Tuesday, May 20, 2014

Pelik! Lelaki itu sedang mencari sesiapa saja yang minat jadi pengemis



Pelik! Lelaki itu sedang mencari sesiapa saja yang minat jadi pengemis  | Seorang lelaki dilihat berkeliaran bandar Dazhou dan menimbulkan kehairanan apabila dia dilaporkan mencari sesiapa yang berminat untuk belajar mengemis. Untuk menarik perhatian perantis, lelaki terbabit turut menawarkan kemudahan bilik penginapan dan bonus tahunan. Beberapa gambar dimuat naik di Internet menunjukkan lelaki terbabit berbaring di jalan bersama papan tanda bertulis: “Merekrut pengemis profesional.” Dia juga menceritakan pengalamannya di papan tanda berkenaan. “Saya menamatkan pengajian di pusat latihan profesional di Shanghai pada 2011. Sejak itu saya mengemis secara solo dan kini saya mencari rakan sekerja untuk mengemis di seluruh negara,” tulisnya. Beberapa lagi jurulatih pengemis turut dilihat mencari “pelajar baru” di sekitar wilayah Sichuan dengan menawarkan makanan dan tempat tinggal serta bonus akhir tahun. - Agensi




.

Cara unik pasangan selebriti terkenal mengasuh anak di puji



Cara unik pasangan selebriti terkenal mengasuh anak di puji | IBUNYA adalah seorang selebriti dan bapanya adalah pemain bolasepak terkenal dunia dan keluarganya bernilai £165 juta tetapi nampaknya Brooklyn Beckham (foto) telah diasuh untuk menghargai nilai wang apabila dia perlu bekerja di hujung minggu untuk memperolehi duit poketnya sendiri. Anak sulung bekas penyanyi Spice Girl, Victoria dan David Beckham yang berusia 15 tahun itu kini telah memulakan kerja di hujung minggu di sebuah kafe di Barat London di mana dia dibayar £2.68 sejam. Oleh kerana dia masih lagi berusia 15 tahun, Brooklyn tidak dibenarkan bekerja melebihi tujuh jam dan harus diberi waktu rehat selama sejam selepas empat jam bekerja.

Akhbar The Mail Online melaporkan yang salah seorang kakitangan kafe berkenaan yang tidak mahu namanya disiarkan telah mengesahkan yang Brooklyn telah pun bertugas selama beberapa syif dan kerjanya sangat memuaskan hati majikannya. Beckham yang berasal dari keluarga yang sederhana dikatakan menjadi pendorong kepada anaknya Brooklyn bekerja secara sambilan untuk memperolehi wang saku sedangkan kekayaan yang mereka ada tidak memerlukan mereka untuk berbuat demikian.

Tetapi oleh kerana Beckham berasal dari latarbelakang keluarga yang berpendapatan sederhana, dia tidak mahu anak-anaknya hidup mewah tanpa tahu menghargai nilai mata wang untuk menyara hidup. Beckham dan isterinya Victoria mempunyai tiga orang anak lelaki lagi iaitu Romeo, 11, Cruz, sembilan dan Harper, dua tahun. Bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu pernah dipetik sebagai berkata: "Kami cuba membina keluarga ini dengan memberi teladan yang baik iaitu dengan menunjukkan kepada mereka (anak-anak) akan pentingnya bekerja keras untuk berjaya dalam hidup. -AP




.

[Gambar] Penemuan piramid di Sudan, dan pendedahan kewujudannya didedahkan


[Gambar] Penemuan piramid di Sudan, dan pendedahan kewujudannya didedahkan | PIRAMID Mesir merupakan antara tujuh keajaiban dunia. Namun jika menyebut mengenai piramid, ramai yang menyangka hanya Mesir sahaja memiliki monumen unik itu, yang diperbuat daripada batu padu dan dibina sebagai makam firaun. Piramid juga dipercayai adalah tangga yang digunakan oleh roh-roh firaun untuk menuju ke langit. Namun, tidak ramai yang mengetahui sebelum piramid di Mesir dibina, terdapat piramid yang lebih awal dibina iaitu di kawasan gurun di utara Sudan yang dipercayai dibina oleh penduduk Nubia di Afrika Utara. Sudan merupakan tapak awal peradaban manusia. Jika dilihat daripada kronologi sejarah peradaban awal manusia, terdapat beberapa tamadun kecil pra-Firaun dibina di negara pertemuan dua Nil itu.

Piramid tertua yang dikenali sebagai Mereo, ditemukan berhampiran Sungai Nil yang dikatakan dibina kira-kira 300 tahun sebelum piramid di Mesir dibina. Sama seperti piramid-piramid di Mesir, piramid di Nubia juga dibangunkan sebagai makam diraja dan ratu. Monumen itu dipercayai menyimpan banyak warisan arkeologi yang tersembunyi. Penduduk Nubia membina lebih banyak piramid berbanding orang Mesir, tetapi saiznya jauh lebih kecil dan lebih curam berbanding piramid Mesir dan merupakan tugu dan makam untuk raja yang meninggal dunia. Kerajaan Nubia merupakan sebuah empayar yang makmur berdasarkan penemuan awal kawasan perkuburan yang tersusun berbentuk bulatan yang menempatkan sekitar 3,000 kubur yang ‘penghuninya’ kelihatan dikebumikan mengikut istiadat tersendiri.

Setiap mayat dikebumikan bersama-sama binatang peliharaan dan dilapik dengan kulit lembu yang telah diawetkan. Mayat-mayat itu kemudian diletakkan dalam keadaan seperti di dalam rahim ibu dengan tangan mereka diletakkan menutup muka. Penemuan itu menunjukkan penduduk Nubia memiliki tamadun yang tinggi. Ahli arkeologi beranggapan, pembangunan piramid Mereo dibuat dengan cara yang sistematik berdasarkan cara pembuatannya. Sehingga kini ahli arkeologi masih meneruskan kajian ke atas Piramid Mereo di Sudan dan bersedia untuk memperluaskan penyelidikan di kawasan tersebut. Kerajaan Qatar telah bersetuju membiayai projek itu dengan menyalurkan bantuan berjumlah AS$135 juta (RM435 juta) bagi meneroka sepenuhnya monumen tersebut yang dipercayai menyimpan banyak warisan tersebunyi.

Projek menaik taraf piramid itu, sekali gus dijangka merubah landskap Sudan sebagai tarikan pelancong baharu. Banyak lagi sejarah yang belum diterokai mengenai piramid di negara itu yang dipercayai menyimpan banyak cerita tersendiri. Sebelum ini, usaha-usaha penggalian hanya menggunakan cara tradisional oleh penduduk tempatan, termasuk menggunakan kereta sorong dan penyodok, sekali gus melambatkan proses-proses menaik taraf kawasan tersebut serta usaha menemui sisa monumen termasuk piramid dan kuil.

Kini, dengan pembiayaan tersebut, usaha untuk membongkar satu lagi sejarah dan tamadun yang lama tersimpan akan dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Penemuan itu kelak bakal memberi pengetahuan baharu kepada generasi akan datang tentang penduduk Nubia dan juga ‘cerita’ tentang peninggalan empayar silam yang pernah bertapak di bumi Sudan. Tahun lalu, hampir 600,000 pelancong asing melawat Sudan dan menjadikan kawasan perkuburan purba itu sebagai tarikan utama mereka. -AP




.

Budaya unik masyarakat Vietnam jadi tumpuan jurugambar



Budaya unik masyarakat Vietnam jadi tumpuan jurugambar | Seorang jurugambar Jerman, Hans Kemp merakamkan budaya unik masyarakat Vietnam yang menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama untuk mengangkut barangan di negara ini. Bagi Kemp yang mula melawat Vietnam pada 1991 dan kemudian menetap di bandar ini sejak 2005, aksi itu menarik minatnya untuk diabadikan sebagai koleksi peribadi. “Saya sungguh tidak mempercayai apa yang saya lihat pada mulanya. Hampir keseluruhan keluarga seisi rumah di sini menggunakan sebuah motosikal, dari lelaki bersut sehingga ke gadis yang siap bersolek," katanya seperti yang dilaporkan Mail Online.


Antara gambar yang sempat dirakamkannya adalah aksi penduduk Vietnam menunggang motosikal yang sarat dengan muatan tong air plastik, ayam dan itik hidup, ikan gergasi, bunga segar, telur serta cermin besar. Bermula daripada minat merakamkan gambar, Kemp kemudian mengambil keputusan menetap di Ho Chi Minh dari Hong Kong pada 1995 dan pada tahun 2000 seorang pelanggan telah mengupahnya mengambil gambar beberapa motosikal tempatan.


Akhirnya, tugasan yang diberikan pada awalnya itu kemudian mula menjadi satu projek kegemaran dan selama dua tahun Kemp meluangkan masa terluangnya dengan mengambil gambar motosikal merentasi seluruh negara di Vietnam. Bagi merakamkan aksi motosikal yang sedang bergerak, Kemp akan membonceng di tempat duduk belakang sebuh motosikal Honda Super Cub. Pada tahun 2005, Kemp menerbitkan sebuah buku bertajuk Bikes Of Burden yang kemudian menjadi buku bergambar yang popular. Dia baru-baru ini telah melawat Vietnam sekali lagi bagi merakam lebih banyak gambar untuk penerbitan semula bukunya. -AP




.

Saman sivil terbesar di dunia oleh seorang datuk berusia 62 tahun



Saman sivil terbesar di dunia oleh seorang datuk berusia 62 tahun | Seorang pemastautin di bandar raya terbesar dunia, New York telah memfailkan saman sivil di Mahkamah Persekutuan Manhattan, di sini pada 11 April lalu menuntut ganti rugi terbesar di dunia iaitu sebanyak Dua Undesilion Dolar (AS$2,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000) selepas jarinya digigit oleh seekor anjing. Anton Purisima, 62, telah mengemukakan saman tersebut dengan menamakan pelbagai pihak sebagai defendan termasuk Datuk Bandar New York, dan Pasar Raya Kmart. Dalam fail saman setebal 22 muka surat yang ditulis dengan tangan itu, Purisima menyatakan yang dia akan mewakili dirinya sendiri tanpa bantuan seorang peguam.

Purisima mendakwa bahawa jari tengahnya telah digigit oleh seekor anjing yang disyaki mengidap penyakit anjing gila ketika sedang menaiki sebuah bas milik perbandaran New York sebelum gambarnya sedang mendapat rawatan di sebuah hospital dirakamkan oleh pasangan berketurunan Cina. Dia juga mengemukakan saman kerana merasakan yang dirinya sering dicaj berlebihan ketika minum kopi di Lapangan Terbang LaGuardia. Saman itu menyebut bahawa kesakitan dan kesengsaraan yang dihadapinya ‘tidak dapat ditukar ganti dengan wang’ dan oleh yang demikian 'tidak ternilai harganya.’

Turut dimasukkan sebagai eksibit di dalam samannya itu ialah foto jarinya yang berdarah kerana digigit anjing. Purisima juga mendakwa yang dia telah mengalami pencabulan ke atas hak-hak kemanusiaan, kecederaan pribadi, diskriminasi ke atas asal usulnya, penentangan, pencabulan, penipuan, percubaan untuk membunuh, distres emosi pribadi yang disengajakan dan konspirasi penipuan.

Senarai orang dan organisasi yang disamannya berjela-jela tetapi antaranya termasuklah Carepoint Health, Pusat Perubatan Hoboken University, Setor Kmart, Jabatan Kecemasan St Luke, Pihak Berkuasa Transit Bandar New York, Bandar Raya New York dan Pentadbiran Lapangan Terbang LaGuardia. Ini juga bukanlah fail saman Purisima yang pertama. Dalam tempoh empat tahun dia telah mengemukakan saman terhadap Republik Rakyat China, institusi kewangan seperti Wells Fargo, JP Morgan dan Wachovia serta Pesuruhjaya Sekuriti Sosial. -AP




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!