Tuesday, May 27, 2014

[Gambar] Banduan Paling Ganas Mengamuk Kerana Arsenal Juara Piala FA



[Gambar] Banduan Paling Ganas Mengamuk Kerana Arsenal Juara Piala FA | BANDUAN paling ganas di Britain mengamuk di dalam penjara selepas berang dengan kemenangan Arsenal pada saingan Piala FA hujung minggu lalu.Charles Bronson, 61, yang merupakan penyokong tegar Tottenham Hotspur dilaporkan mahu Hull City menang dalam perlawanan tersebut. Dia yang dipenjara seumur hidup di Penjara Sutton kerana menculik dan merompak bertindak berlumur dirinya dengan mentega sebelum mengamuk.


Bronson bertindak demikian bagi menyukarkan warden penjara untuk menangkapnya ketika mengamuk. Berikutan kejadian itu, seramai 12 warden mengalami kecederaan. Dalam surat yang ditulis kepada bekas isterinya, Kate Kray, Bronson menceritakan kejadian yang menyebabkan tulang rusuknya patah. Banduan itu berkata, "Saya mahu Hull menang sebab saya penyokong Spurs, saya benci melihat Arsenal dan kegembiraan mereka." -Mstar




.

Jenazah Lans Koperal Mohd Azuan selamat dikebumikan



Jenazah Lans Koperal Mohd Azuan selamat dikebumikan | Cuaca redup dan hujan renyai mengiringi pengembumian Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, di Tanah Perkuburan Islam Batu 23 di sini, pagi tadi. Jenazah yang tiba dengan van jenazah polis kira-kira 10.10 pagi itu terlebih dahulu disembahyangkan di Masjid Kampung Rahmat yang terletak berhampiran tanah perkuburan. Ahli keluarga, sahabat handai selain anggota sepasukan hadir memenuhi perkarangan kawasan tanah perkuburan sejak awal pagi lagi. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim. -Metro




.

Kiriman pos paling pelik, dan anda akan terkejut dengan kandungannya



Kiriman pos paling pelik, dan anda akan terkejut dengan kandungannya | Polis semalam melancarkan siasatan kes mayat seorang jururawat yang dikirim melalui pos ke Jepun dalam bungkusan yang didakwa mengandungi ‘anak patung.’ Mayat mangsa yang dikenali sebagai Rika Okada ditemui di tempat simpanan barang di bandar raya ini. Menurut laporan, penyiasat menjumpai kotak berukuran dua meter yang dikirim dari Osaka, bandar di selatan negara itu. Perkhidmatan penghantaran yang membawa kotak yang ditanda dengan tulisan Jepun bermakna ‘anak patung” - 400 kilometer ke Tokyo telah dibayar atas nama mangsa. Selain itu, sewa sementara bagi tempat simpanan turut dibayar menggunakan kad kredit Rika.

Mayat wanita berusia 29 tahun itu yang hilang sejak Mac lalu, mempunyai puluhan kesan tikaman, lapor media tempatan. Ia bagaimanapun tidak mempunyai sebarang tanda mempertahankan diri pada lengan dan tangannya. Polis di Osaka enggan mengesahkan maklumat itu, tetapi laporan mengatakan seorang wanita yang belajar bersama Rika di sekolah rendah keluar meninggalkan Tokyo awal bulan ini dengan menggunakan pasport si mati.

Rakan sekelasnya yang tidak diketahui identitinya dipercayai tinggal tidak jauh dari tempat penyimpanan barang berkenaan bersama dengan seorang lagi wanita warga China yang seusia dengannya. Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Haneda dengan pesawat yang sama menuju ke Shanghai. Sejurus sebelum hilang, mangsa dikatakan menulis di dalam akaun Facebooknya mengatakan dia akan melawat seorang kawan lama yang sudah lama tidak ditemuinya.- AFP




.

Wanita pelihara dua ekor harimau Bengal dewasa di halaman rumah sebagai haiwan peliharaan



Wanita pelihara dua ekor harimau Bengal dewasa di halaman rumah sebagai haiwan peliharaan | Penggemar haiwan biasanya memilih untuk mem­bela binatang peliharaan yang jinak. Namun berbeza bagi seorang wanita dari Davenport, Florida, ke­rana dia memilih untuk memelihara dua ekor harimau Bengal dewasa di halaman rumahnya, malah turut memberi makan haiwan-haiwan itu dengan tangannya sendiri. Bukan setakat itu, Janice Haley juga sering mengusap dan memeluk kucing besar tersebut yang mempunyai taring sepanjang 15 sentimeter dan berat 272 kilogram. Seekor harimau berwarna putih peliharaannya juga akan tidur dan menghisap jari Haley.

Kehidupan Haley mula berubah 20 tahun lalu selepas dia mengambil kursus melatih harimau dan dua tahun selepas itu, dia menerima seekor anak harimau berusia dua bulan yang diberi nama Saber dan pada 2002, dia membeli seekor lagi harimau yang dinamakan Janda. "Haiwan itu menganggap saya sebagai ibunya dan setakat yang saya tahu, mereka itu adalah anak-anak saya yang berkaki empat. "Kami mempunyai satu ikatan yang amat istimewa. Kedua-dua harimau itu akan menggosok muka saya dan membiarkan saya mencium hidung mereka malah saya dan suami boleh memeluk dan membe­lai mereka," kata Haley sebagaimana lapor Mirror.co.uk.

Haley berkata, dia dan suaminya, David akan membelanjakan pendapatan mereka untuk membeli makanan Saber dan Janda yang akan diberi makan sebanyak tiga kali sehari, malah sangkar yang menempatkan harimau tersebut akan dibersihkan beberapa kali dalam sehari. "Dalam tempoh seminggu, kami perlu mengembara selama satu jam ke kawasan utara Florida bagi mendapatkan daging kuda untuk Janda sebelum ke selatan untuk mendapatkan daging lembu buat Saber," katanya. -AP



.

Tragedi anggota polis Maut,dirempuh penjenayah menjelang hari pernikahan ahad ini


Tragedi anggota polis Maut,dirempuh penjenayah menjelang hari pernikahan ahad ini | “Dia begitu teruja menanti kenduri kahwin kami Ahad ini dengan semua barang hantaran sudah disiapkan.” Demikian kata Norfaizah Mohd Rejab, 22, tunang kepada Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, yang terbunuh ketika bertugas selepas motosikalnya dirempuh penjenayah di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu, jam 1.15 petang semalam. Lebih menyedihkan, kejadian berlaku hanya selepas kira-kira dua jam mangsa menghubungi Norfaizah dan selepas dua hari arwah menyambut hari jadinya. Semalam adalah hari terakhir Mohd Azuan, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, bekerja sebelum bercuti panjang untuk berkahwin.

“Saya hampir pitam mendengar berita kematiannya kerana lebih kurang jam 11 pagi (semalam), dia mengirimkan SMS meminta saya makan ubat jika berasa kurang sihat. “Saya tidak menyangka perkenalan sejak kira-kira empat tahun lalu berakhir dengan cara begini,” katanya. Norfaizah bagaimanapun reda dengan pemergian arwah dan berharap pengorbanannya ketika berkhidmat kepada masyarakat mendapat ganjaran sewajarnya. “Sekarang semuanya ibarat ‘nasi sudah menjadi bubur’ dengan majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung di Alor Setar, Kedah, hujung minggu ini, bertukar menjadi kenduri arwah,” katanya ketika ditemui semalam.


Mohd Azuan dan dua rakan masing-masing menaiki motosikal Kawasaki Ninja Unit Ronda Bermotosikal (URB) mengejar sebuah kereta Toyota Wish dinaiki tiga penjenayah yang dipercayai terbabit dalam rompakan van rokok di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu, dekat situ. Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata motosikal mangsa dipercayai dirempuh sebuah kereta Honda Civic dinaiki rakan penjenayah itu. Mangsa yang cedera parah di kepala, dada dan beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya tidak cedera.

Katanya, berdasarkan jarak pelanggaran dan kedudukan motosikal ditemui, polis percaya kejadian itu disengajakan dan dirancang. “Polis masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga berlaku kematian. “Saya juga terkilan tidak sempat bertemu arwah atas kesibukan kerja, sedangkan dia beberapa kali menyatakan hasrat bertemu saya bagi menyerahkan kad jemputan perkahwinan,” katanya. Beliau berkata, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat malam tadi sebelum di hantar ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 27, Kulaijaya, Johor untuk dikebumikan.-BH




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!