Saturday, September 27, 2014

Apa kes? 98 orang bakal haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)



Apa kes? 98 orang bakal haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) | Seramai 98 bakal haji dari Kemboja terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas berlaku kesilapan tiket penerbangan yang ditempah dari Kuala Lumpur ke Jeddah. Ketua rombongan berkenaan, Ariffin Ismail berkata, semua jemaah itu sepatutnya terbang ke Jeddah kelmarin menerusi penerbangan Saudi Airlines. "Tetapi disebabkan kesilapan tiket penerbangan yang bukan ditempah sebagai penerbangan haji sebaliknya penerbangan biasa maka jemaah tidak dapat meneruskan perjalanan, " katanya ketika ditemui di KLIA, hari ini.

 Beliau berkata pihaknya sedang berurusan dengan ejen dan pihak Penerbangan Malaysia (MAS) di Phnom Penh bagi membolehkan jemaah terbang ke Jeddah selewat-lewatnya Isnin untuk memastikan mereka sempat sampai sebelum hari wukuf di Arafah pada Rabu ini. Jemaah itu tiba pada Khamis lalu menerusi dua penerbangan iaitu MH755 dan MH763 dan transit di KLIA dan sepatutnya meneruskan penerbangan ke Jeddah pada semalam. "Saya berharap masalah itu dapat diselesaikan dengan segera," katanya. -BH




.

Remaja dibakar hidup-hidup hanya kerana menggunakan telefon bimbit



Remaja dibakar hidup-hidup hanya kerana menggunakan telefon bimbit | Gara-gara menggunakan telefon bimbit, seorang remaja perempuan di India dibakar hidup-hidup oleh empat lelaki ketika mangsa keluar ke tandas di luar rumahnya di kampung Auraiya, Uttar Pradesh. Menurut AFP, jurucakap polis, Akhilesh Chaurasiya memberitahu remaja berusia 17 tahun itu turut diserang kesemua suspek sebelum insiden menggemparkan itu berlaku pada malam Sabtu lalu.

 "Siasatan awal mendapati mangsa bertengkar dengan mereka selepas dilarang menggunakan telefon bimbit kerana ia dianggap tidak bermoral oleh masyarakat tempatan," katanya. Menurutnya lagi, remaja malang itu meninggal dunia akibat melecur teruk pada keesokan harinya. -AP




.

Ada bukti iPhone 6 Plus mudah bengkok?



Ada bukti iPhone 6 Plus mudah bengkok? | KURANG dua minggu selepas Apple melancarkan produk terbarunya, iPhone 6 dan iPhone 6 Plus, timbul perkara yang tidak enak didengar mengenai peranti mudah alih itu yang didakwa mudah bengkok apabila disimpan dalam saku seluar dalam tempoh tertentu. Pembaharuan dari segi rekaan nipis untuk telefon pintar itu bukan sahaja mengujakan peminat Apple namun pada masa sama menimbulkan kesan negatif dan mendapat kecaman hebat di media sosial.

Beberapa hari ini salah satu video yang dimuatnaik di YouTube menunjukkan demonstrasi iPhone 6 Plus dibengkokkan ditonton lebih 30 juta pelayar. Sehingga kini, pihak Apple masih mendiamkan diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap kelemahan produk terbarunya itu. iPhone 6 juga kini menjadi mangsa troll dalam sebuah iklan telefon pintar dari Korea yang membuat perbandingan dari segi kekuatan kerangka telefon itu. -AP




.

Rahsia kanak-kanak 8 tahun perolehi pendapatan lebih RM4.2j setahun



Rahsia kanak-kanak 8 tahun perolehi pendapatan lebih RM4.2j setahun | Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun di Amerika Syarikat dilapor memperolehi pendapatan lebih AS$1.3 juta (RM4.2 juta) setahun hanya dengan bermain permainan popular kanak-kanak di hadapan kamera video. Kanak-kanak itu ialah Evan, figura yang menghiasi saluran EvanTubeHD, sebuah saluran YouTube mesra keluarga yang mengulas tentang permainan dan permainan video kanak-kanak. Video Evan sering mendapat perhatian ramai dengan setiap satu yang dimuat naiknya mampu menarik lebih sejuta pengunjung, sekali gus membolehkannya menarik syarikat iklan untuk memuatkan iklan mereka pada klip tersebut. Kisah kejayaan Evan itu bermula selepas dia dan bapanya, Jared yang sering bermain bersama, merakam video singkat tentang permainan kanak-kanak daripada model tanah liat Angry Birds.

 "Semasa kami bermula, kami merakam sebuah klip video setiap bulan sebagai satu projek kecil yang menyeronokkan," kata Jared ketika mengulas kenangan bersama anaknya itu, sebagaimana dilaporkan oddicitycentral. Menurut Jared, video itu agak comel dan menjadi semakin popular, hinggalah mencapai satu juta tontonan dan dia menyedari tentang potensi besar daripada rakaman video tersebut sebelum menjadikannya sebagai satu model perniagaan yang serius. "Penerbitan video seperti ini adalah sesuatu yang 'di luar kotak'. Kami cuba menyediakan maklumat tentang produk," kata Jared yang turut mempunyai seorang lagi anak perempuan, Jillian, 6, yang turut membuat penampilan dalam video Evan.

Jared yang menguruskan syarikat video dan fotografi berkata, dia dan isterinya mahu menjaga kehidupan Evan supaya menjadi normal dan disebabkan faktor itu, pada saluran EvanTubeHD, tiada maklumat lanjut tentang nama akhir Evan. ''Saya dan isteri teragak-agak sama ada mahu menyiarkan atau tidak maklumat yang boleh digunakan bagi mengesan di mana kami tinggal dan di mana anak-anak kami bersekolah,'' katanya. Selain EvanTubeHD, keluarga itu turut mempunyai dua lagi saluran YouTube iaitu EvanTubeRaw dan EvanTube Gaming, malah Jillian dilaporkan mahu mewujudkan salurannya sendiri yang dipanggil JillianTube. -AP




.

Berpantang maut sebelum ajal.. luar biasa..



Berpantang maut sebelum ajal.. | Seorang lelaki dianggap sangat bernasib baik kerana masih mampu hidup walaupun sebutir peluru tertanam di jantungnya sejak dua bulan lalu, lapor akhbar MailOnline semalam. Lelaki itu, Bharat Sharma terkena dua das tembakan yang dilepaskan individu tidak dikenali ketika berada di sebuah bank di sini pada 22 Julai lalu.

Mangsa yang berusia 32 tahun tersebut terkena satu das tembakan di bahagian pinggang manakala sebutir lagi peluru sepanjang satu milimeter menembusi jantungnya. Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Perubatan Kolej Awaharlal Nehru di Aligarh dan beberapa doktor berjaya mengeluarkan satu peluru dari pinggangnya. Bagaimanapun, doktor bimbang untuk mengeluarkan peluru kedua yang tertanam di jantungnya kerana khuatir ia akan meragut nyawanya.


Selepas dua bulan, beberapa doktor di Hospital Sal, Gujarat menyahut cabaran untuk membedah jantung Sharma bagi mengeluarkan peluru itu baru-baru ini. "Ia merupakan satu kes yang luar biasa kerana dia masih hidup walaupun sebutir peluru tertanam di jantungnya selama dua bulan," kata pakar bedah jantung, Dr.Anil Jain. - Agensi




.

TULIP MERAH UNTUK DIA - MYTUN ABDULLAH




TULIP MERAH UNTUK DIA - MYTUN ABDULLAH | Wow, syabas buat penulis, sebab novel pertama ni memang benar-benar memikat hati lulu. Walaupun novel ini tebal, lulu mudah hadam kisah Qaseh dan Zafril..

Qaseh seorang gadis terpelajar, bersetuju dengan Datin Arfah, menerima kerja sementara sebagai pengasuh kepada cucu kembarnya. Namun atas permintaan Datin Arfah, Qaseh dikenali sebagai gadis kampung yang tidak lulus SPM. Namun tanpa disangka, dia malah meraih hati dan kasih sayang pula di rumah itu. Berbeza dengan angah, Zafril, si bakal CEO yang memang pandang rendah sangat dengan Qaseh. Sering saja cakap kasar dan Qaseh terpaksa tahan hati. Memanglah gadis kampung itu bukan pilihan Zafril. Tapi takdir menentukan mereka harus bersatu walaupun tanpa cinta. Perkahwinan yang dirahsiakan itu rupa-rupanya telah melukakan ramai pihak.

Disaat Zafril mula keliru akan perasaannya terhadap Qaseh, dia pula meletak tuduhan tidak berasas pula pada isterinya itu. Sejujurnya, dia pandang rendah pada Qaseh yang padanya hanyalah gadis kampung yang tidak lulus SPM. Tapi aneh, dia mula rasa dirinya cemburu dengan kehadiran Adi diantara mereka dan hatinya benar-benar mulai sayang pada Qaseh yang sangat menyenangkan. Malangnya ketika dia ikhlas menerima isterinya, dia malah harus menerima perpisahan. Semuanya kerana sikap Zafril yang terburu-buru. Qaseh pergi membawa diri. Biarlah berapa lama dia harus menanti, setia itu tetap menjadi pegangannya.. Mari ikuti kisah kasih sayang antara pasangan ini dan bagi lulu memang pilihan tepat memiliki novel ni sebagai koleksi.. Tahniah penulis.. ehem.. lulu pun suka tulip tau ;)



Tajuk : Tulip Merah Untuk Dia
Penulis : MyTun Abdullah
Halaman : 1303 muka surat
Harga : RM38/RM41





P/S - Fully Recommended By Lulu Caldina




.

Pembantu Perubatan Maut Kemalangan Di Lebuh Raya Utara-Selatan


Pembantu Perubatan Maut Kemalangan Di Lebuh Raya Utara-Selatan | Dua pembantu perubatan maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di kilometer 59.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah ke utara, di Pendang awal Jumaat. Dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa Muhamad Aslam Mat Yazid, 22, dari Kampung Banggol Setol, Pasir Mas, Kelantan dan Yusniza Mohammad Yusoff, 23, dari Kampung Gaung Tendong, Pasir Mas, Kelantan, maut di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian badan. Ketua Polis Daerah Pendang DSP Abd Aziz Ahmad berkata pemandu kereta jenis Toyota Vios itu iaitu Muhamad Aslam dikatakan gagal memotong treler yang berada di lorong kiri sebelum merempuh belakang treler tersebut.

Beliau berkata akibat rempuhan kuat itu menyebabkan bahagian hadapan kereta itu remuk teruk dan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk bahagian hadapan menyebabkan kecederaan parah pada bahagian badan. "Tiga kenderaan lain turut terlibat dalam kemalangan kecil setelah berlanggar sesama sendiri bagi mengelak daripada merempuh kenderaan mangsa. Pemandu serta penumpang (tiga kenderaan lain) tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Jalan Raja, Fazil Yahaya berkata tujuh anggotanya mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada Polis untuk tindakan lanjut. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat sebelum dibawa ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan lewat petang ini. Muhamad Aslam bekerja sebagai Pembantu Perubatan di HSB dan Yusniza pula juga bertugas sebagai Pembantu Perubatan di Klinik Kesihatan Simpang Empat di sini. -Mstar




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!