Sunday, June 1, 2014

Air Asia : Promosi 'Tempat Duduk Percuma' kini kembali


Air Asia : Promosi 'Tempat Duduk Percuma' kini kembali | AIRASIA kembali semula dengan promosi "Tempat Duduk Percuma" apabila menawarkan 2.5 juta tempat untuk tempahan segera bagi tempoh perjalanan dalam separuh pertama 2015. Promosi itu menawarkan tempat duduk percuma ke destinasi seperti Langkawi, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Singapura, Hong Kong, Chennai, Siem Reap, Lombok, Kalibo (Boracay) dan pelbagai destinasi domestik dan antarabangsa lain, kata syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Tempat duduk percuma itu (tidak termasuk cukai lapangan terbang, surcaj bahan api dan fi lain yang dikenakan) boleh ditempah dari 2-8 Jun, 2014, bagi tempoh perjalanan dari 5 Januari hingga 31 Julai, 2015.

Tempahan boleh dibuat di www.airasia.com, serta menerusi aplikasi mudah alih AirAsia di iPhone, peranti Android, Blackberry Z10 dan platform telefon Windows. Ketua Pegawai Komersil Kumpulan AirAsia, Siegtraund Teh, berkata mereka yang merancang percutian tahun depan boleh mengambil kesempatan daripada promosi Tempat Duduk Percuma ini. "Kami sentiasa melakukan yang terbaik untuk setiap orang dengan peluang perjalanan pada harga sangat berpatutan dan realistik," katanya. AirAsia X Bhd, syarikat penerbangan jarak jauh tambang rendah juga menawarkan tambang terangkum terendah ke destinasinya. Harga tambang bermula daripada serendah RM199 bagi Kelas Ekonomi untuk penerbangan berlepas dari Kuala Lumpur ke Australia (Adelaide, Sydney, Melbourne, Perth, Gold Coast), Jepun (Nagoya, Osaka, Tokyo), Korea Selatan (Busan, Seoul), China (Chengdu, Hangzhou, Beijing, Shanghai), Taiwan (Taipei), Nepal (Kathmandu) dan Sri Lanka (Colombo).

Laluan terbaharu AirAsia X di China, Xian, juga termasuk dalam promosi itu. Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutifnya Azran Osman-Rani berkata selain daripada tawaran menarik bagi kelas Ekonomi, syarikat penerbangan itu mengumumkan promosi harga rendah tambang kelas Perniagaan Premium daripada sehingga serendah RM679. "Juga tidak patut dilepaskan, tambang mengagumkan kami bagi kelas Perniagaan Premium ke Perth, Melbourne, Sydney, Adelaide dan Gold Coast daripada serendah RM949," katanya. Sementara itu, AirAsiaGo, cabang percutian syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia itu turut menawarkan penjimatan hebat sehingga 75 peratus apabila Tempat Duduk Percuma AirAsia ditempah bersama dengan kemudahan hotel. Harga yang ditawarkan adalah daripada serendah RM139 bagi kedua-dua penerbangan dan penginapan (setiap orang) dan bagi yang hanya mahukan penginapan sahaja, harga adalah daripada serendah RM49 semalam. - Bernama





.

Warga emas ditemui maut dalam keadaan mengerikan dipercayai terjun dari tingkat 24 sebuah kondominium di Jalan Ipoh


Warga emas ditemui maut dalam keadaan mengerikan dipercayai terjun dari tingkat 24 sebuah kondominium di Jalan Ipoh | Seorang warga emas ditemui maut dalam keadaan mengerikan dipercayai terjun dari tingkat 24 sebuah kondominium di Jalan Ipoh di sini, hari ini. Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Othman Abu Bakar berkata dalam kejadian pukul 10.31 pagi itu, mangsa, 76, ditemui terdampar di bahagian bawah kondominium dengan sebelah kakinya terputus kerana tersangkut di tingkat tiga iaitu tempat parkir bangunan berkenaan. "Pemeriksaan awal mendapati mangsa sakit tua dan dipercayai mengalami gangguan fikiran. Bagaimanapun, kita belum mengenal pasti punca dia terjun dari bangunan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. Sementara itu, menurut isteri mangsa yang enggan dikenali, kehilangan warga emas berkenaan disedari keluarganya pada kira-kira 10.15 pagi apabila mangsa tiada di dalam rumah. "Ketika kejadian, saya sedang membasuh pakaian dan apabila sedar dia hilang, anak saya berusaha mencari dan menemuinya terjatuh di bawah bangunan ini," katanya. Dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat tiga ke aras bawah di sebuah pusat membeli-belah di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata Nurul Emielda Nadia Sallehuddin meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian belakang kepala. Beliau berkata polis menerima panggilan pada 2.20 petang dan pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. "Hasil temu bual dengan bapa mangsa, semasa kejadian, beliau berada dengan anaknya kemudian terlepas pandang dan mendapati anaknya telah jatuh ke aras bawah," katanya dalam satu kenyataan. Seorang saksi yang tidak mahu dikenali berkata kejadian berlaku apabila mangsa memegang susur tangan eskalator di aras tiga yang menyebabkan dia ditarik susur itu sebelum terjatuh. Jenazah mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.-BH



.

Wanita cetus tanda tanya kerana melahirkan cicak tokek


Wanita cetus tanda tanya kerana melahirkan cicak tokek | Seorang wanita dari Kampung Kampung Oemolo di Nusa Tenggara Timur dilaporkan mencetus kegemparan apabila melahirkan cicak tokek (gecko), lapor media semalam. Nelci Nubatonis dilapor melahirkan haiwan itu pada awal pagi kelmarin di rumahnya di daerah Kupang. Sumber berkata, proses bersalin Nelci itu dibantu seorang bidan dari Pusat Kesihatan Oenuntono yang dikenali sebagai Josephine Lydia Hellen Wadu. Katanya, Nelci terpaksa bersalin di rumah sendiri kerana lokasi kediamannya yang jauh dari pusat kesihatan. “Untuk ke klinik Nelci perlu dibawa selama empat jam,” katanya. Menurut sumber itu, kandungan Nelci baru berusia lapan bulan. Katanya, kira-kira jam 5.30 pagi Nelci mengalami kesakitan melampau dan dibantu untuk bersalin.

“Tiba-tiba kami semua terkejut kerana melihat bukan bayi yang keluar, tetapi cicak tokek,” katanya. Sementara itu Josephine berkata, dia sangat terkejut melihat haiwan berkenaan keluar dari rahim Nelci. Mengakui tidak pernah berdepan pengalaman sebegitu, Josephine berkata, cicak tokek itu kemudian dibawa ke pusat kesihatan tempatan untuk diperiksa. “Kami tidak bertanya kepada Nelci mengapa keadaan sebegitu berlaku, namun penduduk setempat berkata, ada kemungkinan wanita terbabit pernah bertapa beberapa lama,” katanya. Nelci memang mempunyai suami bernama Wempi Loasana dan cicak tokek itu adalah ‘anak ketiga’ pasangan terbabit.- Agensi




.

Mayat suspek kes pembunuhan yang ditemui terapung di Sungai Klang, akan di kenal pasti melalui semakan cap jari


Mayat suspek kes pembunuhan yang ditemui terapung di Sungai Klang, akan di kenal pasti melalui semakan cap jari | Suspek kes pembunuhan kejam kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan, ditemui terapung di Sungai Klang berhampiran tol Sunway pada kira-kira 3 petang. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata mayat dalam keadaan terlentang itu ditemui orang awam yang memaklumkannya kepada polis. "Pemeriksaan awal mendapati mayat terbabit masih lengkap berpakaian dengan memakai baju kotak-kotak berwarna merah, berseluar panjang biru gelap, bertali pinggang, tidak berkasut namun tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa.

"Bagaimanapun, rupa bentuk fizikal dan pakaian adalah bersamaan dengan gambar dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta dari gambaran yang diberikan oleh saksi yang mengejar suspek," katanya dalam kenyataan hari ini. Gan berkata mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan identiti suspek akan dikenal pasti melalui semakan rekod cap jari. "Dengan penemuan mayat suspek ini, polis yakin kes bunuh membabitkan kanak-kanak ini berjaya diselesaikan, bagaimanapun, motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung penemuan mayat seorang lelaki pada kira-kira 2.50 petang. Beliau berkata jentera pertama tiba di lokasi 10 minit kemudian dengan enam anggota untuk mengangkat mayat berkenaan. Khamis lepas, seorang kanak-kanak perempuan ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya terputus daripada badan dipercayai dikelar suspek di tepi Sungai Klang berhampiran Stesen Komuter Kuala Lumpur di Jalan Hishamuddin di sini.

Saksi mendakwa melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak itu di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan melakukan 'sesuatu' pada leher mangsa, dan apabila saksi cuba menghampiri suspek, dia melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai. Susulan itu, pihak bomba menjalankan misi mencari suspek di sepanjang Sungai Klang sejak semalam. - Bernama





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!