Wednesday, August 20, 2014

Di India, wanita punya alasan pelik untuk tinggalkan suami



Di India, wanita punya alasan pelik untuk tinggalkan suami | Enam orang wanita yang baru setahun berkahwin, meninggalkan suami masing-masing dan pulang ke rumah ibu bapa mereka disebabkan kediaman suami tidak mempunyai kemudahan tandas. Agensi berita, BBC melaporkan, kesemua wanita dari perkampungan Khesiya di daerah Kushinagar itu kembali ke rumah ibu bapa selepas suami mereka tidak menyediakan tandas di kediaman masing-masing.

Hampir separuh daripada 1.2 bilion rakyat India tidak mempunyai tandas di rumah dan golongan wanita sering menderita disebabkan masalah itu. Keadaan itu juga menyebabkan kaum wanita terdedah kepada jenayah rogol yang berleluasa di India. Seorang daripada pengantin baharu, Gudiya berkata, dia berasa sukar untuk melepaskan hajat di kawasan terbuka disebabkan rumah suaminya tidak mempunyai tandas.

 "Ibu bapa saya mempunyai tandas di rumah, tetapi rumah suami saya, Ramesh Sharma tidak mempunyai kemudahan itu. "Saya tidak suka keluar rumah untuk membuang air. Ini menyebabkan saya bergaduh dengan suami dan kembali ke rumah ibu bapa saya," katanya. Selain Gudiya, Neelam Sharma, Sakina, Seeta, Nazrum Nisa dan Kalavati turut meninggalkan suami atas alasan sama. Menurut Ashima Parveen yang tinggal di Khesiya, kesemua enam wanita itu berkahwin pada tahun lalu.

"Di kampung, mereka sukar untuk keluar ke kawasan terbuka untuk membuang air kerana musim hujan yang menyebabkan tanah lecak," katanya. Dalam ucapan Hari Kemerdekaan India Jumaat lalu, Perdana Menteri, Narendra Modi berjanji untuk menyelesaikan masalah pembuangan air secara terbuka dalam kalangan rakyat negara ini. "Kita kini berada dalam abad ke-21, tetapi golongan wanita masih terpaksa keluar ke tempat terbuka untuk membuang air dan terpaksa menunggu waktu malam untuk melepaskan hajat," kata beliau. -AP




.

Wanita alami pengalaman ngeri selepas jalani pembedahan buang rahim



Wanita alami pengalaman ngeri selepas jalani pembedahan buang rahim | Seorang wanita mengalami pengalaman ngeri apabila jahitan pembedahan pada bahagian perutnya terbuka sehingga menyebabkan anggota badannya berlubang, lapor akhbar MailOnline semalam. Ibu kepada empat orang anak itu, Clair Bartlett, 34, menjalani pembedahan membuang rahim pada 16 Julai lalu di sebuah hospital di sini sebelum doktor membuang benang jahitannya 10 hari kemudian. Kata Bartlett, sejam selepas pulang ke rumah dia dapati bekas jahitan sepanjang 22 sentimeter itu berdarah sebelum ia tiba-tiba terbuka menyebabkan perutnya berlubang.


"Suami dan anak saya menjerit ketakutan apabila melihat perut saya berlubang serta terus menghubungi ambulans untuk bantuan. "Suami saya terpaksa menutup lubang di perut saya dengan pita pelekat selepas ambulans tiba lewat," katanya. Menurutnya, mereka kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap hospital berkenaan ekoran kejadian tersebut. - Agensi



.

Kisah yang menyayat hati di wilayah Hunan, Selatan China


Kisah yang menyayat hati di wilayah Hunan, Selatan China | Seorang wanita di China yang hilang 37 tahun dahulu selepas menaiki kereta api yang salah, akhirnya disatukan semula dengan ibunya, Ju Yeh dalam satu pertemuan menyayat hati di wilayah Shanxi, baru-baru ini. Mail Online melaporkan, wanita itu, Jiang Ai-wu yang kini berusia 43 tahun, hilang ketika berumur enam tahun semasa mahu pulang selepas diminta ibunya membelikan sesuatu, namun tidak lagi kembali ke rumahnya di wilayah Hunan, selatan China.

Dia yang ketika itu masih kanak-kanak cuba mencari jalan pulang dengan menaiki kereta api dari stesen tempatan, namun gagal. "Saya tidak tahu ke mana arah tuju saya dan dari satu kereta api ke satu kereta api saya naiki membawa kepada laluan yang salah. Saya terus sesat. Semakin bersungguh-sungguh saya cuba untuk pulang ke rumah, lebih jauh saya sesat," kata Ai-wu ketika ditemui.

Ai-wu akhirnya tersesat jauh di Xuzhou yang terletak 724 kilometer dari kampung halamannya, di sebuah bandar di wilayah Jiangsu di timur China. Dia kemudian dijaga oleh pihak berwajib. "Saya sentiasa mahu mencari ahli keluarga sendiri, tetapi saya terlalu muda dan tidak tahu untuk mencari mereka. Saya juga tidak tahu alamat rumah. "Secara berperingkat saya terpaksa menumpukan perhatian kepada kehidupan saya, tetapi saya tidak pernah berputus asa dengan harapan bahawa satu hari nanti, ibu dan bapa saya akan datang dan mendapatkan saya," katanya.

Mereka akhirnya dipertemukan semula selepas anak perempuan Ai-wu, Mei bertindak menghubungi pengendali laman web orang hilang dan menghabiskan masa setahun menjejaki keluarga neneknya. Ju Yeh, 70, berkata, dia tidak percaya apabila menerima panggilan telefon pada satu hari yang bertanyakan jika dia ada kehilangan anak. "Kemudian, saya bercakap dengan Ai-wu. Ketika itu saya dapat rasakan yang dia tidak pernah jauh daripada saya," ujarnya. -AP




.

Benarkah inilah sebenarnya yang terjadi kepada tragedi pesawat MH17?


Benarkah inilah sebenarnya yang terjadi kepada tragedi pesawat MH17?  | Seorang duta Rusia di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh pusat kawalan trafik udara Ukraine mengarahkan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) terbang di zon konflik di Donetsk di mana ia ditembak jatuh pada 17 Julai lalu, lapor MailOnline semalam. Duta tersebut, Vitaly Churkin turut mendesak Kiev mendedahkan semua rekod komunikasi pusat kawalan trafik negara itu dengan pesawat MH17 berkenaan. Pesawat yang membawa seramai 298 penumpang itu terhempas selepas dipercayai ditembak jatuh oleh peluru berpandu antipesawat di wilayah Donetsk yang dikuasai pemberontak pro-Rusia.

Bagaimanapun Rusia mendakwa, bukti yang menyokong dakwaan tersebut adalah tidak mencukupi. Moscow juga melahirkan keraguan di Majlis Keselamatan PBB berhubung keengganan Kiev mendedahkan transkrip perbualan antara pusat kawalan trafik udara negara itu dengan pesawat MH17. "Ketika ini tiada siapa yang mengetahui mengenai rekod perbualan antara pusat kawalan trafik udara dan pesawat MH17. "Mereka sepatutnya mengeluarkan rekod berkenaan supaya kita boleh memahami siapa yang mengarahkan pesawat MH17 ke zon konflik," kata Churkin. Negara Barat sebelum ini menuduh pemberontak pro-Rusia menggunakan peluru berpandu darat ke udara dari pelancar BUK menembak pesawat malang berkenaan.

Seorang pegawai kanan Rusia mendakwa, pesawat MH17 ditembak jatuh oleh sebuah jet pejuang milik Ukraine tetapi dakwaan itu dinafikan Kiev dan Amerika Syarikat. Sementara itu, Churkin juga mendakwa, siasatan yang dijalankan sekarang mengetepikan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan juga Jawatankuasa Penerbangan Antara Negara (MAK) yang memantau ruang udara di negara bekas Kesatuan Soviet. Beliau juga mendesak bantuan PBB bagi mewujudkan satu siasatan antarabangsa bagi menyiasat tragedi berkenaan. - Agensi




.

Kejadian serius berlaku disebabkan pengawal trafik udara sebuah lapangan terbang tertidur


Kejadian serius berlaku disebabkan pengawal trafik udara sebuah lapangan terbang tertidur | Sebuah pesawat penumpang China Eastern Airlines yang mula terbang rendah ketika menuju ke Lapangan Terbang Wuhan pada waktu malam Julai lalu terpaksa membatalkan pendaratan kerana pengawal trafik udara tertidur. Kejadian itu yang berlaku pada 8 Julai adalah kejadian tidak diingini ketiga dalam tempoh dua bulan membabitkan pesawat China. Transkrip rakaman penerbangan yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Penerbangan Awam China hari ini menyatakan anggota kru penerbangan China Eastern melakukan beberapa cubaan untuk meghubungi pengawal penerbangan yang bertugas di Lapangan Terbang Tianhe Wuhan - dua kali dalam bahasa Inggeris dan sekali dalam bahasa Cina. Perhubungan yang dilakukan bagaimanapun tidak dijawab.

Pesawat itu terpaksa naik semula ke ketinggian 900 meter dan mengelilingi lapangan terbang selama kira-kira 10 minit sebelum mendarat, kata laporan itu. Kejadian berkenaan berlaku antara jam 2 hingga 3 pagi. China Eastern juga berjaya mengelakkan kejadian lain dalam tempoh beberapa minggu. Pada 17 Julai lalu, pesawat China Eastern tersasar daripada landasan ketika mendarat di Nanning. Tiga hari kemudian, sebuah lagi pesawat China Eastern tersasar daripada landasan sejurus selepas mendarat di Lapangan Terbang Changzhi di wilayah Shanxi ketika hujan lebat, menyebabkan penutupan sementara lapangan terbang itu. Tiada kecederaan dilaporkan. - Reuters




.

Penemuan mengejutkan tengkorak manusia di sebuah pangsapuri ketika buat pengubahsuaian



Penemuan mengejutkan tengkorak manusia di sebuah pangsapuri ketika buat pengubahsuaian | Seorang pekerja kontrak warga asing terkejut apabila menemui tengkorak manusia ketika sedang mengalihkan bongkah batu di bawah tangga sebuah pangsapuri berhampiran PJCC Taman Medan, Petaling Jaya di sini, pagi semalam. Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, pekerja berusia 30-an itu sedang mengalihkan beberapa bongkah batu di bawah pangsapuri yang sedang melalui proses pengubahsuaian itu.

Pekerja yang hanya dikenali sebagai Ahmad berkata, dia terkejut apabila mendapati terdapat tengkorak manusia di dalam timbunan batu itu. “Saya langsung tidak sangka ia adalah tengkorak, saya ingatkan besi buruk ataupun bongkah batu sehinggalah saya ternampak bahagian mata dan mulut tengkorak itu,” katanya. Menurutnya, dia kemudian bergegas memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan sebelum melaporkan kepada pihak polis. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!