehilangan ibunya, Allahyarhamah Azean Irdawaty



Permintaan Benjy selepas kehilangan ibunya, Allahyarhamah Azean Irdawaty | NAMA Azean Irdawaty Yusoef, 63, bukanlah satu nama asing dalam industri seni tanah air kerana bakat seni yang dimiliki berjaya meninggalkan kesan yang mendalam buat peminatnya. Terkenal dengan gaya rambut Farrah Fawcett Malaysia sekitar 1980-an ini, Azean juga pernah menggoncangkan dunia dengan dialognya, “Lihatlah dunia, aku anak wayang...” tatkala memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia 1980. Bukan ucapan yang bermegah-megah, sebaliknya Azean mahu membuktikan 'anak wayang' sepertinya juga mampu berjaya dan membuka mata ramai pihak yang memandang rendah terhadap kerjaya seni itu. Bagaimanapun, malam kelmarin industri seni dikejutkan dengan berita pemergian Azean yang menghembuskan nafas terakhir jam 8.25 malam, ketika sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Allahyarhamah yang sebelum ini disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada Jun 2007 turut menderita pelbagai komplikasi sejak lapan tahun lalu. Ternyata pemergiannya meninggalkan kesan buat peminatnya kerana pelakon itu tidak dapat mengubat penyakit yang dihidapinya disebabkan kos rawatan yang sangat tinggi, sehingga mencecah RM9,000 sebulan. Malah, sebelum menghembuskan nafas terakhir, beliau dilaporkan dua hari tidak mahu menjamah makanan. Anak sulung Allahyarhamah, pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy yang ditemui pada upacara pengebumian, reda dengan pemergian ibunya itu. Tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya, Benjy bagaimanapun sempat membuat permintaan kepada semua orang yang mengenali ibunya.

“Saya terima pemergiannya. Cuma maafkan kesalahan ibu dan halalkan segala yang berkaitan dengannya,” katanya yang berada di sisi ibunya di saat-saat terakhir pemergian Allahyarhamah. Selain Benjy, dua lagi adik-beradiknya, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty, serta bapanya, Khairil Anwar Z.M Rashidi turut bersama. Jenazah Azean disembahyangkan di Masjid Ma’Muriah, Kampung Kayu Ara dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Petaling Jaya, pada jam 12.15 tengah hari, semalam. Selain ahli keluarga, turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah rakan Allahyarham seperti Datuk Aziz Sattar, Datin Shuhaimi Baba, Datin Rosnani Jamil, Datuk Zulkifli Zain, Datin Normala Omar, Zizie Zulkifli, Melissa Saila, Ellie Suriati, Shasha Elite, Ako Mustapha, Yusmal Ghazali, Amir Muhammad dan beberapa pelakon seangkatannya.


Kesedihan turut dikongsi oleh Aziz Sattar, yang pernah bekerja dengan Allahyarhamah sebelum ini. Mengakui kehilangan seorang rakan baik dan rakan artis yang sangat berbakat besar, Aziz berkata, kehilangan Azean sukar dicari ganti. “Azean seorang yang sangat disiplin dan sangat menjiwai watak yang dibawanya. Dia ada ciri-ciri pelakon seangkatan saya dahulu. “Dia juga mempunyai sifat karismatik dalam dirinya yang menjadikan kehilangannya akan terus dikenang dalam industri perfileman negara,” katanya yang juga mengakui kesihatannya terganggu dan tidak berkesempatan untuk melawat Azean yang sedang kritikal sejak dua bulan lalu. Bagi pelakon Ellie Suriati, kenangan bersama Allahyarham akan sentiasa menjadi saat manis untuk dikenang sampai bila-bila. “Kita tahu, Allahyarham menderita lama, tapi dia seorang yang amat kental dan memiliki semangat yang kuat. Selain banyak memberikan kejayaan dalam seni, dia seorang yang sangat komited dengan pekerjaannya,” katanya. -SH




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!