Saturday, February 15, 2014

Perdana Menteri umum letak jawatan


Perdana Menteri umum letak jawatan | Perdana Menteri Itali, Enrico Letta mengumumkan peletakan jawatannya hari ini selepas kepimpinan tertinggi Parti Demokratik yang memerintah kerajaan mengundi agar melakukan pertukaran kerajaan bagi menyelesaikan kemelut politik negara ini. Dalam kenyataan yang disiarkan, Letta berkata, beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden Giorgio Napolitano dalam masa terdekat. "Saya telah memaklumkan hal tersebut kepada Presiden dan akan menyerahkan surat peletakan jawatan pada hari ini," katanya. - AFP




.

Gambar dan info terkini mengenai Gunung Kelud yang meletus



Gambar dan info terkini mengenai Gunung Kelud yang meletus | Lapangan terbang di Surabaya, Solo dan Jogyakarta ditutup hari ini apabila Gunung Kelud di daerah Magelang, Jawa Timur mengeluarkan lahar serta menyebabkan debu berterbangan sehingga ke bandar Surabaya yang terletak sejauh 130 kilometer. Tiga lapangan terbang itu diarah tutup oleh pihak berkuasa kerana jarak penglihatan yang kabur dan dikhuatiri debu-debu berterbangan itu boleh meyebabkan kerosakan kepada enjin pesawat. Selain itu, kira-kira 200,000 penduduk berhampiran diarah berpindah apabila gunung berapi aktif itu turut menghujani beberapa bandar berhampiran dengan debu setebal empat sentimeter.


 Jurucakap Agensi Bencana Negara, Muhammad Hendrasto berkata, arahan tersebut dikeluarkan kepada penduduk di 36 perkampungan yang terletak dalam lingkungan 10 kilometer dari gunung tersebut, beberapa jam sebelum letusan berlaku. Rakaman stesen televisyen menunjukkan abu dan batu menghujani perkampungan berdekatan ketika penduduk melarikan diri menggunakan kereta dan motosikal ke pusat perlindungan. Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini. Gunung Berapi Kelud setinggi 1,731 meter sebelum ini pernah menyebabkan lebih 15,000 orang terbunuh sejak mula meletus pada tahun 1500, termasuk 10,000 kematian dalam letusan terbesar pada tahun 1568. - Agensi



.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Menjelaskan Hukum Melabur Dalam ASB, ASN



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Menjelaskan Hukum Melabur Dalam ASB, ASN | Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada Jumaat menegaskan bahawa hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) adalah 'Harus'. Ini termasuk dividen atau bonus yang diterima menerusi kedua-dua skim pelaburan itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin dalam satu kenyataan pada Jumaat. Menurut Abd Shukor, Jawatankuasa Fatwa amat kesal kerana terdapat pihak-pihak tertentu cuba menimbulkan keraguan dengan memuat naik surat daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menyatakan skim tersebut sebagai tidak patuh Syariah. Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu tuntutan Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (Comango) mengenai hukum melabur dalam ASB dan AS Nyang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini.

 Tahun lepas, Comango menghantar laporan mengenai pelbagai isu hak asasi manusia di Malaysia untuk diteliti dalam Proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland. Antara tuntutan lain ialah menuntut hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender. Status melabur dalam ASN dan ASB yang juga dibangkitkan oleh beberapa penceramah di laman-laman sosial, turut menimbulkan keresahan kepada masyarakat awam. "Isu pelaburan ini merupakan perkara ijtihad, yang sememangnya akan mengundang polemik dan perdebatan jika semua pihak yang mendakwa sebagai pakar mahu menegakkan pandangan masing-masing tanpa menghiraukan peranan pihak yang diberi autoriti dalam menentukan hukum.

"Sewajarnya mereka yang melabelkan diri sebagai intelektual Islam ini memahami isu ini secara menyeluruh dan hak-hak Ulil Amri kerana akibat daripada sikap mereka yang gemar dan sengaja mempertikaikan hukum yang telah dibuat, telah menimbulkan keresahan yang meruncing dalam kalangan umat Islam," katanya. Abd Shukor menyifatkan tindakan itu hanya akan merugikan umat Islam sendiri. Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menasihatkan supaya provokasi yang melibatkan hukum hakam dihentikan supaya tidak mengundang kekeliruan. - Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!