Monday, August 11, 2014

Bank HSBC cetus kontroversi baru


Bank HSBC cetus kontroversi baru | Syarikat perbankan terkemuka Britain, HSBC terus mencetuskan kontroversi melakukan diskriminasi apabila didakwa menutup sejumlah akaun bank milik pelarian dan pelajar Syria yang tinggal di Britain. Portal berita Mail Online melaporkan, HSBC menghantar surat kepada beberapa klien dari Syria memberi notis dua bulan kepada mereka untuk mencari bank baharu atas alasan 'disenarai sebagai pemilik akaun berisiko'. Tindakan kontroversi itu dilakukan hanya beberapa minggu selepas HSBC memberi amaran untuk menutup akaun pertubuhan Islam yang beribu pejabat di Britain termasuk akaun milik Masjid Finsbury Park di London. Pelanggan HSBC dari Syria, Mohammad Isreb yang menggunakan perkhidmatan perbankan tersebut sejak 2009, berkata, akaun miliknya telah ditutup, walaupun beliau merupakan pengguna kad visa Tier 1 UK yang dikategorikan untuk pekerja berkemahiran tinggi.

Jelasnya, beliau tidak lagi boleh menerima atau mengirim sebarang wang ke Syria ekoran penutupan akaun dengan HSBC. "Selepas menerima sepucuk surat daripada HSBC, saya memaklumkan kepada pihak bank bahawa status sebagai rakyat Syria bukan alasan yang kukuh untuk membatalkan akaun, selain saya tidak melanggar sebarang undang-undang. "Tindakan HSBC itu menambahkan lagi penderitaan pelarian Syria kerana sekatan (antarabangsa) dikuatkuasakan ke atas kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad, bukan rakyat," katanya. Seorang lagi mangsa yang merupakan pelajar visa, Majid Maghout, 26, berkata, tindakan HSBC menutup akaun bank miliknya sebagai kes diskriminasi.

Sementara itu, pertubuhan hak asasi manusia yang beribu pejabat di Manchester, Penyelidikan Tindakan Penyertaan Pencari Suaka Politik dan Pelarian (RAFAR) dan Persatuan Pemikir Pembangunan Semula Rakyat Syria melancarkan kempen ke atas HSBC berhubung kontroversi terbaharu itu. Mereka mendakwa HSBC berlaku tidak adil apabila menjadikan rakyat Syria sebagai sasaran hanya disebabkan status kewarganegaraan mereka. "Kami turut membongkar tindakan salah HSBC yang menolak, menutup akaun atau enggan menerima urusan pajak gadai dengan pelanggan yang berasal dari Syria. "HSBC mengenepikan pelanggan Syria di Britain dan melayan mereka sebagai pelanggan kelas kedua selain menyalahgunakan kuasa sebagai syarikat perbankan," jelas pertubuhan terbabit. -AP




.

Punca seorang balu biar mayat suami reput di rumah


Seorang balu membiarkan mayat suaminya reput di rumah mereka selama sembilan bulan kerana mendakwa suaminya mahukan mayatnya diperlakukan begitu supaya ia dimakan burung. Ila Solomon, 54, berdepan tindakan undang-undang selepas mayat suaminya, Gerald Gavan, 88, ditemui di rumah mereka Mei lalu. Dia baru-baru ini membawa kru berita ke rumah berkenaan dan menunjukkan tempat veteran Perang Dunia Kedua itu mati.

“Saya percaya seseorang yang berkhidmat begitu banyak untuk Amerika Syarikat (AS) perlu menjalani kematian yang diingininya. Dia hanya mahu mayatnya dimakan burung sebagai sebahagian daripada kitaran kehidupan. “Pelan alternatif ialah membiarkan mayatnya di luar supaya burung memakannya di situ. Tetapi, saya tidak melakukan demikian, sebaliknya, membiarkan saja mayatnya di tempat dia mati,” kata Ila.

Menurutnya, dia membiarkan saja pintu rumahnya terbuka dengan harapan burung masuk dan memakan mayat suaminya. Ila mendakwa mayat itu baru saja disimpan selama lima hari, namun koroner Jabatan Polis Lafayette berkata, ia mungkin sudah disimpan sembilan bulan. Bagaimanapun, punca kematian masih tidak diketahui.Ila didakwa mengambil wang bantuan suaminya selepas kematian lelaki itu. Satu wasiat yang kononnya ditulis Gavan meminta mayatnya dimakan burung di India. - Agensi




.

Larangan mengenakan Jilboobs kepada wanita bertudung. Apa itu Jilboobs?


Larangan mengenakan Jilboobs kepada wanita bertudung. Apa itu Jilboobs? | Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa bahawa adalah haram bagi kaum wanita mengenakan pakaian Muslimah tetapi masih menonjolkan bentuk tubuh atau berpakaian ketat. MUI mengeluarkan fatwa berkenaan berikutan trend baharu dalam kalangan wanita bertudung yang menggayakan fesyen Jilboobs (gabungan Jilbab dan Boobs) yang kini menjadi ikutan di Indonesia. Golongan tersebut mempopularkan fesyen Jilboobs iaitu mengenakan tudung kepala tetapi berpakaian ketat bermula dari paras leher ke bawah.

"Sudah ada fatwa MUI soal pornografi, ia termasuk tidak boleh memperlihatkan bentuk tubuh, pakai tudung tapi berpakaian ketat. MUI secara tegas melarang (fesyen) itu," tegas Timbalan Ketua MUI, Ma'ruf Amin. Menurut Ma'ruf, MUI mengeluarkan fatwa itu memandangkan cara menutup aurat oleh golongan itu tidak bersesuaian dan tidak menepati Syariat Islam tentang cara berpakaian. "Kalau sebahagian menutup aurat, sebahagian lagi masih memperlihatkan bentuk-bentuk yang sensual itu dilarang," kata beliau.

Sehubungan itu, MUI menggesa setiap Muslimah yang sudah bertudung agar memberi perhatian pada cara berpakaian yang menepati Syariat agama. Sebelum ini, sebuah komuniti wanita Muslimah yang memperkenalkan diri mereka sebagai Jilboobs Community dalam Facebook, memuat turun foto mereka mengenakan pakaian ketat sehingga mencetuskan reaksi kurang senang daripada pelayar-pelayar media sosial itu. - Utusan




.

Roller coaster yang membawa 24 orang terkandas dekat laluan puncak



Roller coaster yang membawa 24 orang terkandas dekat laluan puncak dalam kejadian di Taman Tema Six Flags America, Maryland, awal pagi tadi. Anggota bomba dan penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa dalam kejadian berkenaan. Pegawai Bomba Wilayah Prince George dikerah ke roller coaster The Joker’s Jinx pada kira-kira jam 2.30 petang waktu tempatan. Tiada laporan kecederaan dilaporkan. Penolong Ketua Bomba, Paul Gomez berkata, pengunjung dikatakan duduk dalam posisi menegak dan memerlukan masa beberapa jam untuk membawa mereka turun. Sementara itu, jurucakap Taman Tema Six Flags America berkata, punca kejadian masih belum dapat dipastikan tetapi masalah sistem keselamatan berkomputer mungkin penyebabnya. Permainan roller coaster itu berkelajuan 96.5 kiloemeter sejam dan berpusing ke bawah dan ke atas selama empat kali. - AP




.

Sebelum dan selepas wajah dan personaliti seorang peserta program realiti



Sebelum dan selepas wajah dan personaliti seorang peserta program realiti | SALAH seorang peserta program realiti Superstars K2 nekad untuk menguruskan badannya demi memastikan dia dapat mencapai cita-citanya sebagai penyanyi K-Pop. Berkat kegigihannya sepanjang berada dalam program berkenaan, Park Bo Ram berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 32 kilogram selepas melakukan diet ketat. "Untuk mendapatkan imej yang sempurna saya bekerja keras untuk mendapatkan bentuk tubuh yang menarik selain vokal dan wajah yang cantik," katanya.


Bo Ram yang sebelum ini memakai pakaian saiz XL kini dapat berbangga kerana dia kini menyarungkan baju dengan saiz paling kecil. Dalam pada itu, kecantikan bukan sahaja menjadi perhatiannya malah perubahan dirinya itu dapat memberi inspirasi untuk peminat mengubah cara hidup dan mengamalkan hidup sihat. "Saya sering berkongsi foto saya ketika berada di pusat kecergasan dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada peminat yang mempunyai masalah sama seperti saya untuk mengubah cara hidup," katanya. -AP



.

MH17 : Kisah sedih dari Pasukan Pengecaman Mangsa Nahas (DVI) Malaysia



MH17 : Kisah sedih dari Pasukan Pengecaman Mangsa Nahas (DVI) Malaysia  | “Saya tidak dapat menggambarkan rasa sayu dan hiba apabila sempat melihat beberapa keping kad raya milik penumpang nahas MH17 warga Malaysia ketika menerima bungkusan berisi mayat serta barangan peribadi mangsa nahas di Kharkiv, Ukraine pada 23 Julai lalu,” kata Timbalan Komander Pasukan Pengecaman Mangsa Nahas (DVI) Malaysia Deputi Superintendan Mohd Hakim Hashom. Mohd Hakim berkata, selain kad raya berkenaan, beliau bersama ahli DVI lain turut menemui pakaian seragam milik kru MH17, tas tangan, diari dan tag bagasi milik penumpang warga Malaysia yang dikumpulkan kumpulan pemberontak pro-Rusia di lokasi nahas. Menurutnya, beliau sudah lama berdepan dengan urusan pengendalian mayat kes jenayah, namun pengalaman itu tidak sama dan berbeza sekali ketika mengendalikan mayat mangsa nahas MH17.

“Bagaimanapun, demi mempercepatkan urusan pengendalian mayat, kami terpaksa tabahkan diri memandangkan ada mayat warga Malaysia yang terbabit nahas itu. “Selain merakam dan meneliti mayat nahas untuk proses pengenalan dan pengecaman, kami juga terbabit memindahkan barangan peribadi mangsa nahas ke dalam beg mayat mangsa. “Sebaik menerima bungkusan mayat mangsa daripada kumpulan pemberontak pro-Rusia, beg berisi mayat serta barangan peribadi milik mangsa diasingkan dan ia menjadi tugas kami untuk memindahkan barangan itu ke dalam beg mayat mangsa berdasarkan bukti pengenalan ditemui pada mangsa,” katanya ketika ditemui media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Amsterdam, Belanda petang semalam.

Mohd Hakim bersama 10 anggota dan pegawai DVI Malaysia adalah kumpulan kedua petugas khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tiba di tanah air selepas menyertai pasukan DVI antarabangsa bagi pengecaman mayat dan kerja-kerja forensik di lokasi nahas di Donetks; Kharkiv, Ukraine; Torez, Ukraine dan Kem Tentera Hilversum, Belanda. Ketibaan mereka disambut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh pada satu majlis ringkas sambutan pasukan itu di sini semalam. Dalam pada itu, Mohd Hakim berkata, pihaknya juga terpaksa memindahkan beg berisi mayat dari gerabak kereta api sebelum dibungkus semula dengan sempurna dan diletakkan ke dalam keranda untuk di bawa ke Kem Tentera Hilversum, Belanda bagi proses bedah siasat dan pengecaman identiti seterusnya.

Menurutnya, ketika itu, pihaknya turut merekodkan segala maklumat peribadi mangsa nahas berdasarkan barangan peribadi milik mangsa yang ditemui di lokasi nahas. “Tugas pasukan di Kharkiv dan Torez adalah menguruskan proses identifikasi mangsa bencana mengikut standard antarabangsa. “Kami adalah pasukan terawal melihat mayat-mayat mangsa selepas diserahkan kumpulan pemberontak pro-Russia dalam gerabak kereta api. Kami bukan saja perlu buat identifikasi mayat warga Malaysia, tetapi rakyat negara lain dengan kerjasama pasukan DVI dari Belanda, Australia, Amerika Syarikat, Brazil dan Kanada,” katanya.

Katanya, pihaknya turut menyedekahkan surah Al-Fatihah setiap kali menerima mayat beragama Islam selain bertafakur selama satu minit bagi menghormati mayat bukan Islam. Ditanya mengenai pengalaman berpuasa sambil menguruskan mayat mangsa nahas di Ukraine, Mohd Hakim berkata, menu berbuka puasa mereka di negara itu hanya roti, tomato dan timun. “Kami akui berdepan kesukaran mendapatkan makanan halal di sana dan kami hanya dibekalkan dengan roti dan dua jenis sayuran sebagai menu berbuka. “Malah, ia juga adalah menu sama buat kami ketika menyambut 1 Syawal di sana, namun sebagai anggota polis kami bersedia menghadapi apa juga kemungkinan,” katanya. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!