Wednesday, October 1, 2014

Ulama terkemuka tegur jemaah yang melakukan selfie semasa menunaikan ibadah haji


Ulama terkemuka tegur jemaah yang melakukan selfie semasa menunaikan ibadah haji | Seorang ulama terkemuka Arab Saudi menasihati jemaah supaya tidak melakukan selfie semasa menunaikan ibadah haji, sebaliknya memberi tumpuan bagi menunaikan setiap rukun haji dan umrah dengan sempurna. Portal berita arabnews.com melaporkan ulama terkenal dari Jeddah, Sheikh Abdul Razzaq Al-Badr sebagai berkata, Allah memerintahkan jemaah haji supaya menunaikan ibadah itu tanpa riyak dan tidak menghebahkannya kepada orang lain. "Ketika Rasulullah SAW tiba di miqat, baginda bersabda: "Allah memerintahkan ibadah haji dilakukan tanpa riyak dan tidak dihebahkan kepada orang ramai.''

Wahyu itu disampaikan ketika baginda tiba di miqat diikuti dengan tindakan dan amalan membersihkan rohani. "Jemaah haji sekarang gemar mengambil gambar apabila tiba di miqat. Bukan setakat itu, mereka juga mengambil gambar semasa melakukan tawaf, semasa bermalam di Padang Arafah serta ketika melontar jamrah," katanya. Katanya, tindakan itu seolah-olah menunjukkan tujuan mereka datang ke Mekah adalah untuk mengambil gambar dan bukan untuk beribadah. "Apabila mereka pulang, mereka akan berkata 'Mari lihat gambar saya ketika saya berada di Arafah, ini pula gambar saya semasa berada di Muzdalifah,'' jelas Sheikh Abdul Razzaq.


Tambahnya, jemaah juga mengambil gambar secara selfie dengan pelbagai gaya seperti sedang berdoa, kelihatan merendah diri serta berasa takut dan tenang, namun selepas gambar dirakamkan, mereka akan menurunkan tangan mereka semula. Rakaman selfie oleh selebriti Ellen DeGeneres pada majlis Anugerah Oscar tahun ini, menjadi terkenal dan diperkatakan di seluruh dunia dan sejak kebelakangan ini, jemaah yang menziarahi dua masjid suci di Arab Saudi turut tidak mahu ketinggalan mengikuti budaya semasa itu, walaupun bertentangan dengan amalan Islam.

Beberapa tahun lalu, telefon berkamera dilarang dibawa masuk ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi, namun ada segelintir jemaah bertindak menyeludup gajet itu untuk mengambil gambar. Pihak berkuasa Arab Saudi, bagaimanapun memberi kelonggaran ke atas peraturan itu kerana bukan sesuatu yang luar biasa melihat jemaah bergambar di hadapan Kaabah, walaupun pengawal di pintu masuk Masjidilharam dilapor melarang orang ramai membawa kamera profesional memasuki kawasan masjid. "Ketika saya sedang solat di Masjidilharam, tiba-tiba beberapa pelawat berjalan di hadapan saya untuk mengambil gambar imam sedang membaca khutbah. Tindakan itu mengganggu fokus jemaah lain untuk bersolat," kata seorang jemaah haji dari Jeddah yang dikenali sebagai Ahmad. -Utusan




.

Terkini : Harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen seliter bermula tengah malam ini



Terkini : Harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen seliter bermula tengah malam ini | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa 12.01 pagi, 2 Oktober 2014. Dengan ini harga runcit baharu bagi Petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter. - Bernama




.

Antara keburukan tinggal di inap desa?


Antara keburukan tinggal di inap desa? | Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lapan pertuduhan merakam gambar sebuah keluarga mandi dalam keadaan bogel menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) di inap desa miliknya di sini Julai lalu. Tertuduh, Lim Lai Heng, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Haslinda A. Raof.

Lai Heng didakwa merakam gambar keluarga tersebut yang terdiri dari tiga lelaki dan lima perempuan berusia 17 hingga 53 tahun ketika mereka sedang mandi dalam keadaan bogel dengan niat mengaibkan. Kesalahan didakwa dilakukan pada pukul 2.30 petang hingga 11.30 malam 27 Julai lalu di Taman Canning di sini. Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin. - Utusan




.

Terkini : Pelajar lelaki sebuah sekolah menengah, maut selepas terjatuh dari siling dewan sekolah



Terkini : Pelajar lelaki sebuah sekolah menengah, maut selepas terjatuh dari siling dewan sekolah | Seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah, di sini, maut selepas terjatuh dari siling dewan sekolah berkenaan pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa Muhamad Hakimi Zulkifli, 15, maut akibat cedera parah pada muka selepas terjatuh kira-kira 30 meter. Difahamkan, mangsa yang berseorangan memanjat bahagian siling bangunan selepas memecah masuk pintu belakang dewan, sebelum jatuh dalam keadaan tertiarap. Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Dun Kasa, mengesahkan kejadian itu. -BH




.

Imej satelit mendedahkan sesuatu yang mengejutkan..



Imej satelit mendedahkan sesuatu yang mengejutkan.. | Laut Aral yang pernah muncul sebagai laut keempat terbesar di dunia, kini kering sepenuhnya buat pertama kali pada tahun ini. Perubahan terbesar pada laut yang terletak di tengah Gurun Kyzylkum itu didedahkan imej satelit Terra kepunyaan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), baru-baru ini. Dalam gambar itu, NASA menunjukkan perubahan drastik yang berlaku pada laut itu bermula pada tahun 2000 hingga tahun ini, lapor Mail Online. Laut Aral mengalami perubahan mendadak selepas Kesatuan Soviet pada sekitar 1960-an melaksanakan projek lencongan air utama di gurun yang memisahkan tiga negara iaitu Kazakhstan, Uzbekistan dan sebahagian Turkmenistan.


Dua sungai utama yang mengalir ke Laut Aral pada ketika itu yang mendapat punca airnya daripada salji dan air hujan dari gunung berhampiran, digunakan bagi mengubah gurun itu kepada kawasan pertanian. Sebelum projek itu dilaksanakan, dua sungai itu, Syr Darya dan Amu Darya mengalir dari gunung melalui kawasan barat laut Gurun Kyzylkum sebelum membentuk takungan di bahagian paling rendah lembangan tersebut. Projek pengairan itu menyuburkan padang pasir, tetapi membawa kesan teruk kepada Laut Aral dengan kesan pengeringannya jelas dilihat pada tahun 2000 selepas kawasan tasik membentuk beberapa bahagian takungan air.


Kini, Laut Aral yang mengering memberi kesan besar kepada kehidupan nelayan dan penduduk yang bergantung hidup kepada tasik itu. Selain itu, habuk dari dasar tasik yang ditiupkan angin turut memberi kesan kepada tanaman yang memerlukan air lebih banyak kerana habuk tersebut tercemar dengan bahan kimia sekali gus mendedahkan penduduk kepada masalah kesihatan. Malah menurut NASA, kehilangan pengaruh air di Gurun Kyzylkum turut mengakibatkan suhu melampau di kawasan itu yang menjadikan musim sejuk bertambah sejuk dan musim panas menjadi lebih kering. -AP




.

Lelaki bersenjata jadikan pekerja hotel sebagai tebusan dalam satu insiden mendebarkan di Brazil



Lelaki bersenjata jadikan pekerja hotel sebagai tebusan dalam satu insiden mendebarkan di Brazil | Seorang lelaki bersenjata yang menahan seorang pekerja hotel sebagai tebusan dan memaksanya memakai jaket yang sarat dengan bahan letupan, menyerah diri kepada polis hari ini. Polis berkata dalam kejadian itu, lelaki bersenjata terbabit memanggil seorang kakitangan hotel pada awal pagi dan kemudian menolaknya masuk ke sebuah bilik di tingkat 13 di Hotel Saint Peter di sini. Lelaki itu kelihatan beberapa kali berdiri di anjung bilik hotelnya sambil menghayunkan pistolnya manakala tebusannya digari.


Pihak keselamatan mengambil langkah meminta semua pelanggan dan pekerja supaya keluar daripada hotel berkenaan dengan segera. Unit pemusnah bom juga dipanggil selepas lelaki terbabit memaklumkan kepada pihak hotel bahawa dia menahan seorang tebusan. "Dia sudah menyerah diri dan ditahan di balai polis Brasilia," kata jurucakap polis. Pesuruhjaya Polis Paulo Henrique Almeida, berkata pihaknya masih menyiasat sama ada bahan letupan yang digunakan pada jaket berkenaan adalah bahan letupan betul. "Kami ingin menyiasat kenapa lelaki terbabit tidak membuat sebarang tuntutan," katanya.


Tebusan itu tidak lagi memakai jaket berkenaan ketika penjenayah terbabit menyerah diri kepada polis pada tengah hari. Menurut laporan media tempatan, lelaki terbabit dalam lingkungan umur 30-an adalah bekas calon dalam pilihan raya majlis tempatan. Dia juga pernah dilaporkan mendesak agar undang-undang baharu dikuatkuasakan bagi menghalang calon dengan rekod jenayah daripada bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. - AFP





.

Tindakan pelik lelaki ini terhadap kekasihnya menjadi viral di laman sosial



Tindakan pelik lelaki ini terhadap kekasihnya menjadi viral di laman sosial | Seorang pengguna Internet memuat naik gambar pemuda tidak dikenali menunjukkan kasih sayang kepada pasangannya apabila melutut sambil memeluk erat paha wanita itu. Kejadian itu turut mendapat perhatian orang ramai di luar kilang komputer Quanta di Shanghai. Gambar berkenaan terus mendapat sambutan hangat pengguna Internet.


Ada antaranya yang mempertikaikan sama ada berbaloi lelaki terbabit mengetepikan maruahnya di khalayak ramai semata-mata mahu memujuk wanita berkenaan.Malah lelaki itu turut menyerahkan sejambak bunga kepada kekasihnya tetapi dibuang wanita terbabit. Pada satu ketika, dia memeluk wanita itu dengan begitu erat sehingga hampir menyebabkannya terjatuh. - Agensi




.

Luluh hati ibu, anak berusia empat tahun maut dilanggar motosikal


 Luluh hati ibu, anak berusia empat tahun maut dilanggar motosikal | Luluh hati bila mengenangkan anak yang saya kasihi pergi buat selamanya, apatah lagi pemergiannya sehari sebelum ulang tahun kelahiran saya," kata seorang ibu, Azizah Ali, 40, selepas anaknya, Mohamad Aidil Ibrahim, 4 tahun, meninggal dunia selepas dilanggar sebuah motosikal, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa yang bermain bersama sepupunya di halaman rumah datuk mereka di Parit 14 Simpang Lima dipercayai melintas jalan raya bersendirian sebelum dilanggar dan tercampak kira-kira dua meter ke parit. Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia sejam selepas dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ).

Azizah berkata, dia berasa amat sedih dengan pemergian anaknya itu kerana telah merancang untuk menyambut ulang tahun kelahiran bersama-sama hari ini memandangkan mereka dilahirkan pada bulan yang sama iaitu bulan September. “Saya memang cadang nak sambut hari jadinya dan arwah berhasrat menikmati kek Transformers berwarna kuning. “Namun kini majlis itu akan bertukar menjadi majlis tahlil dan bacaan Yasin," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Sementara itu, bapa mangsa, Ibrahim Mustaffa, 43, berkata, sebelum kejadian anaknya ada datang menghampirinya dan meminta supaya saya belikannya makanan segera.

“Namun tidak lama selepas itu saya terdengar bunyi letupan seakan-akan kedengaran bunyi motosikal langgar tin kosong, sebaik jenguk ke luar ayah sudah jerit menyatakan cucunya dah kena langgar. Saya pun lari dan terkejut tengok anak saya dah masuk tepi parit. “Saya terus bergegas mendapatkannya dan membawanya ke hospital, namun sejam selepas itu dia disahkan meninggal dunia," ujarnya. Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Asisten Superintendan, Che Noor Azman Chilon berkata, kejadian itu melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda. Katanya, penunggang motosikal berusia 27 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Parit 15 menghala ke kebunnya di Ban Kanal tetapi ketika melalui jalan itu, seorang kanak-kanak tiba-tiba melintas hingga menyebabkan penunggang motosikal gagal mengawal kenderaannya. - Utusan




.

Misteri penemuan mayat terapung dan tidak diketahui jantinanya di sebuah kolam takungan banjir



Misteri penemuan mayat terapung dan tidak diketahui jantinanya di sebuah kolam takungan banjir | Satu mayat yang belum dikenalpasti jantinanya ditemui terapung dengan hanya memakai seluar dalam di kolam takungan banjir, Kampung Batu, Jinjang di sini, petang semalam. Dalam kejadian 3.55 petang itu mangsa yang ditemui tertiarap di kawasan kolam itu oleh orang ramai segera di angkat naik dengan bantuan pihak bomba. Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, mangsa yang dianggarkan berusia 40 tahun kini dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

"Kami (polis) masih menyiasat identiti sebenar mangsa dan jantinanya dan tidak menolak kemungkinan mangsa sudah mati beberapa hari lalu," katanya kepada pemberita. Katanya, sehingga kini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis terdekat. -Metro



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!