Friday, August 15, 2014

Ujian DNA ke atas sampel tulang haiwan yang ditemui dari kolam ternakan ikan patin sah tulang babi


Ujian DNA ke atas sampel tulang haiwan yang ditemui dari sebuah kolam ternakan ikan patin di Jalan Ipoh - Batu Gajah bulan lalu disahkan tulang babi. Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, laporan pengesahan itu diterima daripada pihak Jabatan Kimia, Petaling Jaya, Selangor pada 8 Ogos lalu.‎ Menurutnya, sampel tulang berkenaan diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis pada 10 Julai, selepas pendedahan isu ikan patin diberi bangkai babi tersebar di media sosial Facebook dan akhbar sejak 7 Julai. "Bagaimanapun sehingga kini pemilik kolam berkeluasan 0.4 hektar itu, masih gagal dikenal pasti dan dikesan kerana dipercayai sudah melarikan diri.‎

"Susulan daripada kes ini, pihak Jabatan Perikanan akan bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri termasuk negeri lain supaya memastikan semua ladang ternakan akuakultur didaftarkan dengan Jabatan Perikanan untuk tujuan pemantauan termasuk jenis makanan dan kemungkinan penggunaan bahan kimia lain yang menyentuh isu halal dan keselamatan‎," katanya di majlis Interaksi dan Ramah Mesra Aidilfitri Ketua Pengarah Bersama Warga Perikanan Negeri Perak di sini, hari ini. Ahmad Sabki berkata, setakat ini pemantauan di kolam ternakan itu turut mendapati ia sudah ditinggalkan dan dibiarkan kering. -HM




.

[4 Gambar] Kebakaran melibatkan 12 rumah di Pasir Putih, Tawau



[4 Gambar] Kebakaran melibatkan 12 rumah di Pasir Putih, Tawau | Lebih 50 orang hilang tempat tinggal selepas 12 rumah di Kampung Baru, Pasir Putih, di sini, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.


 Dalam kejadian pada kira-kira jam 11.30 pagi itu, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan apabila semua penghuni sempat menyelamatkan diri.


Bagaimanapun, sebahagian besar penghuni gagal menyelamatkan barangan berharga dan dokumen penting apabila api marak dengan cepat berikutan kedudukan rumah yang rapat.


Sepasukan anggota bomba yang tiba di lokasi beberapa minit selepas itu berjaya mengawal api daripada merebak. -BH



.

Tahniah!! Pelakon Diana Amir hamil anak pertama



Tahniah!! Pelakon Diana Amir hamil anak pertama | PELAKON Diana Amir hari ini mengesahkan bahawa dirinya sedang hamil anak pertama hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Mohd Habib sejak hampir setahun lalu. Perkara itu disahkan menerusi kenyataan Diana Amir kepada MiG Online hari ini. “Alhamdulillah, sudah namanya rezeki kan, setelah mendirikan rumah tangga sejak hampir setahun lalu, Diana Amir akhirnya mengesahkan dengan MiG Online yang dia kini sedang hamil anak pertamanya,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Diana Amir atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim yang berkahwin dengan Mohd Habib pada Oktober 2013 lepas berkata, dia hanya ingin berkongsi berita gembira tersebut dengan para peminatnya hanya setelah lepas waktu yang sepatutnya. Diana Amir yang kini hamil hampir tiga bulan sedang sibuk dengan aktiviti seninya di samping perniagaan yang dilakukan bersama suami. -SH




.

Pesawat menjunam lebih 1000 meter selepas kapten tertidur



Pesawat menjunam lebih 1000 meter selepas kapten tertidur | Pihak berkuasa penerbangan India mendedahkan sebuah pesawat Jet Airways yang membawa 280 penumpang dan anak kapal menjunam secara mendadak sehingga 1,524 meter daripada ketinggian sepatutnya selepas kapten pesawat itu didakwa tertidur manakala pegawai pembantunya sedang memeriksa komputer tablet.

Direktorat Am Penerbangan Awam (DGCA) India kini sedang menyiasat laporan insiden itu yang dilaporkan berlaku di ruang udara Turki pada 8 Ogos lalu sewaktu pesawat Boeing 777 berkenaan dalam perjalanan dari Mumbai ke Brussels. Insiden itu terbongkar selepas pegawai pengawal trafik udara Turki menghubungi pihak penerbangan berkenaan selepas pesawat tersebut terbang pada ketinggian 8,839 meter berbanding jarak sepatutnya iaitu 10,363 meter. - DPA




.

[Gambar] Bayi dikeluarkan selepas wanita mengandung maut ditimpa pokok



[Gambar] Bayi dikeluarkan selepas wanita mengandung maut ditimpa pokok | Doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk mengeluar bayi daripada kandungan seorang wanita yang terbunuh selepas ditimpa pokok di sini, hari ini. Menurut laporan media tempatan, wanita hamil itu tidak sedarkan diri selepas ditimpa pokok tumbang itu pada kira-kira jam 2.30 petang di kawasan perumahan Mid-Level. Wanita itu yang dikenal pasti oleh polis sebagai Zhang, 37, dikejarkan ke hospital dan disahkan mati sebaik sahaja tiba di hospital. “Ibu berkenaan disahkan mati.

Bayinya masih hidup di unit rawatan rapi dan keadaannya kritikal,” kata jurucakap pihak berkuasa hospital. Saksi berkata, orang ramai membantu mengangkat pokok yang menimpa wanita itu. Dia mengalami kecederaan di kepala. Gambar di laman web Apple Daily menunjukkan wanita mengandung dibawa dengan pengusung ke ambulans. Penggemar internet mengutuskan mesej bagi memberi sokongan kepada bayi itu. “Diharapkan bayi itu masih hidup,” kata seorang penulis dalam laporan online. - AFP




.

Remaja jalani ujian psikiatri berikutan kematian ibunya di Bali



Remaja jalani ujian psikiatri berikutan kematian ibunya di Bali  | Polis Indonesia melakukan ujian psikiatri ke atas remaja perempuan, anak kepada wanita Amerika yang dijumpai mati di dalam beg pakaian di pulau Bali semalam. Polis menahan anak perempuan mangsa, Heather Mack, 19, dan teman lelakinya, Tommy Schaefer, 21, semalam selepas pemandu teksi menjumpai mayat di dalam beg pakaian di pekarangan luar hotel mewah St Regis di Nusa Dua, Bali.

Mangsa dikenali sebagai Sheila von Wiese-Mack, 62, dari Chicago. Kedua-dua Mack mahupun Schaefer masih belum didakwa di mahkamah tetapi polis menahan mereka sebagai suspek. “Kami sudah melakukan ujian darah dan psikiatri untuk mencari motif dalam kes berkenaan, mungkin juga mereka tidak stabil dari segi mental,” kata ketua polis Denpasar, Djoko Hariutomo. “Setakat ini kami masih belum mendapat maklumat mengenai punca pembunuhan, sama ada kewangan atau isu lain. Kami tidak tahu,” katanya. - Reuters




.

Akibat tanda tangan perkataan lucah, lelaki dipenjara dan denda


Akibat tanda tangan perkataan lucah, lelaki dipenjara dan denda | Seorang tukang batu nisan yang menandatangani buku saman trafik dengan perkataan lucah bulan lepas, dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM5,000 atau penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah. Majistret, Dianne Nigrad Nor Azhar memerintahkan Lim Pei Jye menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini. Lim, 41, didakwa menulis kata-kata lucah pada buku saman yang diberikan kepadanya untuk ditandatangani dengan maksud mengaibkan kehormatan anggota polis trafik S.Thanesan di hadapan Kafe I Love U, di Jalan Batu Ferringhi, dekat sini pada pukul 9.50 pagi, 2 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Mengikut fakta kes anggota polis trafik itu menahan Lim di hadapan kafe berkenaan kerana melanggar isyarat lampu merah. Polis trafik itu kemudiannya mengeluarkan saman kepada Lim dan menyerahkan buku saman untuk Lim menandatanganinya, sebelum mendapati ruang tanda tangan itu ditulis dengan perkataan lucah. - Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!