Thursday, June 26, 2014

Gambar bas ekspres terbabas dan terhumban ke dalam longkang sedalam empat meter


Gambar bas ekspres terbabas dan terhumban ke dalam longkang sedalam empat meter  | Lima penumpang sebuah bas ekspres cedera ringan apabila bas yang dinaiki terbabas dan terhumban ke dalam longkang sedalam empat meter di Jalan Baru, Perai di sini pada Khamis. Dalam kejadian pada 6 pagi itu, bas KMK Star Coach membawa tujuh penumpang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Perlis itu dikatakan hilang kawalan ketika pemandu bas berusia 25 tahun berkenaan cuba mengelak sebuah kenderaan lain. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata tujuh penumpang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berjaya keluar melalui cermin hadapan dan tingkap bas yang dipecahkan oleh seorang daripada penumpang berkenaan. "Semua mereka termasuk pemandu bas dihantar ke Hospital Seberang Jaya, di sini. Pemandu dan lima penumpang cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar manakala dua lagi penumpang tidak cedera," katanya.


Beliau berkata bas berkenaan telah singgah di Butterworth di sini untuk menurunkan penumpang sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis, Perlis. Rusli berkata bas berkenaan hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah kenderaan lain di hadapannya menyebabkan ia terbabas ke kiri jalan dan melanggar pagar longkang sebelum masuk ke dalam longkang. "Kami akan mengambil keterangan pemandu bas untuk siasatan lanjut. Polis telah mengambil sampel darah pemandu bas yang berasal dari Johor itu untuk ujian alkohol dan dadah," katanya. Sementara itu, seorang penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 30, berkata beliau sedang tidur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dan suara penumpang menjerit. "Saya naik bas dari Melaka dan dalam perjalanan ke Kangar, bas ekspres yang saya naik ini berhenti banyak tempat...sedar-sedar sudah berada dalam longkang," katanya ketika di Hospital Seberang Jaya. -Mstar




.

[Gambar] Cetus tanda tanya, lelaki ini tangkap ular menggunakan mulut



[Gambar] Cetus tanda tanya, lelaki ini tangkap ular menggunakan mulut | Lelaki berasal dari Thailand ini menangkap ular hitam kuning menggunakan mulutnya, walaupun ular ini termasuk ular yang memiliki bisa yang akan mengundang maut ketika pertunjukannya Schlangenfarm dan Snake Show di Pattaya, Thailand. Ketika pertunjukannya, dia membongkok untuk dapat menangkap belakang ular hitam kuning di Pataya, Thailand. Lelaki ini tanpa menggunakan perlindungan ketika menunjukan kebolehannya, berjaya menangkap ular hitam kuning yang memiliki bisa sangat bahaya dengan mulutnya dan kelihatan ular itu lalu meliuk-liuk berusaha melepaskan diri dari lelaki ini.-AP




.

[Gambar] Rupa paras seorang pencuri menawan hati ramai wanita


[Gambar] Rupa paras seorang pencuri menawan hati ramai wanita | Ketampanan seorang lelaki berusia 30 tahun yang ditahan kerana serangan bersenjata menjadikan agensi pengiklanan berpusu-pusu mahu mendapatkannya. Jeremy Meeks yang mendapat gelaran penjenayah paling kacak, dilaporkan mampu memperoleh AS$30,000 (RM96,420) sebulan melalui tawaran diberikan agensi yang mahu mendapatkan khidmatnya sebagai model. Meeks menawan hati ramai wanita di seluruh dunia selepas polis memuat naik gambarnya di laman Facebook selepas ditahan berikutan serangan bersenjata dilakukan kumpulan yang dikehendaki polis di bandar Stockton, California. Menurut polis, dia antara penjenayah paling berbahaya di bandar berkenaan namun wajahnya menjadi viral dan mendapat hampir 40,000 Like.

 Dengan wajahnya yang kacak, tiada gambar yang pernah menarik perhatian sebanyak gambarnya sejak Jabatan Polis Stockton mempunyai laman Facebook sejak dua tahun lalu. Sebuah agensi peragaan berkata: “Jika Meeks menerima tawaran jenama fesyen terkenal seperti Versace dan Amani, dia mampu menerima pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan.” Menurut agensi itu, tatu pada wajah Meeks dianggap seksi dan menawan. Ibunya, Katherine Angier membuat kenyataan laman di Facebook bagi mengumpul dana untuk membantu anaknya menjalani “perbicaraan yang adil” dengan mengatakan anaknya tidak terbabit dalam mana-mana kumpulan dan sedang dalam perjalanan ke tempat kerja ketika ditahan. - AFP



.

Reaksi Farid Kamil dengan tindakan isteri, Diana Danielle muat naik status bernada cemburu



Reaksi Farid Kamil dengan tindakan isteri, Diana Danielle muat naik status bernada cemburu | Pelakon, Farid Kamil, tidak menolak cemburu menjadi punca mengapa isterinya, Diana Danielle, meluahkan perasaan kecewa di laman sosial Instagram miliknya, baru-baru ini. Farid, 32, bagaimanapun berkata beliau sudah pun memaafkan tindakan isterinya itu dan menyifatkan cemburu sebagai perkara biasa dalam diri wanita. "Biasalah dalam setiap diri wanita, pasti terselit perasaan cemburu. Saya sudah pun memaafkan dirinya dan saya harap mana-mana pihak yang terasa dengan kenyataannya itu juga dapat memaafkan beliau," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kad Amal dan Kad Ucapan Hari Raya Filem Lagenda Budak Setan 3 di sini.

Tindakan Diana memuat naik status yang menggambarkan perasaan cemburu terhadap sekeping foto promosi filem terbaru lakonan suaminya, Pengantin Malam, bersama Nora Danish, baru-baru ini, mengundang kontroversi apabila ia mendapat reaksi negatif pelbagai pihak. Status terbabit bagaimanapun dipadamkan oleh Diana apabila ia dikatakan mula menjadi bualan ramai. -Utusan




.

Nama Pasangan Panda Gergasi Yang Diterima Oleh Malaysia Daripada China


Nama Pasangan Panda Gergasi Yang Diterima Oleh Malaysia Daripada China | Dua ekor panda gergasi yang diterima Malaysia daripada China diberikan nama baharu sebagai 'Xing Xing' dan 'Liang Liang'. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pelancaran Pusat Pemuliharaan Panda Gergasi di sini mengumumkan nama panda jantan yang sebelum ini adalah Fu Wa telah ditukarkan kepada Xing Xing dan panda betina iaitu Fen Yi, diberikan nama Liang Liang, yang masing-masing bermaksud 'kemakmuran' dan 'cantik'. "Panda-panda ini sekarang mempunyai dua nama, satu yang diberikan oleh China dan satu lagi diberikan oleh Malaysia," katanya. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah menganjurkan satu pertandingan untuk mencadangkan nama baharu buat kedua-dua panda berkenaan dan menerima kira-kira 2,000 cadangan.Pasangan panda tersebut tiba di Malaysia pada 21 Mei lalu sebagai simbolik jalinan diplomatik selama 40 tahun antara Malaysia dan China. Malaysia akan menjadi tempat tinggal buat Xing Xing dan Liang Liang untuk selama 10 tahun.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!