Saturday, July 19, 2014

Antara barangan kargo MH17 mulai didedahkan



Antara barangan kargo MH17 mulai didedahkan | Dua ekor anjing peliharaan dan sembilan ekor burung termasuk empat ekor merpati antara yang terdapat dalam kargo pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine Khamis lepas. Menurut kenyataan MAS malam tadi, kargo pesawat itu turut mengandungi pelbagai barangan kurier termasuk peralatan helikopter, barangan horikultur, barangan perubatan, bunga palsu, produk kegunaan harian, penapis, tekstil serta mel pos.

Selain itu, ia mengandungi bagasi yang mengandungi barang peribadi para penumpang pesawat malang itu dengan kesemua barangan dalam kargo itu adalah seberat 9,885.4kg. Selain dihantar ke Malaysia, sebahagian besar barangan kargo itu akan dihantar ke negara-negara lain seperti Filipina, Vietnam, Australia dan India. Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. - Bernama




.

Bendera negara dikibarkan separuh tiang di seluruh negara sebagai menghormati kejadian pesawat MH17 terhempas


Bendera negara dikibarkan separuh tiang di seluruh negara sebagai menghormati kejadian pesawat MH17 terhempas | Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan mulai malam tadi sehingga Isnin ini bendera negara dikibarkan separuh tiang di seluruh negara sebagai menghormati kejadian pesawat MH17 terhempas di Timur Ukraine malam kelmarin. Dalam perutusan khas yang disampaikan jam 11.15 malam, beliau turut mengumumkan akan mengadakan sidang Parlimen tergempar bagi membentangkan usul mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan berkenaan. Beliau berkata, kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu dan berharap siasatan dijalankan secara adil dengan kerjasama semua pihak.

“Walaupun MH17 dipercayai ditembak, kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak atas perbuatan itu sehingga bukti sahih dapat disahkan. “Kita kutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun, bersifat ganas dan tidak bertanggungjawab itu,” katanya. Menurutnya, seperti diketahui kawasan berlakunya kejadian itu dikuasai dan dikawal oleh pasukan pemberontak dan kerajaan sedang melakukan pelbagai usaha menjalin hubungan baik dan saluran diplomatik supaya pasukan penyiasat dapat menjalankan siasatan.

“Justeru kami meminta keselamatan pasukan penyiasat kita terjamin, kita mendesak pihak berkenaan tidak mengganggu atau mencemar bukti di tempat kejadian supaya siasatan dilakukan dan jika siasatan mendapati pesawat itu ditembak jatuh, Malaysia mahu pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya. Beliau berkata, kerajaan sudah menghubungi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon berhubung kejadian itu serta meminta Presiden Russia Vladimir Putin memberi kerjasama supaya hasrat berkenaan terlaksana. Malah katanya, pesawat khas sudah dihantar ke Ukraine petang semalam membabitkan penyertaan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), kumpulan perubatan serta pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). -Metro





.

Apa akan jadi pada mangsa yang terkorban dalam tragedi MH17?


Apa akan jadi pada mangsa yang terkorban dalam tragedi MH17? | Kerajaan akan berusaha dengan segera membawa balik mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 rakyat negara ini yang terkorban di Ukraine ke Malaysia, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Mengenai kebajikan kesemua waris dan ahli keluarga, katanya, MAS akan mendapat bantuan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menghadapi saat-saat sukar ini. - Utusan



.

MUNGKINKAH? - HANNI RAMSUL




MUNGKINKAH? - HANNI RAMSUL | Menarik cara penyampaian novel ni. Walaupun tebal tak terasa juga ketika membacanya. Terasa terbuai sangat..

Novel mengisahkan mengenai Arisa yang melalui pengalaman mengecewakan menjadi seorang isteri kepada Radhi yang selalu mengambil kesempatan terhadap rasa cinta Arisa. Bagi Radhi, Arisa sangat penting sebagai penyumbang 'dana' nya untuk berjudi. Sikap Radhi yang melampaui batas akhirnya membuatkan ayah Arisa, Haji Salleh meninggal dunia. Radhi yang ketika itu mengahwini wanita lain yang juga janda, membuatkan Arisa nekad minta cerai. Namun bukan semudah itu untuk dia menyingkirkan Radhi dari hidupnya. Radhi inginkan duit sebanyak RM20 ribu, sebagai tebus talak, dan membuatkan Arisa sangat tersepit. Mujurlah, bos Arisa ringan membantu meminjamkannya duit.

Malang buat Arisa, masalah yang disangka selesai, rupanya membuatkan dia semakin tersepit. Niat bos Arisa, Encik Karim, meminjamkan dia duit sebanyak itu rupa-rupanya ada maksud yang sangat besar. Diam-diam Encik Karim menyimpan perasaan padanya, dan  nekad memperisterikan Arisa walaupun Encik Karim sudah punya isteri. Mana pernah Radhi biarkan Arisa senang. Lalu Arisa diaibkan, kononnya ada hubungan sulit dengan bos sendiri, dan membuatkan isteri Encik Karim mengamuk di pejabat. Arghh, malunya Arisa..Berkali maruahnya dipijak, dan dia sudah tidak tega untuk terus kerja disitu.

Dia buat permohonan kerja ditempat lain, dan ketika diterima, dia berkenalan pula dengan bos baru, Zariff yang merupakan seorang playboy. Sikap Zariff yang sering mengusiknya, membuatkan dia rimas. Dan ketika Encik Karim sedar dia mungkin tidak akan memiliki Arisa, dia memberi tempoh yang singkat untuk Arisa segera melunaskan hutang, jika tidak Arisa harus redha menjadi isterinya. Dapat tahu mengenai masalah Arisa, mana mungkin Zariff tidak membantu. Hutang itu segera dilunaskan, dan malang bagi Arisa, terlanjur kata, dia malah harus mengahwini Zariff. Serik dengan perkahwinan terdahulu, Arisa memang sama sekali tidak mengharapkan apa-apa dari Zariff. Namun rupa-rupanya dia sudah mulai melangkah ke jalan bahagia yang sudah lama dia inginkan..



Tajuk : Mungkinkah?
Penulis : Hanni Ramsul
Halaman : 926 muka surat
Harga : RM32/RM35




P/S : Fully recommended by Lulu Caldina




.

Tragedi MH17 - Jakim hantar 10 imam ke Kiev untuk bantu pengurusan jenazah


Tragedi MH17 - Jakim hantar 10 imam ke Kiev untuk bantu pengurusan jenazah | Jakim menghantar 10 imam ke Kiev, Ukraine untuk membantu dari aspek pengurusan jenazah dan bimbingan berkaitan agama ekoran tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas semalam. Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dalam kenyataan berkata, perwakilan Jakim itu diketuai Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Abdul Manaf Mat. "Bagi tujuan mengadakan solat jenazah ghaib pula, kita akan memaklumkan kepada seluruh masyarakat sebaik urusan pengurusan jenazah dimandi dan dikafankan selesai," katanya.

Malam semalam katanya, Jakim turut menghantar pegawainya ke Hotel Marriot, Putrajaya bagi mengepalai solat tarawih, bacaan tahlil dan yasin serta bimbingan kerohanian khusus kepada keluarga mangsa yang ditempatkan di hotel tersebut. Beliau juga meminta semua masjid dan surau di seluruh negara sama-sama mengadakan bacaan tahlil khusus kepada mangsa yang terlibat. Selain itu, masjid-masjid utama di bawah seliaan Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan akan mengadakan solat hajat pada 10 malam terakhir Ramadan, khusus untuk mendoakan kemudahan, keselamatan, keamanan dan keampunan bagi negara. - Bernama




.

Tragedi MH17 - SKMM minta orang ramai jangan sebar kandungan, gambar mangsa


Tragedi MH17 - SKMM minta orang ramai jangan sebar kandungan, gambar mangsa  | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan kandungan mahupun gambar mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine Khamis. Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi juga meminta orang ramai supaya tidak berkongsi, meletakkan pautan atau memaparkan kandungan menyayat hati itu dalam laman-laman sosial. "Kami ingin mengingatkan orang ramai supaya menghormati jasad mereka yang kehilangan nyawa serta anggota keluarga waris dalam tragedi MH17 semalam.

 "Kami semua turut bersedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa," katanya dalam laman Facebook SKMM hari ini. Pesawat MAS itu yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal hari ini berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak jatuh. Pesawat MH17 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat. - Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!