Saturday, June 7, 2014

Gambar pernikahan pengacara Jimmy Shanley dan Mariam Jamilah


Gambar pernikahan pengacara Jimmy Shanley dan Mariam Jamilah | Hanya dengan sekali lafaz, pengacara dan penyampai radio Jimmy Shanley akhirnya bergelar suami kepada Mariam Jamilah Abdul Jalil, 27, dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Concorde, di sini pada Sabtu. Akad nikah disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan Abdul Jalil Othman, kira-kira pukul 6.20 petang. Ia turut disaksikan oleh Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, Rujuk dan Wali Raja Negeri Selangor , Nurul Hisham. Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 34, memberikan mas kahwin sebanyak RM1,000 manakala wang hantaran RM 15,000. Rombongan lelaki turut membawa lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan.

 Antara barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah sirih junjung, sebentuk cincin dan mas kahwin, telefon dan kaca mata, tas tangan serta wangian. Manakala, barang hantaran pihak perempuan pula ialah sirih junjung, jubah, set pakaian, kasut, jam tangan, set minyak wangi, coklat dan buah-buahan. Dalam pada itu, Jimmy turut menitiskan air mata dan menangis ketika membacakan lafaz taklik di hadapan bapa pengantin perempuan selepas sah bergelar suami. Pada majlis tersebut pasangan pengantin menggayakan pakaian berwarna putih daripada butik Citra, manakala solekan daripada jurumekap Siti Saleha.

Majlis turut dihadiri seramai 200 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Sementara itu, majlis resepsi persandingan kedua-dua mempelai akan diadakan pada malam Sabtu (malam ini) di lokasi yang sama di sini dengan tema warna ungu dan hijau. Perkahwinan ini merupakan yang kedua buat Jimmy, manakala pertama buat isterinya Mariam. Sebelum ini, Jimmy mendirikan rumah tangga dengan Nursuhaila Eliani Suhaimi pada 1 Oktober 2010 dan berpisah pada 10 Oktober 2012 Hasil perkahwinan tersebut pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata, Zahrah Rania Shanley, 3 tahun. -Mstar



.

Penumpang kongsi pengalaman ngeri sebaik penerbangan yang dinaiki membuat pendaratan cemas



Penumpang kongsi pengalaman ngeri sebaik penerbangan yang dinaiki membuat pendaratan cemas | "Kami ingat pesawat akan terhempas," demikian menurut penumpang warga Britain yang berkongsi pengalaman ngeri selepas penerbangan yang dinaiki mereka terpaksa membuat pendaratan cemas kerana kehilangan tekanan udara di dalam kabin pesawat. Pesawat Jet2 LS516 itu dengan segera mendarat hanya selepas satu jam ia berlepas dari Paphos, Cyprus dalam penerbangannya ke Newcastle pada malam Khamis, waktu tempatan.

Pesawat itu membuat penurunan beribu-ribu kaki dalam beberapa minit, manakala topeng oksigen telah dikeluarkan untuk para penumpang. Pesawat itu terpaksa melencong ke Lapangan Terbang Sofia di Bulgaria, di mana anggota kecemasan sedang menunggu di tarmac landasan. Para penumpang turut terpaksa bermalam di ibu negara Bulgaria, sebelum berlepas pulang menerusi penerbangan awal yang digantikan untuk ke Newcastle pada Jumaat pagi. - mailonline



.

DALAM HATI ADA DIA? - ILLA SHANAHILA




DALAM HATI ADA DIA? - ILLA SHANAHILA | Tiada apa yang istimewa pada wanita yang bernama Wanda Nurhannah ini melainkan  dia pernah dapat 5A dalam UPSR. Kisah silam dan menyakitkan hatinya kembali menghantui dengan kehadiran Fahim yang kini datang menghulur cinta. Mana mungkin dia menerimanya selepas penolakkan yang masih segar dalam hati hingga ke saat ini. Pertemuannya dengan Nick nampaknya tanpa disedari mengikat hati mereka hanya berdasarkan satu 'phone charm' yang dibeli dengan harga yang sangat murah.

Wanda memang terkejut sangat-sangat. Bayangkan lelaki selekeh yang dikenalinya sebagai Dollah itu merupakan orang terpenting di tempat kerjanya. Hey, dialah Nick Rayyan Lee..Kehadiran Nick selepas 'meninggalkan' personaliti 'lelaki selekeh' tu membuatkan gadis-gadis di pejabat tidak senang duduk. Ya, dia ada segala-galanya.. Rupa, bijak dan kaya.. Namun dihatinya sudah ada yang bertakhta.. Dialah Wanda. Bagaimana Wanda tidak jatuh hati.. Di mana-mana saja Nick akan ada. Menunggunya untuk makan bersama, dan siapa sangka Nick melamarnya menjadi isteri. Fahim yang tidak putus asa, nekad menghantar pinangan pada keluarga Wanda.

Namun, adakalanya cinta saja tidak cukup untuk menolak sebarang kemungkinan dan masalah. Mampukan Wanda membina hari bahagia dengan Nick tanpa dugaan? Maklumlah, mereka memang jauh berbeza. Bagaikan langit dan bumi. Cinta mereka terus diuji.. Semakin hebat diuji bila Wanda hilang ingatan dalam satu kes ragut, langsung tidak ingat dia mengenali Nick dan kembali pada ingatan dia masih ada hati dengan Fahim.. Oh my..



Tajuk : Dalam Hati Ada Dia?
Penulis : Illa Shanahila
Halaman : 589 muka surat
Harga : RM24/RM27





Hanya dia yang dicari,
orang lain no-entry






P/S - Fully Recommended By Lulu Caldina




.

Penjara lima hari kerana mencuri di Farmasi



Penjara lima hari kerana mencuri di Farmasi | Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencuri pelbagai barangan bernilai RM218.98 di sebuah farmasi. Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas Diyana Davin Sidhu Abdullah, 38, mengaku bersalah mencuri barangan antaranya beberapa pek tuala wanita, dua botol vitamin C dan selipar di Farmasi Guardian, Seri Petaling di sini pada 4 Jun lalu. Diyana, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Dalam rayuannya, Diyana memberitahu mahkamah dia kini mendapat bantuan Baitulmal untuk rawatan atas penyakit yang dihidapinya. "Saya memerlukan rawatan berterusan dengan kos perubatan lebih RM1,000 sebulan. Saya mencuri barangan itu kerana tidak mempunyai wang yang cukup bagi persiapan memulakan pekerjaan minggu depan," katanya dalam nada sebak. Menurut Diyana, dia baru menerima panggilan daripada majikan baharu yang meminta dia melapor diri untuk bertugas minggu depan.

Ketika disoal Majistret Nurul'Ain mengapa dia mencuri sedangkan mendapat bantuan Baitulmal, tertuduh berkata dia memerlukan semua barangan itu terutama vitamin C untuk meningkatkan daya imunisasinya. Nurul'Ain memerintahkan dia menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap iaitu, 4 Jun. Mengikut fakta kes, Diyana cuba menggunakan kad debit untuk membuat bayaran di kaunter farmasi namun transaksi itu gagal sebelum dia dikesan melalui kamera litar tertutup memasukkan barangan berkenaan ke dalam bag yang dibawanya lalu beredar sebelum dikejar pengawal keselamatan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Joy Jothi Nadrarasan. - Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!