Thursday, July 10, 2014

Gara-gara layangkan kad merah, pengadil bola maut ditumbuk


Gara-gara layangkan kad merah, pengadil bola maut ditumbuk | GARA-gara mahu melayangkan satu kad merah, seorang pengadil maut akibat ditumbuk dalam satu perlawanan bola sepak di Livonia, Amerika Syarikat. Jurucakap Hospital Detroit Receiving, Alton Gunn mengesahkan kematian John Bieniewicz dua hari selepas mangsa diserang seorang pemain yang tidak berpuas hati dengan keputusannya. Susulan daripada insiden itu, Baseel Abdul-Amir, 36, dihadapkan ke mahkamah di Livonia atas dakwaan menyerang dengan niat untuk membunuh.

Bagaimanapun, tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin AS$500,000 (RM1.6 juta) dan sebutan semula kes ditetapkan pada Khamis ini. Dalam satu kenyataan, peguam Brian Berry memaklumkan, anak guamnya memberi kerjasama dan menyerah diri kepada pihak berkuasa selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu. "Baseel gagal mengawal kemarahan hingga menyebabkan dia bertindak menumbuk kepala mangsa," katanya menurut FOXSports.com. Sementara itu, rakan mangsa, Jim Acho memaklumkan, Bieniewicz menjadi pengadil bola sepak sejak 20 tahun lalu.

"Dia menjadi pengadil hanya untuk mengisi masa lapang memandangkan Bieniewicz merupakan seorang juruteknik dialisis di Hospital Kanak-kanak Mott," menurutnya. April tahun lalu, Ricardo Portillo meninggal dunia selepas koma selama hampir seminggu akibat ditumbuk pemain berumur 17 tahun ketika kejohanan bola sepak di Taylorsville, Utah dekat Salt Lake City. Difahamkan, remaja itu mengaku bersalah atas tuduhan membunuh. -AP




.

Kisah sedih seorang bapa yang berusaha melawan penyakit kanser demi lebih peluang bersama keluarganya



Kisah sedih seorang bapa yang berusaha melawan penyakit kanser demi lebih peluang bersama keluarganya | USAHA seorang bapa yang sedang melawan penyakit kanser pasti menyentuh perasaan sesiapa sahaja apabila beliau sentiasa merakamkan detik indah bersama anaknya yang berusia lapan bulan. Darren Mullery penghidap kanser pankreas sedaya upaya sedang melawan penyakitnya apabila beliau dinasihatkan supaya berhenti mengambil sebarang ubat. “Saya merakam semua detik indah bersama Noelle supaya dia boleh melihat bagaimana saya melawan penyakit ini selepas kematian saya. Hanya rakaman video ini yang saya tinggalkan untuk diwarisi,” katanya.

Di sebalik kecekalan itu, beliau juga sedaya upaya berjuang untuk meneruskan kehidupan dam memaksimumkan masa mereka bersama-sama. Darren disahkan menghidap kanser pankreas pada malam ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-39 pada Ogos lalu. Ketika itu, isterinya Danielle sedang sarat mengandung empat bulan dan merupakan cahaya mata mereka yang pertama. “Ketika mengetahui berita itu, saya hampir putus asa. Ketika itu doktor mengesahkan kanser saya berada pada tahap kritikal dan tidak boleh diubati. Saya juga dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang ubat kerana platelet yang begitu rendah,” katanya. Pada 12 Disember tahun lalu, Danielle selamat melahirkan anak kami dan ia menjadi penyuntik semangat untuk saya teruskan kehidupan.

Kini, Mullery banyak menghabiskan masa di hospital bersama isteri dan anaknya kerana keadaan beliau semakin parah. “Saya tidak tahu berapa lama saya boleh bertahan tetapi jangkaan doktor meleset apabila sehingga kini saya masih bernyawa,” katanya menurut DailyMail. Kisah perjuangan kanser beliau terus mendapat liputan media dan dijadikan drama muzikal oleh pengarah Oliver Hurley berjudul ‘Eye of the Tiger’ dan ditayangkan ketika pementasan di Siamsa Tire National Folk Theatre (SUN). Kisah hidup beliau juga menjadi viral di laman YouTube berjudul ‘Fighting Cancer Darren’s Way’ dan mendapat pujian ramai. -AP




.

Mesej iklan itu baik, namun ianya mendapat kecaman yang teruk



Mesej iklan itu baik, namun ianya mendapat kecaman yang teruk | Satu iklan anti perjudian yang memaparkan seorang lelaki meletakkan wang simpanan anaknya sebagai wang pertaruhan dengan memilih skuad bola sepak Jerman sebagai juara Piala Dunia telah mendapat kritikan para pengguna dalam di laman sosial. Kecaman dibuat apabila iklan itu ditayangkan semasa Brazil tewas dalam perlawanan separuh akhir menentang Jerman, kelmarin dengan keputusan 7-1. Iklan yang disiarkan oleh Majlis Kebangsaan Singapura (NCPG) tentang perjudian itu telah memaparkan sekumpulan lelaki sedang membincangkan pasukan yang akan menjuarai pusingan akhir bola sepak Piala Dunia.

Mesej iklan itu bagaimanapun tidak dihiraukan penduduk di Singapura apabila Jerman berjaya menundukkan Brazil 7-1 kelmarin, yang disifatkan sebagai perlawanan separuh akhir terburuk dalam sejarah Piala Dunia. "Kelihatan seperti bapa kanak-kanak itu yang telah mempertaruhkan kesemua wang anaknya akan ketawa sepanjang jalan menuju ke bank," kata Menteri Tenaga Kerja Singapura, Tan Chuan-Jin dalam kenyataannya di akaun Facebook miliknya. "Sekurang-kurangnya budak lelaki itu boleh mendapatkan wang simpanannya semula," kata Menteri Muda Perdagangan, Teo Ser Luck. - AFP




.

Luhurnya hati seorang sahabat



Luhurnya hati seorang sahabat | Seorang murid mendapat pujian melangit daripada pengguna Internet di China apabila kisahnya menggendong rakan sekelasnya yang lumpuh akibat penyakit polio sekolah selama empat tahun tersebar. Sejak berusia sembilan tahun, murid berkenaan, He Qin-jiao, 13 menggendong rakan sekelasnya, He Ying-hui setiap hari ke sekolah. He bertindak demikian kerana keluarga Hui tidak berupaya untuk berbuat demikian. Tanggungjawab berkenaan dilaksanakan He sehingga akhir tahun lalu apabila rakan sekelasnya menerima kerusi roda daripada kerajaan tempatan.


Walaupun selepas Hui menerima kerusi roda itu, He masih bangun seawal enam pagi setiap hari dan bergegas ke rumah rakannya untuk membantunya duduk di atas kerusi roda dan menolaknya ke sekolah. Apabila tiba di sekolah, He akan menggendong Hui di belakangnya untuk naik ke kelas mereka yang berada di tingkat dua. Kedua-dua pelajar ini akan menamatkan sekolah rendah tidak lama lagi. Bagaimanapun, menurut He, dia akan tetap menjaga rakannya itu apabila mereka memulakan sekolah menengah tahun depan. - Agensi




.

Kemalangan memilukan, suami tidak tahu isteri sudah meninggal dunia


Kemalangan memilukan, suami tidak tahu isteri sudah meninggal dunia | Empat beradik menyambut Aidilfitri tanpa belaian ibu tersayang tahun ini apabila wanita berkenaan maut dalam kemalangan di Kilometer 21.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Kelulut, di sini, jam 9 malam kelmarin. Lebih memilukan apabila bapa kanak-kanak terbabit, Badrulhisham Bakar, 38, yang tidak mengetahui isterinya, Zuraiha Zainal Abidin, 34, meninggal dunia di tempat kejadian asyik bertanyakan keadaan wanita terbabit ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini bersama empat anaknya yang turut mengalami kecederaan ringan. Kemalangan membabitkan dua kereta termasuk milik kerabat Istana Terengganu, Tengku Nasruddin Tengku Mahmud, 41, dan sebuah motosikal itu turut meragut nyawa penunggang motosikal terbabit seorang lelaki Vietnam dikenali sebagai Le Ngoc Toan berusia 30 tahun.

 Ibu saudara Zuraiha, Rosmaliza Kadir, 41, berkata, Badrulhisham dikatakan patah kaki kiri dan Muhammad Adam Muamzar, 6, cedera di kepala manakala tiga lagi anak mereka Muhammad Adam Wazif, 8, Nur Nia Dzaira, 4 dan Qaseh Eva Qaizara, 2, cedera ringan.“Badrulhisham berkali-kali bertanyakan kepada saya keadaan isterinya dan saya tidak sampai hati memberitahu kejadian sebenar kerana masih kebingungan serta trauma dengan apa yang terjadi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, di sini, malam kelmarin.

Rosmaliza yang tinggal di Putera Jaya, Setiu berkata, dia dan suami, Aziz Yahya, 39, mengetahui kejadian menimpa anak saudaranya selepas menerima panggilan telefon daripada adiknya yang tinggal di Kuala Lumpur. Menurutnya, ketika kejadian arwah yang tinggal di Pasir Mas, Kelantan dalam perjalanan ke rumah iparnya di Kampung Santong, Paka, Dungun dengan menaiki Proton Iswara dipandu suami bersama empat anaknya. “Arwah bertolak dari Pasir Mas jam 3 petang dan berbuka puasa bersama keluarga di Pantai Batu Buruk sebelum meneruskan perjalanan ke Paka,” katanya. Katanya, kali terakhir dia menemui arwah pada awal Jun lalu ketika pulang ke rumah keluarga di Kampung Durian Hijau, Kok Lanas, Kota Bharu.-Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!