Wednesday, March 19, 2014

Misteri sebutir peluru dalam tengkorak kepala sejak 48 tahun



Misteri sebutir peluru dalam tengkorak kepala sejak 48 tahun | Seorang wanita di China terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang sebutir peluru yang telah berada di dalam tengkorak kepalanya tanpa pengetahuannya sejak 48 tahun lalu. Menurut DailyMail, pada awalnya, Zhao, 62, berjumpa doktor selepas mengalami sakit kepala berterusan, hidung tersumbat yang teruk dan nodus limfa membengkak sejak 10 tahun lalu. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan doktor menemui peluru berukuran 2.5 sentimeter tertanam di dalam tengkoraknya dan ia akhirnya berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan di Universiti Perubatan China. Menurut Zhao, dia tidak menyangka batu kecil yang terkena kepalanya ketika berusia 14 tahun rupa-rupanya adalah peluru sesat. -AP




.

Pegawai kerajaan yang berpoligami tanpa izin dipecat daripada perkhidmatan



Pegawai kerajaan yang berpoligami tanpa izin dipecat daripada perkhidmatan | Seramai 30 pegawai kerajaan lelaki di Surabaya dipecat oleh Walikota (Datuk Bandar) wilayah itu, Tri Rismaharini kerana berpoligami tanpa izin. Ketegasan Tri memecat kesemua pegawai berkenaan sepanjang tahun lalu bukan hanya kerana mereka bernikah tanpa izin, bahkan tindakan itu juga disifatkan beliau sebagai melanggar peraturan perkhidmatan. "Sebahagian besar berkahwin lagi tanpa izin sedangkan sudah diingatkan (jangan berbuat demikian) tetapi tindakan itu dikesan. Akhirnya mereka dipecat," kata Walikota wanita yang pertama memimpin Surabaya itu hari ini. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis angkat sumpah pegawai-pegawai kerajaan baharu. Berhubung kes pegawai-pegawai kerajaan yang dibawa ke muka pengadilan kerana terlibat dalam kesalahan lain pula, Risma berkata, kes-kes berkenaan diserahkan kepada pihak berwajib.

"Kerana itu saya meminta, agar pegawai-pegawai kerajaan mentaati peraturan yang ada dan menepati sumpah perkhidmatan kerana itu akan dijawab di hadapan Tuhan nantinya," ujarnya. Dalam ucapannya juga, Tri mengingatkan semua pegawai kerajaan agar memelihara kerjaya yang disandang kerana mereka yang berjaya mendapat pekerjaan itu merupakan orang yang istimewa. "Daripada sekitar 10,000 yang mendaftar pada 2013, tidak sampai 400 permohonan diterima," kata beliau lagi. Tri terkenal sebagai seorang pemimpin wanita yang sangat tegas dan tidak akan berkompromi terhadap hal-hal yang remeh. Bahkan beliau juga tanpa rasa gentar akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar peraturan. - Utusan




.

Ibu melakukan cara pelik untuk cari duit bagi mengahwinkan anaknya



Ibu melakukan cara pelik untuk cari duit bagi mengahwinkan anaknya | Seorang wanita berusia 75 tahun sanggup memakai kostum Mickey Mouse yang besar seharian berhampiran taman di Luoyang. Dia berbuat demikian untuk mendapatkan bayaran daripada pelancong sebagai cara untuk mengumpul wang untuk mencari calon isteri bagi anaknya yang berusia 40 tahun. “Saya perlu mendapatkan duit untuk mencarikan isteri untuk anak saya,” kata Yang. Namun, tindakan lelaki itu yang terlalu bergantung kepada hasil usaha ibunya yang terpaksa bersusah payah diselar pelbagai pihak.

Anak lelaki Yang dikatakan membeli kostum itu dan bercadang menggunakannya sendiri untuk mendapatkan duit tetapi tidak melakukannya kerana mempunyai ‘urusan lain.’ Ia menyebabkan ibunya yang sudah tua itu terpaksa menyarung kostum berkenaan bagi membantu si anak. Yang berkata dia memakai kostum itu dari pagi hingga ke malam tetapi terpaksa berehat dengan menanggalkan kostum itu setiap sepuluh minit. “Kostum berkenaan sangat berat, menyukarkan saya bernafas di dalamnya. Jika saya memakainya terlalu lama, saya akan semput,” katanya. - Agensi




.

MH370 : Harapan baru di hari ke 12



 MH370 : Harapan baru di hari ke 12 | Satu laporan oleh badan pemantau yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberikan harapan baharu bahawa pesawat MH370 yang hilang masih boleh ditemui manakala laporan yang mencadangkan pesawat mungkin berada di kawasan terpencil di Lautan Hindi dan Kudahuvadhoo juga boleh diterima pakai. Syarikat yang berpangkalan di Austia, Comprehensive Nuclear-Test-Ban Treaty Organi­sation (CTBTO) yang mempunyai sensor yang sangat sensitif di seluruh dunia berkata ia tidak mengesan apa-apa letupan atau kemalangan sama ada di atas tanah atau di laut sejak pesawat hilang pada 8 Mac. Setiausaha Eksekutif CTBTO Lassina Zarbo berkata kemalangan kapal terbang boleh dikesan dengan tiga daripada empat teknologi yang digunakan oleh Sistem Pemantauan Antarabangsa organisasi itu. "Data kami berpotensi memberi penerangan tentang di mana beradanya penerbangan MH370.

Kami berhutang kepada keluarga yang sedang cemas menunggu berita tentang tersayang dengan sistem ini yang berpotensi untuk memenuhi permintaan mereka," kata beliau di laman web CTBTO. Walaupun sistem ini telah dibangunkan terutamanya untuk mengesan letupan nuklear, ia juga boleh mengesan letupan pesawat yang besar serta kesannya di darat atau air. Stesen CTBTO telah mengesan beberapa kemalangan kapal terbang pada masa lalu, termasuk kemalangan pesawat di lapangan terbang Narita di Jepun pada Mac 2009. Jika maklumat CTBTO adalah betul, ia menimbulkan persoalan di mana kapal terbang itu kini berada. Penyiasat tidak menolak kemungkinan bahawa pesawat itu terhempas di Lautan Hindi tetapi mereka juga mencari di tapak di mana ia mungkin boleh mendarat. Di koridor selatan, beberapa pulau-pulau telah dikenal pasti untuk diberi penelitian.

Ini termasuklah Male di Maldives, Diego Garcia yang menjadi pangkalan udara Amerika Syarikat, sebuah lapangan terbang di Sri Lanka yang mana semua lokasi ini dilaporkan telah dimuat turun ke dalam simulator pesawat di rumah juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah. Lain-lain kawasan termasuklah beberapa pulau di Lautan Hindi. Penduduk Maldives di pulau terpencil di Kudahuvadhoo, Dhaal Atoll telah melaporkan melihat "pesawat terbang rendah" pada pagi pesawat hilang. Diego Garcia terletak di selatan pulau itu. Beberapa penduduk Kudahuvadhoo memberitahu portal berita tempatan bahawa mereka melihat satu "pesawat jumbo terbang rendah" kira-kira pukul 6.15 pagi pada 8 Mac. Mereka berkata ia adalah pesawat putih, dengan jalur merah di seluruh badannya, sama seperti pesawat Malaysia Airlines. -Mstar




.

[Gambar] Penumpang pesawat rakam imej panel sayap pesawat tertanggal



[Gambar] Penumpang pesawat rakam imej panel sayap pesawat tertanggal | Seorang penumpang pesawat Boeing 757 yang dioperasikan oleh Delta Airlines, telah merakamkan gambar pesawat yang dinaikinya mengalami kerosakan sayap apabila salah satu kompenan pada sayap pesawat itu tertanggal, namun katanya pesawat itu masih mampu terbang dan mendarat dengan selamat. Menurut laporan laman portal berita Metro.co.uk, penumpang itu berkata, kejadian tersebut merupakan perkara terakhir yang akan dilihat di luar tingkap pesawat ketika dalam penerbangan. Penumpang itu, Trevoor Sinclair melakukan rakaman imej itu selepas menyedari satu panel sayap pesawat tersebut tertanggal ketika sedang dalam perjalanan dari Orlando ke Atlanta pada hari Ahad lalu. - AGENSI




.

Gambar lelaki yang ditemui mati dengan leher hampir putus



Gambar lelaki yang ditemui mati dengan leher hampir putus | Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan lehernya hampir putus selepas dipercayai ditetak seorang lelaki memakai topi keledar di hadapan sebuah hotel di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini kelmarin. Kejadian pukul 9.57 malam itu disedari seorang wanita yang bekerja di hotel berkenaan yang menemui mangsa, Mugunthan Maran, 29, terbaring di hadapan hotel itu dalam keadaan berlumuran darah. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pekerja kontrak di sebuah syarikat swasta di Singapura itu disahkan meninggal dunia selepas pihaknya tiba di tempat kejadian.

 "Maklumat yang diperolehi daripada televisyen litar tertutup (CCTV) di hotel berkenaan menunjukkan seorang suspek yang berjalan kaki sambil memakai topi keledar datang dari arah perhentian bas Klang yang tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum bertindak menyerang mangsa dari arah belakang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam kelmarin. Zainuddin berkata, Mugunthan dipercayai diserang menggunakan parang namun setakat ini, pihak polis masih menyiasat motif pembunuhan memandangkan tiada barang berharga milik mangsa yang hilang. Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang menetap di Negeri Sembilan pernah memaklumkan kepada bapanya bahawa dia akan pergi ke Puchong untuk berjumpa dengan kawannya. -Kosmo




.

MH370 : Thailand akui radar kesan pesawat yang hilang dan sebab kenapa mereka tidak mendedahkannya



MH370 : Thailand akui radar kesan pesawat yang hilang dan sebab kenapa mereka tidak mendedahkannya | Tentera Thailand semalam menyatakan bahawa radar tentera mengesan sebuah pesawat yang mungkin dipercayai milik Malaysia Airlines (MAS) MH370 selepas beberapa minit sistem komunikasi pesawat tersebut dipadamkan, dan pihaknya tidak berkongsi maklumat tersebut dengan Malaysia lebih awal kerana tidak diminta untuk berbuat demikian. Jurucakap Tentera Udara Thailand, Naib Marsyal Udara Montol Suchookorn berkata, laluan pesawat itu didapati melencong ke Selat Melaka, seperti mana dikesan radar Malaysia pada awal pagi 8 Mac lalu. Jelas beliau, radar tenteranya mengesan isyarat pesawat terbang sekitar pukul 1.28 pagi 8 Mac lalu, pada laluan bertentangan sepatutnya dilalui MH370. Apabila ditanya mengapa Thailand mengambil masa yang lama untuk mendedahkan maklumat itu, Montol berkata, pihaknya tidak memberi perhatian kepada maklumat tersebut.

"Pasukan Tentera Udara Diraja Thailand hanya memerhatikan sebarang perkara yang memberi ancaman kepada negara ini. "Oleh itu, jika pergerakan itu tidak kelihatan sebagai ancaman kepada kami, maka kami akan perhatikan sahaja tanpa mengambil apa-apa tindakan," katanya. Jelas beliau, pesawat dipercayai MH370 itu tidak memasuki ruang udara negaranya selain menyatakan permintaan Malaysia berhubung perkongsian data sebelum ini tidak spesifik. "Apabila pihak Malaysia bertanya sekali lagi dan ada andaian serta maklumat baharu daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, kami melihat semula maklumat yang ada.

"Ia tidak mengambil masa yang lama untuk kami mengesahkannya, walaupun memerlukan beberapa pakar untuk mengkaji maklumat tersebut," kata Montol. Beberapa pegawai tentera Thailand berkata, pergerakan pesawat dipercayai MH370 itu dikesan menerusi kelengkapan radarnya di selatan Thailand. Namun, pegawai di Malaysia menyatakan pesawat itu mungkin melalui kawasan utara Thailand. Bagaimanapun, Panglima Tentera Udara Thailand, Marsyal Prajin Juntong memberitahu wartawan semalam bahawa radar di utara Thailand tidak mengesan pesawat berkenaan. - AP




.

MH370 : 'Ibarat cari sebatang jarum dalam timbunan jerami'


MH370 : 'Ibarat cari sebatang jarum dalam timbunan jerami' | Pihak berkuasa Australia dan Amerika Syarikat (AS) menyatakan semalam bahawa mereka mula mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di kawasan seluas 600,000 kilometer (KM) persegi di Lautan Hindi. Namun, pihak berkuasa Australia dan AS mengakui pencarian pesawat MH370 tersebut amat sukar ibarat mencari sebatang jarum dalam timbunan jerami. Sebelum ini, kerajaan Malaysia mendedahkan bahawa ia percaya pesawat Boeing 777-200 itu sengaja dilencongkan dan terbang selama beberapa jam selepas keluar dari laluan asalnya sama ada menuju ke Asia Tengah di utara atau Lautan Hindi di selatan.

Pihak berkuasa di Kuala Lumpur kelmarin meminta Canberra memikul tanggungjawab mencari pesawat yang hilang pada 8 Mac lalu itu di koridor selatan dengan dibantu sejumlah pesawat AS dan New Zealand. Susulan permintaan tersebut, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) telah memulakan operasi mencari pesawat itu di kawasan seluas 3,000 km di barat daya Perth. "AMSA mengklasifikasi sebuah kawasan pencarian berpotensi berdasarkan pelbagai sumber tempatan dan antarabangsa. "Operasi mencari ini sukar. Kawasan yang amat luas meliputi 600,000 km persegi memberikan cabaran besar buat kami," kata pengurus besar AMSA, John Young.

Menurut Young, AMSA dijangka mengambil masa beberapa minggu untuk melakukan operasi mencari secara menyeluruh di kawasan berkenaan. Zon pencarian tersebut dipilih berdasarkan data satelit dan radar tentera yang diterima daripada pesawat yang membawa 239 penumpang serta anak kapal tersebut. Dalam perkembangan berkaitan, pesawat peninjau jarak jauh P-8 Poseidon dan P-3 Orion daripada Armada Ke-7 Tentera Laut AS turut terlibat dalam operasi besar-besaran itu. - AFP




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!