Sunday, June 15, 2014

Kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas dilanggar bas sekolah mini



Kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas dilanggar bas sekolah mini | Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas dilanggar bas sekolah mini yang dinaikinya di Jalan Seroja, Taman Plentong di sini, petang tadi.Dalam kejadian jam 1.10 petang itu, mangsa Nor Balqis Atiqah Hamdan Rasan Tawani Ahmad yang juga murid tahun satu Sekolah Rendah Kebangsaan Permas Jaya 2 di sini, disahkan meninggal dunia pada jam 2.45 petang ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Sultan Ismail (HSI). Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku ketika pemandu bas itu berhenti di bahu jalan untuk menurunkan mangsa dan penumpang lain. Menurutnya, bas itu kemudiannya bergerak ke depan sebelum pemandunya terdengar jeritan mangsa dan mendapati Nor Balqis terbaring di sebelah kanan di belakang mini itu. "Mangsa yang parah di kepala dan badannya dikejarkan ke unit kecemasan HSI namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat,” katanya. -Metro

Pelakon popular Bollywood Preity Zinta buat laporan polis dakwa dicabul oleh teman lelaki


Pelakon popular Bollywood Preity Zinta buat laporan polis dakwa dicabul oleh teman lelaki | Pelakon popular Bollywood Preity Zinta telah memfailkan satu laporan polis mendakwa dia telah dicabul, didera dan diugut oleh bekas teman lelakinya pada satu perlawanan kriket Liga Perdana India (IPL), kata seorang pegawai polis hari ini. Preity menuduh ahli perniagaan Ness Wadia, pemilik bersama pasukan IPL Kings XI Punjab, mendera dan mencabulnya selepas pasangan itu bergaduh ketika menyaksikan pasukan mereka menentang Chennai Super Kings pada 30 Mei. "Kami menerima aduan Preity pada hari Jumaat," kata pegawai polis Mumbai Vijay Mane kepada pemberita. "Beliau (Preity) melaporkan bahawa kedua-dua mereka duduk bersama di stadium Wankhede Mumbai pada 30 Mei sebelum bertelingkah mengenai sesuatu perkara.

Selepas itu Preity mendakwa telah diugut, ditolak dan dilemparkan dengan kata-kata kesat,” kata Vijay. Preity turut mengeluarkan kenyataan pada hari Sabtu menyifatkannya insiden itu sebagai "satu tempoh yang sukarbuatnya". "Niat saya bukan untuk melukakan hati sesiapa, tetapi hanya untuk melindungi diri saya sendiri," kata kenyataan itu, menurut agensi berita Press Trust of India. Ness juga mengeluarkan kenyataan media menyatakan beliau "terkejut" dengan dakwaan terhadapnya itu dan berkata "dakwaan terhadap saya adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas".

Pesuruhjaya Polis Mumbai Rakesh Maria berkata siasatan sedang dijalankan. "Kami akan merekodkan kenyataan-kenyataan saksi," Rakesh memberitahu saluran berita CNN-IBN. Ness adalah pewaris kumpulan Wadia, satu konglomerat India dengan kepentingan perniagaan termasuk dalam hartanah, tekstil dan syarikat penerbangan bajet rendah. Dia dan Preity telah memutuskan hubungan yang dijalin selama lima tahun pada tahun 2009. Walau bagaimanapun mereka terus menjadi rakan kongsi perniagaan, menurut media tempatan. -AP




.

[Gambar] Penemuan mengejutkan dari tekak seorang lelaki


[Gambar] Penemuan mengejutkan dari tekak seorang lelaki | Insiden seseorang menderita kerana tercekik memang bukan sesuatu yang aneh, tetapi apa yang berlaku di Afrika Selatan ini boleh dianggap luar biasa. Satu rakaman video dimuat naik di Internet menunjukkan sepasukan kakitangan perubatan berusaha mengeluarkan objek besar - yang kemudian dikenal pasti sebagai telefon bimbit - dari tekak seorang lelaki malang. Video dirakam di sebuah hospital di Klerksdorp itu menunjukkan lelaki terbabit terbaring dan sukar bernafas ketika doktor menggunakan penyepit besi menarik objek yang menyekat kerongkongnya itu.

Tanpa mengetahui apa sebenarnya objek berkenaan, pasukan perubatan yang bertugas jelas terkejut dan tidak kurang juga ada gagal menahan ketawa apabila mendapati ia adalah telefon bimbit.Walaupun video berkenaan baru dimuat naik, ia dipercayai dirakam pada Mei 2012 oleh Edwin Shingo yang juga seorang pegawai keselamatan yang menyaksikan kejadian luar biasa itu. Bagaimanapun identiti lelaki terbabit tidak didedahkan dan tidak diketahui bagaimana dia boleh tertelan telefon bimbit berkenaan.


Ia bukan kejadian kali pertama seumpamanya. Pada 2005 seorang lelaki di Missouri dituduh melakukan serangan kejam dengan memaksa teman wanitanya menelan telefon bimbit ketika mereka bertengkar. Wanita berusia 24 tahun itu terpaksa dikejarkan ke hospital untuk diselamatkan. Video terbaru bertajuk “The guy with a cell phone in the mouth” mendapat 56,000 tontonan sejak dimuat naik minggu ini. - Agensi




.

Penemuan menggemparkan pada risalah abad ke-19 di perpustakaan



Penemuan menggemparkan pada risalah abad ke-19 di perpustakaan | Saintis Universiti Harvard membuat penemuan menggemparkan apabila mendapati risalah Perancis dari abad ke-19 di perpustakaan institusi itu dibalut dengan kulit manusia. Penemuan itu disahkan Universiti Harvard minggu ini, selepas beberapa ujian saintifik dijalankan. Naskhah oleh Arsene Houssaye berjudul “On the destiny of the soul” adalah sebahagian daripada koleksi buku antik dari Perpustakaan Houghton, yang mengkhusus dalam naskhah unik dan jarang ditemui. Saintis dan pakar membaik pulih menggunakan beberapa kaedah untuk menguji asal usul bahan kulit buku menggunakan sampel mikroskopik. Menerusi ujian ini, mereka menolak kemungkinan bahawa kulit buku itu dibuat daripada kulit kambing, biri-biri atau haiwan lain.

“Mereka 99 peratus yakin bahawa kulit buku itu berasal dari manusia,” kata satu pos dalam blog perpustakaan itu, memetik kata-kata pakar kanan membaik pulih buku, Alan Puglia. Kesimpulan itu mengesahkan kebenaran nota tulisan tangan dalam bahasa Perancis yang dijumpai di dalam buku itu, yang mengatakan ia dibalut “menggunakan kertas kulit manusia.” “Jika dilihat dengan diteliti, anda dengan mudah dapat mengesan pori-pori kulit,” tambah nota yang ditulis seorang doktor juga sahabat kepada Houssaye yang hidup sekitar 1815 hingga 1896. - AGENSI





.

Mahkamah : Kakak saman adik lelaki kerana asyik minta duit


Mahkamah : Kakak saman adik lelaki kerana asyik minta duit | Seorang ahli perniagaan wanita berusia 50 tahun menyaman adik lelakinya, 24, kerana dakwaan meminta sejumlah besar wang sebagai balasan membenarkan kakaknya keluar berjalan dan menyelesaikan kertas kerja di jabatan kerajaan. Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Jeddah, wanita berkenaan mendakwa beliau membesarkan adik lelakinya selepas kematian bapa mereka. “Apabila mencapai usia membolehkan beliau bertindak sebagai penjaga, lelaki berkenaan mula menuntut wang untuk pelbagai aktiviti,” lapor media tempatan.

Sumber berkata, lelaki itu didakwa memaksa kakaknya membayar SR10,000 (RM8,581) untuk membenarkan beliau keluar berjalan, SR5,000 (RM4,290) jika kehadirannya diperlukan di mana-mana jabatan perkhidmatan dan sejumlah besar wang bagi membenarkan kakaknya berkahwin. Wanita berkenaan tidak berkahwin dengan keadaan itu.


Kemuka bukti 

Peguam wanita itu, Baian Zahran, berkata anak guamnya perlu membuktikan adik lelaki beliau bersalah memeras ugut jika mahu mahkamah membenarkan beliau menjadi penjaga diri sendiri. Dalam kes sama, wanita berusia 30 tahun mendapatkan bantuan perundangan selepas mendapati bapa saudaranya, yang menjadi penjaga sejak ibu bapa meninggal dunia dalam kemalangan di Jeddah ketika beliau masih kecil, membuat helah untuk memastikan anak saudaranya tidak berkahwin.

Menurut Al Arabiya.net, beberapa lelaki pernah meminang wanita berkenaan tetapi bapa saudaranya menolak mereka semua. Apabila ditanya alasan beliau menolak pinangan itu, lelaki berkenaan berkata tidak akan mengahwinkan anak saudaranya kecuali beliau dibayar hampir setengah juta riyal, yang ditinggalkan ibu bapanya. Menurut peguamnya, wanita itu akhirnya menurut kehendak bapa saudaranya yang segera menguruskan perkahwinannya. –AGENSI





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!