Friday, May 9, 2014

Penyanyi legenda Datuk Sharifah Aini dijangkiti H1N1


Penyanyi legenda Datuk Sharifah Aini dijangkiti H1N1 | Penyanyi legenda Datuk Sharifah Aini, 61, hari ini mengesahkan yang dia pernah dijangkiti virus Influenza A (H1N1) lima bulan lalu. Menerusi Facebooknya hari ini, Sharifah Aini memberitahu yang dia menerima rawatan di hospital selama 28 hari dan sepanjang tempoh itu dia ditempatkan di bilik berasingan daripada pesakit lain. "Sampai sekarang saya perlu berulang-alik ke hospital dan hospital ibarat rumah kedua saya kerana kesihatan saya belum pulih seratus peratus. Saya memberitahu pengalaman ini, agar orang ramai lebih berhati-hati. Semuanya berlaku kerana saya terlalu ingin menjaga hati orang.

"Waktu itu saya mengadakan majlis khatam al-Quran dan salah seorang jemputan saya membawa kenalannya (wanita) yang tidak saya kenali dan wanita itu sejak datang batuknya amat teruk. Wanita itu hadir tiga malam berturut-turut ke majlis yang saya anjurkan itu.

"Tiap kali datang, dia akan memeluk dan mencium pipi saya. Bila dia peluk saya, tangan saya berpeluh. Selepas itu saya dapat tahu yang dia baru pulang daripada bercuti dari luar negara. Gara-gara dia, saya dan ahli keluarga disahkan dijangkiti virus H1N1," katanya yang dipetik melalui laman Facebooknya hari ini. Kata Sharifah Aini, tujuan dia mendedahkan pengalaman itu bukan untuk menghina sesiapa, cuma untuk mengingatkan orang lain agar berhati-hati apabila mempunyai rakan atau saudara mara yang batuk teruk. - Utusan




.

Aneh!! Banduan rela kembali ke penjara daripada bebas di luar


Aneh!! Banduan rela kembali ke penjara daripada bebas di luar | Seorang lelaki Perancis berusia 50 tahun, yang baru dibebaskan dan diletakkan di bawah pengawasan elektronik di rumah, mengambil langkah drastik dan terdesak untuk kembali ke penjara hanya untuk lari dari teman wanitanya. Eropah 1 Radio melaporkan bahawa lelaki berasal dari Pas de Calais yang disabitkan atas kesalahan ringan trafik berkaitan dengan pengambilan alkohol, bertindak memotong tag elektronik selepas bertengkar dengan teman wanitanya. Menurut pendakwaraya Perancis, lelaki itu hampir tamat menjalani hukumannya dan dia lebih rela menghabiskan masa di penjara daripada bersama pasangannya di rumah.

Dia kini berdepan hukuman penjara dua bulan. Pendakwaraya juga berkata, walaupun ia adalah ganjil bagi seorang banduan untuk mahu kembali ke penjara atas kehendaknya sendiri, bagaimanapun, terdapat situasi di mana terdapat antara mereka yang tidak sanggup dikurung di rumah namun tidak juga boleh keluar rumah atas kehendak sendiri." Penjara Perancis menyatakan bahawa terdapat 461 penjenayah yang disabit, diletakkan di bawah pengawasan elektronik.-AP




.

Punca pesawat Boeing 737 milik syarikat Ariana Afghan Airlines, tersasar dari landasan



Punca pesawat Boeing 737 milik syarikat Ariana Afghan Airlines, tersasar dari landasan | Sebuah pesawat Boeing 737 milik syarikat Ariana Afghan Airlines, tersasar dari landasan sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul ekoran keadaan hujan lebat yang melanda negara itu semalam. Ketua Pegawainya di lapangan terbang, Mohammad Moeen Ayazi, berkata, ekoran kejadian tiada penumpang cedera dalam kejadian berkenaan. Tambahnya, pesawat itu yang dalam perjalanan dari New Delhi, India ke Kabul, Afghanistan tidak mengalami kerosakan walaupun tersasar dari landasan pendaratan sebelum berhenti, malah para penumpang pesawat telah di arahkan keluar dengan selamat. - AFP




.

Wanita ini berdepan hukuman sebat dan rotan walaupun dia sebenarnya mangsa rogol beramai-ramai di rumahnya



Wanita ini berdepan hukuman sebat dan rotan walaupun dia sebenarnya mangsa rogol beramai-ramai di rumahnya | Seorang wanita tempatan mungkin berdepan hukuman sebat dengan rotan walaupun dia sebenarnya menjadi mangsa rogol beramai-ramai di rumahnya di Langsa minggu lalu. Pengarah Agensi Syariah Islam Langsa, Ibrahim Latif berkata, wanita berusia 25 tahun itu boleh disebat jika siasatan pihak berkuasa mendapati dia dan pasangan lelakinya melanggar kanun undang-undang syariah Aceh. “Wanita terbabit disyaki berdua-duaan dengan seorang lelaki sebelum dirogol beramai-ramai,” katanya. Wilayah Aceh melaksanakan undang-undang syariah yang menetapkan peraturan dan hukuman bagi mengawal tingkah laku manusia menurut Islam.

Ia bukan saja dikenakan ke atas Muslim di Acheh malah dikuatkuasakan ke atas individu bukan Islam. Menurut kanun berkenaan, pesalah khalwat boleh dirotan antara tiga hingga sembilan kali atau denda antara Rp2.5 juta (RM700) hingga Rp10 juta (RM2,800). Bagaimanapun ia menimbulkan tanda tanya kerana kanun berkenaan tidak menyediakan hukuman bagi kesalahan merogol. Setakat ini Aceh hanya mempunyai empat kanun - membabitkan hal ehwal agama, pemujaan dan simbol-simbol agama; khamar (arak) dan maisir (judi), serta berkhalwat.

Ibrahim berkata, disebabkan undang-undang sedia ada tidak memperuntukkan hukuman bagi kesalahan rogol, pesalah akan dikenakan tindakan menurut akta jenayah. Wanita itu dilaporkan dirogol bergilir-gilir kira-kira jam 1 pagi pada 1 Mei lalu. Mereka diintip sembilan penduduk kampung yang kemudian menyerbu dan mengikat lelaki terbabit sebelum dikurung di dalam almari. Wanita itu kemudian dirogol bergilir-gilir sebelum diserah kepada ketua kampung untuk dikenakan tindakan. Tiga suspek ditahan polis kemudian, manakala enam yang lain masih diburu.- Agensi





.

Penerbangan terakhir di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT)


Penerbangan terakhir di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) | Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) menutup perkhidmatannya setelah lapan tahun beroperasi di sini, dengan pelepasan pesawat AirAsiaX D7 170, ke Jeddah, Arab Saudi pada pukul 2.35 pagi Jumaat. Sebelum itu, pesawat AirAsia AK 63, melakukan penerbangan terakhir untuk malam Khamis dari terminal berkenaan ke Kolkata, India pada pukul 10.30 malam. Penutupan perkhidmatan LCCT pada hari ini selaras dengan pembukaan terminal baru, klia2 pada 2 Mei lalu memandangkan terminal penerbangan tambang murah itu tidak lagi mampu menampung jumlah penumpang yang mencecah 22 juta orang pada tahun lalu, berbanding kapasitinya sebanyak 15 juta penumpang setahun.

AirAsia memulakan operasinya semalam di klia2 dengan pendaratan pesawat pertamanya dari Ho Chi Minh, Vietnam pada pukul 3.50 petang. Dengan kos pembinaan dalam lingkungan RM4 bilion, terminal klia2 mampu mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun dengan AirAsia dijangka menyumbang kira-kira 80 peratus daripada trafik klia2. Klia2 terletak 1.5 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berbanding 11 kilometer jarak antara terminal utama dan LCCT. Selepas penutupan LCCT, pihak Malaysia Airports Holdings Bhd memaklumkan bahawa terminal itu akan dijadikan Terminal Kargo Udara.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri kelima ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 23 Mac 2006 dengan kapasiti asal 10 juta penumpang setahun, LCCT kemudian diperbesar untuk menampung kapasati 15 juta penumpang setahun pada 2009. Selain syarikat kumpulan AirAsia yang terdiri daripada AirAsia, AirAsia X, Indonesia AirAsia, Thai AirAsia dan AirAsia Zest, tiga syarikat penerbangan lain turut telah menggunakan perkhidmatan di LCCT iaitu Tiger Air, Lion Air dan Cebu Pacific. Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar berkata, malam terakhir di LCCT dilalui dengan perasaan sedih kerana terminal ini banyak berjasa kepada mereka dalam AirAsia.

"Banyak kenangan manis AirAsia di LCCT sejak ia memulakan operasi pada 26 Mac 2006. "Bermacam-macam kenangan manis yang dilalui di sini dengan pelbagai pelancaran yang baik, laluan baharu dan banyak penyambungan penerbangan antarabangsa yang diwujudkan," katanya kepada media. Aireen berkata: "Kami telah menjadikan LCCT sebagai nadi lapangan penerbangan tambang murah yang terkemuka di rantau ini dan saya dapat merasakan sentuhan perasaan amat sedih kami di sini malam ini."

Ditanya sama ada AirAsia merancang mengambil lebih banyak kakitangan selepas berpindah ke klia2 memandangkan dari segi kapasitinya lapangan terbang itu tiga kali ganda lebih besar daripada LCCT, beliau berkata, syarikat itu akan meningkatkan proses perkhidmatannya tanpa perlu menambah kakitangan buat masa ini. "Kami mahu memastikan produktiviti kakitangan terus meningkat dan mengharapkan mereka lebih cekap dan mampu melakukan pelbagai tugas pada tahap keupayaan yang tinggi," katanya. Aireen berkata, cara ini adalah lebih baik untuk usaha pelaburan dan pertumbuhan masa depan perniagaan yang lebih sihat. -Mstar




.

Buang bayi di dalam pam tandas : Pelajar tingkatan empat dan teman lelaki ditahan


Buang bayi di dalam pam tandas : Pelajar tingkatan empat dan teman lelaki ditahan | Polis menahan seorang pelajar tingkatan empat bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi lelaki di dalam tangki air pam tandas di Klinik Kesihatan Butterworth, dekat sini semalam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah (gambar) berkata, pelajar berusia 16 tahun itu ditahan di rumahnya beberapa jam selepas penemuan mayat bayi tersebut yang dipercayai dibuang lebih 24 jam, sebelum dijumpai oleh seorang wanita. Katanya, hasil soal siasat, pelajar terbabit mengaku pergi ke klinik berkenaan bersama bapanya kelmarin untuk mendapatkan rawatan kerana sakit perut.

"Ketika sedang diperiksa doktor, dia meminta izin untuk ke tandas dan melahirkan bayi berkenaan sejurus selepas itu. Dia bagaimanapun panik apabila bayi itu menangis lalu memasukkannya ke dalam tangki dan pulang ke rumah semula bersama bapanya," katanya di sini hari ini. Dalam kejadian semalam, seorang wanita menemukan mayat seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan dalam tangki air pam tandas di Klinik Kesihatan Butterworth di sini pukul 9.10 pagi, ketika menggunakannya.

Mazlan seterusnya berkata, setibanya di rumah, pelajar terbabit terus tidur dan tidak menceritakan kejadian berkenaan kepada sesiapa, termasuk ahli keluarganya yang tidak tahu-menahu remaja berkenaan mengandung. Katanya, pelajar berkenaan ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya. Beliau menambah, remaja itu turut mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya. Dalam pada itu, menurut beliau, teman lelaki remaja perempuan berkenaan yang berumur 18 tahun ditahan polis pada pukul 4 petang ini dan akan direman selama empat hari bagi membantu siasatan. -Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!