Monday, June 9, 2014

Punca Jennifer Lopez tarik diri dari majlis pembukaan Piala Dunia 2014 di Brazil walaupun dia antara penyanyi lagu rasmi kejohanan


Punca Jennifer Lopez tarik diri dari majlis pembukaan Piala Dunia 2014 di Brazil walaupun dia antara penyanyi lagu rasmi kejohanan | Jennifer Lopez membuat kejutan apabila menarik diri daripada majlis pembukaan Piala Dunia 2014 di Brazil ketika dia dijadualkan menyanyikan lagu rasmi kejohanan itu bergandingan bersama rakan artis, Pitbull dan Claudia Leitte. Menurut jurucakap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) penyanyi berusia 45 tahun itu tidak dapat menyajikan lagu itu pada acara berkenaan, Khamis ini kerana menyentuh “isu penerbitan” yang tidak dijelaskan. Wakil penyanyi itu bagaimanapun tidak memberikan ulasan lanjut mengapa Lopez tidak dapat menghadiri majlis itu.

Mereka hanya membuat pengesahan pengumuman itu menerusi e-mel dengan berkata: “Dukacitanya Jennifer Lopez tidak akan menyertai majlis pembukaan Piala Dunia tahun ini”. FIFA berkata dalam satu kenyataan penyanyi rap, Pitbull dan penyanyi Brazil, Leitte akan menyanyikan lagu rasmi yang bertajuk ‘We Are One’ sebelum perlawanan pembukaan tuan rumah, Brazil menentang Croatia di Sao Paulo. - AP




.

Warga emas maut dilanggar kereta api dekat Ipoh



Warga emas maut dilanggar kereta api dekat Ipoh  | Seorang lelaki warga tua maut dilanggar kereta api di Kilometer 190, Lahat, berhampiran Taman Halaman Sentosa, di sini pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa Din Chik, 84, dipercayai dilanggar kereta api yang sedang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima maklumat ‎mengatakan terdapat kemalangan di kawasan terbabit dan kemudian Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membuat pemeriksaan sebelum menemui mangsa terbaring di tepi landasan.

"Pihak KTMB kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Lahat. "‎Pemeriksaan lanjut dibuat anggota polis di kawasan berkenaan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunnia serta menghantar mayat ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini untuk dibedah siasat," katanya. Beliau berkata, mangsa menetap di‎ Kampung Seri Murni, Pasir Puteh , di sini dan pihak keluarga sudah dimaklumkan mengenai kejadian.



.

Proton selepas Tun Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi baru


Proton selepas Tun Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi baru | Proton kini menukar strateginya daripada pengeluar kereta murah kepada pengeluar kereta bertaraf dunia, kata pengerusi baru Proton Tun Dr Mahathir Mohamad. Perdana menteri keempat itu berkata, Proton sentiasa dilabel sebagai pembuat kereta murah atau pengeluar kereta berkualiti rendah. "Kini, Proton mahu mengeluar kereta bertaraf dunia, dan anda perlu membayar harga yang lebih tinggi. Anda tidak boleh dapat kereta yang baik dan membayar pada harga yang rendah," katanya kepada pemberita semasa ditanya mengenai rancangannya ke atas Proton. Dr Mahathir yang juga pengerusi Yayasan Kemajuan Kehidupan Manusia (HLAF) menyampaikan ucaptama dan melancarkan Anugerah Tahunan HLAF dan Bengkel di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau berkata, semasa Proton mengeluarkan model kereta Preve dan Suprima berkualiti tinggi namun dijual pada harga RM80,000, orang ramai mengatakan harganya terlalu mahal untuk kereta Proton. "Kereta berikut dengan kualiti yang sama berharga RM120,000. Anda (pengguna) mahukan kereta murah, ok, Proton akan mengeluarkan kereta murah," kata Dr Mahathir. Ditanya sama ada Proton akan terus mengeluarkan kereta murah, Dr Mahathir menjawab : "Proton perlu membuat keuntungan. Jika pengguna mahukan kereta murah, Proton akan mengeluarkan kereta murah. Ia bergerak tiga batu dan rosak." Mengulas sama ada Proton sudah didatangi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Petronas untuk menawarkan dana, beliau berkata, Proton tidak pernah meminta dana.

Ditanya sama ada beliau sendiri selaku pengerusi Proton akan menemui mereka untuk mendapatkan dana, Dr Mahathir menjawab: "Tidak sama sekali," "Ini disebabkan Proton ialah syarikat swasta dan ia mampu membuat kemajuan dalam penyelidikan dan pembangunan," katanya. Dr Mahathir juga berkata, kerajaan kini menggalakkan import kereta daripada menggalakkan industri tempatan. "Bila anda import kereta, wang mengalir keluar dan anda tidak dapat sebarang teknologi daripadanya," katanya. Ditanya sama ada Proton memerlukan bantuan kerajaan, beliau berkata, semasa tempoh perkhidmatan bekas presiden Korea Selatan Park Chung Hee, beliau memanggil 12 individu dan meminta mereka membuka industri, dan beliau akan menyediakan pinjaman dan dana. Mereka adalah syarikat swasta seperti Hyundai, LG dan Daewoo. Semuanya syarikat swasta dan kerajaan (Korea Selatan) membantu mereka sepenuhnya. Hasilnya, mereka (syarikat-syarikat Korea Selatan) tidak lagi memerlukan bantuan kerajaan, kata Dr Mahathir. - Bernama




.

Reaksi Ayu Raudhah terhadap dakwaan suaminya, Zaquan Adha curang dengan wanita lain di WeChat



Reaksi Ayu Raudhah terhadap dakwaan suaminya, Zaquan Adha curang dengan wanita lain di WeChat | Pelakon Ayu Raudhah, 30, berasa tidak tertekan apabila suaminya, Zaquan Adha, 27, didakwa berlaku curang terhadap dirinya. Menurut Ayu, hubungannya bersama suami masih utuh dan bahagia. "Kami masih baik bersama. Tiada apa yang berlaku. Saya masih lagi berada dalam pantang. Lagi 14 hari habislah. "Berkenaan dakwaan bahawa suami saya curang dengan perempuan lain menerusi aplikasi WeChat, itu tidak benar. Saya sudah tahu sejak semalam lagi. Suami sudah maklumkan perkara itu kepada saya dan kami sudah pun berbincang mengenainya. "Pengenalan diri yang digunakan dalam aplikasi WeChat bukanlah milik Zaquan. Saya tahu akaun WeChat Zaquan dan gambar yang digunakan dalam aplikasi tersebut juga berbeza," katanya.


Sebuah portal hiburan hari ini menyiarkan laporan bahawa Zaquan telah berlaku curang kepada Ayu dan sering berbalas mesej dalam aplikasi WeChat dengan seorang wanita. Tambah Ayu, dia juga tidak menolak kemungkinan ada pihak yang cuba memusnahkan rumah tangga mereka. Ayu Raudah yang juga adik kepada pelakon jelita, Rozita Che Wan mendirikan rumah tangga bersama Zaquan Adha pada 20 Januari 2011. Hasil perkahwinan itu, mereka berdua dikurniakan dua anak lelaki Muhammad Aisy Qaiser, 1, dan Muhammad Aisy Aryann yang berusia sebulan. - Utusan




.

Ibu bimbang bayinya lapar lalu bertindak tuang susu ke dalam mulut bayinya dengan menggunakan jag



Ibu bimbang bayinya lapar lalu bertindak tuang susu ke dalam mulut bayinya dengan mengguna jag | Seorang wanita dari Ghana dituduh membunuh bayinya dengan memberinya makan berlebihan. Mahkamah turut mengarahkan dia diusir dari United Kingdom. Wanita itu dikatakan terlalu bimbang anaknya lapar bertindak menuangkan susu ke dalam mulut bayinya dengan mengguna jag. Akibatnya, bayi malang itu mati kerana radang paru-paru. Hukuman yang dikenakan terhadapnya bagaimanapun ditolak oleh mahkamah tinggi.

Dia sebaliknya dibenar untuk terus tinggal di England, berdasarkan Artikel 8 Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia. Wanita berusia 33 tahun itu hanya dihukum penjara tiga tahun tetapi dibenar tinggal bersama tiga anaknya yang lain di kediaman yang sama apabila bebas kelak. Keputusan mahkamah tinggi mendapat kecaman masyarakat.Keputusan mahkamah tinggi itu bagaimanapun dikritik oleh orang ramai. - AFP




.

Misteri penemuan wanita hidup dalam laci penyejuk beku mayat, rumah mayat


Misteri penemuan wanita hidup dalam laci penyejuk beku mayat, rumah mayat | Seorang pekerja rumah mayat di sini berkata dia menemui wanita yang masih hidup dalam laci penyejuk beku mayat setelah menyedari pintunya terbuka. Menurut laporan, wanita itu cuba membunuh diri . Dia dikatakan pergi ke rumah mayat itu dan tidur dalam satu daripada peti penyejuk beku berkenaan. Pekerja rumah mayat yang menyedari pintu laci mayat itu tidak ditutup, menjenguk ke dalam dan terkejut melihat mata wanita berusia 70 tahun itu terkebil-kebil.

Laporan sebuah stesen televisyen menyatakan, wanita itu mengalami kemurungan dan pernah cuba membunuh diri sebelum ini. Sementara itu, dalam satu kes lain di Anhui, seorang budak berusia sebulan yang disahkan meninggal dunia, bangun dan menangis di sebuah rumah mayat sejurus sebelum dia dibakar. Bayi itu dihantar ke sebuah hospital tempatan sebelum dia diisytihar mati akibat beberapa kecederaan dalaman. Ekoran kejadian itu, pihak berkuasa bertindak membatalkan lesen doktor yang mengesahkan kematian bayi itu. - Agensi




.

Remaja bakal calon SPM hilang, disyaki lari ikut kekasih


Remaja bakal calon SPM hilang, disyaki lari ikut kekasih | Seorang bapa kepada remaja perempuan berumur 17 tahun di Jalan Bunga Raya di sini merayu supaya anaknya pulang ke pangkuan keluarga setelah dipercayai lari mengikut teman lelakinya sejak 1 Jun lalu. Che Ahmad Din, 54, berkata, anak tirinya itu, Nor Azlin Azelan yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini tidak pulang ke rumah selepas menaiki sebuah kereta yang menunggu di hadapan rumahnya pada pukul 3 pagi. Kehilangan Nor Azlin disedari ibunya Sabarashah Musa, 47, selepas melihat anak perempuannya itu tiada di dalam bilik.

"Jiran yang duduk berhampiran rumah memberitahu mereka nampak anak saya memanjat pagar dan menaiki sebuah kereta yang menunggu di hadapan rumah dalam keadaan tergesa-gesa. "Dia keluar membawa kad pengenalan serta telefon bimbitnya. Saya sudah beberapa kali cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi tidak dijawab," katanya kepada pemberita di sini semalam. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu supaya menghubungi pihaknya di talian 012-5297161 atau balai polis berdekatan. - Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!