Monday, February 3, 2014

Rakaman Perbuatan Bakar Patung Lilin Di i-City, Shah Alam


Rakaman Perbuatan Bakar Patung Lilin Di i-City, Shah Alam  | Siasatan sedang dijalankan untuk memastikan bagaimana tiga lelaki dapat memasuki muzium lilin interaktif, Red Carpet @I-City dan membakar beberapa patung lilin yang dipamerkan. Pengurus maklumat I-City, Tang Soke Ching berkata polis mengesyaki ia adalah satu perbuatan sabotaj. Beliau menambah mereka yang melakukan perbuatan khianat itu telah mendapat akses ke dalam premis itu melalui pintu masuk di mana anggota keselamatan bertugas, kira-kira pukul 3 pagi, Rabu.

 "Sebab itu polis mengesyaki ia adalah perbuatan sabotaj," kata Tang, sambil menambah polis juga menyiasat jika tiga suspek itu mempunyai rakan sejenayah yang lain. Beliau berkata rakaman kamera litar tertutup TV (CCTV) juga disediakan kepada media menunjukkan tiga lelaki membakar ruang pameran. Terdahulu, dilaporkan lebih daripada 10 patung lilin telah musnah di Red Carpet I-City selepas berlaku kebakaran awal hari Rabu. Tiada kemalangan jiwa direkodkan. -Mstar




.

Adakah pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden akan dilepaskan tanpa didapati bersalah?



Adakah pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden akan dilepaskan tanpa didapati bersalah? | Nasib pasangan Malaysia, Shalwati Norshal dan suaminya Azizul Raheem Awaluddin yang ditahan reman di Sweden untuk dilepaskan tanpa didapati bersalah adalah sangat tipis. Demikian menurut Ketua Hakim dan peguam yang ditemui oleh Editor Majalah Astro AWANI, Zan Azlee ketika membuat liputan di sana. “Mengikut perbincangan saya bersama Ketua Hakim dan peguam di sana, setiap tahun 10,000 kes sebegini berlaku dan hanya 10 peratus daripadanya yang berjaya kembali kepada anak-anak mereka” katanya.

Menurut Zan lagi, undang-undang di Sweden memberikan hak yang sangat tinggi kepada setiap kanak-kanak. “Kerajaan di sana merasakan mereka mempunyai hak lebih daripada ibubapa itu sendiri” katanya lagi. Tahanan reman Azizul dan Shalwati sebelum ini telah dilanjutkan sebanyak tiga kali sejak ditahan dan Sweden tidak mempunyai had penahanan reman. Kempat-empat anak mereka telah selamat pulang ke Kota Bharu, Kelantan dan akan meneruskan persekolahan di sana. -Awani




.

Arah orang bawahan makan 15 biji burger, untuk menguatkan mereka?



Arah orang bawahan makan 15 biji burger, untuk menguatkan mereka? | Seorang sarjan polis meletak jawatan selepas ditegur kerana memaksa anggota bawahannya memakan 15 biji burger pada satu masa bertujuan ‘menguatkan mereka.’ Sarjan trafik yang namanya tidak didedahkan itu berusia 40 tahun meletak jawatan selepas kejadian di barat Osaka, 25 Disember lalu, lapor akhbar Yomiuri Shimbun. Beliau berulang kali mengarahkan empat anggota muda bawahannya, mengambil hidangan di dalam jumlah yang banyak seperti 15 biji burger, 15 donat, empat cawan besar mi goreng segera atau tiga hingga empat liter susu berperisa kopi, kata laporan terbabit. “Selepas mendapati mereka tidak bekerja kuat, saya mengeluarkan arahan ini bertujuan menguatkan mereka,” kata sarjan terbabit yang dipetik dalam siasatan ibu pejabat polis Osaka.

Anggota muda bawahan terbabit berusia 20-an dan 30-an dan ditempatkan di dua balai polis dipaksa untuk menelan makanan terbabit ketika sarjan berkenaan melawat tempat kerja mereka sebanyak 10 kali sejak awal 2010, kata laporan itu. Beliau arahkan anggota berkenaan membeli makanan dan minuman sendiri menggunakan duit poket mereka dan memakannya dalam ‘koban’ (pondok polis) yang sempit dengan beliau menyaksikan sendiri. Seorang pegawai akhbar di balai polis itu tidak dapat mengesahkan laporan terbabit. AGENSI




.

Akibat salah faham, teman lelaki jadi mangsa


Akibat salah faham, teman lelaki jadi mangsa | Seorang wanita di daerah Minhang di sini Khamis lalu memotong kemaluan teman lelakinya kerana mengesyaki dia akan memutuskan hubungan mereka. Akhbar Internet xinmin.cn melaporkan, wanita berusia 30 tahun itu yang dikenali sebagai Tu, lebih tua sembilan tahun daripada teman lelakinya, Xia. Kerana keluarga Xia tidak merestui hubungan mereka, lelaki berkenaan mengambil keputusan untuk memutuskannya. Xia enggan membawa pulang Tu untuk menemui keluarganya sempena Tahun Baru Cina. Sebaik mengetahui Xia hanya membeli satu tiket untuk pulang bercuti, Tu menyangka kekasihnya akan memutuskan hubungan dengannya.

“Dia mencampurkan dadah dalam minuman Xia menyebabkan lelaki itu tidak sedarkan diri di atas katil. Tu kemudian mengambil pisau dan memotong kemaluan Xia,” lapor akhbar itu. Saksi berkata, lelaki itu tiba di hospital kira-kira jam 3 pagi dengan ambulans bersama-sama seorang anggota polis yang membawa kemaluannya dalam termos berisi air. Seorang wanita dipercayai Tu yang berlumuran darah dilihat berbual dengan pegawai perubatan sebelum dibawa menaiki kereta peronda. Polis dan pihak hospital enggan menyatakan mengenai keadaan Xia. - Agensi




.

Kejam : Gambar ibu muda dan bayinya dibakar hingga mati oleh suami dan keluarga atas sebab yang tak masuk akal


Kejam : Gambar ibu muda dan bayinya dibakar hingga mati oleh suami dan keluarga atas sebab yang tak masuk akal  | Seorang ibu muda dibakar hingga mati bersama bayinya oleh suami dan keluarga lelaki itu kerana gagal membayar hantaran perkahwinan. Polis di negeri Jharkhand di timur India berkata, Annu Devi, 22, dibakar hidup-hidup ketika menyusukan bayi perempuannya. Polis menahan suaminya, Gunjan Masat yang didakwa menyimbah minyak tanah ke tubuh Devi dan bayi perempuan mereka sebelum membakar kedua-dua beranak itu. Menurut bapa Devi, Raghuni Rana pasangan itu berkahwin lebih setahun tetapi masalah timbul selepas Devi melahirkan bayinya. “Mereka mahukan anak lelaki tetapi tidak menyedari yang mendapat anak perempuan bukan salah Devi. “Mereka mula menyeksa anak saya dan saya tidak menyangka mereka sanggup membunuhnya.


‘Mereka ada menuntut motosikal dan televisyen walaupun saya sudah memberikan mereka dua bighas (1.6 ekar) tanah sebagai hantaran perkahwinan,” katanya. Bagi menutupi kematian Devi dan agar kelihatan seolah-olah seperti kemalangan, Gunjan meletakkan tubuhnya berhampiran pendiang api, selain turut meletakkan bekas air berhampiran tempat itu.Seorang penduduk melihat Devi dan bayi perempuannya terbaring di halaman rumah mentuanya. Dia masih bernyawa ketika itu walaupun tubuhnya melecur 90 peratus. Dua beranak itu kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital. Abang ipar Devi yang didakwa turut terbabit dalam pembunuhan itu masih diburu polis.


Superintendan polis di daerah itu, Nirmal Kumar Mishra berkata, semua tertuduh akan ditahan dan didakwa. Hantaran perkahwinan menjadi alasan utama mengapa bayi lelaki lebih digemari berbanding dengan bayi perempuan dalam budaya India. Ribuan janin digugurkan setiap tahun selepas ujian ultra bunyi menunjukkan jantina janin berkenaan. Wanita juga dibunuh berikutan isu hantaran perkahwinan setiap jam di India, menurut data dikeluarkan Biro Rekod Jenayah Kebangsaan negara itu. “Seramai 8,233 wanita muda, kebanyakan pengantin baru dibunuh dalam isu ‘kematian hantaran perkahwinan’ pada 2012,” lapor biro itu tahun lalu. - Agensi



.

Remaja dan rakan cedera dibelasah dengan besi, kayu dan wayar kerana cuba cabul gadis


Remaja dan rakan cedera dibelasah dengan besi, kayu dan wayar kerana cuba cabul gadis | Gara-gara cuba mencabul kehormatan gadis berusia 14 tahun, seorang remaja dan rakannya cedera dibelasah dengan sebatang besi, kayu dan wayar oleh ahli keluarga mangsa dalam kejadian di Taman Desa Kemumin, Padang Tembak di sini semalam. Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6 pagi selepas remaja berusia 17 tahun itu ditahan keluarga mangsa di rumah rakannya di Jalan Kurnia, Pengkalan Chepa. Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, kejadian cabul itu berlaku selepas remaja lelaki berkenaan dikatakan membawa mangsa ke rumah rakannya. “Suspek dan rakannya sebelum itu mengajak mangsa keluar minum sebelum bertindak membawa gadis tersebut pulang ke rumah rakannya di Jalan Kurnia. “

Sebaik tiba di rumah, suspek menarik mangsa masuk ke sebuah bilik, menolaknya ke atas katil sebelum cuba membuka baju dan mencium mangsa, namun ditampar gadis itu," katanya ketika dihubungi. Ekoran itu, suspek membatalkan hasrat mencabul gadis berkenaan, sebelum sempat menghantarnya pulang, bapa gadis itu tiba di rumah berkenaan untuk mengambil mangsa. Beliau memberitahu, tidak lama kemudian enam lelaki yang menaiki dua buah kereta datang mencari remaja terbabit sebelum salah seorang daripada mereka bertindak membelasah mangsa serta rakannya yang berusia 20 tahun. “

Mereka kemudiannya dibawa kumpulan lelaki itu ke sebuah rumah di Taman Desa Kemumin, Padang Tembak dan dipukul sekali lagi oleh lelaki sama menggunakan wayar, batang besi serta batang kayu. “Remaja itu mendapat cedera di mata, telinga, muka, kepala dan seluruh badan manakala rakannya pula cedera di tangan, kaki dan badan selain terkehel jari kelingking dan jari manis kanan," katanya. Mereka berdua menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan polis masih memburu suspek yang menyerang remaja itu. Remaja terbabit kemudian ditahan untuk membantu siasatan. -Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!