Friday, July 4, 2014

Brazil sebagai penganjur piala dunia dikecam lagi dalam satu insiden terbaru



 Brazil sebagai penganjur piala dunia dikecam lagi dalam satu insiden terbaru | Sebuah jejambat yang sedang dibina untuk penganjuran Piala Dunia runtuh dan menghempap beberapa kenderaan di bandar raya Belo Horizonte di tenggara Brazil, awal pagi Jumaat. Sekurang-kurangnya dua orang maut manakala 22 lagi cedera parah dalam insiden itu. Imej yang disiarkan Globo TV menunjukkan bahagian depan sebuah bas berwarna kuning remuk selepas dihempap konkrit yang jatuh itu. Insiden itu berlaku kira-kira lima kilometer dari stadium yang menjadi venue kejohanan Piala Dunia 2014. Jejambat itu masih dalam pembinaan sebagai sebahagian pembangunan prasarana untuk kejohanan itu tetapi tergendala.

“Ia seperti gempa bumi. Tanah bergegar kuat. Saya dengar bunyi yang kuat. Saya nampak jejambat runtuh," kata salah seorang saksi, Daniel Magalhaes yang berada berhampiran tempat kejadian. Pegawai perubatan mengesahkan, dua orang terbunuh manakala 22 yang lain cedera. Kejadian terbaru ini menjadi tamparan hebat kepada Brazil sebagai penganjur piala dunia, setelah sebelum ini dikecam kerana masalah mogok rakyat dan kecaman keselamatan sepanjang perlawanan berlangsung. -AP




.

Derita yang dicipta oleh ibu bapa terhadap anak mereka yang menghidap autisme


Derita yang dicipta oleh ibu bapa terhadap anak mereka yang menghidap autisme | Sepasang suami isteri dari Vietnam ditahan di sini kelmarin kerana mengurung seorang anak mereka yang menghidap autisme di dalam sangkar besi yang direka untuk haiwan di Anaheim, tenggara Los Angeles, kata polis semalam. Ibu kanak-kanak itu dikenali sebagai Tracy Trang Le, 35, sementara bapanya, Loi Vu, 40. Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang juga bisu itu, telah dibawa ke pusat perlindungan bersama-sama dua adiknya ekoran penahanan kedua ibu bapa mereka, kata jurucakap polis, Bob Dunn.

Polis turut menemukan tilam yang biasanya digunakan oleh haiwan peliharaan di dalam sangkar itu, katanya. Tambahnya, terdapat beberapa laporan berbeza berhubung tempoh kanak-kanak itu dikurung, iaitu untuk tempoh berapa tahun, bulan atau jam. "Mereka meletakkan kanak-kanak itu di dalam kurungan mungkin sebagai satu cara untuk mengawalnya semasa mereka keluar rumah," kata Dunn kepada stesen televisyen KTLA selepas penahanan pasangan tersebut malam kelmarin.


Pasangan itu yang tidak fasih berbahasa Inggeris ditahan kerana disyaki mengancam dan mengurung secara salah kanak-kanak itu, kata jurucakap tersebut. Bagaimanapun, keadaan fizikal kanak-kanak lelaki itu dan dua adiknya, seorang lelaki, 10, dan seorang perempuan, 8, didapati berada dalam keadaan baik. "Selain dikurung di dalam sangkar besi, tiada sebarang tanda penderaan lain dikesan pegawai bertugas pada kanak-kanak itu," kata Dunn. - AFP




.

Cara 2 wanita membalas dendam terhadap seorang lelaki yang menipu mereka



Cara 2 wanita membalas dendam terhadap seorang lelaki yang menipu mereka | Dua wanita bertindak menggantung kain rentang di sebatang lebuh raya menghubungkan Newcastle dan Gateshead, di sini semalam bagi membalas dendam terhadap seorang lelaki yang menipu mereka dengan menjadi teman lelaki mereka secara serentak, sehingga menarik perhatian ramai. Kedua-dua wanita itu, Nicola Morland dan Angela Illingworth berkata, mereka bertindak demikian kerana kecewa apabila Steve Frazer menipu mereka kerana keluar dengan kedua-dua wanita itu secara serentak. Akhbar Daily Mail melaporkan, kedua-dua wanita itu bertindak menggantung kain rentang besar dengan tulisan berwarna merah dan kuning beserta beberapa gambar mereka bersama Frazer.


Pada poster itu tertera perkataan; ‘Steve Frazer awak ditinggalkan oleh dua teman wanita anda,’ dan kain rentang tersebut menarik perhatian beribu-ribu pengguna jalan raya di kawasan berkenaan. Morland yang berasal dari Washington berkata, dia terkejut dengan reaksi orang ramai ke atas kain rentang tersebut. "Cukuplah. Kami telah buktikan perkara sebenar dan perkara ini sangat menyakitkan hati," katanya. Ibu kepada Illingworth, Beatrice, yang berasal dari Birtley, Gateshead berkata, anaknya itu telah pergi bercuti ke Sepanyol. "Dia menghadapi saat sukar dan mahu menenangkan dirinya ketika ini," kata Beatrice.-AP




.

Penyanyi rock Awie akan dituduh di mahkamah hari ini atas tuduhan pukul isteri



Penyanyi rock Awie akan dituduh di mahkamah hari ini atas tuduhan pukul isteri | Penyanyi rock, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang atas tuduhan memukul isterinya. Awie sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. Sebelum ini, akhbar melaporkan mengenai seorang rockers yang didakwa mengasari isteri sendiri dalam satu kejadian di sebuah bank di Ampang, Selangor awal Jun lalu. Berikutan laporan tersebut, ramai yang menuding jari mengatakan individu tersebut adalah Awie. Namun vokalis kumpulan Wings itu menafikan dakwaan tersebut.

Bagaimanapun ketika kontroversi mengenai perkara tersebut semakin reda, tiba-tiba tersebar pula tiga keping gambar didakwa isteri Awie, Rozana Misbun dalam keadaan yang menyedihkan. Gambar-gambar yang mamaparkan wajah dan telinganya berdarah yang dipercayai akibat dipukul itu kini berlegar di Internet. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi mengesahkan Awie akan dituduh di mahkamah dalam tempoh terdekat. "Kita telah melengkapkan kertas siasatan dan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. Kita diarahkan bawa Awie untuk dituduh di mahkamah secepat mungkin dan kita cuba bawa dia," katanya. -Utusan



.

Ramadan dicemari dengan penemuan janin dipercayai berusia lingkungan tujuh bulan dalam saluran air tandas di stesen minyak



Ramadan dicemari dengan penemuan janin dipercayai berusia lingkungan tujuh bulan dalam saluran air tandas di stesen minyak | Seorang pengurus stesen minyak menemui janin dipercayai berusia lingkungan tujuh bulan dalam saluran air tandas di premis itu di sini hari ini. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt. Azman Abdul Razak berkata, janin itu ditemui tersangkut pada saluran air tandas berkenaan sebelum dikeluarkan dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Banting. "Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi tadi, isteri pengurus stesen minyak itu memaklumkan kepada suaminya bahawa saluran air di tandas tersumbat.

"Setelah diperiksa, lelaki itu mendapati terdapat gumpalan daging dalam saluran air berkenaan sebelum membuat aduan kepada polis," kata Azman ketika dihubungi Bernama hari ini. Polis tidak menolak kemungkinan janin itu telah berada beberapa hari dalam saluran air berkenaan berdasarkan keadaan fizikal dan warnanya. Azman berkata, janin itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Banting. - Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!