Monday, July 21, 2014

Lagi kisah menyayat hati berikutan tragedi nahas MH17


Lagi kisah menyayat hati berikutan tragedi nahas MH17 | Kisah senarai penumpang MH17 begitu menyayat hati apabila lebih 20 keluarga maut dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine pada Khamis lalu. Dua keluarga enam beranak berasal dari Belanda dan Malaysia antara mangsa nahas itu, manakala terdapat keluarga yang mempunyai lima, empat dan tiga ahli yang turut maut. Kebanyakan mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak, sekurang-kurangnya 20 daripada mereka berusia di bawah 12 tahun. Sejumlah remaja turut maut bersama pasangan yang kembali dari bercuti malah ada yang baharu sahaja menaiki pesawat itu bagi memulakan percutian. Jinte Wals, 15, begitu teruja dengan rancangan percutian di Malaysia, dengan menulisnya di Twitter mengenai perkara itu sejam sebelum penerbangannya berlepas dari Amsterdam.

Dia meninggal dunia bersama bapanya Jeroen yang gemar berbasikal, ibunya Nicole, dan adik-beradik Brett, 17, Amel, 12, dan Solenn yang berusia sembilan tahun. “Over uurtje in t vliegtuig naar MaleisiĆ« ! (Saya akan berada di udara untuk ke Malaysia dalam sejam lagi!)," katanya di Twitter pada Khamis, yang merupakan tulisan Twitternya buat kali terakhir. Keluarga Wals berasal dari sebuah pekan kecil Neerkant di Belanda. Jiran-jiran yang tinggal berhampiran dengan keluarga itu memberitahu sebuah akhbar Belanda, Algemeen Dagblad bahawa mereka tidak mempercayai keluarga enam beranak itu maut dalam nahas itu.

"Ia amat mendukacitakan. Kami tidak dapat lagi melihat Jeroen berbasikal bersama anak perempuannya," kata Nel dan Ton Winkelmolen kepada akhbar harian itu. Mereka yang lain turut terbunuh ialah keluarga dari Malaysia, Tambi Jiee, bersama isterinya, Ariza Ghazalee, 47, dan empat anak mereka iaitu Mohd Afif (19), Mohd Afzal (17), Marsha Azmeena (15), dan Mohd Afruz (13), mahu pulang ke tanah air selepas tiga tahun berada di Kazakhstan. Keluarga lima beranak yang maut termasuk warga Belanda, Johannes van den Hende, bersama isterinya rakyat Malaysia, Shaliza Dewa dan anak-anak mereka, Piers (15), Marnix (12) dan Margaux (lapan). Keluarga itu dalam penerbangan pulang ke kediaman mereka di Melborune selepas bercuti. Peguam, John Allen, dan isterinya warga Belanda, Sandra Martens dan anak lelakinya, Christopher (16), Julian (14) dan Ian (lapan) dilaporkan dalam perjalanan untuk bercuti di Indonesia.

Percutian itu diakhiri dengan tragedi selepas pesawat MH17 terhempas di ladang bunga matahari di Grabovo, Ukraine. Charles Smallenburg dari Hilversum, dan isterinya, Therese, bersama anak perempuan mereka, Carlijn dan anak lelakinya, Werther maut dalam nahas itu dalam perjalanan mereka ke Malaysia untuk bercuti sempena musim panas. Robert Van Keulen, dan isterinya, Caroline, dan kedua-dua anak lelaki mereka, Allard (16) dan Joroen (15) dalam perjalanan ke Borneo, yang akan bermalam di Kuala Lumpur terlebih dahulu. Antara lain yang turut dalam perjalanan ke Borneo ialah Peter Essers, bersama isterinya, Jolette Nuesink, dan anak-anaknya, Emma (20) dan Valentijn (17). Pasport milik Nuesink merupakan yang pertama ditemui di lokasi nahas dan gambarnya tersebar meluas di Internet.

Ramai lagi keluarga turut maut dalam tragedi itu, termasuk warga Belanda Paul Goes yang bekerja di Shah Alam, bersama isterinya rakyat Malaysia, Shuba Jaya dan anak perempuan mereka, Kaela yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran kedua tidak lama lagi. Emile van Muijlwijk yang bertugas sebagai pengurus logistik di Singapura maut bersama isterinya warga Indonesia, Vickiline Kardia dan anak perempuan mereka, Adinda. Johnny Paulissen, isterinya, Yuli Hastini dan anak-anak mereka, Martin (lima) dan Sri (tiga) turut terbunuh. Ini termasuk pasangan Oscar Kotte dan Miranda bersama anak lelaki mereka, Remco yang berusia enam tahun.

Antara lain yang turut terbunuh adalah tiga beradik Maslin, Mo (12), Evie (10) dan Otis (lapan) yang dalam perjalanan pulang dari Amsterdam ke Perth bersama datuk mereka, Nicoll Norris. Media Belanda, Thuis In het Nieuws melaporkan bahawa tujuh dari dua keluarga di bandar Rosmalen di selatan Belanda maut dalam nahas itu. Kedua-dua keluarga itu merupakan rakan rapat. Leon Wels dan isterinya Conny (Cornelia) dilaporkan menaiki pesawat itu bersama anak lelaki mereka, Sem yang berusia 10 tahun manakala Remco Trugg dan isterinya, Yvonne bersama kedua-dua anak perempuan mereka, Tess (10) dan Liv (tujuh) juga merupakan antara keluarga yang terbunuh dalam nahas MH17. -AP




.

MH17 : Bila wartawan tidak beretika menimbulkan kemarahan orang ramai


MH17 : Bila wartawan tidak beretika menimbulkan kemarahan orang ramai | SKY News membuat permohonan maaf secara rasmi selepas menyiarkan rakaman mengenai salah seorang wartawannya sedang menyelongkar sebuah bagasi milik mangsa di lokasi nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di Ukraine. Wartawan itu, Colin Brazier, berada di lokasi nahas di Ukraine dilihat mengangkat dan memeriksa barang-barang di sebuah bagasi tangan yang terbuka di sebalik serpihan bangkai pesawat yang terhempas.

Brazier kemudiannya menyedari bahawa apa yang dilakukannya itu tidak sopan dan kedengaran suara yang menyatakan 'kita tidak sepatutnya melakukan perkara ini.' Perbuatan memeriksa barang milik mangsa-mangsa di lokasi nahas mencetuskan kemarahan ramai pihak di media sosial dengan kebanyakan komen bahawa tindakan itu sesuatu yang amat mengejutkan. Malah ramai yang menggesa supaya wartawan itu dikenakan tindakan disiplin atas perbuatan wartawan berkenaan. Sky News kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan berhubung insiden itu dengan menyatakan:


"Hari ini, sewaktu melakukan siaran di lokasi nahas MH17, Colin Brazier pada lokasi tragedi itu menunjukkan barang-barang yang terkandung di dalam beg mangsa kepada para penonton. "Colin dengan segera menyedari bahawa perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan dan menyatakan perkara tersebut ketika ia disiarkan. Sky News dan Colin memohon maaf sekiranya perbuatan itu menyinggung perasaan mana-mana pihak." Kenyataan itu bagaimanapun tidak menjelaskan terdapat tindakan yang akan dikenakan terhadap Brazier. - metro




.

Apa akan jadi pada MAS selepas tragedi MH370 dan MH17?



Apa akan jadi pada MAS selepas tragedi MH370 dan MH17? | Dua tragedi, terhempas dan hilang membabitkan pesawat MH17 dan MH370 memberi impak yang sangat mendalam terhadap reputasi dan kewangan syarikat Malaysia Airlines ketika mereka giat memulihkan syarikat. Syarikat penerbangan Malaysia itu kehilangan dua pesawat yang membawa 537 orang dalam tempoh lima bulan dan kini persoalan yang timbul ialah adakah penum­pang akan terus menaiki pesawat MAS? Rakan kongsi di firma perundingan Penasihat Pasaran Global, Jonathan Galaviz berkata, bencana yang tidak dapat dijangkakan itu menyukarkan penganalisis untuk menilai keupayaan syarikat penerbangan berkenaan untuk mengatasinya.

Katanya, cabaran terbesar bagi MAS adalah, mampukah mereka untuk terus mempunyai bilangan penumpang tanpa menawarkan diskaun terlalu besar yang merupakan antara strategi baharu untuk mengisi lebih banyak kekosongan dalam pesawat. "Implikasi perniagaan kepada MAS sememangnya sangat signifikan, jenama MAS rosak dengan te­ruk sekali walaupun ia bukan kesalahan mereka," kata Galaviz menerusi laporan Wall Street Journal. Kehilangan pesawat MH370 pada Mac lalu yang menggegarkan industri penerbangan global kini dihangatkan lagi dengan pesawat MH17 dari Ams­terdam ke Kuala Lumpur baru-baru ini yang terhempas dipercayai ditembak oleh peluru berpandu.

MAS dilaporkan mencatat kerugian bersih sebanyak RM443 juta pada suku pertama tahun ini berbanding RM279 juta pada suku yang sama tahun lalu. Pada 2013, syarikat itu mencatatkan kerugian RM1.17 bilion. Menurut data daripada S&P Capital IQ, sehingga akhir suku pertama 2014, MAS mempunyai tunai dalam tangannya berjumlah RM3.4 bi­lion (AS$1.06 bilion) dengan jumlah hutang sebanyak RM11.78 bilion (AS$3.7 bilion). Jumlah hutang itu meningkat dua kali ganda berbanding RM5.67 bilion (AS$1.78 bilion) pada akhir 2011. -Utusan




.

Lokasi terkini mayat penumpang MH17


Lokasi terkini mayat penumpang MH17 | Malaysia menuntut puak pemisah di Ukraine memberi penjelasan ke mana 196 mayat penumpang pesawat MH17 dibawa, setelah diambil di tapak pesawat itu terhempas. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka perlu jelaskan tindakan puak pemisah ambil mayat-mayat itu secara paksa daripada petugas kecemasan Ukraine. “Kita mahu penjelasan ke mana semua mayat itu dibawa? Puak pemisah perlu maklumkan kepada dunia apa yang mereka mahu lakukan terhadap semua mayat yang diambil itu. “Mereka (puak pemisah) perlu melayan semua mayat terbabit secara tertib, hormat serta menjaga sensitiviti setiap keluarga mangsa, ahli keluarga saya (iaitu nenek tiri beliau) juga mungkin ada di situ.

“Saya secara peribadi akan pantau hal ini melalui risikan dan kerjasama rakan-rakan menteri pertahanan seluruh dunia,” katanya di sini, semalam. Semalam, media antarabangsa melaporkan seorang jurucakap perkhidmatan kecemasan Ukraine memaklumkan bahawa puak pemisah mengambil semua 196 mayat yang ditemui petugas di tapak pesawat MH17 terhempas. Jurucakap Ukraine, Nataliya Bystro dilaporkan berkata, petugas kecemasan bekerja dalam keadaan tertekan dan terpaksa memberikan mayat itu kepada puak pemisah yang bersenjata.

Sementara itu, Hishammuddin yakin pihak berkuasa dan pakar dari Malaysia akan menemui bukti termasuk serpihan senjata yang digunakan bagi menembak jatuh MH17. “Pihak berkuasa dan pakar dari Malaysia sudah bersedia dan hanya menunggu kebenaran Ukraine untuk menyiasat dan menguruskan mayat. “Kita yakin Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang kini di Ukraine mampu percepatkan proses agar pihak berkuasa dan pakar kita menyiasat lokasi kejadian dengan segera,” katanya. -SH




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!