Tuesday, July 15, 2014

Kucing ini mungkin akan diiktiraf sebagai kucing terpendek di dunia



Kucing ini mungkin akan diiktiraf sebagai kucing terpendek di dunia | PIXEL, seekor kucing dengan ketinggian tidak lebih daripada 13 sentimeter (sm) dari Potrero, California ini akan memegang rekod dunia Guinness terbaharu sebagai kucing terpendek di dunia. Walaupun belum disahkan, pemiliknya Tiffani Kjeldergaard yakin, Pixel bakal merampas gelaran yang sebelum ini dipegang Cye, kucing jenis Napoleon Munchkin dari Kanada yang mempunyai ketinggian 14 sm. "Kucing ini dari baka Munchkin," katanya.


Kjeldergaard turut mengakui memiliki kucing pendek mendatangkan masalah kerana ia selalu tersepit dipintu atau peti ais. Jika Pixel diiktiraf sebagai kucing terpendek di dunia, ia akan mewarisi tradisi keluarganya di mana sebelum ini, ibunya Fizz Girl juga memegang gelaran itu dua tahun lalu dengan ketinggian 15 sm. - Mail Online




.

Ciptaan masa depan yang menakjubkan



Ciptaan masa depan yang menakjubkan | Sebuah syarikat permotoran Belanda membuka era baharu dalam dunia pengangkutan apabila mengeluarkan motosikal terbang pertama di dunia yang akan dijual di pasaran pada 2016. Portal berita Mail Online melaporkan motosikal yang diberi nama Pal-V One Helicycle atau The Helicycle dihasilkan selama bertahun-tahun oleh syarikat Pal-V dan berkeupayaan untuk digunakan di darat atau di udara. Malah penggunaan motosikal dwifungsi itu adalah sah di sisi undang-undang dan pemiliknya perlu mendapatkan lesen khas iaitu Sijil Penerbangan Sukan.Menurut firma Pal-V, The Helicycle boleh mencecah kelajuan sehingga 180 kilometer sejam dan mampu mencapai kelajuan 0 hingga 96 kilometer sejam di bawah lapan saat apabila bergerak di darat.


 Jelasnya, kenderaan tersebut mempunyai dua tempat duduk dan reka bentuknya kelihatan seperti helikopter serta memerlukan landasan sejauh 164 meter untuk berlepas. "The Helicycle menggunakan enjin 230 kuasa kuda yang dijana oleh petrol dan pemandunya boleh terbang sejauh 354 kilometer pada ketinggian 1,219 meter atau dipandu sejauh 1,207 kilometer di darat. "Tidak seperti kereta terbang, The Helicycle perlu mengambil masa 10 minit untuk proses mengeluarkan kipas secara automatik sebelum terbang," kata firma tersebut. The Helicycle akan dijual di pasaran pada harga 230,000 pound (RM1.2 juta) seunit. -AP




.

Impian pelik anak berjaya direalisasikan oleh bapanya


Impian pelik anak berjaya direalisasikan oleh bapanya | Seorang bapa yang telah berjanji kepada anak perempuannya berusia tujuh tahun untuk menjadikannya seorang puteri telah mengembara sehingga ke Afrika bagi membuka sebuah negara baharu. Lelaki itu, Jeremiah Heaton kemudian menemui sebuah kawasan yang dipanggil Bir Tawil, seluas 2,071 kilometer persegi yang terletak di sempadan antara Sudan dan Mesir bagi membina sebuah negara untuk anaknya yang kini dipanggil Puteri Emily. "Emily telah bertanyakan kepada saya tentang keinginannya untuk menjadi seorang puteri," kata Heaton yang telah menjalankan beberapa kajian sebelum menemui Bir Tawil.


Heaton telah memacakkan bendera yang dipilih oleh anaknya di kawasan tersebut sebagai tanda kawasan itu adalah milik keluarganya dan telah membelikan Emily mahkota. Heaton kini menamakan kawasan itu dengan gelaran Kerajaan Utara Sudan (Kingdom of North Sudan) dan telah menulis surat kepada kerajaan-kerajaan Afrika untuk mendapatkan pengiktirafan. "Ia satu kawasan yang cantik, hanya dikunjungi oleh masyarakat Badawi dan tanpa seorang penduduk," katanya. - Agensi




.

Kalau nak selfie pun, biarlah kena pada tempatnya..


Kalau nak selfie pun, biarlah kena pada tempatnya.. | Ketika dikejar puluhan lembu jantan, berhenti semata-mata mahu mengambil ‘selfie’ mungkin perbuatan yang tidak masuk akal malah berbahaya. Bagaimanapun, seorang lelaki seolah-olah tidak mempedulikan bahaya di belakangnya apabila sempat mengambil gambarnya dalam jarak terlalu dekat dengan haiwan berkenaan ketika pesta larian lembu, baru-baru ini.

 Menurut sumber, lelaki terbabit dipercayai mengambil gambar itu ketika bahagian terakhir hari kelima larian lembu di Pamplona, Jumaat lalu. Menurut jurucakap polis, lelaki berjambang itu kini diburu polis Sepanyol dan boleh didenda sehingga £2,400 (RM13,072) kerana melanggar undang-undang tempatan yang melarang perbuatan seperti itu ketika menyertai larian berkenaan.Gambar itu disiarkan di laman media sosial dan lelaki berkenaan diselar sebagai ‘bodoh’ kerana tindakannya itu turut mampu membahayakan peserta lain. - Agensi




.

Kisah benar seorang budak perempuan 3 tahun, hidup semula selepas diisytiharkan mati


Kisah benar seorang budak perempuan 3 tahun, hidup semula selepas diisytiharkan mati | Seorang budak perempuan berusia tiga tahun yang diisytiharkan mati secara klinikal mengejutkan ahli keluarganya apabila terjaga ketika upacara pengebumiannya selepas ibu saudaranya kebetulan memeriksa keranda kanak-kanak itu. Kanak-kanak dari Zamboanga del Sur, selatan Filipina itu sepatutnya dikebumikan pagi keesokannya selepas majlis keagamaan diadakan di Aurora. Bagaimanapun, bapa saudaranya yang membuka keranda berkenaan untuk melihat wajahnya terkejut apabila melihat kepala budak itu bergerak.

Kanak-kanak yang namanya dirahsiakan itu didapati mempunyai denyutan nadi dan bernafas walaupun baru diisytiharkan mati oleh pihak hospital pada pagi sama. Kejadian itu sempat dirakam anggota keluarga menggunakan kamera telefon bimbit sebelum dimuat naik ke Internet. Jurucakap polis Inspektor Heidil Teelan berkata, kanak-kanak berkenaan mengalami demam panas yang teruk selama beberapa hari sebelum dibawa ke klinik, Jumaat lalu. “Ketika itu doktor dan kakitangan hospital mengesahkan dia meninggal dunia apabila nadinya tidak lagi berdenyut. Dia diisytiharkan mati secara klinikal pada jam 9 pagi,” katanya.

Menurut laporan Philippine Star, pihak hospital menyerahkan kanak-kanak itu kepada keluarganya untuk dikebumikan. “Kami tidak dapat mengesahkan status sebenar budak berkenaan, namun berdasarkan pemeriksaan awal pihak polis yang diarahkan menyiasat, memang nyata kanak-kanak itu masih dalam keadaan koma. “Dia kini berada di hospital untuk rawatan lanjut,” katanya. - Agensi





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!