Wednesday, May 7, 2014

Pasangan suami isteri menang saman sebanyak RM43,999 sebagai ganti rugi dari Air Asia


Pasangan suami isteri menang saman sebanyak RM43,999 sebagai ganti rugi dari Air Asia | Seorang suri rumah yang hamil diarah turun dari sebuah pesawat Airasia di Denpasar, Bali, Indonesia tiga tahun lalu kerana tidak mempunyai sijil perubatan menyatakan beliau layak dari segi kesihatan untuk melakukan perjalanan, mendapat award RM43,999 sebagai ganti rugi oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini. Patricia Karen Chew Mei Yik, 44, dan suaminya Michael Januarius, 57, memenangi saman ke atas Airasia Berhad selepas tiga panel hakim membenarkan rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai saman itu. Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Wahab Patail memberikan award ganti rugi khas kepada pasangan itu sebanyak RM18,999 dan juga ganti rugi am berjumlah RM25,000.

Beliau juga memerintahkan Airasia membayar faedah lima peratus setahun mulai 27 Disember, 2011, tarikh writ difailkan untuk penyelesaian penuh saman itu. Hakim Abdul Wahab yang mempengerusikan panel itu dengan Hakim Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim juga memerintahkan Airasia membayar RM10,000 sebagai kos perundangan kepada pasangan itu. Dalam pernyataan tuntutan mereka, Chew dan Januarius, seorang ahli perniagaan, berkata mereka membeli tiket penerbangan pergi balik ke Bali pada 2 Februari, 2011. Mereka berkata selepas menghabiskan percutian mereka di Bali bersama-sama dengan anak perempuan mereka ketika berumur empat tahun (kini 7 tahun), mereka menaiki pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur pada 26 Feb, 2011.

Pasangan itu mendakwa sebelum pesawat itu berlepas, seorang pramugari bertanyakan sama ada Chew, yang ketika itu hamil 28 minggu, sama ada beliau mempunyai surat daripada doktor yang mengesahkan beliau layak dari segi kesihatan untuk melakukan perjalanan menggunakan pesawat. Chew berkata beliau mendapat sijil daripada pakar sakit puan Datuk Dr Ang Chin Guan dari Sime Darby Specialist Centre Megah Sdn Bhd yang dikeluarkan pada 11 Februari, 2011. Bagaimanapun, beliau memberitahu pramugari terbabit sijil itu diserahkan kepada seorang pramugari yang namanya beliau tidak dapat diingat dalam pesawat pada 20 Februari, 2011 semasa bertolak dari Kuala Lumpur ke Denpasar. Chew mendakwa pramugari terbabit memberitahu beliau dalam nada suara marah bahawa semakan dalam sistem online tidak dapat mengesan sijil itu dan Chew dimaklumkan supaya mendapatkan sijil baharu daripada doktor.

Pada ketika itu, suami Chew memutuskan bahawa beliau kekal di dalam pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur tanpa isteri dan anaknya kerana beliau perlu menghadiri satu majlis resepsi korporat di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, pasangan itu mendakwa pramugari terbabit memberitahu mereka supaya pergi ke pintu depan untuk berbincang tetapi sebaik mereka berada di situ, seorang pengawal keselamatan mengarahkan mereka untuk turun dari pesawat dan kemudiannya menutup pintu pesawat. Pasangan itu berkata mereka kehilangan bagasi tangan mengandungi sebuah kamera dan sebuah komputer riba yang ditinggalkan di dalam pesawat. Pasangan itu berkata mereka kecewa dan diaibkan dengan cara keadaan itu dikendalikan.

Chew kemudiannya memperoleh sijil layak dari segi perubatan di lapangan terbang Denpasar yang membenarkan keseluruhan keluarga itu untuk menaiki pesawat lain ke Kuala Lumpur. Dalam pembelaan mereka, Airasia menafikan Chew dan keluarganya menerima layanan kasar sambil menambah petugasnya dilatih berdepan sebarang keadaan membabitkan penumpang dengan sabar, tenang, sopan dan secara profesional. Syarikat itu mendakwa petugas mereka dalam insiden itu hanya menjalankan tugas mereka mengikut prosedur operasi standard dan peraturan yang dikuat kuasakan. Pada 29 Ogos, 2012, Mahkamah Tinggi di Shah Alam menolak saman mereka. Chew dan Januarius diwakili peguam M.Manoharan manakala Airasia diwakili Zaini Mazlan dan Raja Nurul Iylia Raja Mohd Tajuddin. - BERNAMA




.

Wanita dipercayai kurang siuman gemparkan penduduk di Taman Medan



Wanita dipercayai kurang siuman gemparkan penduduk di Taman Medan | Seorang wanita dalam lingkungan umur 30 tahun mengemparkan penduduk Pangsapuri Mentari 3, Taman Medan di sini hari ini apabila melakukan percubaan untuk membunuh diri dari tingkat 12 pangsapuri tersebut. Tindakan wanita tersebut disedari jiran kira-kira pada pukul 7.20 pagi apabila keluar dari tingkap bahagian dapur rumahnya dan berdiri di atas atap 'oning' jiran di tingkat 11. Menurut Ketua Bomba Jalan Penchala, Penolong Penguasa Zaidi Ahtan, pasukan bomba seramai lapan anggota menerima panggilan kecemasan mengenai situasi itu pada pukul 7.28 pagi dan tiba di tempat kejadian pada pukul 7.40 pagi.

Penduduk yang melihat pasukan bomba memujuk wanita berkenaan beberapa kali menjerit ketakutan apabila wanita tersebut nekad untuk terjun tetapi berjaya dihalang oleh anggota bomba "Kita mengambil masa setengah jam untuk memujuk surirumah yang mempunyai anak seramai tiga orang ini," kata Zaidi ketika ditemui di tempat kejadian. Wanita tersebut akhirnya berjaya di selamatkan apabila dua anggota bomba bertindak nekad keluar dari bangunan dan berdiri di atas 'oning' dan bertindak pantas menarik dan menolak masuk wanita tersebut ke dalam rumah. Menurut jiran, wanita berkenaan mempunyai dipercayai mengalami mengalami masalah mental.





.

Kebakaran menyayatkan hati membabitkan dua beradik rentung di Kampung Tabuan, Kuching Sarawak


Kebakaran menyayatkan hati membabitkan dua beradik rentung di Kampung Tabuan, Kuching Sarawak | Dua beradik rentung manakala satu lagi mayat tidak diketahui identiti ditemui dalam sebuah bilik selepas sembilan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tabuan Haji Draman Jalan Foochow di sini, pagi tadi. Mayat dua beradik dikenalpasti sebagai Nur Diana, 5, manakala adiknya Nur Syaza, 3, ditemui rentung bawah katil di bilik.


Dalam kejadian jam 10.30 pagi, anggota bomba dan penyelamat menemui satu lagi mayat namun identiti belum dikenalpasti. Susulan itu, ketiga-tiga mayat terbabit dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pengecaman.Menurut jiran mangsa enggan dikenali, mayat tidak diketahui identiti itu mungkin ibu kepada dua kanak-kanak malang terbabit berikutan gagal dihubungi sehingga kini. -Metro




.

Satu-satunya pesawat penerbangan yang akan menjadikan kabin penumpangnya menjadi hotel bertaraf lima bintang


Satu-satunya pesawat penerbangan yang akan menjadikan kabin penumpangnya menjadi hotel bertaraf lima bintang | Syarikat penerbangan Etihad Airways merancang mengubah kabin penumpang dua buah pesawat miliknya menjadi seperti sebuah hotel bertaraf lima bintang. Antara kemudahan yang akan disediakan termasuklah bilik suite peribadi yang mempunyai ruang istirehat, bilik air, bilik mandi, bilik tidur dan juga seorang pembantu penumpang serta cef. Ruangan eksklusif tersebut diletakkan di dalam pesawat jenis Airbus A380 dan Boeing B787 Dreamliner milik syarikat itu.

Bagaimanapun, penumpang yang mahu perjalanan istimewa itu perlu membayar sekitar £12,500 (RM40,675) untuk satu penerbangan sehala yang tidak dinyatakan destinasi pesawat tersebut. Hiasan dalaman di ruangan tersebut direka khas dengan fabrik bermutu yang dibekalkan pembuat hiasan dalaman kereta Ferrari iaitu Poltrona Frau. Ruangan tersebut turut mempunyai sebuah ruangan senaman dan almari pakaian untuk kemudahan penumpang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Etihad Airways, James Hogan berkata, perkhidmatan terbaharu syarikat itu bakal menaikkan taraf perkhidmatan penerbangan dan mengubah jangkaan keselesaan serta kemewahan. "Kami akan menyediakan ruangan kabin penerbangan paling maju dalam industri penerbangan," katanya. Pihak syarikat itu juga akan menyediakan ruang untuk penumpang Islam bersolat dengan dilengkapi arah kiblat semasa pesawat sedang terbang. - Agensi




.

Misteri kemalangan.. Langgar ayam tak mati tapi bampar kereta berlubang



Misteri kemalangan.. Langgar ayam tak mati tapi bampar kereta berlubang | Seorang lelaki terkejut apabila melihat kesan kemalangan membabitkan keretanya dengan ayam. Ayam itu terselamat dalam kemalangan itu, tetapi bampar keretanya berlubang. Kemalangan berlaku di Xinfeng, daerah di wilayah Jiangxi, selatan China. Huang Lingyong, 31 sedang memandu Toyota Corolla dengan kelajuan 112.65 kilometer sejam apabila ayam itu melanggar keretanya.“Saya menekan brek kerana saya pencinta haiwan dan tidak mahu mencederakan haiwan itu. “Saya mendengar bunyi dentuman yang kuat dan saya menyangka ayam itu mati,” katanya.

Huang memberhentikan kereta dan keluar untuk melihat apa terjadi. Dia terkejut apabila melihat lubang di bahagian badan kereta dan ayam terperosok di dalamnya. “Saya menjangka ayam itu mati tetapi saya mendengar ayam itu berbunyi dan membongkok untuk melihat lebih dekat. “Ayam itu tidak apa-apa,” katanya. Menurut Huang, ia boleh jadi iklan yang baik. “Ayam itu kelihatan sangat kuat dan kualiti kereta saya tidak bagus. “Saya merakam video dengan menggunakan telefon bimbit dan menyiarkannya dalam Internet.” - Agensi




.

Apa maksud 'Perintah berkurung' yang diumumkan oleh Sabah?


Apa maksud 'Perintah berkurung' yang diumumkan oleh Sabah? | Perintah berkurung bakal dilaksanakan di beberapa kawasan berisiko tinggi di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bagi mengehadkan pergerakan keluar masuk manakala setiap urusan perlu mendapat kebenaran serta permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selain itu, pergerakan bot dan kapal juga diwajibkan mengikuti laluan yang dibenarkan dengan dipantau secara terus oleh pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di pangkalan hadapan yang bakal diwujudkan di kawasan strategik. Langkah itu merupakan salah satu daripada sembilan langkah drastik diputuskan oleh Jawatankuasa Kese­lamatan Negeri (JKKN) yang berme­syuarat bagi menangani kes p­enculikan terbaharu melibatkan seorang rakyat China di Pulau Baik, Silam, Lahad Datu dekat sini awal pagi semalam.

Mesyuarat tergempar JKKN itu dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman (gambar) bagi membincangkan langkah-langkah dan strategi sesuai yang perlu diambil untuk menangkis ancaman berkenaan di Esszone yang meliputi 10 daerah. “JKKN juga memutuskan untuk meningkatkan keupayaan logistik Esscom seperti mewujudkan sokongan melalui konsep ‘kapal induk’ untuk menjadi hab atau platform bagi pengisian minyak oleh bot-bot laju pasukan keselamatan tanpa perlu balik ke daratan yang mengambil masa dan kos," katanya.

Tambah Musa, langkah jangka pendek, sederhana dan panjang bakal dilaksanakan termasuk mewujudkan radar berkeupayaan tinggi dan meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan seperti penambahan jumlah bot laju berkeupayaan tinggi. Katanya, JKKN juga bakal mengukuhkan pelaksanaan gerak dan perang saraf bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya menjadi barisan pertahanan di Esscom. “JKKN menyeru supaya semua pihak khususnya penduduk di kawasan pantai timur Sabah sentiasa memberi kerjasama berterusan kepada pihak berkuasa dalam usaha menjamin keselamatan negeri ini berada pada tahap tertinggi," katanya. -Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!