Friday, February 7, 2014

Kisah wanita tua, Natalie Wood yang hidup menyendiri dan berseorangan


Kisah wanita tua, Natalie Wood yang hidup menyendiri dan berseorangan | Hanya selepas lapan tahun mati, barulah rangka seorang wanita warga tua ditemui di kediamannya di sini, demikian satu inkues yang dinamakan oleh media tempatan sebagai inkues 'wanita Sydney yang dilupakan,' diberitahu. Natalie Wood ditemui polis pada Julai 2011 selepas meninggal dunia pada awal 2004. Dia dipercayai terjatuh di bilik tidur dan tidak berdaya untuk bangun. Rumah teres yang hanya beberapa meter dari Stesen Sentra yang sibuk di bandar ini, kelihatan terbiar ketika mayatnya ditemui. Detektif Kanan, Konstabel Andrew Wills memberitahu Mahkamah Koroner Glebe, tidak ada tilam, tiada televisyen dan juga peti sejuk di rumah yang dianggarkan bernilai hampir AUD$1juta (RM2.9 juta) itu.

Walaupun tiada beg tangan atau dompet ditemui, cincin dan barang berharga lain masih tidak disentuh. Wills berkata Wood, yang menetap di rumah itu sejak dilahirkan pada 1924, adalah seorang yang suka menyendiri. “Dia lebih suka berseorangan,” katanya kepada inkues itu. “Sampai satu tahap, dia menjawab ketukan pintu dengan menggunakan alat khas.” kata jiran kepada polis yang mulanya menyangka dia sudah berpindah kerana rumah itu kosong. Wood tidak membuat wasiat menyebabkan kakak iparnya Enid Davis dan empat lagi sepupu membuat tuntutan ke atas harta pusaka beliau. - AFP




.

Gambar obor-obor gergasi yang ditemui di Australia


Gambar obor-obor gergasi yang ditemui di Australia | Saintis sedang berusaha untuk mengklasifikasikan spesies obor-obor gergasi baharu, yang dijumpai terdampar di pantai Hobart, dekat Tasmania, Australia. Obor-obor berukuran 1.5 meter itu, ditemukan oleh sebuah keluarga di selatan Tasmania, sebelum mereka bertindak menghubungi ahli biologi marin tempatan. Seorang daripada ahli keluarga berkenaan yang dikenali sebagai Josie Lim berkata, keluarganya menemukan obor-obor berkenaan di ibu negeri Hobart dan penemuan itu begitu mengejutkan mereka. “Lokasi ini bukanlah kawasan habitat utama obor-obor dan apabila menjumpainya kami berasa begitu teruja,’’ kata Lim. Menurut saintis daripada Organisasi Saintifik dan Penyelidikan Komanwel (CSIRO), Lisa Gershwin, pihaknya sebelum ini sudah menemui pelbagai jenis obor-obor, namun satu pun tidak pernah terdampar di pantai dan mempunyai saiz sebesar itu. “


Kami mengetahui spesimen ini, tapi masih lagi belum diklasifikasikan dan diberikan nama,’’ jelas Gershwin, sambil menambah, sejak beberapa bulan kebelakangan ini banyak obor-obor membiak di Tasmania. Ujarnya, spesies baharu itu mempunyai kaitan dengan obor-obor singa iaitu obor-obor terbesar di dunia. “Saiz obor-obor berkenaan begitu besar dan mengejutkan, namun haiwan ini tidak mengancam keselamatan manusia, walaupun mempunyai sengat,’’ kata Gershwin. Ketika ini, saintis di CSIRO sudah mempunyai gambar dan sampel yang mencukupi untuk menjalankan analisis lengkap bagi mengklasifikasikan dan memberi nama obor-obor berkenaan, termasuk mengetahui bagaimana cara pemakanan, habitat dan bakanya. - AFP






.

Apa kata Qi Razali mengenai gambar mesra kekasihnya, Nelydia Senrose dan Sharnaaz Ahmad?


Apa kata Qi Razali mengenai gambar mesra kekasihnya, Nelydia Senrose dan Sharnaaz Ahmad? | Pelakon dan pengacara, Qi Razali tidak melihat tindakan aktor Sharnaaz Ahmad memuat naik gambar mesranya dengan Nelydia Senrose di Instagram sebagai satu bentuk provokasi. Qi atau nama sebenarnya, Qushairi Razali, 36, berkata, dia yakin tindakan Sharnaaz itu sekadar bertujuan untuk mempromosikan drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta. "Saya yakin dia takkan sengaja nak provoke saya. Dia cuma nak mempromosikan drama itu sahaja," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada mStar Online di sini pada Khamis.

Qi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Sharnaaz yang memuat naik gambar-gambar bersama Nelydia ketika penggambaran Bukan Kerana Aku Tak Cinta dengan aksi mesra dan kapsyen romantis. Jelas Qi, dia enggan terlalu memikirkan perkara itu sebaliknya ingin fokus kepada kariernya.

"Sudah-sudahlah, fokus kepada kerja dan tanggungjawab masing-masing. Saya tahu diri saya dan mana saya nak pergi," katanya.Bekas pengacara Jalan-Jalan Cari Makan itu juga berharap agar kemelut tersebut tidak lagi diperbesarkan. Qi kini sedang bercuti di United Kingdom bersama dengan Nelydia dan ditemani rakan-rakan mereka.


Malah, Qi turut memuat naik beberapa gambar menarik sepanjang percutian bersama kekasihnya itu di kota London. Terdahulu, pada Selasa lalu, Sharnaaz, 29, tidak mahu kontroversi gambar mesranya dengan Nelydia terus berpanjangan dan enggan memberi sebarang ulasan berhubung kemelut itu. Malah Sharnaaz juga berkata, dia mengambil pendekatan enggan mengambil tahu mengenai perkara itu lagi. -MD





.

4 Gambar seorang lelaki dikenakan hukuman mati kerana penggal kepala bayi dan minum darah bayi itu (kejam)


4 Gambar seorang lelaki dikenakan hukuman mati kerana penggal kepala bayi dan minum darah bayi itu (kejam) | Seorang lelaki dijatuhkan hukuman mati kerana memenggal kepala seorang bayi sebelum meminum darahnya. Kejadian berlaku dua tahun lalu di perkampungan Kalakuri di Bankura, Bengal Barat, lapor media.


Lakshmi Kanta Sarkar ditemui di tempat pemujaan dekat kawasan kubur sedang meminum darah dari kepala bayi yang terputus yang digantung di dahan pokok oleh sekumpulan penduduk kampung.


Penduduk kemudian membelasahnya hingga parah dan polis terpaksa campur tangan sebelum dia ditangkap, lapor The Times of India. Sarkar dijatuhkan hukuman mati selepas 17 saksi memberi keterangan terhadapnya di mahkamah daerah Sulagna Dastidar di Bankura.


Walaupun kanibalisme dan pengorbanan darah atas nama ilmu hitam jarang berlaku di India, tetapi terdapat kes sama yang dikesan sejak beberapa tahun lalu. - AFP





.

Perubahan imej Pelakon Johan (Raja Lawak) buatkan orang tak kenal



Perubahan imej Pelakon Johan (Raja Lawak) buatkan orang tak kenal | Setelah beberapa tahun tampil dengan imej rambut panjang dan berjambang, pelakon Johan (Raja Lawak) mengakui lebih selesa dengan imej botak dan berambut pendek. Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim, 30, berkata, imej baharu itu bukan sesuatu yang pelik baginya kerana dia pernah berimej sedemikian sejak zaman persekolahan. "Sebelum ini saya dah biasa botak. Saya tak kisah. Jadi tiada kelainan. Yang berbeza adalah apabila saya berambut panjang," katanya.

Johan berkata demikian bagi mengulas mengenai imej baharunya itu selepas kembali menunaikan umrah bersama isterinya, Ozlyn Wati, pada 16 Januari lalu. Jelas Johan, dengan imej rambut pendek, urusan mempersiapkan diri untuk keluar ke studio sebagai deejay seawal pagi menjadi lebih mudah. "Bila nak bangun pagi, saya tak perlu fikir pasal rambut. Sekarang senang nak urus dan saya rasa lebih segar. Banyak kelebihan berambut pendek," katanya.Johan berkata, dia berasa seronok apabila ramai yang tidak mengenalinya dengan imej begitu. "Orang tak perasaan saya kalau tampil dengan imej ini. Seronok sangat sebab orang tak kenal," katanya.

Johan akan membuat penampilan sulung dengan imej botak sebagai pengacara peperiksaan mingguan program realiti komedi terbaharu Astro iaitu Skool of Lawak yang akan bersiaran di Astro Warna (Saluran 132) bermula pukul 10 malam, 14 Februari ini. Beliau turut digandingkan buat pertama kalinya bersama Jep (Sepahtu) untuk mengacara program tersebut yang bakal bersiaran selama 10 minggu. Mengulas mengenai gandingan dengan Jep, Johan menyifatkan Jep sebagai seorang yang versatil. "Dia serba boleh. Dalam Sepahtu dia menggerakkan kumpulan itu. Saya tiada masalah digandingkan bersama kerana kami memang sudah kenal lama," katanya. -Mstar





.

Mengkagumkan.. Warga emas berusia 91 tahun mencatat sejarah


Mengkagumkan.. Warga emas berusia 91 tahun mencatat sejarah | Seorang warga emas berusia 91 tahun mencatat sejarah apabila menjadi graduan tertua menerima ijazah kedoktoran di Universiti Padjadjaran (Unpad) di Indonesia, kelmarin. Hermain Tjiknang yang berkerusi roda turut dikurniakan penghormatan tambahan iaitu ijazah doktor falsafah tertua yang belum pernah diberikan sebelum ini. "Saya mengambil masa lima tahun untuk menamatkan pengajian dan terpaksa menyemak semula tesis sebanyak tujuh kali," katanya. Bapa kepada lima anak berasal dari Muntok, Bangka ini dilahirkan pada 22 June 1922, laporan dipetik dari Jakarta Globe. -SH




.

Pelajar tertelan jarum peniti ketika sedang mencungkil makanan di celah-celah gigi di kantin sekolah



Pelajar tertelan jarum peniti ketika sedang mencungkil makanan di celah-celah gigi di kantin sekolah | Seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Hulu Besut tertelan jarum peniti ketika sedang mencungkil makanan di celah-celah gigi di kantin sekolahnya, semalam. Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Alif Aiman Zulkifli tertelan jarum itu selepas makan di kantin sekolahnya kira-kira jam 1 tengah hari. Ketika ditemui di Hospital Besut hari ini, ibunya Zawahir Mustafa, 40, berkata dalam kejadian itu anaknya menggunakan jarum peniti yang dijumpai di sekolah untuk mencungkil sisa makanan selepas makan di kantin.

Katanya ketika dia sedang leka mencungkil giginya tiba-tiba datang seorang rakannya berbual-bual dengannya apabila dengan tiba-tiba jarum peniti yang dipegangnya itu terlepas dan masuk ke dalam tekaknya. “Anak saya berasa sakit dan suaranya mula hilang hingga menyebabkan rakannya memberitahu kepada gurunya yang kemudiannya membawanya ke hospital," katanya.

Menurut Zawahir selepas dirawat selama sejam keadaan anaknya mula stabil dan boleh bercakap tetapi jarum peniti itu masih belum dapat dikeluarkan. Menurut doktor sekiranya jarum peniti itu masih tidak dapat dikeluarkan sehingga Sabtu ini, anaknya akan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Dua minggu lepas, pelajar Tingkatan Satu SMK Bukit Payong tertelan jarum peniti tetapi pulih apabila jarum itu dapat dikeluarkan selepas dua hari beliau menerima rawatan di Hospital Besut. - BERNAMA





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!