Thursday, August 14, 2014

MH17: 22 Ogos diisytihar Hari Berkabung Negara, Malaysia terima 16 jenazah



MH17: 22 Ogos diisytihar Hari Berkabung Negara, Malaysia terima 16 jenazah | Kerajaan hari ini mengisytiharkan tarikh 22 Ogos ini sebagai Hari Berkabung Negara ekoran tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 pada bulan lalu di wilayah Donestk, timur Ukraine. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada hari tersebut kerajaan turut menerima 15 daripada 24 jenazah warga Malaysia tragedi MH17 yang diterbangkan khas dari Amsterdam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Beliau berkata, penerbangan khas itu turut membawa pulang seorang warganegara Belanda yang mahu disemadikan di negara ini. - UTUSAN

Pendedahan mengejutkan.. Kajian dapati paracetamol punyai kesan buruk


Pendedahan mengejutkan.. Kajian dapati paracetamol punyai kesan buruk | Penyelidik perubatan menganggap ubat tahan sakit paling popular, paracetamol tidak begitu berkesan seperti mana yang dianggap banyak pihak, malah turut mempunyai kesan sampingan buruk. Beberapa siri kajian mengaitkan ubat tahan sakit itu dengan kesan sampingan yang serius termasuk asma, gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif atau lebih dikenali 'attention deficit hyperactivity disorder' (ADHD) dan mungkin mengakibatkan masalah jantung dan buah pinggang. Bukti yang ditemukan mencetuskan amaran daripada pemerhati kesihatan di Britain dan Amerika Syarikat (AS) terhadap doktor supaya tidak kerap memberikan paracetamol kepada pesakit, lapor Mail Online.

Keadaan itu, bagaimanapun mengundang pertikaian dalam kalangan profesional perubatan yang merasakan, tanpa ubat tahan sakit itu di peti simpanan perubatan, mereka tidak mempunyai apa-apa ubat untuk merawat jutaan pesakit. Sementara itu, timbul andaian yang mendakwa bagi beberapa penyakit, ubat itu sebenarnya tidak begitu baik berbanding plasebo. Bagaimanapun, paracetamol sehingga kini masih dianggap sebagai alternatif kepada mereka yang tidak boleh mengambil ubat antiradang tanpa steroid (NSAIDs) seperti ibuprofen. Penyelidik di Universiti Sydney menjalankan kajian ke atas lebih 1,650 responden yang menderita sakit belakang dan pelbagai penyakit lain dalam tempoh kira-kira enam minggu.

Satu pertiga responden diberikan dos harian paracetamol, satu pertiga lagi diberi ubat biasa dan satu pertiga lagi diberikan pil plasebo dengan kesemua mereka secara purata mengambil masa selama 17 hari untuk pulih. Dr. Christopher Williams yang mengetuai kajian itu berkata, keputusan itu mengandaikan bahawa pakar perubatan perlu menimbangkan semula cadangan popular iaitu memberikan paracetamol sebagai ubat awal kepada rawatan sakit belakang. Dalam perkembangan berasingan, jurnal JAMA Pediatrics dalam laporannya pada Februari lalu mengeluarkan amaran bahawa bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menggunakan ubat tahan sakit semasa mengandung, berisiko mengalami ADHD dan beberapa masalah lain. - AGENSI




.

Hukuman penjara 39 tahun kerana sambut valentine's day


Hukuman penjara 39 tahun kerana sambut valentine's day | Sebuah mahkamah rayuan di sini, semalam mengekalkan keputusan mahkamah jenayah yang menjatuhkan hukuman 39 tahun penjara ke atas lima lelaki, termasuk tiga anggota tentera kerana menyambut Hari Kekasih (Valentine’s Day). Mereka semuanya warga tempatan ditahan pasukan pencegah maksiat 14 Februari lalu yang menyerbu rumah peranginan di luar bandar ini, tempat kelima-lima lelaki itu berpesta bersama-sama enam wanita. bukan muhrim mereka.

Turut dirampas dalam serbuan itu sejumlah bunga ros dan arak buatan tempatan. Kelima-lima suspek mengaku menari dan bertemu secara sulit dengan wanita itu. Tertuduh pertama dipenjara lima tahun dan juga seribu sebatan, tertuduh kedua dan ketiga, tujuh tahun penjara dengan 1,500 sebatan manakala tertuduh keempat dan kelima dipenjara 10 tahun dan 2,000 sebatan.- Agensi




.

Lagi kes bayi maut ditinggalkan dalam kereta ketika suhu cecah 38 darjah celsius



Lagi kes bayi maut ditinggalkan dalam kereta ketika suhu cecah 38 darjah celsius | Seorang ibu menyesal seumur hidup selepas meninggalkan bayinya berusia 11 bulan di dalam kereta bersuhu 38 darjah Celsius di Utah, selatan Amerika Syarikat. April Suwyn, 32, memberitahu bayinya itu ditinggalkan kerana dia mahu ke tandas sebelum tersedar beberapa jam kemudian yang bayinya berada di dalam kereta. "Ketika itu, saya masih sempat mengilat kuku dan membasuh baju. Saya meninggalkan Skyah Suwyn di tempat duduk belakang kereta. Saya terlupa yang bayi kami itu tidak dihantar ke rumah pengasuh bersama dua abangnya," katanya.

Selepas tersedar, dia bergegas ke kereta dan mendapati bayinya itu tidak bernafas. "Ini adalah silap saya. Kebiasaannya saya akan menghantar dua anak ke rumah pengasuh sebelum ke gimnasium atau ke pasar," katanya. Sementara itu, pegawai perubatan Pusat Perubatan Wilayah Dixie berkata, sejurus menerima mangsa di sudah meninggal dunia beberapa jam. "Bayi itu maut akibat kepanasan dan sesak nafas. Dia gagal di selamatkan," katanya menurut laporan Mirror Daily Polis tempatan berkata, Skyah menjadi bayi kedua, meninggal dunia akibat punca yang sama dalam tahun ini. "Wanita itu dan suaminya ditahan untuk siasatan. Sehingga kini, kertas pertuduhan lebih menjurus ke arah kesalahan cuai dan bukannya penderaan," katanya. -AP




.

Kemalangan ngeri, anak maut dihempap kereta depan ibu


Kemalangan ngeri, anak maut dihempap kereta depan ibu | “Luluh hati saya bila lihat jasad anak dalam keadaan berlumuran darah akibat dihempap kereta. Saya tidak menyangka kejadian itu berlaku di depan mata dalam sekelip mata.” Itulah luahan Sharifah Yusof, 39, ibu kepada Muhammad Ilham Zaki Saaidi, 8, yang maut dalam kejadian di Jalan Bagan Tiang, Tanjung Piandang, semalam. Kejadian berlaku jam 7 pagi apabila kereta jenis Proton Saga Aeroback yang dipandu Sharifah, terbabas dan terbalik akibat terlanggar kabel penyokong tiang elektrik di tepi jalan ketika dalam perjalanan menghantar anak lelakinya itu ke sekolah selepas menghantar seorang lagi anak lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Lope, Tanjung Piandang di sini.

Mangsa yang juga pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Megat Aris, Bagan Tiang, tercampak melalui tingkap penumpang hadapan sebelum dihempap kenderaan itu dan meninggal dunia di tempat kejadian. Menurut Sharifah, dia hanya mampu menjerit memanggil nama anaknya berkali-kali selepas kereta yang dinaiki terbabas dan terbalik dalam kejadian itu. “Saya hanya terdengar bunyi cermin kereta bahagian penumpang pecah dan selepas kereta terbalik, saya terkejut apabila mendapati Muhammad Ilham sudah tidak sedarkan diri akibat dihempap bahagian sisi kereta,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, abang mangsa, Johan Arif Muhammad, 13, berkata, dia tidak menyangka kehilangan adiknya selepas mereka bersama-sama menaiki kereta untuk ke sekolahnya sebelum kejadian itu. “Sebelum ini, hubungan kami amat rapat, malah kami sering bermain bersama adik kecil yang berusia dua tahun. “Tetapi, sikap adik (Muhammad Ilham), berubah sejak kebelakangan ini, malah dia turut pergi memancing di parit hadapan rumah berseorangan pada lewat petang semalam (kelmarin). Saya benar-benar terasa kehilangan arwah kerana dia seorang adik yang baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Asisten Komisioner Mat Fauzi Nayan berkata, ketika dalam perjalanan ke sekolah mangsa, kenderaan yang dinaiki mangsa dan ibunya difahamkan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik ke bahagian sisi sebelah penumpang selepas tayar kereta terlanggar kabel penyokong tiang elektrik di tepi jalan. “Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa yang berada di bahagian hadapan tempat duduk penumpang tercampak keluar sebelum dihempap kenderaan itu. “Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera parah, maut di tempat kejadian, manakala ibunya hanya cedera ringan,” katanya. Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan mayat mangsa di hantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!