Wednesday, May 21, 2014

[Gambar] Jersi Barcelona untuk musim 2014/2015


[Gambar] Jersi Barcelona untuk musim 2014/2015 | BARCELONA memperkenalkan jersi baharu bagi mengharungi musim 2014-15 dengan menggabungkan bakat muda dan berpengalaman sebagai model. Jersi keluaran Nike itu diperkenalkan selepas pasukan tersebut terlepas untuk menjuarai La Liga musim ini yang menjadi milik Atletico Madrid.Jersi berbelang itu diwarnai dengan biru gelap dan merah yang antara lain memberikan imej lebih garang. Dalam gambar pengenalan jersi tersebut, The Catalan mengabungkan pemain daripada pasukan Barcelona B iaitu Sergi Samper, Edgar Ie, Jean Marie dan Dongou Tsafack manakala Neymar, Andres Iniesta, Gerard Pique, Xavi, Lionel Messi dan Sergio Busquets tampil sebagai bintang utama.


Pembaharuan yang dilakukan terhadap jersi tersebut ialah dua belang di depan dan belakang berbanding lima belang kecil bagi yang lama.Bersama jersi baharu itu, Barcelona turut melantik bekas pemain tengahnya Luis Enrique, sebagai pengurus baharu selepas Gerardo Martino dipecat. Bekas pengendali Celta Vigo berusia 44 tahun itu diberikan kontrak selama dua tahun. -AP



.

Replika Piala Dunia setinggi enam meter musnah terbakar


Replika Piala Dunia setinggi enam meter musnah terbakar | Perosak harta benda membakar replika Piala Dunia setinggi enam meter yang terletak beberapa kilometer dari lokasi pasukan Brazil akan ditempatkan untuk temasya bulan depan, menurut pegawai di bandar Teresopolis. "Usaha akan dilakukan bagi mencari dalang perbuatan vandalisme ini supaya mereka tidak terlepas daripada hukuman," menurut Datuk Bandar Teresopolis dalam satu kenyataan. Serangan terhadap replika piala itu bukan yang pertama terhadap simbol berkaitan Piala Dunia di Brazil. Bola sepak besar serta maskot Fuleco turut dirosakkan. Tahun lalu, lebih sejuta orang berhimpun di jalanan di beberapa bandaraya Brazil bagi membantah perbelanjaan untuk temasya itu serta kurangnya peruntukan untuk perkhidmatan awam. - Reuters




.

Kemalangan ngeri membabitkan Nissan Xtrail, yang menyebabkan pemandunya maut di tempat kejadian


Kemalangan ngeri membabitkan Nissan Xtrail, yang menyebabkan pemandunya maut di tempat kejadian | Seorang lelaki yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV ) jenis Nissan Xtrail maut, selepas kenderaan dipandunya 'terbang' memasuki laluan bertentangan sebelum terperosok dalam cermin sebuah bas ekspres yang sedang dalam perjalanan dari KLIA menuju Ipoh dalam kejadian di ‎Kilometer 371.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dari Slim River menuju Sungkai, di sini‎ pagi tadi.‎ Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu‎, mangsa yang tersepit dalam kenderaannya maut ditempat kejadian, manakala pemandu bas dan sembilan penumpang tidak mengalami kecederaan. Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Othman Nayan berkata,‎ kemalangan membabitkan sebuah bas Star Mart Express dengan sebuah SUV Nissan Xtrail.

"Bas yang dipandu oleh 1(L) India berusia 44 tahun yang mengambil penumpang dari KLIA menuju ke Ipoh menggunakan PLUS dan sebaik sampai di Km 371.1 arah Utara sebuah SUV Nissan dipandu oleh 1(L)Melayu nama Jailani Din, 44, yang datang dari arah utara menuju ke selatan dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan. "Akibat daripada itu SUV terbabit melambung dan berpusing kelaluan bertentangan sebelum merempuh bas berkenaan dan kesan daripada pelanggaran itu mengakibatkan pemandu Nissan Xtrail tersepit serta mengalami kecederaan parah di kepala serta anggota badan dan meninggal dunia ditempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi. Menurutnya, pemandu bas dan sembilan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan. "Mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987," katanya. -Metro




.

Demi memiliki bisep, Arlindo nekad suntik minyak di lengannya


Demi memiliki bisep, Arlindo nekad suntik minyak di lengannya | Lelaki yang berasal dari Brazil ini, Arlindo de Souza memiliki otot bisep berdiameter 73 cm. Lelaki yang digelar 'The Mountain' ini menyuntik minyak dan alkohol pada lengannya agar kelihatan berotot. Otot bisep yang dihasilkan oleh lelaki berusia 43 tahun ini bukan dari latihan fizikal bertahun-tahun, melainkan dari hasil menyuntikkan minyak dan alkohol ke tangannya. Cairan minyak dan alkohol itu diserap oleh tubuh dan dapat memberikan tampilan otot yang besar. Namun, cara ini dapat menyebabkan infeksi yang mengerikan dan lengan beberapa orang yang melakukannnya telah dipotong, bahkan boleh menyebabkan kematian.

Menurutnya, setiap kali melakukannya, dia malah inginkan bisep yang lebih besar. Dia mengakui menyuntikkan cairan berbahaya ini ketubuhnya sebanyak tiga kali dalam seminggu selama dua bulan untuk mencapai otot bisepnya yang sempurna. Cara yang membahayakan tubuhnya ini dia lakukan untuk menarik perhatian wanita dan juga di pesaingnya. Dia mengakui tidak merasai risiko yang teruk setiap kali melakukannya. Ramuan minyak yang dipakai Arlindo diyakini mengandungi sebahagian besar mineral, yang mirip dengan baby oil tapi tiada bauan, dan jumlah yang lebih kecil dari alkohol dan ubat bius. Sayangnya ramuan berbahaya ini sangat mudah diperolehi kerana boleh dibeli secara online atau di farmasi-farmasi yang tidak berdaftar di Brazil. -AP




.

Pesawat MAS menuju ke Langkawi dipanah petir



Pesawat MAS menuju ke Langkawi dipanah petir | Lebih 50 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH1348 yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Langkawi, di sini, berdepan detik cemas apabila salah satu enjin pesawat berkenaan terkena panahan petir, semalam. Dalam kejadian jam 11.50 pagi, penumpang dan anak kapal dikejutkan dengan satu dentuman kuat sebelum disusuli pancaran cahaya seperti api di bahagian enjin sebelah kiri pesawat terbabit. Seorang penumpang yang enggan dikenali berkata, pesawat itu berlepas dari KLIA pada jam 11.05 pagi sebelum berlaku gegaran kuat selepas 15 hingga 20 minit penerbangan dipercayai akibat cuaca buruk.

 “Ketika itu, semua penumpang panik sehingga ada antara mereka menjerit dan menangis,” katanya ketika dihubungi semalam. Menurutnya, sebaik pesawat mendarat, dia terkejut mendapati kesan berlubang sebesar bola golf pada satu enjin berkenaan. Sementara itu, pihak MAS dalam kenyataan medianya mengesahkan kejadian berkenaan. Menurutnya, pesawat berkenaan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan tiada kemalangan mahupun kerosakan dilaporkan berlaku. “Pesawat dihantar untuk pemeriksaan sebelum dibenarkan meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur,” katanya. -Metro



.

Susulan kes kejadian cubaan culik dan rompak pelajar Malaysia di Universiti Padjajaran, Bandung


Susulan kes kejadian cubaan culik dan rompak pelajar Malaysia di Universiti Padjajaran, Bandung | Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia terus memantau perkembangan siasatan kejadian cubaan culik dan rompak membabitkan seorang pelajar perempuan Malaysia di Universiti Padjajaran (Unpad) di Bandung, Jawa Barat, Jumaat lalu. Pejabat Kedutaan Besar di sini turut bekerjasama dengan pihak pengurusan universiti tersebut serta pihak polis bagi memastikan jaminan keadilan diperoleh pelajar Malaysia itu. Sebaik sahaja menerima laporan kes yang melibatkan pelajar tersebut Sabtu lalu, para pegawai Kedutaan Besar Malaysia bergegas ke Bandung untuk mendapatkan laporan daripada pihak berkuasa serta membantu pelajar terbabit dan keluarganya yang datang dari Malaysia.

Pada masa sama, satu pertemuan antara Duta Besar Malaysia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dengan pihak pengurusan Unpad sedang diatur dalam waktu terdekat bagi mendapatkan jaminan mengenai keselamatan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di universiti itu. “Pertemuan itu kelak bagi memastikan keselamatan pelajar-pelajar Malaysia yang lain terjamin. Kita mahu pihak universiti memberi perhatian kepada aspek keselamatan kerana lebih 700 pelajar Malaysia sedang mengikut pengajian di universiti itu pada masa ini," kata pejabat Kedutaan Besar Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini. Ketika ini, pelajar tersebut sudah dibawa pulang oleh keluar­ganya ke tanah air dan pihak kedutaan akan terus berhubung dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan laporan siasatan kes jenayah itu.

Sementara itu, polis daerah Jawa Barat akan mengadakan siasatan terperinci kes yang melibatkan pelajar Malaysia itu. Ketua Polis Jawa Barat, Mochamad Iriawan yang kesal dengan kejadian tidak bertanggungjawab itu menegaskan, pihaknya akan terus menjejaki suspek terbabit. Menurut beliau, kejadian yang menimpa pelajar Malaysia itu merupakan tindakan yang melampau dan tidak berperikemanusiaan apa lagi yang menjadi mangsa merupakan warganegara asing yang sedang menuntut ilmu di daerah berkenaan. “

"Ini keterlaluan. Memalukan nama Jawa Barat. Kalau kejadian ini (jenayah) terus berlaku mahasiswa (asing) tidak mahu ke sini lagi," tegas Mochamad kepada wartawan di Bandung hari ini. Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang pelajar Malaysia dilaporkan ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di kawasan Cikole Lembang, Bandung, Jawa Barat. Berdasarkan laporan media tempatan, pelajar berkenaan diserang suspek ketika hendak mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan kampusnya. Mochamad juga memberi jaminan, kes ini akan menjadi perhatian utama pasukan siasatan polis bagi memastikan suspek dibawa ke muka pengadilan. - Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!