Tuesday, May 6, 2014

[Gambar] Sebuah keluarga menerima kejutan besar apabila membeli haiwan peliharaan



Sebuah keluarga menerima kejutan besar apabila membeli haiwan peliharaan | Sebuah keluarga tidak menyangka seekor kura-kura yang dibeli kira-kira 14 tahun lalu sebenarnya daripada jenis baka gergasi yang kini mencapai berat 57 kilogram (kg), lapor Daily Mail kelmarin. Kura-kura yang bernama Victor Meldrem itu menjadi semakin besar menyebabkan keluarga itu tidak dapat menjaganya kerana sukar untuk menyediakan tempat tinggal yang sesuai untuk haiwan berkenaan. Berikutan itu, seorang petani, Andy Browne telah mengambil kura-kura itu secara percuma daripada keluarga berkenaan sebagai tambahan kepada koleksi haiwan peliharaan luar biasa yang dimilikinya termasuk 400 haiwan reptilia yang lain. Browne yang mengendalikan pusat penjagaan haiwan itu sejak 2001 berkata, keluarga berkenaan membeli haiwan tersebut daripada sebuah kedai D.I.Y ketika kura-kura jantan itu masih kecil.

"Pasangan itu telah cuba menyerahkannya ke kebanyakan zoo dan kawasan perlindungan hidupan liar, namun tiada sesiapa mahu mengambilnya. Kini mereka berasa lega apabila saya mahu membantu. "Bagaimanapun, pasangan itu amat tertekan untuk berpisah dengan haiwan berkenaan kerana mereka telah menjaganya hampir 15 tahun," katanya. Meldrem merupakan kura-kura spesies sulcata dan biasanya akan terus membesar dalam tempoh 35 tahun lagi. Malah, haiwan itu boleh mencapai berat sehingga 90kg. Ia sepanjang 60 sentimeter dari kepala hingga ekor dan setinggi 45 sentimeter. - Agensi




.

Pengarah filem Titanic kena saman 3 kali ganda dari jumlah keuntungan filem itu.. Kenapa?


Pengarah filem Titanic kena saman 3 kali ganda dari jumlah keuntungan filem itu.. Kenapa? | Pengarah terkenal Hollywood, James Came­ron disaman tiga kali ganda daripada jumlah keuntungan filem Titanic, selepas seorang wanita mendakwa pengarah berusia 59 tahun itu mencuri ideanya mencipta mesin simulator tiga dimensi bencana Titanic. Laman web hiburan TMZ me­laporkan, wanita yang dikenali sebagai Faan Qin itu, turut menfailkan saman ke atas syarikat penerbitan 20th Century Fox, Paramount dan mereka yang terlibat dalam penghasilan filem box-office tersebut. "Filem Titanic berjaya menjana pendapatan sebanyak AS$343 juta (RM1.12 bilion) dan saya mahu menya­man Cameron bersama yang lain, tiga kali ganda lebih banyak daripada keuntungan yang mereka peroleh atau RM3.36 bilion sebagai pengajaran," kata Qin.

Menurut tuntutan mahkamah yang difailkan, Qin mendakwa Cameron mencuri ideanya yang dikenali sebagai ‘R.M.S Titanic Experience’. Jelas Qin, mengikut perancang­an awal, mesin simulator itu akan dibangunkan di Orange County dan Orlando, sebelum idea tersebut dicuri, sekali gus menyebabkan proses pembinaannya dihentikan. "Mesin simulator ini akan membolehkan orang ramai merasai pengalaman ketika kapal Titanic berlanggar dengan bongkah ais dan karam di lautan," ujarnya lagi. -AP




.

[Gambar] Raja paling lama bertakhta sambut ulang tahun



[Gambar] Raja paling lama bertakhta sambut ulang tahun | Raja Bhumibol Adulyadej muncul di khalayak ramai, sesuatu yang jarang dilakukan, untuk menghadiri istiadat sambutan ulang tahun ke-64 Hari Pertabalan baginda. Beribu-ribu rakyat berpakaian kuning berbaris di sepanjang jalan Hua Hin pada Isnin dekat istana di pinggir pantai ketika perarakan kereta yang membawa Raja Bhumibol melalui jalan itu menuju ke tempat berlangsungnya upacara mengikut agama Buddha sempena ulang tahun Hari Pertabalan baginda. Upacara itu berlangsung di Istana Klai Kangwon iaitu tempat bersemayam Raja Bhumibol dan Permaisuri Sirikit. Turut menghadiri upacara itu ialah anggota keluarga diraja dan para pegawai kerajaan termasuk Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.


Di Bangkok, politik dilupakan buat seketika ketika beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan berarak sejauh beberapa kilometer ke Grand Palace dan kuil Emerald Buddha bagi menghadiri sambutan ulang tahun Hari Pertabalan raja yang paling lama bertakhta di dunia. Mereka yang menghadiri upacara itu semuanya memakai baju kuning. "Dirgahayu Raja Bhumibol", teriak para penunjuk perasaan sepanjang perarakan mereka menuju ke destinasi dengan diketuai Suthep Thaugsuban, pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat. - Bernama




.

Ibu kelar leher bayi yang baru dilahirkannya diatas sebab yang tak masuk akal



Ibu kelar leher bayi yang baru dilahirkannya diatas sebab yang tak masuk akal | Seorang ibu muda membunuh bayinya dengan mengelar kerongkongnya selepas 30 minit melahirkan mangsa. Wanita berkenaan berbuat demikian kerana bimbang kelahiran bayi itu akan menjejaskan kehidupan seksnya. Nadine Koenig, 20, dari Regensburg, mencekup hidung mangsa yang baru dilahirkannya sebelum mengelar kerongkongnya dengan pisau. Remaja itu meneruskan aktiviti hariannya dengan pergi bersosial di disko selepas melakukan pembunuhan itu, kata pendakwa raya kepada hakim.

Pendakwa raya, Ulrike Klein berkata remaja itu tidak sanggup memikul tanggungjawab sebagai ibu. “Dia tidak mahu memikirkan kegiatan seksual dan kehidupan sosialnya terancam dengan kelahiran bayi itu,” katanya. Mahkamah di Regensberg diberitahu, Nadine yang merahsiakan kehamilan itu daripada ibu bapanya, melahirkan bayi berkenaan di rumah mereka Februari tahun lalu. Remaja itu kemudian membuang mayat anaknya berdekatan Danube. Selepas Nadine, ditahan polis, ibunya Krestin, 44 membunuh diri. Dia berdepan dengan tuduhan membunuh.- Agensi




.

Pelik!! Hantar kereta di bengkel dan ianya bertukar jadi besi buruk?


Pelik!! Hantar kereta di bengkel dan ianya bertukar jadi besi buruk?| Seorang ibu tunggal terkejut apabila mendapati kereta Hyundai Getz miliknya bertukar menjadi ‘besi buruk’ selepas lebih sebulan dihantar ke sebuah bengkel membaiki kenderaan di Bandar Tun Hussien Onn, di sini. Mangsa dikatakan menghantar keretanya di bengkel itu pada awal Februari lalu selepas enjin kenderaannya gagal berfungsi ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Normah, 39, berkata, dia meninggalkan keretanya untuk dibaiki tiga pekerja bengkel itu berusia lewat 20-an itu. “Ketika itu hari sudah lewat petang dan saya perlu segera mengambil anak pulang dari sekolah. Tanpa berfikir panjang saya menyerahkan kereta untuk dibaik pulih.

“Selepas memeriksa kereta saya itu, seorang mekanik memberitahu kereta itu mempunyai masalah brek dan meminta saya datang seminggu kemudian,” katanya. Menurutnya, dia bagaimanapun kecewa apabila kereta itu masih belum selesai dibaik pulih. “Mekanik di bengkel itu mendakwa kereta perlu menjalani proses baik pulih enjin. Saya terpaksa bersetuju dan diarahkan datang semula seminggu lagi. “Seperti dijanjikan, saya menghubungi mereka untuk bertanyakan keadaan kereta, namun pemilik bengkel berkenaan gagal dihubungi,” katanya. Normah berkata, dia bagaimanapun hanya datang semua ke bengkel itu pada minggu lalu untuk mengambil semula keretanya.

“Namun, saya terperanjat apabila mendapati kereta saya itu hanya tinggal kerangka. “Mereka memberi alasan enjin dan komponen pentingi kereta saya dihantar ke pekan Kajang untuk pemeriksaan lanjut. Malah, saya diugut apabila mempersoalkan tindakan mereka itu,” katanya. Menurutnya, pemilik bengkel itu bukan saja memarahi saya, malah turut menggunakan kata-kata kesat dan memaki hamun.

Normah berkata, dia juga diarahkan untuk melangsaikan bayaran lebih RM5,000 untuk proses baik pulih berkenaan. “Saya minta mereka mengeluarkan resit dan bukti pemeriksaan dijalankan untuk rujukan namun mereka tidak mengendahkan permintaan itu. “Sehingga kini pemilik bengkel itu bukan saja gagal dihubungi, malah kereta saya juga gagal dikesan,” katanya yang mengesyaki bengkel itu sudah melerai dan menjual komponen keretanya. Susulan itu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Batu 9, Cheras, di sini. -Metro




.

Takziah!! Seniman Datuk Abdul Aziz Sattar, meninggal dunia.. Jom baca pencapaiannya selama menjadi seorang seniman



Takziah!! Seniman Datuk Abdul Aziz Sattar, meninggal dunia.. Jom baca pencapaiannya selama menjadi seorang seniman | Seniman Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, meninggal dunia di Pusat Perubatan KPJ Kajang dekat sini kira-kira pukul 2 pagi Selasa. Berita kematian Allahyarham itu disahkan oleh cucunya, Abu Ubaidah A. Ishak menerusi Twitter miliknya kira-kira pukul 2.15 pagi. “Atok saya, Datuk Aziz Sattar telah menghembuskan nafas terakhir jam 2 pagi tadi (Selasa). Sedekahkan Al-Fatihah,” katanya dalam Twitter miliknya itu. Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung. Terdahulu pada malam Ahad lalu Allahyarham dikejarkan ke pusat perubatan berkenaan akibat serangan jantung tetapi keadaannya dilaporkan stabil dan ditempatkan di Unit Rawatan Korinari (CCU).

Allahyarham yang dilahirkan di Surabaya, Indonesia merupakan rakan seangkatan seniman Tan Sri P.Ramlee dan popular menerusi filem Bujang Lapok. Beliau juga pernah menyertai kumpulan pancaragam Pancasitara yang dianggotai oleh P.Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, Ahmad C dan Kassim Masdor pada awal tahun 1950an.Selain berpuluh-puluh filem lakonannya, Allahyarham juga pernah mengarah filem seperti Keluarga Si Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993). Pada tahun 2007, Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.

Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an. Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai).


Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak. Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100. Ketika berita ini ditulis kira-kira pukul 2.30 pagi, mStar Online difahamkan jenazah Allahyarham masih ditempatkan di Pusat Perubatan KPJ Kajang dan urusan pengebumian akan dimaklumkan selepas semua ahli keluarga berkumpul. mStar Online akan mengemaskini perkembangan mengenai Allahyarham kemudian. -Mstar




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!