Thursday, June 19, 2014

Polis Yang Tertuduh Dalam Kes Altantuya Ditangkap Khalwat


 Polis Yang Tertuduh Dalam Kes Altantuya Ditangkap Khalwat  | Seorang daripada tertuduh dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, Cif Inspektor Azilah Hadri, pada Khamis ditangkap khalwat bersama seorang anggota polis wanita. Mereka dikatakan ditangkap oleh suami wanita terbabit yang juga seorang anggota polis pada kira-kira pukul 2 pagi di perumahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang. Ketua Polis Daerah Sepang Supt Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan khalwat itu.

Katanya, Azilah, anggota Unit Tindakan Khas dan wanita tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor atas pertuduhan khalwat dan polis juga telah membuka kertas siasatan untuk tindakan tatatertib terhadap mereka."Perkara ini masih dalam siasatan pihak polis," katanya. Isnin ini, Azilah sepatutnya hadir ke Mahkamah Persekutuan bagi prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dan pelepasannya bersama seorang lagi tertuduh dalam kes itu, Koperal Sirul Azhar Umar, 43. Kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006. -Mstar




.

[Gambar] Kemalangan melibatkan bas henti-henti dengan 4 kenderaan dan sebuah motosikal di KM16.1 Lebuhraya Persekutuan


[Gambar] Kemalangan melibatkan bas henti-henti dengan 4 kenderaan dan sebuah motosikal di KM16.1 Lebuhraya Persekutuan | Tiga orang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas henti-henti dengan empat kenderaan termasuk sebuah motosikal di KM16.1 Lebuhraya Persekutuan berdekatan Plaza Tol Batu Tiga di sini pagi Khamis. Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, bas yang membawa 15 penumpang dari Klang ke Kuala Lumpur dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan pada laluan yang sama sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh besi penghadang jalan.


Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, DSP Goh Lee Shen berkata bas berkenaan dipercayai hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sehingga melanggar tiga kenderaan iaitu masing-masing sebuah Proton Wira, Toyota Camry dan Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.


Katanya, bas itu kemudiannya merempuh satu lagi besi penghadang jalan di laluan motosikal dan melanggar sebuah motosikal yang sedang melalui laluan berkenaan sebelum terbabas ke kawasan berumput. "Tiga mangsa mengalami kecederaan ialah penunggang motosikal, pemandu Proton Wira dan seorang penumpang bas," katanya.


Goh berkata kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut. Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati lalu lintas di kedua-dua arah mengalami kesesakan teruk sepanjang dua kilometer sehingga kira-kira pukul 11 pagi tadi. -Mstar




.

Wanita bunuh suami kerana curang 40 tahun yang lalu



Wanita bunuh suami kerana curang 40 tahun yang lalu | Polis semalam menahan seorang suri rumah berusia 79 tahun yang didakwa memukul suaminya sehingga mati kerana menjalin hubungan sulit dengan wanita lain 40 tahun lalu. Menurut jurucakap polis, Yoshiko Suzuki menggunakan ‘objek seperti kayu’ untuk menyerang suaminya, Masaharu, 79, di rumah mereka di bandar Nakai, 60 kilometer ke barat Tokyo, Ahad lalu. “Suami saya kehilangan kerjayanya 40 tahun lalu kerana menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita. Hal ini menyebabkan kami sering bertengkar,” kata suspek kepada penyiasat.

 Polis pernah meleraikan satu pertengkaran di antara mereka September lalu. Pasangan berkenaan hidup bersama anak mereka berusia 43 tahun yang keluar membeli-belah ketika kejadian. Yoshiko ditahan atas tuduhan serangan yang menyebabkan kematian dan kesnya diserahkan kepada pendakwa raya di wilayah Kanagawa. Tahun lalu seorang wanita Jepun memukul suaminya yang berusia 70 tahun hingga mati dengan cawan selepas mengetahui lelaki berkenaan menjalinkan hubungan sulit. - AFP

Misteri lembu sesat berada di bumbung rumah



Misteri lembu sesat berada di bumbung rumah | BARANGKALI bosan menghabiskan masa dengan meragut rumput di padang yang sama setiap hari, lembu ini membuat keputusan untuk mencari padang rumput baharu. Tetapi tindakan beraninya itu juga mungkin berakhir dengan kekesalan kerana pengembaraannya itu menyebabkan haiwan ini terperangkap di atas bumbung sebuah rumah di Switzerland. Seorang pelumba basikal, Rolf Steiner ternampak haiwan itu di atas bumbung licin dan curam sebuah rumah di kawasan ladang berhampiran bandar Bern. "Saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat dan terpaksa melihat sebanyak tiga kali untuk memastikan apa yang saya lihat adalah benar. Seekor lembu berada di atas bumbung," katanya.

Lembu itu akhirnya berjaya mencari jalan pulang ke padang rumputnya, tetapi malangnya kepingan-kepingan jubin bumbung telah pecah. "Dia sentiasa menjadi binatang yang paling cepat menaikkan kemarahan saya, sentiasa mahu saya ikut kehendaknya, bukan saya," jelas pemilik ladang, Dieter Mueller. "Dia akan berada di sana untuk selama-lamanya jika dia mahu. Saya cuba untuk memujuknya supaya turun apabila pertama kali melihatnya di situ tetapi dia tidak akan berganjak. "Dia memerlukan 'masa manisnya' sendiri. Dan saya akhirnya ditinggalkan dengan bil-bil untuk menggantikan jubin yang pecah," katanya.

Khabar terkini pelakon dan pengacara, Irma Hasmie Ibrahim



Khabar terkini pelakon dan pengacara, Irma Hasmie Ibrahim | Jika sebelum mendirikan rumah tangga ada juga pelakon dan pengacara, Irma Hasmie Ibrahim berlakon dalam drama atau telefilem. Namun, apabila sudah berstatus isteri apatah lagi sekarang dia seorang ibu, Irma terus menyepi. Bagaimanapun, kemunculannya masih dapat ditonton menerusi program bual bicara popular TV AlHijrah (saluran 114) Assalamualaikum sebagai hos setiap Isnin hingga Ahad dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi. Bersua Irma, 32, pada majlis pelancaran Program Ramadan TV AlHijrah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur kelmarin, dia tampak makin jelita dan masih larat berjalan lagi meskipun dalam keadaan sarat mengandung anak kedua. Terus ditanya mengenai usia kandungan dan jantina bayi yang akan dilahirkannya nanti, Irma berkata, kandungannya sudah memasuki trimester ketiga iaitu 35 minggu dan dijangka melahirkan bayi perempuan pada Julai ini. “Kalau diikutkan sekarang ini saya boleh dikira dalam proses menunggu hari untuk bersalin. Namun, saya bersyukur kerana masih lagi sihat dan larat berjalan. Malah, tanda-tanda hendak bersalin pun belum ada. -Metro



.

Penemuan mengejutkan, budak 12 tahun temui mumia tergantung di sebuah rumah lama



Penemuan mengejutkan, budak 12 tahun temui mumia tergantung di sebuah rumah lama | HASRAT seorang budak lelaki berusia 12 tahun untuk mengetahui kisah mengenai sebuah rumah tinggalan yang dipenuhi semak samun di Dayton, Ohio, dikejutkan dengan penemuan mumia yang tergantung di dalam almari rumah terbabit. Identiti mumia tersebut disahkan sebagai Edward Brunton, 53, yang mati akibat menggantung diri. Mayat tersebut difahamkan berada di rumah tersebut selama lima tahun.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Michelle McGrath berkata, anaknya yang dalam ketakutan memberitahu bahawa dia menjumpai mumia di dalam rumah tinggalan itu. "Pada mulanya, dia ingat ia hanyalah patung. Saya pelik mengapa jiran mangsa tidak terhidu bau busuk dari rumah Brunton ," kata McGrath. Brunton membeli rumah tersebut pada 2009 dan seorang koroner mengesahkan beliau meninggal dunia tidak lama selepas itu. Siasatan polis telah dilakukan tetapi Brunton dipercayai membunuh diri. -AP




.

MAS diarah supaya beri pilihan kepada pramugari untuk memakai pakaian seragam yang mematuhi Syariah


MAS diarah supaya beri pilihan kepada pramugari untuk memakai pakaian seragam yang mematuhi Syariah | Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) diarahkan oleh Kementerian Pengangkutan supaya memberi pilihan kepada pramugari untuk memakai pakaian seragam yang mematuhi Syariah. Dalam jawapan bertulis kepada Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok), pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata syarikat penerbangan itu mempunyai kebebasan untuk memilihan pakaian seragam untuk anak kapal mereka asalkan ianya mengikut standard keselamatan yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). "Kementerian Pengangkutan meminta MAS untuk membenarkan atau memberi pilihan kepada pramugari beragama Islam untuk memakai pakaian seragam yang mematuhi Syariah," katanya.

Hishammuddin berkata MAS telah memaklumkan kepada kementerian bahawa pakaian seragama ala kebaya mencerminkan 'layanan baik Malaysia' identiti syarikat penerbangan tersebut. "Ia juga merupakan keputusan komersial syarikat penerbangan itu untuk menentukan pilihan pakaian seragam berdasarkan imej korporat mereka," katanya. Dalam soalannya, Ahmad bertanya kepada Kementerian Pengangkutan bila MAS akan mengenakan keperluan kod pakaian menutup aurat dan melarang hidangan minuman beralkohol. Hishammuddin berkata, tiada perancangan untuk melarang hidangan alkohol dari menu penerbangan itu kerana ia adalah normal bagi amalan penerbangan antarabangsa.

Tambahnya, ketiadaan larangan itu tidak bermaksud MAS menggalakkan penumpang untuk minum minuman tersebut. Namun, Hishammuddin berkata, kementerian akan meminta MAS untuk mempertimbangkan bacaan doa perjalanan sebelum pesawat berlepas. "Itu adalah cadangan yang baik. Kementerian akan meminta MAS untuk mempertimbangkannya," katanya. Pesawat membawa 227 penumpang termasuk 12 anak kapal, yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing hilang dari radar pada 8 Mac lalu. Ia dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Misi pencarian giat dijalankan walaupun memasuki 103 hari pesawat itu dilaporkan hilang. Sehingga kini tiada serpihan pesawat ditemui di kawasan pencarian. -Mstar




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!