Tuesday, July 22, 2014

Lihat apa yang boleh anda buat menggunakan butang baju



Lihat apa yang boleh anda buat menggunakan butang baju | Seorang artis berasal Argentina, di sini mempamerkan kehebatannya apabila menghasilkan seni lukisan menakjubkan yang memaparkan muka selebriti terkenal hanya menggunakan butang baju. Portal berita odditycentral.com melaporkan, Augusto Esquivel menggunakan teknik penyusunan beribu-ribu butang untuk menghasilkan lukisan potret artis terkemuka dunia seperti Audrey Hepburn, Marilyn Monroe, Salvador Dali dan James Dean.

Bagi mencipta potret mengagumkan itu, Esquivel menggantung beratus-ratus tali tangsi di atas syiling sebelum menggunakan benang berwarna hitam, kelabu dan putih untuk menyambungkan butang. Esquivel perlu memastikan setiap sambungan butang terbabit bagi menghasilkan karya yang mengagumkan. Ditanya tentang bagaimana untuk mencipta seni yang hebat itu, Esquivel berkata, dia memiliki keistimewaan melihat potensi dalam objek yang digunakan setiap hari bagi membuat seni yang kreatif.


"Saya sedar betapa kepentingan butang yang kecil untuk dijadikan potret apabila melihat kotak jahit milik nenek saya. "Saya suka melihat potensi sebarang objek yang boleh digunakan dalam seni kreatif. Walaupun proses penghasilannya rumit, hasil akhirnya tetapi hampir sempurna," katanya. Selain potret, Esquivel turut menghasilkan 'lukisan' piano, basikal, biola dan pemadam api yang diperbuat daripada susunan butang baju.-AP




.

Di Sinilah Mayat-Mayat Mangsa Nahas MH17 Disimpan...


 Di Sinilah Mayat-Mayat Mangsa Nahas MH17 Disimpan...  | Kini lebih 200 beg hitam yang mengandungi mayat-mayat mangsa nahas MH17 disimpan dan dipindah ke gerabak kereta api barang yang dilengkapi dengan alat penghawa dingin. Urusan pemindahan mayat-mayat ini dilakukan oleh pihak pemisah Ukraine yang pro-Rusia sejak Sabtu. Walaupun mendapat tentangan dan kritikan antarabangsa tetapi askar-askar puak pemisah berkata itulah langkah terbaik yang boleh mereka lakukan kerana mayat-mayat mangsa yang telah dikutip dan dikumpulkan dari tempat nahas telah berbau. Sebelum itu, mayat-mayat mangsa telah dibiarkan terdampar di tepi jalan dan di tempat pesawat malang itu terhempas sejak Sabtu dan musim panas di Eropah sekarang menjadikan situasi semakin sukar.

Sebahagian besar pekerja yang ditugaskan membantu mengangkut mayat-mayat itu didatangkan khas dari sebuah lombong yang berdekatan bagi mempercepatkan proses memindah ke gerabak kereta api. Isu berkaitan urusan pengurusan mayat mangsa dan juga bangkai pesawat di tempat kejadian menjadi perdebatan antarabangsa kerana puak pemisah yang pro-Rusia menghadkan kemasukan pasukan antarabangsa yang dihantar ke tempat kejadian oleh kerajaan pusat Ukraine.

Kini gerabak-gerabak berhawa dingin itu di tempatkan di Stesen Kereta Api Torez sembilan batu dari tempat kejadian. Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Volodymyr Groysman memberitahu satu sidang akhbar di Kiev sejumlah 192 mayat telah dipindahkan ke gerabak-gerabak berhawa dingin itu. Bagaimanapun katanya pihak pemisah enggan membenarkan kereta api itu berlepas keluar dari Torez. -AP




.

Usaha siasat dan kumpul bahan bukti tragedi MH17


Usaha siasat dan kumpul bahan bukti tragedi MH17 | Ketua Marsyal Udara Australia (B) Angus Houston, yang mengetuai misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi, kini mengetuai operasi Australia bagi menyiasat dan mengumpul bukti nahas MH17 yang terhempas di timur Ukraine. Pusat Koordinasi Agensi Bersama Australia (JACC) berkata Houston telah dilantik sebagi wakil khas perdana menteri dan akan mengetuai usaha Australia di tempat kejadian di Ukraine untuk membantu mengumpul dan mengenal pasti bukti serta menghantar pulang mayat warga Australia yang terbunuh dalam nahas MH17.

"Beliau akan berada di Ukraine selagi diperlukan untuk menyiapkan tugas itu," kata JACC dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Bernama menerusi e-mel pada Isnin. Daripada 298 orang dalam pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Khamis, 27 orang ialah warga Australia. Dipercayai pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh tetapi tiada pihak mengaku bertanggungjawab. - Bernama



.

Tarikh dan tempat melihat anak bulan Syawal untuk menetapkan Aidilfitri


Tarikh melihat anak bulan Syawal untuk menetapkan Aidilfitri ialah petang Ahad ini bersamaan 29 Ramadan. Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi). Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya melalui radio dan televisyen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata, anak bulan akan dilihat di beberapa tempat di seluruh negara. Ia meliputi Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor; Balai Cerap, Sabak Bernam, Selangor. Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah; Menara Alor Setar, Kedah; Bukit Besar Kuala Terengganu, Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman, Terengganu; Pulau Perhentian, Besut, Terengganu; Balai Cerap Kusza, Mukim Merang, Setiu, Terengganu. Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai, Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Bharu kesemuanya di Kelantan. Tanjung Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu, kesemuanya di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil dan Putatan di Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands, Bukit Pelindong, Kuantan kesemuanya di Pahang; Tingkat 13 Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Kuala Sungai Baru dan Simpang Empat di Perlis. - Bernama




.

Punca Kiki bertindak keterlaluan dengan membuli seorang lelaki warga emas selepas kemalangan



Punca Kiki bertindak keterlaluan dengan membuli seorang lelaki warga emas selepas kemalangan | Siti Fairrah Ashyikin Kamaruddin atau Kiki, 30, yang didakwa bertindak keterlaluan dengan membuli seorang lelaki warga emas, di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, minggu lalu, bukan disebabkan selepas dimaki oleh mangsa. Sumber polis sebaliknya berkata, berdasarkan siasatan, Kiki dipercayai bertindak sedemikian kerana bengang selepas lelaki itu tidak mahu keluar dari kereta, selepas kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan kecil. "Keterangan lelaki berkenaan juga mengesahkan dia tidak mengeluarkan kata-kata kesat kepada Kiki pada masa kejadian," katanya.

Menurutnya, surat terbuka yang mendakwa bahawa Kiki bertindak ganas kerana selepas dimaki oleh warga emas itu adalah rekaan pihak tidak bertanggungjawab. "Saya sudah membaca surat berkenaan dan pada saya semua dakwaan itu adalah mengarut," katanya. Semalam, satu kenyataan disebarkan di laman sosial bahawa Kiki bertindak keterlaluan selepas dimaki oleh lelaki berkenaan. Ia turut menyatakan bahawa lelaki berkenaan turut menghamburkan kata cacian berbaur perkauman. Sementara itu, Kiki dijangka akan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan harta benda di Mahkamah Majistret. -Metro



.

MH17 : 3 persetujuan dicapai dalam rundingan dengan ketua yang bertaggungjawab di lokasi nahas


MH17 : 3 persetujuan dicapai dalam rundingan dengan ketua yang bertaggungjawab di lokasi nahas | Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, tiga persetujuan dicapai dalam rundingan hari ini dengan ketua yang bertaggungjawab di lokasi nahas, Alexander Borodai. Beliau berkata, sebanyak 282 mayat mangsa nahas pesawat MH17 yang ketika ini di Torez akan dibawa ke Kharkiv menggunakan kereta api sebelum diserahkan kepada wakil dari Belanda. Menurutnya, enam anggota pasukan Malaysia akan mengiringi kereta api berkenaan sebelum diterbangkan ke Amsterdam menggunakan pesawat C130 Hercules Belanda.

 "Mayat mangsa warga negara Malaysia pula akan diterbangkan ke tanah air selepas itu apabila selesai siasatan forensik dilakukan," katanya pada sidang media khas di Seri Perdana di sini, awal pagi ini. Najib berkata, selain itu, dua kotak hitam akan diserahkan kepada pasukan Malaysia di Donetsk yang akan bertanggungjawab ke atas bahan bukti itu. Katanya, pasukan penyiasat antarabangsa dibenarkan memasuki lokasi nahas dengan jaminan keselamatan bagi memulakan siasatan sepenuhnya tragedi berkenaan.

"Saya tekankan di sini, walaupun kita sudah mencapai persetujuan namun banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk melengkapkan operasi. "Saya menyeru semua pihak meneruskan kerjasama bagi memastikan perjanjian ini dihormati dan Borodai setakat ini memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya. Najib berkata, dengan bermulanya siasatan ini, semua pihak akan dapat mengetahui punca pesawat itu terhempas dan siapa yang bertanggungjawab. "Dengan itu, mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan," katanya. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!