Sunday, July 13, 2014

Kenali rakyat Malaysia yang dianggap 'Berbahaya' dan telah ditahan selama 8 tahun di Pusat Tahanan Teluk Guantanamo


Kenali rakyat Malaysia yang dianggap 'Berbahaya' dan telah ditahan selama 8 tahun di Pusat Tahanan Teluk Guantanamo | Mereka bukan sahaja rakyat Malaysia yang ditahan di Pusat Tahanan Teluk Guantanamo sejak lapan tahun lalu, malahan kedua-duanya digeruni di pusat itu. Mohamad Nazir Lep, yang dikenali sebagai Bashir Lap atau Lilie dan Mohd Farik Amin, turut dipanggil Yazid Zubair, dikategorikan sebagai pengganas "amat berbahaya" dan antara 14 'tahanan berharga' di pusat itu. Menurut dokumen yang diperoleh daripada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), mereka tidak dibenarkan untuk pembebasan segera dan nasib mereka belum dapat dipastikan. Kedua-duanya ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan pada 2003 apabila Mohamad Nazir, 38, ditahan di Thailand dan Mohd Farik, 39, di Kemboja. Mereka kemudiannya dipindahkan ke Guantanamo pada 4 September 2006.

Sumber risikan AS percaya bahawa mereka merupakan sebahagian daripada rancangan berani mati melibatkan pesawat komersial yang dirampas dalam gelombangan serangan kedua selepas kejadian 11 September 2001. Mohamad Nazir, yang menghadiri sekolah latihan penerbangan, merupakan seorang tahanan yang merancang untuk mengendalikan rampasan pesawat. Dia turut merancang serangan terhadap kedutaan AS, termasuk melakukan perpindahan wang dan senjata kepada anggota kumpulan radikal lain. Mohd Farik pula didakwa sebagai anggota kanan kepada JI dan al-Qaeda. Pusat Tahanan Teluk Guantanamo, yang turut dirujuk sebagai Guantanamo atau Gitmo, merupakan penjara tentera AS di sebuah pangkalan tentera laut yang menghadap Teluk Guantanamo di Cuba.

Ditubuhkan pada 2002, pusat tahanan itu disifatkan amat berbahaya, dan menempatkan tahanan dari Afghanistan, Iraq, Afrika dan Asia Tenggara. Menurut seorang jurucakap Kedutaan AS di sini, "kedua-dua rakyat Malaysia di Teluk Guantanamo telah dirujuk sebagai berpotensi untuk pendakwaan." Pegawai itu berkata, sehingga pertuduhan dikenakan terhadap mereka, kes mereka boleh dikaji semula oleh Lembaga Penilaian Berkala. "Lembaga itu akan menentukan sama ada penahanan mereka perlu diteruskan bagi melindungi ancaman terhadap Amerika Syarikat," tambah pegawai itu. Pakar Kriminologi USM, Profesor Madya Dr P. Sundramoorthy berkata, tiada petunjuk bahawa kedua-dua mereka akan dibebaskan kerana AS masih melihat mereka sebagai individu berbahaya dengan kemungkinan akan kembali menyertai dalam militan sekiranya dibebaskan. "Ia akan menjadi penahanan yang panjang buat mereka," tambahnya.


Difahamkan kedua-dua mereka dibenarkan untuk menghantar surat termasuk gambar, yang akan diperiksa terlebih dahulu, kepada ahli keluarga menerusi Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa. Dipercayai kedua-dua rakyat Malaysia itu boleh memberikan maklumat berguna kepada AS mengenai kumpulan radikal dan operasinya. Dikatakan mereka disoal siasat oleh Agensi Perisikan Jenayah (CIA) di sebuah kawasan yang tidak diketahui, sebelum dihantar ke Guantanamo. Laporan menyatakan bahawa Mohamad Nazir dan Mohd Farik disoal siasat di Pulau Diego Garcia, yang merupakan pusat operasi CIA di kawasan terpencil di Lautan Hindi.

Selain mereka, seorang rakyat Indonesia, Hambali, 50, yang pernah memiliki taraf permaustatin tetap, turut ditahan di Teluk Guantanamo. Hambali atau Riduan Isamuddin, merupakan seorang anggota Jemaah Islamiyyah yang mempunyai hubungan secara langsung dengan Osama bin Laden dan dikatakan sebagai orang kanannya di Asia Tenggara. Hambali terlibat dalam kejadian bom di Bali pada 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang. Isterinya, yang merupakan rakyat Malaysia juga seorang tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). -AP





.

Pemburu Maut Tertembak Diri Sendiri Ketika Buru Babi Hutan


Pemburu Maut Tertembak Diri Sendiri Ketika Buru Babi Hutan | Seorang pemburu maut setelah tertembak diri sendiri ketika memburu babi hutan di Ladang Laka Selatan dekat sini, petang semalam. Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintenden Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian pada kira-kira 6 petang itu, Teragi Anthony, 59, dari Pokok Sena sedang memburu bersama anak saudaranya, Jasbistih Anthony, 26 tahun sejak 3 petang. Mangsa dipecayai tertarik picu senapang patah jenis Spanish miliknya semasa menunggang motosikal untuk mengesan lokasi babi hutan, katanya kepada pemberita di sini, Sabtu. Katanya, mangsa mati di tempat kejadian setelah tembakan mengenai bahagian kiri kepalanya.

"Difahamkan mangsa telah menyuruh anak saudaranya itu tunggu di atas bukit di kawasan itu sementara mangsa menunggang motosikal sambil membawa senapang sebelum mangsa tertarik picu senapang itu," katanya. Abdul Rahim berkata keadaan jalan bukit yang berlopak-lopak berkemungkinan menyebabkan mangsa menunggang motosikal dalam keadaan yang sukar sambil memegang senapangnya. Menurut Abdul Rahim mangsa memiliki lesen senjata api untuk memburu. Sementara itu, Jasbistih berkata bapa saudaranya merupakan seorang pemburu yang mahir kerana sudah beberapa kali membawa pulang hasil buruan ke rumah dan dua hari lepas mangsa ada meminta untuk menemaninya masuk ke hutan untuk memburu babi hutan.

"Sebelum kejadian, dia minta saya tunggu di atas bukit setelah menyedari kehadiran babi hutan di kawasan cerun bukit ladang itu tetapi setelah beberapa ketika saya terdengar satu das tembakan kuat dari arah cerun bukit. "Saya ingat dia berjaya menembak babi hutan tetapi tiada tanda-tanda darinya. Jadi saya terus ke tempat kejadian dan terkejut apabila melihat dia terbaring kaku berlumuran darah dan terus menghubungi pihak polis," katanya. Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat. -Mstar




.

Pengunjung pawagam bertempiaran lari, panggung wayang terbakar dan dipenuhi asap


Pengunjung pawagam bertempiaran lari, panggung wayang terbakar dan dipenuhi asap | Lebih 100 pengunjung pawagam One Kapital Plaza yang sedang menonton wayang bertempiaran lari apabila panggung wayang itu terbakar dan dipenuhi asap di Jalan Tanah Merah, Bandar Lela, di sini, semalam. Dalam insiden kira-kira jam 3.30 petang itu, sebahagian besar pengunjung pawagam itu panik sehingga ada yang memecahkan tingkap untuk menyelamatkan diri kerana bimbang terperangkap didalamnya.

Menurut pengunjung beberapa bunyi letupan turut kedengaran menyebabkan orang ramai bertambah panik. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, ekoran keadaan tidak terkawal itu dua orang pengunjung mengalami cedera ringan kerana bertindak memecahkan cermin. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!