Wednesday, January 1, 2014

Hadiah yang paling ngeri



Hadiah yang paling ngeri  | Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun direman tanpa ikat jamin selepas disyaki membunuh dan memotong mayat teman lelaki ibu saudaranya Ahad lalu. Pihak berkuasa semalam berkata, Alexis Valdez menghubungi talian kecemasan 911 selepas membunuh Silvestre Diaz-Hernandez, 41, di tingkat bawah apartmen tempat mereka tinggal bersama-sama dengan ibu saudara remaja itu di Belmont Gardens. Sementara itu, pendakwa raya berkata, Valdez tinggal di apartmen itu sejak enam bulan lalu dengan syarat dia menyambung persekolahannya, bekerja dan menyumbang wang untuk barangan dapur.

Apabila Valdez gagal berbuat demikian, ibu saudaranya menyuruh dia berpindah. Tindakan wanita berkenaan menimbulkan kemarahan remaja terbabit. Ketika ibu saudaranya keluar menghadiri satu parti, Valdez minum arak hingga mabuk. Dia kemudian menemankan Diaz-Hernandez ke kedai untuk membeli lebih banyak bir.

Bagaimanapun, sebaik pulang ke rumah, remaja itu mengetuk kepala lelaki berkenaan berulang kali dengan penukul besi yang disembunyikannya. Akhbar Chicago Sun Times melaporkan Valdez kemudian mengambil pisau pemotong daging dan mengerat telinga, hidung, mulut dan lengan mangsa. Dia dikatakan turut mencungkil mata mangsa menggunakan tangannya dan membiarkan kepala dan bahagian lain tubuh mangsa di atas katil ibu saudaranya sebagai hadiah kepada wanita itu, kata pendakwa raya sebagaimana dipetik daripada DNAinfo Chicago. - AFP




.

Itulah akibatnya punyai nama yang panjang


Itulah akibatnya punyai nama yang panjang | Seorang wanita Hawaii yang mempunyai nama terdiri daripada 36 abjad akhirnya mendapat lesen memandu dan kad pengenalan sempurna. Janice Lokelani mempunyai nama keluarga ‘Keihanaikukauakahihuliheekahaunaele’ yang mengandungi 35 huruf ditambah dengan okina, tanda yang biasa digunakan dalam abjad Hawaii. Dia menerima lesen memandu dan kad pengenalan baru selepas usahanya untuk memuatkan nama penuhnya dalam dokumen berkenaan mendorong Jabatan Pengangkutan Negara menambah bilangan abjad yang boleh tampil pada dokumen terbabit. Janice, 54, semalam berkata, dia gembira kerana dapat membantu menyelesaikan masalah kad pengenalan yang kekurangan ruang untuk mereka yang mempunyai nama yang panjang.


“Kini di Hawaii, kami bukan lagi warga negara kelas kedua disebabkan oleh nama kami yang panjang,” katanya. Lesen memandu dan kad pengenalan Hawaii sebelum ini hanya mempunyai ruang untuk nama dengan 35 abjad. Dasar baru itu membenarkan 40 abjad nama keluarga, 40 abjad untuk nama pertama dan 35 abjad untuk nama kedua dimuatkan dalam lesen memandu. Janice mendapat nama keluarga Keihanaikukauakahihuliheekahaunaele apabila berkahwin dengan suaminya yang berasal dari Hawaii pada 1992. -Agensi




.

Datuk Lee Chong Wei dan pencapaian hebat tahun 2013


Datuk Lee Chong Wei dan pencapaian hebat tahun 2013 | Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei bukan sahaja menamatkan musim 2013 dengan kekal di ranking No.1 dunia, malah menjadi pemain badminton yang memperoleh hadiah wang kemenangan terbanyak dalam kejohanan Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Semalam portal badminton terkenal, badzine mengeluarkan senarai 50 pemain yang berjaya meraih kutipan hadiah wang tunai terbanyak dan Chong Wei menjadi satu-satunya wakil negara yang berada dalam senarai tersebut. Chong Wei yang masih segar dengan kejuaraan Siri Super Akhir 2013 bulan lepas, berada di tangga teratas dengan mengutip hampir AS$300,000 (RM982,000), manakala menduduki tangga kedua pemain wanita China, Zhao Yunlei.

Sejak 27 Disember 2012, Chong Wei berjaya mengekalkan ranking No.1 dunia sehinggalah ia baru dikemaskini pada 26 Disember 2013, namun pemain dari Pulau Pinang itu mungkin sedikit terkilan kerana masih gagal meraih gelaran dunia selepas tewas kepada seteru utama, Lin Dan dalam perlawanan akhir di Guangzhou Ogos lalu. Chong Wei menyertai 13 kejohanan tahun lalu dengan berjaya muncul juara Super Siri Premier Terbuka Korea, Siri Super Terbuka Malaysia, Siri Super Terbuka India, Siri Super Premier Terbuka Indonesia, Siri Super Terbuka Jepun, Siri Super Hong Kong dan Siri Super Akhir di Kuala Lumpur. Selain Kejohanan Dunia, Chong Wei juga terpaksa akur dengan seorang lagi pemain China, Chen Long apabila tewas kepada pemain tersebut dan muncul naib juara di All England dan Super Siri Premier Denmark.

 Pada Grand Prix Emas Australia, Chong Wei terkandas di separuh akhir apabila tumpas kepada pemain China, Tian Houwei. Dia juga kalah kepada Kenichi Tago dari Jepun, juga di separuh akhir Siri Super Hong Kong. Bagaimanapun, wang tunai yang berjaya diraih Chong Wei sebenarnya lebih daripada yang dikeluarkan badzine kerana dia juga beraksi pada beberapa kejohanan bukan dalam kalendar BWF seperti Liga China, Indonesia dan India. Kesemua liga tersebut menawarkan hadiah yang lumayan, malah dia turut menerima yuran penampilan. Selain menerima bayaran dengan menyertai setiap kejohanan tersebut, Chong Wei juga menjadi duta beberapa syarikat ternama. Kedudukan Chong Wei yang merupakan satu-satunya pemain Malaysia berada dalam kelompok 50 tersebut membuktikan bahawa standard dia dan pemain-pemain Malaysia yang lain terlalu jauh.

Musuh tradisi Chong Wei, Lin Dan memang tidak menyertai beberapa kejohanan tahun ini dan gagal menempatkan diri dalam ranking 100 terbaik dunia, namun dia masih lagi boleh berbangga menjadi pemain badminton meraih pendapatan lumayan kerana menurut sumber dia mendapat kontrak di China yang mencecah enam angka setahun. Yunlei, juara Sukan Olimpik muncul pemain kedua mengutip hadiah kemenangan terbanyak dengan meraih AS$167,195 (RM547,647). Kemampuannya beraksi cemerlang dalam dua acara, beregu wanita dan campuran membolehkannya menikmati habuan besar. Selain Yunlei sembilan lagi pemain China, Li Xuerui, Zhang Nan, Bao Yixin, Wang Shixian, Wang Xiaoli, Yu Yang, Tang Jinhua, Wang Yihan dan Chen Long berada dalam kelompok 15 pemain yang menerima hadiah kemenangan tertinggi.-Utusan




.




Guru tadika meninggal ketika mengajar murid di hari pertama



Guru tadika meninggal ketika mengajar murid di hari pertama | Seorang guru tadika KEMAS Kampung Beris Meraga, Kijal, di sini, meninggal dunia ketika sedang mengajar di tadika itu pada hari pertama persekolahan yang bermula hari ini. Noraima Sulong, 43, rebah ketika sedang mengajar sebelum meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi. Guru lain di tadika berkenaan kemudian mengejarkan mangsa ke Hospital Kemaman dan mangsa disahkan sudah meninggal dunia. Suami mangsa, Kamarudin Salim, 41, bagaimanapun memaklumkan isterinya tidak menghidap sebarang penyakit dan kejadian menimpa isterinya sangat mengejutkan. Noraima meninggalkan tiga anak berusia empat hingga 15 tahun.-BH




.

Gambar banjir Di Sarawak



Gambar banjir Di Sarawak | Jumlah mangsa banjir di enam pusat pemindahan di Sarawak menurun pada Selasa berikutan keadaan air yang mulai surut di tiga kawasan. Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Addyhanis Ahamad berkata sejumlah 217 orang mangsa masih berada di pusat-pusat pemindahan di bandar raya Miri, Marudi dan Bau, berbanding 314 orang, Isnin.


Katanya, banjir yang melanda sebahagian bandar Bintulu sejak dua hari lepas juga semakin surut. Bagaimanapun, beliau menasihatkan penduduk khususnya yang tinggal di kawasan rendah agar terus berjaga-jaga memandangkan keadaan cuaca yang sering hujan sekarang diramalkan berlarutan hingga Mac. - Bernama



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!